Wednesday 28 July 2010

Burung-burung kecil

16 Syaaban 1431, 28 Julai 2010, Rabu

Bismillahirrahmanirrahim~




Masya Allah, dalam mengharungi hidup seharian di Nc ni, Syaaban menjelma, mengikut sunnatullah...

1001 peristiwa berlalu, di seluruh bumi Allah...namun seringkali ketinggalan,jauh, jauh dihanyuti kesibukan yang dibuat-buat...astaghfirullah...

Tahun ini, adik bukan lagi adik.
Malah, terasa ditolak-tolak menjadi kakak-kakak yang wajib bergerak cergas dan bekerja,
lebih-lebih lagi bertemu dan berkenalan dengan adik-adik yang lebih muda dan telah lama
menjadi kakak-kakak yang proaktif.

Sudah lama jiwa dan diri ditolak-tolak dengan tolakan yang lembut.
Bangunlah, jangan tidur lagi...
Bergeraklah, kerana masih ramai yang lena dan tidak peduli...

Dirimu sudah tahu bukan? maka mengapa masih lagi berdalih...
Hati rasa gelisah,jahiliyah masih lagi bersarang, berkarat dalam diri.

Sahabiats perjuangan telah terlalu laju bergerak,di benua-benua berlaianan,juga telah lama tidak disapa khabar mereka.
Khabar tubuh dan khabar hati, lebih-lebih khabar iman...

Kakak mengingatkan,


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)


Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (10) Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (11) (As-Saff 61 : 10-11)

Tidakkah rasa mahu menjadi orang yang beruntung? Kakak mengumpan. Hati masih rasa enggan.

يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١٢) وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ (١٣)

"Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam sungai yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung (12) Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin" (As-Saff 61 : 12-13)

Subhanallah, ganjaran mana yang lebih tinggi daripada ampunan dan syurga Allah?

Bukankah itu yang selama ini adik-adik sebutkan dan kejar-kejar? Atau itu hanyalah sekadar lafaz di bibir yang terungkap namun tidak dapat dilaksanakan?

Pujukan yang disulami sebak hati sang akak menusuk kalbu.
Walau rasa terpinga-pinga namun digagahkan jua melangkah.

Akal bertanya, mengapa masih terpinga-pinga?
Bukankah sering diingatkan? dikejutkan? diberitahu?

Hati terasa pilu. Hati yang diselubungi sampah-sarap jahiliyah akhirnya bersuara.
Kerana ilmu itu, tidak menyerap ke akar untuk melahirkan faham.
Lantaran itu tidak berbuahnya amal.
Tidak bermekarnya hamasah di jiwa sehingga tidak basahnya kalbu itu.
Apa yang berada di akal, hanya bersarang di situ dan tidak mengalir ke hati.
Jahiliyah tidak dibuang sepenuhnya,masih dikejap kemas-kemas, tidak mahu dilepas.


~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~


Musim dingin hampir berlalu, walau kedinginannya menggigit lesu tubuh-tubuh lemah yang tidak mahu bergerak laju.

Mata dibukakan dengan realiti perjuangan.
Realiti yang termaktub di dalam lembaran cinta Yang Maha Mengetahui.

Sebuah penolakan itu, bukan bererti tertutupnya satu jalan.
Malah, penolakan itulah menghasilkan seribu satu lorong penyelesaian dengan izin-Nya.
Berlumba-lumba pejuang yang merasai pahit-manisnya jalan ini memberi buah fikiran,
meluahkan perasaan, berkongsi kalam Tuhan (surah Nuh, surah ke-71 di dalam kitab suci itu,moga menjadi pembakar semangat).

Ini satu permulaan perjuangan yang indah namun pasti dihiasi duri.
Hanya manusia yang menempuhi jalan ini sahaja yang memahami, menghayati dan merasai hingga ke lubuk jiwa.
Ini jalan yang kita PILIH dan LANGKAH telah pun BERMULA.

Moga muntolaq kita mencari redha Allah mengukuhkan lagi rantai perjuangan untuk mencapai matlamat ulung.

Redha dan maghfirah-Nya yang paling utama.

Kimian 54
0800