Monday 12 May 2008

Ruang Kosong

Semalam yang hening mendesak hati untuk menjadi lebih syahdu.
Suntikan virus influenza daripada klinik universiti tiba-tiba menyanggah tiap urat rasa.
Daripada sedikit pening, melarat kepada sedikit rasa perit di anak tekak, merebak kepada
demam-demam ringan.
Allah, sungguh tidak diduga ujian ini.
Mungkin berbulan-bulan badan ini dikurniakan kesihatan, sampai lupa menghargai.
Hanya mampu berdoa moga Allah permudahkan.
Teringat kisah Nabi Ayub A.S yang enggan berdoa untuk sembuh kerana rasa malu yang teramat kepada Maha Pemberi Anugerah, mendorong diri ini untuk turut mencipata rasa malu pada yang selayaknya.

Malam itu entah tidak semena-mena air mata ini tumpah terkenang ummi di rumah yang penuh mahabbah.
Terasa-rasa tiap sentuhan kasihnya mengusap-usap ubun-ubun yang membahang.
Terdengar-dengar pujukan keibuannya meresap ke dalam dada.
Terbayang-bayang mesej daripada ummi :
'Nurul kata nak menangis masa kat airport,
takpun. Ok je ummi tengok.
Takpe, insya Allah nanti kite jumpa lagi.'
Mata semakin memberat.
Otak tidak mampu berfikir ligat.
Ruh melayang dari jasad.

Apabila terkenang kembali peristiwa tiga hari lalu,
minda ini lantas terfikir, betapa luas kasih sayang Tuhan buat kita.
Sungguh hakikatnya kita ini hanya hamba hina,
tidak layak merungut lebih lagi menabur nista,
namun kita ini sentiasa dalam jagaan-Nya.
Sentiasa dalam dakapan rahmat-Nya (insya Allah).
Sehinggakan luahan rasa daripada lubuk hati yang paling dalam,
yang diri ini juga tidak mampu menyedari,
diterjemah dalam suasana yang cukup romantis.
Penuh dengan luahan cinta yang diingini,
daripada seorang anak kepada ibunya.

Masya Allah, begitulah romantisnya Yang Maha Pemberi.

Huxley Library, 12 May 2008

Thursday 1 May 2008

EMPAT BENUA

Sekumpulan wanita kelihatan riang berbicara.

Shortland Hub menjadi pilihan pertemuan pertama.

Samoa, Yugoslavia dan Malaysia.

4 wanita daripada benua berbeza.

Kemesraan yang tercipta diheret ke sebuah isu yang telah lama menyesakkan dada Moana.

Pembebasan wanita.

Dia menyatakan kekesalannya kerana terkurung di bawah sebuah budaya yang begitu tertutup.

Tonga, sebuah kerajaan monarki, dalam lingkungan kejiranan New Zealand dan Samoa, masih pekat dengan nilai-nilai kebudayaan dan adat lalu.

Kadangkala kebudayaan yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Kesedihan dan ketidakpuasan hati dipendam.

Dikambus dengan harapan tidak akan timbul.

“Kamu mesti pandai menjaga keluarga.”

“Rambutmu tidak boleh dipotong.”

“Anak pertama mesti lelaki”

“Kamu tidak boleh menyuarakan apa yang tidak menyenangkan hatimu.”

“Terima sahaja apa yang diberi.”

Anak-anak kecil mudah sahaja menerima arahan tersebut.

Tiada apa yang pelik, itu budayaku, itu adat yang mengalir dalam nadi bangsaku.

Namun, fikiran yang bebas tidak mampu disekat oleh sebuah budaya yang dipandangnya kolot.

Sehingga dia menjadi asing dalam kelompok sendiri.

Dia mencari-cari tempat keluar.

Maka universiti menjadi tempat meluahkan rasa.

Kepada kelompok manusia-manusia yang memahami.

Itu cerita Moana.

Kadangkala dalam kalangan masyarakatnya sendiri, dia rasa terkongkong.

Anne-maree terkadang mengangguk mengiakan.

Terkadang dia hanya memerhati kerana dia juga sebahagian daripada masyarakat Moana.

Dalam dirinya mengalir darah dari Tonga dan Australia.

Yvette hanya tersenyum.

Setiap masyarakat ada ceritanya yang tersendiri.

Generasi yang mendukung budaya masyarakat di Yugoslavia pun apa kurangnya.

Neneknya juga berfikiran tradisional.

“Perempuan mesti berada di dapur akhirnya”

“Apa perlunya pelajaran setinggi bangunan pencakar langit?”

“Hidup ini memang akan bergantung kepada lelaki.”

Namun generasi moden kini hanya memandang sepi cerita lalu.

Tiada apa yang menguntungkan mereka katanya.

Saya di Malaysia membesar sebagai orang Melayu.

Masyarakat yang punya cerita yang lebih kurang sama dengan masyarakat di Tonga.

zaman dahulu,

“Perempuan hanya di dapur, tidak perlu belajar tinggi-tinggi”

“Kadang-kala orang nak lelaki sebagai anak pertama.”

Wanita kelihatannya seperti tertindas di mata Barat.

Mungkin di mata masyarakat saya sendiri juga, sebagaimana saya pernah melihat kedudukan wanita dalam masyarakat Melayu.

Namun,tegas saya

“Apabila kami memahami agama yang kami anuti.

Agama yang memuliakan wanita.

Tiada yang lebih antara kedua-duanya, baik lelaki mahupun wanita di mata Tuhan.

Kebanggaan keluarga bukan terletak pada anak lelaki sulung.

Bahawa wajib bagi setiap muslim dan muslimah untuk menuntut ilmu demi meningkatkan diri, demi mengenal Tuhan.

Bahawa wanita itu tinggi nilainya di sisi agama.

Maka asimilasi budaya pun berlaku.

Jika masih ada manusia yang berfikiran lalu,

Itu hanya tiada anjakan paradigma yang berlaku kepada mereka.

Anjakan kuantum yang mengubah sejarah masyarakat.”

Namun, saya menyayangi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.

Baju kurungnya yang sopan.

Menghormati orang tua.

Senyum menyapa sesama saudara.

Atau mungkin itu sememangnya diceduk daripada budaya Islam?

Biarkan, sementelahan itu yang seeloknya.

Apa perlunya perdebatan yang sementara yang tidak menguntungkan sesiapa pun, fikir saya.

Pertemuan pertama

Meransang minda saya bermonolog.

Kebanyakan budaya menindas wanita.

Penindasan yang meluas;

Pemikiran atau pendidikan atau kedudukan.

Baik di Tanah Melayu, Yugoslavia, Tonga, China, Eropah.

Terselit kenyataan pahit itu walau mungkin cuba disorokkan mahupun dilupakan.

Satu keNYATAan yang diri ini pasti:

Kedatangan Islam melindungi wanita.

Kedatangan Islam mengangkat martabat wanita.

Kedatangan Islam memBEBASkan wanita.

PemBEBASAN sebenar.

Daripada perhambaan kepada lelaki, kecantikan, kosmetik,fesyen......(senarai yang berterusan)

Kepada perhambaan yang sebenar.

Mencari reda Allah Robbul Jalal.

Tidak perlu berpening-pening mencari klik masing-masing.

Klik kepada keredaan Allah, maka tenanglah hati.

Ini bukan cerita lalu,

Ini bukan cerita tipu,

Ini satu ingatan buat diriku

dan saudari-saudariku.

Mungkin juga buat saudara-saudaraku.

Ma’at taufiq wannajah fil imtihan.

Moga perjuangan kita mendekatkan kita kepada Allah

Mengukuhkan keyakinan kepada janji-janji-Nya.

Salam perJUANGan.

Kimian Avenue

1 Mei 2008