Wednesday 26 December 2007

Rindu Eid


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Laa Ilaahaillahu Allahu Akbar

Allahu Akbar Walillahil Hamd...

Berterusan takbir dibaca

Entah mengapa hati ini seakan sepi,

enggan berbicara.

Kadang-kadang di Irbid,

terkadang di UK,

seketika kemudian di samping keluarga tercinta,

kemudian melayang ke Newcastle.

Allahu Akbar, mudah benar fikiran ini

melayang ke benua yang berjauhan.

Namun, hari ini berbeza,

hari pengorbanan.

Surau Parit Haji Baki dilangkahi.

“Allahu Maftah Abwabi Rahmatik”

“Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu rahmat-Mu”

Amin~.

Suara takbir berkumandang tepat jam 8 pagi waktu Malaysia.

Laungan memuji kebesaran Allah bergema,

silih berganti pemandunya di corong pembesar,

menjengah lubuk nurani yang kekontangan erti cinta hakiki.

“Allah Maha Besar sebesar-besarnya,

dan pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya,

dan Maha Suci Allah siang dan malam.

Tidak ada Tuhan, melainkan Allah,

dan tiada kami sembah,melainkan Dia.

Dengan tulus ikhlas beragama untuk-Nya semata-mata

walaupun orang-orang kafir membenci.

Tidak ada Tuhan melainkan Allah sendiri.

Benar janji-Nya,

menolong hamba-Nya,

memuliakan tentera-Nya,

dan ditewaskan-Nya parti persendirian.

Tiada Tuhan, melainkan Allah dan Allah Maha Besar.

Allah Maha Besar dan bagi Allah puji-pujian.”

Suara sayup sayu dan menggetarkan kalbu menusuk

di gegendang.

Hati tertanya-tanya, minda terjaga.

Tiba-tiba hati menjadi pilu.

Suara ayah...

Mendayu... menggoncang naluri rasa.

Suara merdu ayah melekat di telinga.

Wahai Tuhan, berapa lama lagi akan dapat diri ini bersama ayah?

Mendengar suaranya,laungan iqamatnya,senda guraunya.

Esakan kecil yang tidak kedengaran ditangkap deria dengar.

Ummi~

ummi sedang mengalirkan air mata.

Menahan sebak di dada.

Memang sayu laungan takbir ayah.

Menjadi halwa jiwa yang berlagu sendu.

Sungguh pagi 10 Zulhijjah 1428 menjadi saksi sebuah

getaran kecil yang berjaya meriakkan

keindahan sebuah lamunan.

Alhamdulillah,

moga pemergianku

bakal ditemani amanat ummi dan ayah serta kenangan di

Surau Parit Haji Baki.

Tuesday 18 December 2007

13 & 22

Kebijaksanaan dalam Ketenangan,

wahai Cahaya Penyayang,

seindah namamu wahai adinda-adindaku,

kuharap dirimu terus tumbuh mekar mewangi

demi keindahan yang selama-lamanya.

Kudoakan kau menjadi Hafizah sejati,

pemelihara kalam Tuhan,

agama, bangsa dan watan.

Kupohon pada-Nya,

kau meneruskan ayuhan langkahmu,

menjulang pingat muraqabah

yang ditempa likuan mujahadah.

Senyumlah wahai adinda,

harungilah terjahan badai menggila

dengan tombak yaqin dan itqan.

kerana adinda,

dikaulah nusaybah alam siber,

tidak gentar syahid dek manisnya iman.

Salam dari Persiaran Bahagia,

daripada kakanda khusus tarikh istimewa 13 & 22 Disember.

E 211

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Di sudut bangunan sebuah bangunan yang masih gagah berdiri,

kedengaran derapan langkah sepasang kaki.

Ayunan langkahannya tidak ragu-ragu. Terus mara menuju

ke destinasi. Bilik E 211 di hadapan mata.

Ketukan kedengaran.

Pintu dibuka. “Em, hai Nat, macam biasa la hari ni. Setin lagi.”

“Eh, takpe ke? Semalam kan dah?”

“Takpe-takpe. Aku amek vitamin C”

Natrium atau nama penuhnya Natrium Benzoat E211 hanya mampu menggeleng.

Manusia,manusia. Bukannya bebal, hanya mengikut rengekan nafsu.

“Man, kau tak tahu ke, aku jika bekerjasama dengan vitamin C boleh hasilkan BENZENA. Kau tau tak benzena tu apa?”

“Benzena? Eh, tu aku tau lah. Aku ambil International Baccalaureate a.k.a IB tau! Tukan ahli keluarga alkene...”

Jawapan Man pantas dipintas Nat

“Ye, ye! Budak tingkatan lima pun tahu nak jawab. Benzena tu bahan yang boleh menghasilkan kanser.”

“K-kanser? B-betul ke? Takkanlah! Kalau betul,kenapa digunakan secara berleluasa. Kau tersilap kot.”

“Apabila manusia gagal menilai keindahan sebenar, apa-apa sahaja yang tidak boleh dilakukan dimungkinkan perlaksanaannya oleh manusia yang hanya Tuhan sahaja yang tahu.” Nat bersuara tenang.

“Tapi, tapi...”

“Man, kau boleh memilih antara hak dan batil. Kau Allah kurniakan akal, antara ciptaan agung yang hingga kini gagal diurai komponennya oleh manusia secara menyeluruh.”

Antun ( kamu untuk perempuan) pening ke baca petikan di atas?

Jangan risau sebab petikan di atas memang ana yang buat sendiri. Jangan berhenti membaca halaman ini hanya kerana kata ganti nama yang ANA gunakan. Jangan biarkan prejudis mengaburi maklumat penting yang bakal kita kongsi bersama-sama sebentar lagi insya-Allah. Itu hanya suatu kata ganti nama. Tiada erti lain. Biarkan Tuhan untuk menilai. Jazakillah.

Teruskan kepada topik E211. Jika minda ini tidak silap untuk mengingat fakta, Natrium Benzoat pernah menelusuri cepu fikir suatu masa dahulu. Mungkin kerana amalan ‘Takpa’, ana biarkan sahaja maklumat penting ini berlalu. CAP atau Persatuan Pengguna Pulau Pinang, mendedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Prof. Peter Piper, profesor bidang molekul biologi dan bioteknologi,dari Universiti Sheffield, Britain ( salam buat sahabat tersayang Norshazwani Othman dan ‘Atikah Abdul Latiff) Natrium Benzoat E211 berupaya merosakkan mitochondria.

Bila cik Mit rosak, apa yang bakal berlaku?

Hmm, bekalan oksigen ke seluruh badan lumpuh sekali gus memotong bekalan tenaga ke seluruh badan.

Akhirnya? Kegagalan fungsi tubuh secara serius akan berlaku.

Untuk peringatan ana dan antun semua, untuk mengelakkan gangguan DNA berlaku kepada diri kita, jauhilah Natrium Benzoat.

Untuk makluman antun, gangguan DNA dalam kes ini secara tidak langsung akan mendorong kepada punca penyakit parkinson,penyakit otak dan mempercepatkan penuaan.

Pelbagai persoalan mungkin timbul dalam diri sahabat sekalian, bilakah kita bersua dengan Natrium Benzoat E211 sehingga mampu membawa padah kepada amanah Allah ini (diri kita)?

Jikalau antara sohibah yang suka minum minuman ringan termasuk yang berkarbonat dan pati minuman berperisa, antun berisiko menghidapi penyakit sirosis hati dan penyakit-penyakit yang telah ana catatkan di atas.

Ini semua kemungkinan akan berlaku rentetan Natrium Benzoat digunakan sebagai BAHAN PENGAWET dalam industri minuman berkarbonat untuk mengelakkan minuman ringan daripada BERKULAT.

Bukanlah niat ana untuk menakutkan-nakutkan antun semua ( ada sedikit ), tetapi inilah hakikat. Didiklah diri dan insan-insan yang antun sayangi untuk mencintai kesihatan diri. Pesanan minggu ini ana tujukan khas untuk adinda yang dahulunya sering meneguk minuman ringan atas alasan murah ( di Irbid). Maklumat ini dipetik daripada Berita Harian.

Thursday 13 December 2007

Li Abii


Bismillah...

Esok saatnya. Hati ini cukup teruja. Beberapa perancangan sudah diatur. Bermula pagi, siapnya insya- Allah tengah hari, minda ini berkira-kira. Peperiksaan SPM sudah surai buat menyurutkan debaran Farhan, Ayong, Puza,Anis, Aimi dan adinda-adinda Maahad yang lain.

Hari ini istimewa, terlalu istimewa. Kali akhir sebelum kaki ini menjejakkan kaki di benua yang lain.

Percaturan turut bermula. Bismillah....1 cawan minyak masak dituang, diikuti 1 cawan susu cair. Apa lagi? Oh, 1 cawan air panas sebelum 3 biji telur dicampur sekali gus. Campuran diputar... Fikiran turut melayang sementara adunan diputar laju.

“Ayah, nak makan yang terakhir tu boleh?” rengek si anak, sedangkan sudah hampir 3 keping apam bailk memenuhi perut. Anak ini sememangnya menyukai makanan. Perlu ditarbiyah nanti. Sampai kini kelihatan kurang berjaya (~,~).

“Ok, ambillah. Makan elok-elok. Ha, ni dah baca bismillah ke belum?” tanya si ayah.

“Terima kasih yah!”

Walau gembira, namun minda si anak tidak dapat mengelak perasaan hairan yang menerjah.

‘Eh, dah baca rasanya...Hm? Tapikan ayah belum makan lagi, kenapa kasik kat Nurul?’ mindanya berbicara. “Dah baca~ Em,takpelah ayah. Ayah belum makan lagikan? Nurul dah makan tiga dah, hehehe...”

“Takpe, makanlah. Ayah dah hidup lama dari Nurul. Dah makan banyak sangat apam balik.” ada unsur lelucon di situ, hanya cuma si anak tidak memahami ditambah bau apam balik yang harum mengelabui fikiran.

Si anak Cuma tersengih. Walau kehairanan masih membaluti minda, namun apam balik yang enak terus menghalau kekeliruan.

‘Em,sedapnya...’

Hati ini tiba-tiba diserapi keharuan. Betapa ayah sanggup berkorban walau sekecil perkara.

Mixer ditutup. 2 cawan gula pasir dituang moga mampu memaniskan adunan dengan izin Tuhan. Adunan diputar kembali. 1 cawan serbuk coklat Vochelle hitam harum ditapis, dituang ke dalam adunan.

“Nak naikkan adunan, jangan lupa letak baking powder dan natrium bikarbonat. Ha, jangan tak tahu pulak yang dua-dua benda tu berbeza. Jangan main bantai aje! “ Pesanan Chef Bob di Kolej Komuniti Ledang tatkala kursus kilat sehari mengukir senyum di minda.

1 ½ sudu teh baking powder , 1 sudu teh natrium bikarbonat dan 2 cawan tepung gandum ditapis bersama. Sedikit demi sedikit dicurah ke dalam adunan. Adunan semakin memekat. Mixer semakin diputar laju.

Kebisingan pesawat kecil mixer mengetuk ruang memori.

“Em, nanti, duit menyelia PMR dan SPM dengan menanda kertas ni insya-Allah boleh belanja untuk Nurul nak bersiap-siap. Boleh bagi Iqa sikit kat Jordan....”

Ya Allah, benarlah berterusan pengorbanan Ayah, tiap detik memikir keadaan anak-anak tersayang. Jarang sekali kudengar keinginanmu wahai ayahanda. Kedegilan di ambang kedewasaan yang bersarang semakin melarut kesan kasih dan pengorbanan insan mulia.

Mata kukesip-kesip, bimbang butiran air di tubir mata menyuntik kehairanan di hati adinda-adinda yang lain. Syukur, dua loyang dapat diisi. Satu jam dikukus. Satu bersalut coklat manakala satu khas untuk ayahanda. Belum sempat gambar ditangkap, kek untuk ayahanda sudah habis mengisi perut bukan sahaja ayah tetapi adinda dan ibunda.

Santapan tengah hari ini sungguh istimewa. Mi Hongkong hasil tangan ummi yang sememangnya memenuhi selera kegemaran. Ah, apakah yang lebih menyenangkan daripada bergembira di samping insan yang tercinta?

Ya Salam, sungguh nikmat-Mu tak terhitung buatku.

Sungguh tidak mampu kunafi rasa bahagia yang bersarang di hati. Hati ini berbunga indah, menyegarkan jiwa dengan haruman meransang iman. Allahu Akbar! Jika nikmat ini sebegitu indah, bagaimanakah ahli usrah di syurga-Mu nanti?

Daripada Abu Hurairah :

“Rasulullah pernah berkata,’Kumpulan pertama yang masuk syurga

bersinar seperti bulan purnama. Kumpulan selepas mereka bersinar seperti bintang yang paling terang cahayanya di langit...

Peluh mereka seharum kasturi... Isteri-isteri mereka ialah bidadari

yang cantik...”

-Hadis riwayat Bukhari dan Muslim-

Dalam hadia yang lain :

“Bekas makanan mereka di dalam syurga diperbuat daripada emas.

Peluh mereka seharum kesturi. Setiap orang mempunyai dua isteri, yang tulang sumsum betis mereka berdua dapat dilihat dari sebalik daging kerana sangat cantik. Tidak ada perselisihan yang berlaku dalam kalangan mereka semua dan tidak ada perasaan benci- membenci. Jiwa mereka semua bagaikan jiwa seorang sahaja.

Mereka sentiasa bertasbih menyucikan Allah pagi dan petang.”

-Hadis Riwayat Bikhari dan Muslim-

Masya Allah, lautan nikmatmu yang tidak kehabisan terus menenggelami kami sehingga...SELAMA-LAMANYA~

Ya Muhaimin, moga aku mampu memberikan selain daripada ini, sebuah kek yang tidak mampu kekal lama, buat ayahanda.

~Coretan tinta lewat 7 Disember 2007, untuk ayahanda~

Monday 3 December 2007

Asy-Syams


Pernah antum bertemu sinar mentari yang tidak pernah padam biarpun hujan guruh tidak henti-henti? Alhamdulillah, benar-benar diri ini beruntung , tidak pernah mentari yang menyinari hidup ini berhenti memanaskan kesejukan kalbu. Namun,diri ini kadang kala menjadi hamba yang tidak tahu bersyukur. Walau mentari hangat menyinar jasad dan jiwa, namun kemilau duniawi yang dihiasi indah oleh nafsu menjadikan hati terkadang beku di celah waktu.

Maha Agung Tuhan, mentari terus bersinar, melahirkan jaluran pelangi ceria. Tidak jemu-jemu menarik diri mengenal Yang Maha Pengasih. Mungkin minda masih dibelenggu karat jahiliyah,kesabaran di dada sering tercabar. Tercabar dengan tingkah adik remaja yang menyentap naluri seorang kakak. Hasilnya,buah perkelahian terhasil. Bertepuk tangan sang iblis tanda euforia yang tidak terhingga. Ummi tenang memujuk,menyemai nilai kasih dalam jiwa hingga cair keegoan yang membeku.

“Anak ummi yang hensem nih, ummi tau dia rajin. Ala, tak

kisahlah Kak Nurul cakap apa pun, yang penting Ummi tau

Faiz memang anak umi yang rajin.”

Pujian seorang ummi umpama salji dingin memadam bara api kemarahan seorang anak muda. Bijak pertuturan seorang ibu, akhlak mulia Rasul S.A.W langsung diterapkan

“Tapi Faiz, walau macam mana sakit pun hati Faiz,

Kak Nurul tetap perlu dihormati.Ummi tau anak ummi

ni memang hormat orang tua dan mendengar kata. Betul tak?”

Aku terdiam. Sungguh-sungguh terpana. Pemilik sarjana psikologi pendidikan ini benar-benar seorang ibu yang menakjubkan. Setiap luahan hati dan pujukan kasihnya kepada seorang remaja tidak pernah gagal melentur kekerasan hati. Masih berbekas kisah lalu, bila sahaja ummi berbicara, hati ini akan terus sayu. Kelopak mata ini tidak pernah kering tika mendengar butiran hikmah daripada ibu Benarlah, hanya ibu yang teguh mengenali anaknya.Berkat doa dan keikhlasan jiwa seorang insan bergelar ummi, Pemilik segala hati melembutkan sekeping hati yang diulit geram.


Itulah Ummi yang amat diri ini cintai. Walau kadang jahil melahirkan rasa syukur dan kasih buat insan istimewa ini, jarang sekali kudengar keluhan daripadanya. Maha Pemurah Tuhan mengurniakan seorang ibu buat setiap makhluk bernama manusia. Biar dia seorang muslim,beriman atau tidak beriman, hatta kuffar sekalipun, majoriti manusia pernah mengecap nikmat kasih,cinta dan perhatian seorang ibu. Alhamdulillah.

Ajaib bukan insan bernama ibu? Bagaimana seorang insan biasa menjadi begitu berkuasa? Tiada apa yang menghairankan kerana tiada yang mustahil bagi-Nya.


“ Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia menundukkan matahari dan bulan; masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dia mengatur urusan (makhluk-Nya), dan menjelaskan tanda-tanda (kebesarannya), agar kamu yakin dengan pertemuan dengan Tuhanmu.”

(Ar-Ra’d :2)

Tiap waktu dan ketika supernova berlaku di galaksi-galaksi yang tidak pernah kita tahu. Campuran-campuran bahan kimia ahli farmasi terus menerus menghasilkan ubat-ubatan. Tulang sum-sum setia menghasilkan leukosit. Tiap saat, detik dan ketika semuanya berjalan menurut aturan Allah. Apakah yang mustahil bagi-Nya membiarkan manusia merasai kasih ibu sedangkan seisi dunia dan langit melalui tiap sedutan nafas merasai limpahan rahmat dari-Nya yang tidak terbatas?

Sahabat, selamilah duka dan rasa seorang ibu. Dialah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah buat kita. Jauhnya mereka tanda rahmat.Menguji keteguhan kasih kita buat insan tercinta. Jangan leka mengejar cinta lelaki yang tidak tahu mana penghujungnya. Cinta ibu tiada bertepi, kasih Tuhan itulah yang abadi.

Friday 30 November 2007

Mencari Bintang Timur

Assalamualaikum ya ikhwan dan akhawat.

“Kaifa halukum? Arju an takun fi dawam ‘afiah wassalamah”,antara kata-kata dalam bahasa al-Quran yang amat lekat dalam cepu fikir ini. Sahabat, pernahkah antum melihat langit malam? Mentafsir sehingga akhirnya tenggelam ke dalam lautan kecintaan kepada al-Khaliq? Sungguh beruntunglah mereka yang melihat sesuatu keindahan sehingga membawa kepada hakikat kejadian,

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih .kepada Allah”

( Al-Isra’ 17:44)

bahawa sesungguhnya Allah Rabbul ‘Alamin yang menciptakan segala kejadian. Untuk renungan bersama,

MENCARI BINTANG TIMUR

Lebih kurang tiga minggu yang lepas saya membawa isteri ke sebuah pusat perubatan swasta di Melaka. Dia mengadu kepalanya pening, rasa mual dan badannya lenguh-lenguh. Saya tanya dia,’mengandung kut?’ Dia kata tak ada. Oleh kerana dua tiga hari macam tu saja, saya bawa dia jumpa doktor dan ternyata isteri saya mengandung dua bulan.

Dia akan berasa loya dengan bau yang sebelum ini senang baginya termasuklah bau badan saya. Morning sickness yang teruk sekali bagi isteri saya. Kasihan sungguh, terbaring saja sepanjang masa. Makan tak boleh, minum tak nak, apa pun tak nak. Ada kalanya isteri saya semalaman tidak dapat tidur, kadang-kadang tu asyik nak tidur saja. Selesai solat isyak dah masuk bilik. Pada awalnya saya tidur kat luarlah sebab dia tak boleh bau badan saya.

Saya fahamlah orang mengandung memang macam tu, sekarang ni dah boleh tidur dengan saya dan saya sudah tahu macam mana nak elakkan insomnia (gangguan tidur) yang dialaminya. Memang kebiasaan sebelum mengandung pun saya akan membaca al-Quran di atas katil di sisi isteri sebelum tidur sehinggalah dia terlelap. Sekarang saya terus membaca al-Quran di sisinya sebagai ubat tidur bagi isteri dan anak dalam kandungannya.

Bukan itu sahaja, saya juga sentiasa bercakap-cakap dengan janin dalam perutnya. Perkara yang mula-mula saya ceritakan kepadanya ialah tentang tauhid. Saya bermula dengan kitab pertama yang saya pelajari dahulu iaitu kitab Kasyaful Mahjub. Saya bercerita kepadanya tentang Allah, zat,sifat, asma’, af’al. Dan cerita itu kembali bercerita tentang diri saya.

Ada yang bertanya bagaimana mahu menasihati anak agar tidak degil. Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya untuk anak tetapi untuk siapa sahaja terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kita. Tak kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1- Semasa anak atau isteri kita sedang tidur, inilah masa yang paling sesuai terutamanya di waktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya ialah yang paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah minda sedar.

2- Sentuhlah ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun-ubun orang yang ingin anda nasihati.

3- Semasa ibu jari anda di atas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W dan bacalah surah al-Fatihah. Kemudian terus dengan berzikir di dalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4- Angkat ibu jari anda, kalau boleh janganlah diputuskan zikir di dalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkannya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat, banyakkan berselawat, banyak bersabar. Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda.

5- Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insya-Allah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.

Pernah di zaman Imam Abu Hanifah ( Hanafi An-Nu’man), seseorang bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah, Tsabit. “ Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya.” Jawab bapa Imam Abu Hanifah “ Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan.” Apa yang ingin disampaikan oleh Tsabit ialah dia sendiri telah diasuh manakala isterinya juga sudah dididik dan Hanafi sendiri sudah dididik sejak dari kandungan lagi.

Logik akal, acuan yang bulat mana mungkin menghasilkan kuih segi empat. Begitu juga dengan anak dan isteri kita. Mereka adalah cermin kepada diri kita sendiri.Saya membacakan kisah ini kepada janin yang sedang membesar dalam perut isteri saya. Saya sentiasa berdoa agar dia terus membesar dan dilindungi Allah sebagaimana Allah memelihara Imam Abu Hanifah. Saya nasihatkan dia dengan nasihat yang disuarakan oleh Luqman Al Hakim kepada anaknya.

Saya bacakan kisah para Rasul, para Nabi, wali songo,tujuh wali Melayu kepadanya. Cuma isteri saya menasihati agar suara saya tidak terlalu kuat , bimbang didengar oleh jiran, apa pula kata mereka nanti. Isteri saya sudahpun nyenyak dibuai mimpi. Saya ke halaman rumah mahu merenung langit malam, satu-satunya hobi saya semenjak kecil di rumah anak-anak yatim piatu yang saya bawa hingga kini.

Saya bersandar di bangku marmar. Kalau isteri saya sihat pastinya dia menemani saya di sini, kami akan bercerita tentang segala-galanya. Saya terus merenung langit malam. Saya anak yatim piatu yang ditinggalkan di tengah padang rumput, sehingga sekarang tidak diketahui siapa ibu ayah saya. Kini saya akan menjadi ayah.

Saya bertekad di dalam hati, insya-Allah jika anak ini lahir, dia tidak akan saya biarkan membesar seperti saya. Dia tidak akan saya biarkan menagih kasih di rumah kebajikan. Dia tidak akan melalui zaman pahit seperti saya. Dia tidak perlu dibohongi yang teddy bear adalah mamanya seperti saya. Air mata ini mengalir lagi. Oh! Janganlah tumpah lagi. Pesan guruku air mata lelaki jangan ditumpahkan sia-sia.

Saya tidak mahu terus melayan perasaan. Segera saya kuncikan pintu dan ke kamar tidur. Isteri saya telah pun nyenyak dibuai mimpi. Inilah bintang timur dalam hidup saya. Ia sentiasa bersinar cemerlang dalam hidup saya, memberi harapan, keyakinan, kesetiaan dan cintanya kepada saya. Insya-Allah tidak lama lagi, akan muncul ‘bintang timur kecil’ dalam hidup saya.

Dipetik daripada akhbar Mingguan Malaysia, Ruangan ‘Luahan Rasa Bersama Putri’, Ahad 18 November 2007.

Maha suci Allah, sungguh, diri ini telah bertemu dengan kerlipan sinar bintang timur. Bukan bintang baru, bahkan benar-benar bintang timur yang terus mengerlip tanpa silu mengaku dirinya muslimah. Dialah mentor, idola dalam senyap. Menolak insan lain ke hadapan sedangkan dirinya di balik tabir. Bersama-sama meraih kekuatan tatkala 3 tahun di Maahad Muar. Membentuk sahsiah tika tekun membina jati diri dalam program International Baccalaureate di KMB. Peribadinya harum, seharum namanya. Hatinya tulus mencanang ketabahannya. Entilah bunga yang bakal berkembang untuk Islam. Bintu Othman, teruskan perjuangan enti di bumi Sheffield... Inni uhibbuki lillah (~_~)

Thursday 29 November 2007

Uhanniuki ya Ukht



In the name of Allah, the Most Gracious, Most Merciful

Alhamdulillah, with frequent knocks from Allah through my sohibats and writings, finally, a blog of me can be read. This is just my thoughts. It’s just me, seeking His love and forgiveness.

“ Kak Nurul, surat!”

Siapa tahu bunyi daripada enjin posmen Muar boleh membawa seribu satu perasaan yang sukar diungkapkan. Saya tersenyum lebar menerima risalah misteri itu. Biha mengusik, “ Eh, macam tahu je apa tu...”

Usikan dibiarkan tergantung, mungkinkah apa yang berlegar-legar di minda selama beberapa hari ini menjadi kenyataan?

Allahu akbar!

Mata tertancap pada kuntuman mawar kuning yang memikat jiwa. Akhirnya, penantian berakhir... hati ini berbunga ria. Alhamdulillah ya Ghaniy. (^_^)

“Uhanniuki ya ukht Amalia.” hati ini berdesir.

Akhirnya ukhti yang tidak mengenal erti lelah ini mengisytiharkan pernikahannya.

Moga masjid yang dibina di bawah lembayung Ilahi sehingga ke penghujung usia. Dikurniakan generasi solihin dan gagah menjulang keindahan Islam.

Allahumma solli solatan daimatan

Wa sallim salaman a’la rasulillah

Ya thoha Ya Habib Ya Rasul Ya NabiyAllah

Salamun ‘alaik, salamun ‘alaik

Terpatri janji antara dua hati~

simpulan cinta kasih bersemi nan berseri

Doa munajat, pohon restu Ilahi

semoga barakah majlis dirahmati

Hiasi diri dengan iman nan suci

hidup rukun dan damai saling memahami

Cinta sejati tulus mulus dan murni

tetapkan bersama hingga di syurga nanti

Allahumma solli solatan daimatan

Wa sallim salaman a’la rasulillah

Ya thoha Ya Habib Ya Rasul Ya NabiyAllah

Salamun ‘alaik, salamun ‘alaik

( Now see heart Selawat 10 Hajat)


Khas untuk ukhti yang mudah mengisi ruang hati ini. Kak Amal, moga redha Allah mengiringi

kita sentiasa. Salam rindu