Showing posts with label Hari-hari saya bergelar pelajar. Show all posts
Showing posts with label Hari-hari saya bergelar pelajar. Show all posts

Tuesday, 21 July 2009

G'day Mate!

28 Rajab 1430, 21 Julai 2009, Selasa

1000-1100 : HB15 - FRS : Professional Practice - Prof Brian Kelly
1100- 1200 : HB15 - FRS : Professional Practice - Prof Brian Kelly

Saya mengesahkan kembali jadual hari ini. Cuma dua FRS (fixed resource session) yang bakal kami hadiri dan FRS akan diberikan oleh Professor yang sama. Senarai perkara yang perlu dibuat hari ini saya susun, namun masih kosong pada hemat saya. Usai FRS, saya bergegas ke musolla a.k.a muslimin prayer's room demi menunaikan kewajipan seorang hamba, dengan penuh mengharap agar ibadah itu diterima.

Alhamdulillah, cuaca hari ini amat baik, dengan mentari ceria memancarkan sinarnya.
Walaupun begitu, lumrah saya selaku manusia masih tidak mampu menahan sejuknya musim
dingin di Newcastle (tahap musim bunga di Irbid agaknya). Semalam langit juga begitu, seiring dengan cerianya forum 'Understanding Australian culture through a muslim perspective'.

GP (General purpose) building 2.18, 1300, 20 Julai 09, 27 Rajab 1430

Kami (Ain dan saya) bergegas ke bangunan GP atau bangunan serbaguna selesai kami berehat dan menunaikan fardhu Zuhur. Kak Yani memohon pertolongan beberapa daripada kami, adik-adiknya untuk membantu menjayakan forum yang tersebut di atas.

Forum ini melibatkan pelajar Muslim yang baru tiba,dengan tenaga penggerak International Committee (Brian dan Ruth Grisham), serta beberapa pelajar muslim yang mempunyai sedikit pengalaman ketika berada di Australia untuk berkongsi cerita demi mengurangkan resah mereka yang baru tiba.

Setibanya kami di tingkat dua bangunan GP, bilik 18 kami cari dan kami disapa mesra oleh Ruth serta ucapan salam daripada Farouq, seorang brother a.k.a akh tempatan (beliau telah berada di Australia sejak 11 tahun yang lalu).

Hari ini, rupa-rupanya kami akan bertindak selaku penalis untuk berkongsi sedikit pengalaman singkat kami berada di Australia. Manakan tidak, saya dan Ain menjejakkan kaki di bumi ini hampir satu tahun setengah, manakala Hani (pelajar tahun pertama) masih hijau, lebih kurang enam bulan berada di sini. Ya Allah, bantulah kami.

Kami difahamkan bahawa akan ada lebih kurang 25 pelajar yang bakal menyertai kami pada hari ini. Hati saya berbisik mengatakan bahawa kemungkinan para penalis yang ada pada hari ini akan lebih banyak daripada pelajar muslim yang hadir.

Sangkaan itu ternyata telah tersurat di luh mahfuz apabila bilangan penalis yang hadir ialah 8 orang dengan 6 daripada kami berasal dari Malaysia. Para pelajar yang hadir? 4 orang dan kesemua mereka muslimin. Kesemua mereka pelajar ijazah sarjana dengan rata-ratanya baru tiba pada minggu ini. Majlis itu dipengerusikan oleh Ruth dan turut dibantu oleh Brian.

Santai sungguh pertemuan kami pada hari itu. Di pihak muslimah, hanya penalis yang hadir : saya, Ain, Hani dan Jennifer, muslimah warga Australia berbangsa Filipina. Ruth menerangkan bahawa program pada hari ini ideanya diambil daripada penelitian mereka terhadap program minggu orientasi para pelajar perubatan.

Terkenang saya pengalaman lalu apabila kami, para pelajar tahun satu 2008 diperkenalkan dengan Nichelle dan Michelle selaku orang penting yang akan menjaga kami pada tahun tersebut.
Salah satu program daripada dua minggu orientasi yang kami lalui, kami diberikan taklimat tentang muslim di Australia serta dibekalkan dengan buku panduan ringkas buat muslimin di Newcastle.
Saya agak teruja pada mulanya kerana tidak menyangka kami muslimin dijaga dengan agak baik oleh pihak universiti. Keterujaan itu saya kongsi dengan bonda tercinta di Muar dan kebimbangannya tentang berita-berita tentang masalah perkauman serta islamofobia di Australia berkurangan. Itu kisah lain.

Alhamdulillah, pada hari itu, kami dipertemukan dalam suasana yang damai untuk bertukar-tukar pendapat, menyuarakan isi hati dan berkongsi pengalaman.
Farouq memulakan bicara para penalis apabila memperkenalkan diri sebagai muslim yang telah hidup di Australia selama 11 tahun. Ibunya juga merupakan antara manusia aktif yang menjadi jambatan antara komuniti pihak pentadbiran universiti dengan pelajar muslim di sini. Buktinya? terrbitlah buku panduan untuk pelajar muslim di Newcastle pada tahun 2007.

Kemudian, Hani yang berani memanjangkan bicara apabila mengakui pada permulaannya, membiasakan kehidupan di sini agak sukar. Dia mengakui mengalami masalah untuk memahami lectures serta merasakan bahawa kawan-kawan sepengajian (warga tempatan) seakan-akan enggan berkawan dengannya. Lantas Hani dengan segera mencari jalan penyelesaian.

Hani nekad bertemu dengan unit kaunseling tentang masalah akademik serta bertanya secara terus kepada kawan-kawannya tentang perhubungan mereka. Mengapa mereka tidak bertanyakan apa-apa kepada Hani akan kelainan yang ketara antara mereka?
Iaitu Hani bertudung. Tidak mahu bertanya mengapakah Hani berpakaian sedemikian rupa? Tidak pelikkah? Tidak mahu tahukah hakikat di sebalik pemakaian tersebut?

Syukur alhamdulillah tindakan bijak dan berani Hani telah berjaya mengeluarkan dirinya daripada kegelisahan sosial. Lectures semakin difahami dan dirinya semakin rapat dengan kawan-kawan sekuliah yang lain. Bukan mereka tidak mahu, tetapi mereka takut untuk menyinggung kita. Mereka tidak tahu cara apa yang paling sesuai untuk bertegur dengan kita dan paling senang mereka juga beranggapan para pelajar muslim Malaysia (kerana kami merupakan majoriti pelajar antarabangsa dalam fakulti kami) juga tidak mahu berkawan dengan mereka.

Cadangan Hani untuk bergaul dengan mereka :
1) Keluar bersama-sama untuk minum teh atau mengikuti aktiviti luar universiti seperti The Great Debate yang disertainya sebagai pemerhati.
2) Terus bertegur-sapa dengan mereka walau mereka tidak memulakan.
- Hani juga aktif di sini. Hani menjadi antara ajk charity week Medical Society di sini dan dia juga aktif menyertai program-program anjuran senior serta persatuan pelajar Malaysia.

Seterusnya Amin, Ain, Matley juga berkongsi pandangan yang sama.
Ain menerangkan bahawa kita perlu teguh dengan pendirian kita untuk tidak menyertai parti yang mempunyai alkohol, kerana kita akan menjadi terbiasa dengan persekitaran tersebut.
Saya bersetuju seratus-peratus dengan Ain. Itu fahaman kami kerana itu suruhan Allah di samping demi menjaga sensitiviti kami sebagai muslim, insya Allah. Paling utama kerana Allah melaknat 10 golongan manusia yang berkaitan dengan arak :
1) yang memerasnya
2) yang meminta diperaskan
3) yang meminumnya
4) yang membawanya
5) yang minta dihantarinya
6) yang menuangkannya
7) yang menjualkannya
8) yang makan harganya
9) yang membelinya
10) yang minta dibelikannya

(Riwayat Tabrani dan Ibnu Majah)

Sesungguhnya, untuk kita berada di dalam sebuah majlis yang dipenuhi arak juga dilarang, kerana seolah-olah kita seperti mereka. Naudzubillah.

Ain juga berkongsi bagaimana dia menyertai kelab Mounteneering (bab panjat-memanjat) untuk meluaskan hubungannya dengan masyarakat novocastrian. Ain dan Amin yang duduk on campus juga berpeluang untuk bergaul dengan mereka dengan lebih kerap di samping memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris. Pada pandangan saya, untuk menjadi lebih mantap tentang sesuatu bahasa itu, bukanlah hanya mempelajarinya, namun mencampakkan diri kita di tengah-tengah masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut dan berani menggunakannya.

Kemudian, saya juga berkongsi sedikit bahawa apa yang penting ialah mengumpul kekuatan untuk berkenalan dengan mereka. Tolak rasa segan dan takut untuk berkomunikasi dengan masyarakat di sini. Mereka punya pandangan masing-masing. Setiap manusia akan dilakari dan dibentuk oleh budaya masing-masing. Bukan sahaja budaya bangsa mahupun masyarakat, namun budaya yang dirangka oleh keluarga lebih kejap akarnya dalam jiwa kebanyakan manusia.
Setiap manusia akan ada prejudis mahupun bias terhadap sesuatu isu dan menjadi tanggungjawab kita untuk menghampiri mereka dan menjelaskan apa yang keliru lebih-lebih lagi sesuatu yang palsu.

Pada hemat saya, apabila kita menolak sesuatu, contohnya jemputan mereka ke parti-parti yang jelas araknya ada, jelaskan kepada mereka mengapa kita tidak boleh pergi. Nyatakan pendirian kita dan insya Allah manusia yang berpendidikan akan menghormati pendirian kita sebagai muslim. Seterusnya, berikan pilihan lain yang menunjukkan kita berminat untuk berkawan dengan mereka seperti menjemput mereka ke rumah untuk minum teh mahupun memanaskan badan dengan kopi di kafe.
Saya berkongsi pandangan dengan mereka bahawa jangan takut untuk menunjukkan siapa kita dan apa pegangan kita selaku muslim. Jika ingin melakukan solat, terangkan kepada mereka bahawa kita perlu bersolat (5 kali sehari; waktu itu saya bermusafir bersama-sama 14 warga Australia lain di bumi asing; rata-ratanya ramai yang terkejut) dan insya Allah mungkin kita akan dikejutkan bagaimana mereka boleh bertoleransi mahupun kagum dengan amanah kita selaku hamba Tuhan.

Kenyataan Ruth sememangnya saya persetujui. Dia mengucapkan terima kasih dengan kedatangan kami, muslim untuk membuka mata masyarakat di sini (warga universiti mahupun warga Newcastle- lebih tepat lagi warga daerah Hunter) kerana mereka ingin menjadikan Newcastle sebuah tempat yang berbilang budaya dan bersifat antarabangsa.

Ekonomi di Australia amat bergantung dengan kehadiran warga antarabangsa dalam industri pengeksportan mereka selepas arang dan bijih besi,laporan akhbarThe Australian , 22 Julai 2009 (hari saya menyiapkan pos ini). Bagi universiti pula, dana serta wang untuk mereka memperkembangkan aktiviti mereka di peringkat nasional mahupun antarabangsa sebilangan besarnya datang dengan pendaftaran para pelajar asing ke Australia. Lebih kurang $ (AUD) 3.5 bilion datangnya daripada kehadiran kami, pelajar asing, diikuti dengan perkara-perkara lain ($ 1.5 bilion) seterusnya dirapati oleh pelaburan dalam pelbagai bidang serta penyelidikan (kedua-duanya kurang daripada satu bilion dolar Australia - statistik tahun 2007, dipetik daripada akhbar yang sama-

Oleh itu, tidak hairanlah universiti kami amat mengambil berat kebajikan kami selaku pelajar asing, lebih-lebih lagi pelajar muslim kerana mengikut pengamatan saya, sebahagian besar pelajar antarabangsa (saya dan kawan-kawan menggelar diri kami internationals) terdiri daripada warga timur tengah, warga China (tidak dapat dipastikan kewarganegaraan sebenar : Tanah Besar China, Malaysia ataupun Taiwan) serta Korea. Apabila saya berkunjung ke AIC (Auchmuty Information Centre), seolah-olah saya berada di negara Korea kebanyakan masanya. Waktu malamnya, ataupun tengah hari seolah-olah saya di Jordan ataupun Arab Saudi. Mungkin waktu lainnya saya berada di China. Begitulah bukti kesungguhan pihak universiti menarik pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran ke sini, lebih-lebih lagi pelajar peringkat sarjana.

Tidak dapat dinafikan juga ada ketikanya kami di'boo' mahupun dikejutkan dengan jeritan -jeritan yang tidak menyenangkan namun alhamdulillah, kami masih lagi bernafas di sini.
Warga Australia, sepertimana juga warga negara lain, amat terpengaruh dengan laporan media, maka tidak hairanlah ada yang berkelakuan kurang sopan. Namun demikian, insya Allah, di universiti, tiada lagi komen-komen yang menghina kami selaku muslim dapat didengari setakat pengetahuan saya.

Pertemuan kami dihangatkan lagi apabila kami dpecahkan kepada beberapa kumpulan kecil (saya namakan kumpulan A,B dan C) untuk membincangkan beberapa situasi di sosial yang kemungkinan besar akan kami hadapi.

1) Kami dijemput ke majlis yang mempunyai alkohol. Apa tindakan kita?
- Kumpulan A : Kami akan menolak dengan penuh sopan dan menjelaskan sebab penolakan tersebut. Seterusnya menjemput kawan kami minum kopi dalam suasana aman. Cara kita untukberkongsi pendirian dan budaya dengan warga tempatan. Mungkin juga jemput mereka ke rumah tatkala Eid untuk mereka melihat dan belajar budaya Islam dan masyarakat Malaysia (kumpulan ini semuanya rakyat Malaysia).
- Pendapat individu daripada kumpulan lain : datang awal untuk bertemu dengan tuan rumah, beri hadiah, dan minta izin terus pulang.

2) Berdepan dengan situasi bersalaman dengan berlainan jantina.
- Kumpulan B : Dalam orang ramai, salam tangannya untuk menjaga maruah si penghulur tangan.
Dalam keadaan tertutup, tidak menerima jabatan tangannya dan menjelaskan dengan sebaik mungkin mengapa. Lumrah manusia akan merasa malu dengan situasi itu, namun insya Allah mereka akan faham kalau mereka jenis bertolak-ansur.
- Individu lain lain : pakai sahaja sarung tangan sepanjang masa (lawak seorang akh dari Arab Saudi)

3) Kamu ingin berkawan dengan orang Australia yang kamu lihat dia seperti seorang yang baik. Apa yang perlu kamu lakukan?
- Perbincangan ramai : Seperti di atas.

4) Kamu dijemput ke majlis BBQ. Masalah halal haram.
- Kumpulan C : Saya tidak ingat jawapan mereka.
- Hasil perbincangan : Jelaskan tentang halal haram dan diet kita. Binatang, cara sembelihan, tempat panggangan, pisau, etc. Terangkan kita boleh makan diet vegetarian mahupun makanan laut.
- Akh Arab Saudi (saya lupa namanya) yang sama : Tawarkan diri untuk menjadi manusia pembekal dan penjaga panggangan. Bawalah daging lembu, ayam dan kambing halal. Tunjukkankepada mereka bahawa Islam itu mudah dan ringkas, cuma perlu ikut caranya. Mereka dapat belajar tentang kita dan cara hidup kita sebagai muslim. Daging di Georgetown Road kan banyak (Georgetown : tempat kami membeli daging halal yang berkualiti, di samping membeli di masjid pada hari Jumaat - brothers selalu buat).

- BBQ merupakan budaya masyarakat di sini, sebagai cara mengeratkan hubungan mahupun house warming (rumah terbuka a.k.a open house). Sopan jika kita bertanya apa yang perlu kita bawa. Mereka ada istilah BYO (bring your own : selalunya merujuk kepada bir atau alkohol. Ada juga yang tidak minum membawa minuman bergas). Ada juga istilah bring your plate : iaitu membawa sesuatu , jangan bawa pinggan kosong ya!

Alhamdulillah, petang itu, saya mendapat sesuatu lagi. Hari ini juga, tatkala saya menyiapkan post ini, saya masih lagi belajar sesuatu yang menguatkan keyakinan saya sebagai seorang muslim.

Meminjam kata-kata daripada sebuah blog : Kupandang ke barat, kunampak Islam, kupandang ke timur...
Wallahua'alam.

P/s : G'day mate - slang Australia yang membawa maksud lebih kurangnya : apa khabar.

Salam perantauan,
Perpustakaan Huxley, 22 Julai 2009, 29 Rajab 1430
15 : 27

Wednesday, 20 May 2009

Luruh pun berlabuh

20 May 2009, Isnin, 25 Jamadil Awwal 1430

Bismillahirrahmanirrahim....

Musim dingin menghamparkan permaidani, mula menutupi hawa hangat musim luruh.
Alhamdulillah, tiada pujian yang paling layak melainkan untuk Yang Maha Sempurna, kerana
buat julung kalinya, sesuatu yang lain menanti novocastrian musim dingin ini.

Akan datang :

"Winter Gathering '09 Newcastle"


anjuran FAMSY.

Harinya telah tiba buat kita. Mencari redha-Nya,menguji keikhlasan kita pada tiap janji yang terucap. Ya Allah,berikan kami kekuatan untuk menghadapi segalanya. Rahmatilah kami, berkatilah umur kami, ampunilah segala dosa-dosa kami...amin


P/s :Mari kita berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana-Nya demi menghadapi peperiksaan yang bakal tiba. Bittaufiq wannajah buat semua. (man yazrou's syauq la yajnil 'inab - sesiapa yang menanam duri tidak akan menuai anggur : pepatah arab)


----------------------------------------------------------------------------------------

Sudah berminggu-minggu kedinginan musim luruh menikam tubuh kami penduduk
Newcastle. Secara zahirnya, kalender masih lagi musim luruh, namun hakikatnya musim dingin telah tiba.
Saya termenung, dengan dinginnya pagi hari, adakah saya juga turut lesu dibaluti hawa sejuk?
Apa khabarkah iman hari ini? Telah keluarkah sedikit pasir-pasir yang mengisi balang kehidupan? Bagaimana dengan batu-batu besar dan guli-guli kehidupanku?
Wahai hati,iman yang aku kasihi...berikanlah jawapan buat melerai simpulan mindaku,,,

Hari semakin menganjak menyerlahkan debaran di dada.
16 Jun bakal tiba dengan ole-ole buat kami pelajar perubatan tahun kedua.
Saya masih lagi tertatih-tatih, menyiapkan laporan, mengulang-kaji nota dengan menggalas status khalifah yang sedia terpikul.
Kadang-kala saya takut kesibukan itu menjauhkan saya daripada hakikat kehidupan.
Wahai diri,
bila difikir dan merenung-fikir, kehidupan itulah tempat saya bercucuk tanam. Menyemai segala macam benih untuk dituai di hari Akhir nanti.

Saya harus bijak, perlu selalu mengingati mati, kerana kata kekasih :
"Apakah urusanku dengan dunia ini. Sesungguhnya, perumpamaanku dan perumpamaan dunia ibarat seorang pengambara yang sedang tidur di bawah naungan pohon pada hari yang panas,kemudian beristirehat lalu meninggalkannya."
(Hadith riwayat Tarmidzi dan Ahmad, hadith sohih)

Merenung hari esok,
22:23
Kimian Avenue

Tuesday, 5 May 2009

Banyaknya topi~??!!!

4 Mei 2009, Isnin

BIsmillahirrahmanirrahim...

Rumah kami di 54 Kimian sejak semalam sudah merasakan bahang 'closing tutorial'.
Saya selaku ahli kumpulan A juga tidak ketinggalan.
Pertama kali bertemu dengan sistem darah aka Haematology system, kami diperkenalkan dengan penyakit anaemia atau kurang darah secara ringkasnya.

Beginilah lebih kurangnya kami ahli-ahli kumpulan A berbincang sakan. Namun kami hanya berlapan, tidak termasuk Dr. Jane selaku tutor.

Alhamdulillah, usai perbincangan pada hari ini, saya bergegas pulang ke rumah.
Hari ini, saya ada satu tugas penting : Masak.
Pesan Fifi kepada tukang masak hari ini : "Jangan biarkan kita lapar tau".
Insya Allah dengan rela hati, permintaan itu disambut.

Usai memasak, makan dan menunaikan solat, saya, Dayah, Fifi, Dalila (yang telah berjaya dipujuk oleh Diba) dan Diba menaiki si Merah Saladin menuju ke John Hunter Hospital.
Walaupun 'newcastle drift' menunjukkan aksinya dengan hebat, namun takdir Tuhan mengatasi segala-galanya. Susur kiri menuju ke JHH terlepas di balik kegelapan malam. Syukur padanya, dengan kecekapan pemandu si Merah Saladin, kami selamat tiba di Lecture Theatre Royal Newcastle Centre (RNC LT) .

Apa kami buat di kegelapan malam ini? (Jam tangan menunjukkan tepat pukul 6.31 pm). Buat pengetahuan bersama-sama, tika ini Newcastle sedang diselimuti musim luruh yang sejuk pada pandangan saya. Sungguh pun tidak sesejuk di benua lain, tetapi sebagai seorang warga Malaysia, kesejukannya menusuk ke tulang. Waktu maghrib pun sudah memanjat ke angka 5.14 pm.

Kami bergegas-gegas ke dalam Lecture theatre. Masya Allah, ramai sungguh manusia pada malam itu. Sungguhpun demikian, alhamdulillah, forum malam ini belum dimulakan. Setelah dua tahun saya menjadi pelajar di sini, inilah kali pertama saya digerakkan hati untuk menyertai forum ethics. Saya duduk di sebelah Ain, berhampiran dengan Izyan dan Kak Yana. Tema malam ini : Ehtics and religion seminar.

Dr. Charles Douglas antara penarik saya untuk menyertai seminar/forum malam ini. Sungguhpun beliau seorang doktor pakar kanser, namun beliau orang kuat ethics di uni.
Sesungguhnya, kehadiran ramai orang pada malam ini bukan sahaja mengejutkan orang pertama kali datang seperti saya, namun Dr. Charles juga menyuarakan rasa kagumnya kepada kami. Hakikat kebiasaannya, hanya ada dalam lingkungan 16 manusia pada satu-satu seminar dan beliau berjanji akan cuba mengakhiri seminar/forum ini pada jam 8.15 pm.

Panel-panel pada malam ini :
Dr. John Case
Paediatrc Surgoen

Dr. Marina Vamers
Psychiatrist

Dr. Fatima Patel
Obstetrist and gynaecologist

Dr. Charles Douglas
Breast Cancer and melanoma surgeon

Dr. Peter Saul
Intensivist

Majlis malam ini dipengerusikan oleh Dr. Peter.
Dr. John mewakili Kristian Katolik, Dr. Marina mewakili Judaism, Dr. Fatima mewakili Islam dan Dr. Charles, seperti yang baru saya tahu minggu lepas, mewakili Buddhism. Apa yang ditekankan oleh pengerusi ialah segala apa yang dibentangkan pada malam ini merupakan pendapat peribadi mereka, dipandu oleh ilmu yang mereka miliki dan juga pengalaman yang mereka hargai. Maka, saya menyediakan diri saya untuk satu slot yang mungkin bakal menjadi berat suasananya nanti.

Gambaran pada malam seminar/forum

Katolik memegang pendirian bahawa nyawa itu sangat berharga dan tidak boleh diambil sesuka hati manusia. Judaism pula berpendapat yang sama bahawa nyawa manusia mesti dipelihara walau apa sekalipun. Buddhism pula menyatakan bahawa, pegangan ini lebih kepada cara untuk menjalani kehidupan yang baik sebagaimana akh Abu Bakar aka 'Ruben' menyatakan bahawa Buddhism mengajar manusia untuk menjalani hidup dengan baik. Islam sebagai agama yang ulung menegaskan di dalam al-Quran :

"Whoever kills a believer intentionally, their reward will be Hell, to abide therein forever, and the wrath and the curse of Allah are upon them, and a dreadful penalty is prepared for them." (Holy Quran, Chapter 4, Verse 93)

dan menjelaskan lagi dalam banyak ayat antaranya :


We ordained for the children of Israel that if anyone slew a person, unless it be for murder or for spreading mischief in the land, it would be as if he slew the whole of mankind. And if anyone saved a life, it would be as if he saved the life of a whole people. (al-Ma’ida, 5:32)

Masya Allah, begitulah Islam menilai nyawa dan itu buktinya di dalam al-Quran.

Sedikit sebanyak pada malam ini, dapat saya lihat secara lebih mendalam sedikit daripada biasa bahawa terdapat beberapa persamaan antara agama samawi. Dr. John menyatakan bahawa tidak boleh memberhentikan bantuan pernafasan atau bantuan lain untuk pesakit aka euthanasia sungguhpun pesakit dalam keadaan yang tenat.

Dr. Marina pula menyatakan bahawa nyawa itu satu pinjaman dari Tuhan, dan semua manusia perlu memulangkan kembali kepada Si Pemberi. Oleh itu setiap manusia perlu menjaga hayat mereka dengan baik, jadi tidak boleh euthanasia.

Dr. Fatima menyatakan pandangan Muslim scholars tentang contraception and abortion. Beliau menyatakan bahwa tidak boleh seseorang itu mengambil nyawa manusia lain i.e tidak boleh melakukan pengguguran kandungan. Namun ada pendapat ulama yang menyatakan bahawa boleh sekiranya sangat-sangat membahayakan nyawa ibu (akhafud dhororoin - lesser of 2 evils), dan kurang daripada 120 hari. Itu kesimpulan beliau daripada pembacaannya dan pertanyaannya kepada Dr. Google.

Dr Charles menyatakan bahawa Buddhism : 'Letting your own experience guide you'. Konklusinya, saya kurang pasti pandangannya terhadap isu ini.

Setelah setiap ahli forum membentangkan power point masing-masing, mereka diberi 3 soalan tentang situasi perubatan yang berbeza.

Situasi pertama :
A straight A's student, wanted to be a lawyer, pregnant 10 weeks : parti-parti, tak sedar

Situasi kedua :
A women, pregnant 24 weeks, wanted an abortion because her third child has only one hand despite other normalities (freaked out - just knew about that).

Situasi ketiga :
A dying man - not to be resuscitated

Apa yang menariknya daripada ingatan saya yang kelam dan samar (atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan), mereka memakai topi yang berbeza untuk setiap situasi.
Dr. Fatima menyatakan bahawa sebagai seorang Muslim, tidak boleh mengambil nyawa.
Tapi apabila topi tersebut dibuka, dia menyatakan pandangannya sebagai O & G dengan pandangan yang berbeza daripada perspektif perubatan. Sungguhpun Dr. Marina seolah-olah mantap dengan pegangangannya, namun dia juga memakai topi yang lain kerana masalah legislasi/undang2 dan polisi perubatan (aka profesionalism) yang setara dengannya.

Secara jujurnya, hati saya berdebar-debar setelah siri pembentangan dijalankan. Mengapa begini? Mengapa berlaku perpisahan sebegini rupa. Kalaulah itu polisinya, setiap manusia beragama terperangkap. Jikalau majoriti manusia berdasarkan agama masing-masing bersetuju bahawa euthanasia itu tidak dibolehkan,jadi mengapa dibolehkan? Lawak apakah ini? Konspirasi manusia-manusia pelik berada di mana-mana. Sudah terang lagi bersuluh, sekularisme bermaharajalela di mana-mana di seluruh dunia. Apa khabar Malaysiaku?

Saya berfikir.
Mengapa perlu bersusah-payah memakai topi yang berbeza sedangkan kepala kita satu?
Namun saya berfikir lagi,
kalau saya berada di tempat itu, di manakah saya nanti?

"Ya Allah, tetapkanlah aku dalam jalan yang Engkau redhai. Terangilah kami daripada kegelapan kejahilan ya Allah. Berilah petunjuk dan inayah-Mu ya Aziz. Ampunilah dosa-dosa kami, ketelanjuran kami dalam tiap amal kami, tetapkanlah kaki-kaki kami dan bantulah kami terhadap orang-orang kafir. Amin"

Sebelum berakhir majlis, para peserta diberikan peluang untuk bertanyakan soalan kepada para doktor. Respons terakhir daripada seorang wanita, bekerja selaku orang kuat palliative care (kalau tidak silap- ingatan yang masih lagi belum cerah) menyatakan bahawa menjadi satu panduan bagi mereka (team of care) bersama-sama dengan pesakit menjelajah apa yang bakal mereka hilang dengan tiap keputusan mereka. Soalan yang paling penting, dimanakah Tuhan di dalam hidup mereka. "Where is God in their lives?".

Secara jujurnya, saya merasakan bahawa respons wanita itulah yang paling kuat mengetuk pintu hati saya di balik timbunan maklumat yang saya dapat sebentar tadi. Masya Allah, Allah mengingatkan kami agar terus mengingati-Nya dan mengenali sifat-sifat keagungan-Nya. Saya lihat ada Kak Yani, Ijat, Kak Mar dan beberapa sisters Malaysia yang lain. Dayah menyatakan bahawa Kak Wardiah bersama-sama zaujnya turut menyertai seminat/forum ini dan kelibat brother juga turut kelihatan. Semoga kami dan manusia lain diberikan petunjuk.

Saya teringat brother Abu Bakar yang saya lihat dalam youtube. Betapa jauh perjalanannya untuk mengenali Allah. Setelah hidayah didapatinya, akidah itu diimani, dikejap semantapnya dalam hati, hingga tiada siapa mampu menggoyah keyakinan yang sudah kukuh bertapak di jiwa dan menjalar dalam tiap urat nadinya.

Semoga Allah memberikan hidayah kepada kita semua dan memberkati kehidupan kita.

Huxley Library,
5 Mei 2009, Selasa, usai Opening Tutorial

Tuesday, 10 March 2009

Kelas pembukaan

10 Mac 2009, Selasa
13 Rabiul Awwal 1430

Bismillahirrahmanirrahim...

"So, what is the causes of Pulmonary Oedema?"
" How we are going to assess whether this patient need to be managed using medications or surgical. Or which one comes first?"
"If there is an ST elevation on the ECG, what this indicates? Infarct or ischaemic heart?"
"Okay, if a patient comes to you saying, "Doctor, a got a palpitation and it won't stop." and he got no atrial fibrillation, what would it be or what should we do?"

Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Dr Jane buat kami ahli kumpulan A. Saya kaget. Inilah situasi sebenar yang bakal saya lalui dalam tempoh masa insya Allah tidak sampai 5 tahun.
Manusia meletakkan kami dalam situasi yang sempit sekiranya kami selaku manusia yang bergelar doktor tidak mampu menyelesaikan masalah kesihatan yang mereka alami. Kadang kala saya terfikir, mengapakah saya memilih untuk menceburi bidang yang melibatkan nyawa manusia? Bukankah lebih mudah hidup saya sekiranya saya memilih cita-cita kedua saya? Insya Allah tidak akan melibatkan nyawa manusia dalam melaksanakan tugas sehari-hari. Saya juga tidak perlu begitu runsing, juga tidak akan merunsingkan ummi dan ayah di rumah akibat polisi universiti saya.

"Begitukah Nurul?" Hati saya berbisik perlahan.
Saya terdiam. Saya fikir, begitulah mungkin yang bakal berlaku.

Saya melihat drama-drama pelbagai bangsa. Harapan mereka terhadap doktor begitu besar, baik masyarakat Malaysia, Jepun,Korea, Cina, Australia dan India. Sehinggakan ada manusia yang mengganggap perubatan itulah tuhan, astaghfirullah...

Mungkin ada yang pelik, apakah bukti pernyataan saya di atas?
Secara jujurnya, saya bukanlah pernah menemuramah doktor pelbagai bangsa mahupun manusia daripada latar belakang yang berlainan dengan saya, namun saya antara manusia yang kadang kala gemar menonton drama,bergantung kepada keadaan dan plot drama.

Guru Bahasa Melayu saya, Puan Salleha Salleh telah menegaskan kepada saya rentetan satu pertanyaan saya kepadanya, bahawa drama itulah antara lapis yang menonjolkan pemikiran masyarakat. Drama itu sedikit sebanyak ialah cerminan masyarakat.
Di Malaysia, pelajar perubatan hingusan seperti saya diberi amanah mentafsirkan surat referral daripada seorang doktor kepada seorang doktor pakar, contohnya.
Drama Code Blue dan Team Medical Dragon (Jepun), New Heart (Korea), Grey's Anatomy serta House (USA) menjadi antara imejan harapan masyarakat terhadap doktor tanpa kesalahan. Bahawa doktor semuanya berbakat dan hanya mereka yang luar biasa sahaja akan kelihatan hebat dan cemerlang.

Sungguhpun begitu, semalam Allah menggerakkan hati saya untuk membaca buku karangan Atul Gawande, 'Complications' yang telah diterjermah ke dalam beberapa bahasa : German, Itali, Taiwan, Portugal, Brazil dan seterusnya...



Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Mengetahui. Dr. Gawande menegaskan dalam bukunya bahawa sains itu bukan sesuatu yang pasti. Bahawa doktor itu perlukan latihan untuk menjadi lebih baik walaupun tidak dapat dinafikan ada manusia yang berbakat. Bahawa doktor itu manusia biasa, punya keluarga, kemahuan, cita-cita dan perasaan. Bahawa manusia itu belajar daripada kesilapan.

Saya diam dan fikir. Apa yang nyata dan pasti, doktor itu makhluk Tuhan.
Doktor itu pergantungannya pada Tuhan, bukan sains mahupun teknologi. Itulah pegangan yang sepatutnya dipeluk kemas oleh para doktor sekalian, juga lebih-lebih lagi bakal doktor yang baru belajar membelek buku perubatan.

Saya kini yakin dengan ketentuan-Nya, bahawa saya harus lebih berusaha. Yang Maha Mendengar sentiasa ada. Bukankah doa itu teknologinya tinggi? Saya ke sini atas doa ummi dan ayah serta ahli keluarga juga guru-guru. Kami semua di sini berdiri hasil wang rakyat Malaysia. Saya perlu terus kuat, kami perlu saling memperkuat.
Pedulikan pandangan masyarakat, tetapi membangunlah dengan impian mereka.

Malaysia bukan sahaja memerlukan doktor berkaliber dan berkemahiran, namun para usahawan yang prihatin, para arkitek yang mantap, barisan para guru yang berdedikasi, ahli-ahli DBKL yang tekun berusaha, para pemandu bas yang berhati-hati dan keperluan ini mencakupi semua bidang kehidupan.

Saya mahu lebih berusaha. Menjadi manusia lebih berguna, mencari makna cinta dan menghayati kehendak hati, mahu memiliki jiwa hamba.

Auchmuty Library, usai opening tutorial, working problem 4.
17:25 pm

Sunday, 8 March 2009

Purnama itu



8 Mac 2009, Ahad
11 Rabiul Awwal 1430

Bismillahirrahmanirrahim.

Silveridge community centre,
7 Mac 2009, 5:30 pm

Hari ini kami dilimpahkan dengan sinaran mentari yang akan menghangatkan suasana yang bakal kami rasai. Kami antara jemputan yang terawal sampai di Silveridge ini, atas jasa Kak Mel.
Saya, Nisya, Fifi dan Diba setia menanti di luar dewan. Secara jujurnya saya teruja, kerana seluruh kerabat Melayu muslim di Newcastle insya Allah akan kembali berkumpul bersama-sama di bawah satu bumbung demi meraikan mereka yang kami sayangi. Sebuah demi sebuah kereta yang dipenuhi penumpang-penumpang yang berpakaian baju kurung tiba di pintu masuk. Banyak mata-mata yang kelihatan bersinar keriangan.

7:15 pm

Alhamdulillah, ketibaan kedua-dua mempelai, saudara Harith Roslizar dan saudari Nurul Wardiah Abdul Shukor disambut dengan alunan kompang dan solawat buat Rasulullah S.A.W. Ya, inilah pasangan raja sehari yang pertama University of Newcastle. Saya teruja, kami semua gembira. Sebenarnya, ini lebih kepada majlis resepsi untuk warga Newcastle berikutan tidak semua novocastrian yang dapat menghadiri majlis resepsi mereka yang berlangsung pada bulan Januari lepas di Dewan Merak Kayangan, Kuala Lumpur. Di samping itu juga, Aqish, anak kepada pasangan Abang Mizan dan Kak Nor turut diraikan bersempena dengan hari lahirnya yang ke-6.

Doa yang dibaca menyentuh hati ini. Ucapan Bro Harith buat semua warga newcastle serta ucapan Kak Waridah yang dibacakan zaujnya buat sisters memberi kehangatan dalam diri kami semua. Namun, tatkala tayangan daripada sisters (dibuat oleh sisters 47 Kimian) buat Kak Wardiah dipancarkan ke dinding, di penghujung slide "and Now, our 'rose' is taken" benar-benar menyentuh hati kami semua. Kak Wardiah telah genap 40 hari (dikira oleh suaminya sendiri) melayari bahtera rumah tangga bersama-sama suami tercinta dan telah sah menjadi milik zaujnya. Kami mungkin tidak akan selalu bertemu, namun cinta dan kasih sayang kami buat Kak Wardiah tidak akan pernah layu mahupun gugur insya Allah, bahkan kami akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Kak Wardiah dan zaujnya, serta kesejahteraan pasangan pengantin lama : keluarga Kak Nor, Kak Salmi, Kak Alma, Kak Nono, Kak Lina, Kak Sha dan Kak Atul yang menjadi VIP pada malam itu.

Saya tujukan lagu solawat pengantin baru daripada Nowseeheart buat kedua-dua mempelai.


*****************************************

Hati saya gusar. Esok hari lahirnya, apa yang perlu saya lakukan buat membuktikan cinta saya buatnya? Hari ini saya masih juga bertungkus-lumus membuat learning targets working problem 3. Insya Allah, saya masih punya masa.

Surah Ali Imran 3 : 31 -
" Katakanlah (Muhammad), " Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Allah yang Maha Agung berkali-kali menyuruh hamba-hamba-Nya mengikuti Muhammad S.A.W. Itulah nabi ulung, nabi terakhir, penutup segala nabi. Manusia bernama Muhammad bin Abdullah itulah manusia terpilih untuk memikul tugas yang amat berat... menyampaikan kebenaran. Bahawa Allah itu satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan tiada apa pun yang mampu menyamai-Nya. Kata-kata itulah yang membawa baginda S.A.W diheret ke dalam pelbagai kepayahan dan kesengsaraan yang akhirnya mengangkat baginda ke taraf yang sangat tinggi di sisi-Nya. Masya Allah, limpahan kurnia Allah buat hambanya yang hina.

Kenalkah kita dengan manusia bernama Muhammad S.A.W, kekasih Allah S.W.T dengan sebenar-benar kenal? Ataupun kita pernah membaca lembaran kisah baginda di buku-buku teks Pendidikan Agama Islam? Satu pertanyaan khususnya buat diri saya dan mungkin boleh juga dihulurkan kepada sahabat-sahabat lain. Saya ingin memetik kandungan buku " Jadi seperti Muhammad" hasil karangan Aa Gym terbitan PTS Millenia.

Dalam sebuah kisah Jabir bin samurah melaporkan,
" Aku melihat nabi Muhammad di suatu malam yang berbulan purnama. Waktu itu beliau memakai pakaian merah. Aku berganti-ganti memandang antara beliau dengan rembulan, ternyata beliau lebih indah daripada rembulan."
(Hadith riwayat Tirmizi).




Dalam satu riwayat yang bersumber daripada Ali bin Abi Talib,
" Muhammad tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu pendek.
Beliau sedang sahaja di antara kaumnya. Rambutnya tidak keriting bergulung dan tidak pula lurus kaku, melainkan ikal bergelombang.
Badannya tidak gemuk, dagunya tidak lancip dan wajahnya agak bundar.
Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Bahunya bidang. Beliau memiliki bulu lebat yang memanjang dari dada sampai ke pusat.
Telapak tangan dan kakinya terasa tebal.
Apabila beliau berjalan, berjalan dengan tegap seolah-olah turun ke tempat yang rendah.
Apabila beliau berpaling, maka seluruh badannya akan turut berpaling.
Di antara kedua bahunya terdapat khatamun nubuwwah iaitu tanda kenabian.
Beliau memiki hati yang pemurah di antara manusia.
Ucapannya merupakan perkataan yang paling ramah dalam pergaulan.
Sesiapa yang melihatnya, pasti menaruh hormat kepadanya. Sesiapa yang pernah bersama-sama dengannya , kemudian mengenalinya, tentulah dia akan mencintainya.
Orang yang menceritakan sifatnya pasti berkata,
'Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang yang seistimewa beliau".
(Hadith riwayat Tairmizi).

Menurut Hindun bin Abi Halah pula (anak tiri Rasulullah S.A.W- putera Khadijah dari suaminya yang terdahulu) menyatakan paras lahiriah baginda :
"Nabi Muhammad adalah manusia yang anggun, yang wajahnya bercahaya bagaikan bulan purnama. Badannya tinggi sedang.
Postur tubuhnya tegap. Rambutnya ikal dan panjang yang tidak melebihi daun telinganya. Warna kulitnya terang. Dahinya luas. Alisnya memanjang halus, bersambung dan indah. Sepotong urat halus membelah kedua alisnya yang tampak timbul semasa beliau marah. Hidungnya mancung sedikit membengkok yang di bahagian atasnya berkilau cahaya. Janggutnya lebat. Pipinya halus. Matanya hitam. Mulutnya sedang. Giginya putih tersusun rapi. Dadanya bidang dan berbulu ringan. Lehernya putih, bersih dan kemerah-merahan.
Perutnya rata dengan dadanya. Apabila menoleh, seluruh tubuhnya menoleh.
Pandangannya lebih banyak ke arah bumi. Beliau mengiringi sahabat-sahabatnya semasa berjalan dan beliau jugalah yang memulakan salam."

Masya Allah, tatkala saya menaip satu-persatu perkataan yang menggambarkan fizikal Rasulullah S.A.W, saya fikir saya boleh jatuh cinta. Seolah-olah seorang putera lahir daripada keluarga yang terhormat dan membesar di celah-celah masyarakat jahiliyah. Kesantunan baginda dan ketegasannya menegakkan syiar Islam lebih menambat hati ini.

Pernah direkodkan oleh Abi Hurairah di dalam sebuah hadith bahawa terdapat seorang Arab Badawi yang membuang air kecil di sebuah sudut di dalam masjid. Dengan segera para sahabat bangun hendak memukulnya. Lantas Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesungguhnya kamu ditampilkan di tengah-tengah umat manusia bagi memberi kemudahan, bukan untuk membuat kesukaran." Hebat sungguh manusia bernama Muhammad ini. Baginda berfikiran rasional, tenang dan bijak. Hatinya yang bersih dilambangkan melalui tutur kata dan perilakunya.

Baginda adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Baginda sangat tawadhu lagi lemah-lembut serta bijak dalam pergaulan aka interpersonal relationship. Ibnu Mas'ud berkata seperti yang diceritakan oleh Ibnu Majah yang bermaksud : " Seorang lelaki datang menemui Nabi Muhammad. Beliau mengajak lelaki itu berbicara sehingga membuatnya menggigil ketakutan. Nabi Muhammad berkata kepadanya, " Tenangkanlah dirimu. Sesungguhnya aku bukanlah seorang raja. Aku hanyalah putera kepada seorang wanita yang biasa daging."

Subhanallah, itulah serba sedikit perihal baginda yang saya harap untuk dihayati. Saya mahu terus jatuh cinta agar dunia ini dan segala isinya tidak lagi bertakhta dalam hati. Mampukah aku ya Allah...

Sehari sebelum maulud Nabi,
54 Kimian

Tuesday, 17 February 2009

Hari-hari awal

17 Februari 2009

Bismillahirrahmanirrahim~

Hujan rintik-rintik bermula sejak tutorial berakhir.
Segala pujian hanya bagi-Nya, kini saya bergelar pelajar tahun kedua semester pertama.
Banyak ranjau perlu dilalui, namun kasih-Nya masih tetap setia menemani, Maha Suci Engkau ya Allah.

Pagi tadi, bilik HA 190 bangunan Hunter menjadi tempat kami ahli kumpulan A bersua muka.
Alhamdulillah, Dr. Jane Gordon menjadi tutor untuk memandu kami dalam setiap sesi perbincangan dan pembentangan.
Ini kali pertama tutor saya ialah seorang doktor. Tahun lepas untuk semester pertama seorang nurse di ED (emergency department) dan semester kedua seorang doktor nutrisi menjadi tutor saya dan teman seperjuangan. Indah sungguh aturan Tuhan buat saya.

Kami ahli-ahli kumpulan A terdiri daripada Amin, Mary (seorang ibu dianugerahi dua cahaya mata), Jon (19 tahun), Sarah (18 tahun), Suzie (masih di bumi Malaysia, masalah tiket), Robert (25 tahun), Amanda dan Nurul (21 tahun). Setakat yang saya rasakan,insya Allah kami boleh berkomunikasi dengan baik, walaupun mungkin sumbangan saya boleh dipertingkatkan.

Perbincangan yang penuh ilmiah inilah yang saya mahukan.
Ternyata, usia bukan ukuran ilmu di dada, itu pandangan saya terhadap Jon.
Status bukan penghalang menimba ilmu, Mary membuktikan.
Lalu saya? Apa yang terus menghalang saya daripada menyumbang sesuatu untuk ummah?
Status? Kewangan? Masa? Atau wabak jahiliah dan kemalasan?

"Allahumma inni au'dzubika minal hammi wal hazan,
wa au'dzubika minal 'ajzi wal kasal,
wa au'dzubika minal jubni wal bukhl,
wa au'dzubika min gholabatid daini wa qahrir rijal...amin~"

Lalu, di penghujung perbincangan kami, akhirnya terhasil 5 learning targets utama dengan anak-anak kecil di bawahnya ^ ^
Terus saya bergerak menuju perhentian seterusnya.

Senarai 'to do list' saya keluarkan.

Need to do :
1. Bayar OHSC
2. Keluarkan duit
3. Pos kad birthday Risa
4. Tanya gym my status

Buat sahabat-sahabat yang tidak pasti, OHSC ini ialah insurance coverage unutk pelajar luar negara di universiti ini.
Setelah bersoal jawab, akhirnya $A 380 telah pun selamat bertukar tangan kepada puan di kaunter pembayaran.

Duit juga telah selamat saya keluarkan. Berapa jumlahnya? Rahsia...semuanya untuk pembayaran bil dan sewa rumah serta talian setelah pulang dari tanah air.

Takdir Tuhan, turunlah hujan renyai-renyai tatkala perjalanan saya ke Shortland building untuk ke The Post (pejabat post di New South Wales). Dengan beralaskan beg pemberian Shohoku College di kepala, saya bergegas ke sana. Alhamdulillah, kad untuk Risa, seorang remaja comel di Jepun, telah selamat saya pos. Semoga selamat tiba pada waktunya.

Setelah berkira-kira, sekaki payung lutsinar selamat menjadi milik saya. Benar-benar mengimbau nostalgia di bumi matahari terbit. Insya Allah akan saya ceritakan nanti.
Kaki saya gagahkan ke Auchmuty, perpustakaan kesayangan saya untuk meminjam beberapa buah buku buat menambah apa yang kurang di dada.

Dengan bersenjatakan payung buat melindungi diri daripada rintik hujan, saya melangkah dengan penuh bersemangat menuju ke gym. Syukur buat Yang Maha Pengingat saya diketuk dengan memori bahawa kad gym masih berada di dalam laci di rumah.
Astaghfirullah, lemahnya hamba-Mu ini....
Konklusinya, hanya 3 daripada empat perkara telah berjaya disempurnakan, alhamdulillah.

Perjalanan pulang merentasi jambatan hijau (gelaran saya buat jambatan yang menghubungkan Hunter area dan Shortland area) menemukan saya dengan Bill dan Jenanee. Nampaknya mereka berpuas hati dengan ahli tutorial pada semester ini. Saya juga tumpang gembira.

Saya terfikir, apakah pada hari ini saya melayan teman-teman serumah dengan baik?
Adakah saya menghubungkan silaturrahim?
Adakah saya mendapat ilmu yang bermanfaat?
Yang paling penting, adakah niat saya pada hari ini saya betulkan?

Hamba yang khilaf,
Kimian Avenue