Tuesday 21 July 2009

G'day Mate!

28 Rajab 1430, 21 Julai 2009, Selasa

1000-1100 : HB15 - FRS : Professional Practice - Prof Brian Kelly
1100- 1200 : HB15 - FRS : Professional Practice - Prof Brian Kelly

Saya mengesahkan kembali jadual hari ini. Cuma dua FRS (fixed resource session) yang bakal kami hadiri dan FRS akan diberikan oleh Professor yang sama. Senarai perkara yang perlu dibuat hari ini saya susun, namun masih kosong pada hemat saya. Usai FRS, saya bergegas ke musolla a.k.a muslimin prayer's room demi menunaikan kewajipan seorang hamba, dengan penuh mengharap agar ibadah itu diterima.

Alhamdulillah, cuaca hari ini amat baik, dengan mentari ceria memancarkan sinarnya.
Walaupun begitu, lumrah saya selaku manusia masih tidak mampu menahan sejuknya musim
dingin di Newcastle (tahap musim bunga di Irbid agaknya). Semalam langit juga begitu, seiring dengan cerianya forum 'Understanding Australian culture through a muslim perspective'.

GP (General purpose) building 2.18, 1300, 20 Julai 09, 27 Rajab 1430

Kami (Ain dan saya) bergegas ke bangunan GP atau bangunan serbaguna selesai kami berehat dan menunaikan fardhu Zuhur. Kak Yani memohon pertolongan beberapa daripada kami, adik-adiknya untuk membantu menjayakan forum yang tersebut di atas.

Forum ini melibatkan pelajar Muslim yang baru tiba,dengan tenaga penggerak International Committee (Brian dan Ruth Grisham), serta beberapa pelajar muslim yang mempunyai sedikit pengalaman ketika berada di Australia untuk berkongsi cerita demi mengurangkan resah mereka yang baru tiba.

Setibanya kami di tingkat dua bangunan GP, bilik 18 kami cari dan kami disapa mesra oleh Ruth serta ucapan salam daripada Farouq, seorang brother a.k.a akh tempatan (beliau telah berada di Australia sejak 11 tahun yang lalu).

Hari ini, rupa-rupanya kami akan bertindak selaku penalis untuk berkongsi sedikit pengalaman singkat kami berada di Australia. Manakan tidak, saya dan Ain menjejakkan kaki di bumi ini hampir satu tahun setengah, manakala Hani (pelajar tahun pertama) masih hijau, lebih kurang enam bulan berada di sini. Ya Allah, bantulah kami.

Kami difahamkan bahawa akan ada lebih kurang 25 pelajar yang bakal menyertai kami pada hari ini. Hati saya berbisik mengatakan bahawa kemungkinan para penalis yang ada pada hari ini akan lebih banyak daripada pelajar muslim yang hadir.

Sangkaan itu ternyata telah tersurat di luh mahfuz apabila bilangan penalis yang hadir ialah 8 orang dengan 6 daripada kami berasal dari Malaysia. Para pelajar yang hadir? 4 orang dan kesemua mereka muslimin. Kesemua mereka pelajar ijazah sarjana dengan rata-ratanya baru tiba pada minggu ini. Majlis itu dipengerusikan oleh Ruth dan turut dibantu oleh Brian.

Santai sungguh pertemuan kami pada hari itu. Di pihak muslimah, hanya penalis yang hadir : saya, Ain, Hani dan Jennifer, muslimah warga Australia berbangsa Filipina. Ruth menerangkan bahawa program pada hari ini ideanya diambil daripada penelitian mereka terhadap program minggu orientasi para pelajar perubatan.

Terkenang saya pengalaman lalu apabila kami, para pelajar tahun satu 2008 diperkenalkan dengan Nichelle dan Michelle selaku orang penting yang akan menjaga kami pada tahun tersebut.
Salah satu program daripada dua minggu orientasi yang kami lalui, kami diberikan taklimat tentang muslim di Australia serta dibekalkan dengan buku panduan ringkas buat muslimin di Newcastle.
Saya agak teruja pada mulanya kerana tidak menyangka kami muslimin dijaga dengan agak baik oleh pihak universiti. Keterujaan itu saya kongsi dengan bonda tercinta di Muar dan kebimbangannya tentang berita-berita tentang masalah perkauman serta islamofobia di Australia berkurangan. Itu kisah lain.

Alhamdulillah, pada hari itu, kami dipertemukan dalam suasana yang damai untuk bertukar-tukar pendapat, menyuarakan isi hati dan berkongsi pengalaman.
Farouq memulakan bicara para penalis apabila memperkenalkan diri sebagai muslim yang telah hidup di Australia selama 11 tahun. Ibunya juga merupakan antara manusia aktif yang menjadi jambatan antara komuniti pihak pentadbiran universiti dengan pelajar muslim di sini. Buktinya? terrbitlah buku panduan untuk pelajar muslim di Newcastle pada tahun 2007.

Kemudian, Hani yang berani memanjangkan bicara apabila mengakui pada permulaannya, membiasakan kehidupan di sini agak sukar. Dia mengakui mengalami masalah untuk memahami lectures serta merasakan bahawa kawan-kawan sepengajian (warga tempatan) seakan-akan enggan berkawan dengannya. Lantas Hani dengan segera mencari jalan penyelesaian.

Hani nekad bertemu dengan unit kaunseling tentang masalah akademik serta bertanya secara terus kepada kawan-kawannya tentang perhubungan mereka. Mengapa mereka tidak bertanyakan apa-apa kepada Hani akan kelainan yang ketara antara mereka?
Iaitu Hani bertudung. Tidak mahu bertanya mengapakah Hani berpakaian sedemikian rupa? Tidak pelikkah? Tidak mahu tahukah hakikat di sebalik pemakaian tersebut?

Syukur alhamdulillah tindakan bijak dan berani Hani telah berjaya mengeluarkan dirinya daripada kegelisahan sosial. Lectures semakin difahami dan dirinya semakin rapat dengan kawan-kawan sekuliah yang lain. Bukan mereka tidak mahu, tetapi mereka takut untuk menyinggung kita. Mereka tidak tahu cara apa yang paling sesuai untuk bertegur dengan kita dan paling senang mereka juga beranggapan para pelajar muslim Malaysia (kerana kami merupakan majoriti pelajar antarabangsa dalam fakulti kami) juga tidak mahu berkawan dengan mereka.

Cadangan Hani untuk bergaul dengan mereka :
1) Keluar bersama-sama untuk minum teh atau mengikuti aktiviti luar universiti seperti The Great Debate yang disertainya sebagai pemerhati.
2) Terus bertegur-sapa dengan mereka walau mereka tidak memulakan.
- Hani juga aktif di sini. Hani menjadi antara ajk charity week Medical Society di sini dan dia juga aktif menyertai program-program anjuran senior serta persatuan pelajar Malaysia.

Seterusnya Amin, Ain, Matley juga berkongsi pandangan yang sama.
Ain menerangkan bahawa kita perlu teguh dengan pendirian kita untuk tidak menyertai parti yang mempunyai alkohol, kerana kita akan menjadi terbiasa dengan persekitaran tersebut.
Saya bersetuju seratus-peratus dengan Ain. Itu fahaman kami kerana itu suruhan Allah di samping demi menjaga sensitiviti kami sebagai muslim, insya Allah. Paling utama kerana Allah melaknat 10 golongan manusia yang berkaitan dengan arak :
1) yang memerasnya
2) yang meminta diperaskan
3) yang meminumnya
4) yang membawanya
5) yang minta dihantarinya
6) yang menuangkannya
7) yang menjualkannya
8) yang makan harganya
9) yang membelinya
10) yang minta dibelikannya

(Riwayat Tabrani dan Ibnu Majah)

Sesungguhnya, untuk kita berada di dalam sebuah majlis yang dipenuhi arak juga dilarang, kerana seolah-olah kita seperti mereka. Naudzubillah.

Ain juga berkongsi bagaimana dia menyertai kelab Mounteneering (bab panjat-memanjat) untuk meluaskan hubungannya dengan masyarakat novocastrian. Ain dan Amin yang duduk on campus juga berpeluang untuk bergaul dengan mereka dengan lebih kerap di samping memperkukuh penggunaan bahasa Inggeris. Pada pandangan saya, untuk menjadi lebih mantap tentang sesuatu bahasa itu, bukanlah hanya mempelajarinya, namun mencampakkan diri kita di tengah-tengah masyarakat yang menggunakan bahasa tersebut dan berani menggunakannya.

Kemudian, saya juga berkongsi sedikit bahawa apa yang penting ialah mengumpul kekuatan untuk berkenalan dengan mereka. Tolak rasa segan dan takut untuk berkomunikasi dengan masyarakat di sini. Mereka punya pandangan masing-masing. Setiap manusia akan dilakari dan dibentuk oleh budaya masing-masing. Bukan sahaja budaya bangsa mahupun masyarakat, namun budaya yang dirangka oleh keluarga lebih kejap akarnya dalam jiwa kebanyakan manusia.
Setiap manusia akan ada prejudis mahupun bias terhadap sesuatu isu dan menjadi tanggungjawab kita untuk menghampiri mereka dan menjelaskan apa yang keliru lebih-lebih lagi sesuatu yang palsu.

Pada hemat saya, apabila kita menolak sesuatu, contohnya jemputan mereka ke parti-parti yang jelas araknya ada, jelaskan kepada mereka mengapa kita tidak boleh pergi. Nyatakan pendirian kita dan insya Allah manusia yang berpendidikan akan menghormati pendirian kita sebagai muslim. Seterusnya, berikan pilihan lain yang menunjukkan kita berminat untuk berkawan dengan mereka seperti menjemput mereka ke rumah untuk minum teh mahupun memanaskan badan dengan kopi di kafe.
Saya berkongsi pandangan dengan mereka bahawa jangan takut untuk menunjukkan siapa kita dan apa pegangan kita selaku muslim. Jika ingin melakukan solat, terangkan kepada mereka bahawa kita perlu bersolat (5 kali sehari; waktu itu saya bermusafir bersama-sama 14 warga Australia lain di bumi asing; rata-ratanya ramai yang terkejut) dan insya Allah mungkin kita akan dikejutkan bagaimana mereka boleh bertoleransi mahupun kagum dengan amanah kita selaku hamba Tuhan.

Kenyataan Ruth sememangnya saya persetujui. Dia mengucapkan terima kasih dengan kedatangan kami, muslim untuk membuka mata masyarakat di sini (warga universiti mahupun warga Newcastle- lebih tepat lagi warga daerah Hunter) kerana mereka ingin menjadikan Newcastle sebuah tempat yang berbilang budaya dan bersifat antarabangsa.

Ekonomi di Australia amat bergantung dengan kehadiran warga antarabangsa dalam industri pengeksportan mereka selepas arang dan bijih besi,laporan akhbarThe Australian , 22 Julai 2009 (hari saya menyiapkan pos ini). Bagi universiti pula, dana serta wang untuk mereka memperkembangkan aktiviti mereka di peringkat nasional mahupun antarabangsa sebilangan besarnya datang dengan pendaftaran para pelajar asing ke Australia. Lebih kurang $ (AUD) 3.5 bilion datangnya daripada kehadiran kami, pelajar asing, diikuti dengan perkara-perkara lain ($ 1.5 bilion) seterusnya dirapati oleh pelaburan dalam pelbagai bidang serta penyelidikan (kedua-duanya kurang daripada satu bilion dolar Australia - statistik tahun 2007, dipetik daripada akhbar yang sama-

Oleh itu, tidak hairanlah universiti kami amat mengambil berat kebajikan kami selaku pelajar asing, lebih-lebih lagi pelajar muslim kerana mengikut pengamatan saya, sebahagian besar pelajar antarabangsa (saya dan kawan-kawan menggelar diri kami internationals) terdiri daripada warga timur tengah, warga China (tidak dapat dipastikan kewarganegaraan sebenar : Tanah Besar China, Malaysia ataupun Taiwan) serta Korea. Apabila saya berkunjung ke AIC (Auchmuty Information Centre), seolah-olah saya berada di negara Korea kebanyakan masanya. Waktu malamnya, ataupun tengah hari seolah-olah saya di Jordan ataupun Arab Saudi. Mungkin waktu lainnya saya berada di China. Begitulah bukti kesungguhan pihak universiti menarik pelajar asing untuk melanjutkan pelajaran ke sini, lebih-lebih lagi pelajar peringkat sarjana.

Tidak dapat dinafikan juga ada ketikanya kami di'boo' mahupun dikejutkan dengan jeritan -jeritan yang tidak menyenangkan namun alhamdulillah, kami masih lagi bernafas di sini.
Warga Australia, sepertimana juga warga negara lain, amat terpengaruh dengan laporan media, maka tidak hairanlah ada yang berkelakuan kurang sopan. Namun demikian, insya Allah, di universiti, tiada lagi komen-komen yang menghina kami selaku muslim dapat didengari setakat pengetahuan saya.

Pertemuan kami dihangatkan lagi apabila kami dpecahkan kepada beberapa kumpulan kecil (saya namakan kumpulan A,B dan C) untuk membincangkan beberapa situasi di sosial yang kemungkinan besar akan kami hadapi.

1) Kami dijemput ke majlis yang mempunyai alkohol. Apa tindakan kita?
- Kumpulan A : Kami akan menolak dengan penuh sopan dan menjelaskan sebab penolakan tersebut. Seterusnya menjemput kawan kami minum kopi dalam suasana aman. Cara kita untukberkongsi pendirian dan budaya dengan warga tempatan. Mungkin juga jemput mereka ke rumah tatkala Eid untuk mereka melihat dan belajar budaya Islam dan masyarakat Malaysia (kumpulan ini semuanya rakyat Malaysia).
- Pendapat individu daripada kumpulan lain : datang awal untuk bertemu dengan tuan rumah, beri hadiah, dan minta izin terus pulang.

2) Berdepan dengan situasi bersalaman dengan berlainan jantina.
- Kumpulan B : Dalam orang ramai, salam tangannya untuk menjaga maruah si penghulur tangan.
Dalam keadaan tertutup, tidak menerima jabatan tangannya dan menjelaskan dengan sebaik mungkin mengapa. Lumrah manusia akan merasa malu dengan situasi itu, namun insya Allah mereka akan faham kalau mereka jenis bertolak-ansur.
- Individu lain lain : pakai sahaja sarung tangan sepanjang masa (lawak seorang akh dari Arab Saudi)

3) Kamu ingin berkawan dengan orang Australia yang kamu lihat dia seperti seorang yang baik. Apa yang perlu kamu lakukan?
- Perbincangan ramai : Seperti di atas.

4) Kamu dijemput ke majlis BBQ. Masalah halal haram.
- Kumpulan C : Saya tidak ingat jawapan mereka.
- Hasil perbincangan : Jelaskan tentang halal haram dan diet kita. Binatang, cara sembelihan, tempat panggangan, pisau, etc. Terangkan kita boleh makan diet vegetarian mahupun makanan laut.
- Akh Arab Saudi (saya lupa namanya) yang sama : Tawarkan diri untuk menjadi manusia pembekal dan penjaga panggangan. Bawalah daging lembu, ayam dan kambing halal. Tunjukkankepada mereka bahawa Islam itu mudah dan ringkas, cuma perlu ikut caranya. Mereka dapat belajar tentang kita dan cara hidup kita sebagai muslim. Daging di Georgetown Road kan banyak (Georgetown : tempat kami membeli daging halal yang berkualiti, di samping membeli di masjid pada hari Jumaat - brothers selalu buat).

- BBQ merupakan budaya masyarakat di sini, sebagai cara mengeratkan hubungan mahupun house warming (rumah terbuka a.k.a open house). Sopan jika kita bertanya apa yang perlu kita bawa. Mereka ada istilah BYO (bring your own : selalunya merujuk kepada bir atau alkohol. Ada juga yang tidak minum membawa minuman bergas). Ada juga istilah bring your plate : iaitu membawa sesuatu , jangan bawa pinggan kosong ya!

Alhamdulillah, petang itu, saya mendapat sesuatu lagi. Hari ini juga, tatkala saya menyiapkan post ini, saya masih lagi belajar sesuatu yang menguatkan keyakinan saya sebagai seorang muslim.

Meminjam kata-kata daripada sebuah blog : Kupandang ke barat, kunampak Islam, kupandang ke timur...
Wallahua'alam.

P/s : G'day mate - slang Australia yang membawa maksud lebih kurangnya : apa khabar.

Salam perantauan,
Perpustakaan Huxley, 22 Julai 2009, 29 Rajab 1430
15 : 27

Friday 17 July 2009

Marwa El-Sherbini


17 Julai 2009, Jumaat, 24 Rajab 1430


Pagi ini langit masih lagi kelam, mentari tetap malu-malu memancarkan sinarnya.
Saya pandang ke bumi, basah dengan tiraian hujan semalam.

Usai tugasan yang perlu dilakukan, saya menghadap nusaybah, laptop penuh kasih keluarga dari Malaysia. Ummi dan ayah memilih, iqa membawa nusaybah ke Australia, walau berat di bahu.

Senarai status pelbagai menghiasi yahoo messenger dan status Kak Alia menarik minat saya.
Astaghfirullah! Mengapa saya tidak tahu? Sudah 16 hari berlalu, namun saya masih kelam tentang berita pilu ini.

Marwa El-Sherbini
, berita seorang mujahidah di Jerman menyentakkan minda. Ukhti ini berwarganegara Mesir mengikuti suaminya, seorang penyelidik di Max Planck Institute di Jerman.
Di sebalik raut wajah yang lembut dan sopan, beliau dengan penuh keberanian menyatakan pendirian seorang muslimah sejati apabila beliau memfailkan saman terhadap Alex W., yang menghina beliau dengan gelaran pengganas, tanpa sebarang bukti.
Mengapa pemikiran dangkal lelaki berusia 28 tahun itu sewenang-wenangnya melakukan pertuduhan sebegitu rupa terhadap seorang wanita muslim, lepasan jurusan farmasi?
Semuanya hanya kerana Marwa berhijab.

Marwa yang menang pertuduhan (sebagai salah satu cara mempertahankan maruah seorang muslimah yang diinjak dengan pertuduhan palsu) tersebut telah ditikam sebanyak 18 kali rentetan hati Alex yang penuh amarah berikutan denda sebanyak 750 euro yang terpaksa dibayarnya.

Elwi Ali Okaz yang terkejut dengan tindakan kejam terhadap cubaan membunuh isterinya telah bertindak mempertahankan keselamatan nyawa insan yang tersayang, namun cedera parah ditikam sebanyak 3 kali oleh pembunuh yang sama. Malahan pula, Elwi telah ditembak oleh polis mahkamah dengan alasan tersalah mengecam dalam pergelutan yang berlaku.

Pergilah seorang ibu yang sedang mengandung tiga bulan dengan meninggalkan Mustafa, 3 tahun sebagai saksi kejadian.

Dunia barat seolah-olah senyap dengan pembunuh kejam ini. Sepanjang pengetahuan saya, tiada satu tajuk akhbar di Australia yang mengecam mahupun melaporkan kejadian tragis 1 Julai 2009 tersebut. Tatkala itu saya masih di Gold Coast bersama-sama Suzie dan adinda tercinta.
Di manakah para pemberita mahupun penggerak hak asasi manusia lain? Mengapa semua akhbar membisu?

Para muslim di Mesir, Iran (setakat yang saya tahu) masing-masing melakukan protes jalanan demi membuka mata saudara muslim lain akan kejadian pembunuhan tersebut. Saya tertanya-tanya adakah akhbar perdana di Malaysia yang melaporkan kejadian tersebut? Dan jawapannya saya dapati di sini.

Pembelaan terhadap pembunuhan kejam Marwa tidak saya ketahui setakat ini. BBC hanya melaporkan bermula 6 Julai, lima hari setelah kejadian berlalu.

Terdapat beberapa perkara yang berlegar-legar di kotak pemikiran saya tika ini.
Bagaimana seorang tertuduh boleh membawa senjata yang berbahaya ke mahkamah?
Bagaimanakah pengawalan keselamatan di kota mahkamah Dresden,Jerman? Mustahil terlalu longgar apabila Alex boleh terlepas daripada pengawalan pegawai polis dan menerkam ke arah Marwa yang sedang mengandung 3/4 bulan.
Apakah para pegawai polis mahupun keselamatan mahkamah kota Dresden tidak cekap dan pantas mengawal keadaan apabila Marwa yang tidak berdaya ditikam 18 kali oleh Alex? Secara logik akalnya, 18 kali tikaman tidak sepatutnya boleh berlaku di dalam sebuah mahkamah yang dihadiri serta disaksikan oleh hakim, para juri dan pegawai polis.
Si suami yang ingin menyelamatkan si isteri yang ditikam telah ditikam sebanyak 3 kali oleh pembunuh yang sama dan ditembak oleh polis! Astaghfirullah...kegilaan apakah ini?

Apakah ini? 21 tikaman di sebuah mahkamah di dalam sebuah bilik pembicaraan yang sama sememangnya mencemari institut kehakiman negara Jerman. Apakah respons pemimpin mereka? Angela Merkel, Chancellor Jerman dan merupakan pengerusi G8 tidak bersuara mempertahankan hak seorang wanita yang dihina.
Mengapa kelihatan senyap membisu? Terkuncikah pintu dengan pertemuan para pemimpin G8 di Itali sedangkan Presiden Hosni Mubarak, merupakan antara peserta di sana.

Apakah pendirian Presiden Hosni Mubarak dengan pembunuh kejam seorang wanita muslim yang merupakan rakyat negaranya?
Mengapa tidak lantang bersuara sepertimana manusia di Iran?
Apa khabar negara-negara majoriti penduduk Islam lain?
Penindasan terhadap kami, muslim berada di mana-mana.
Kami dibunuh di dalam masjid tatkala ingin beribadah. Kami ditindas di bumi sendiri.

Ya Allah, ampunilah kami atas ketidakpedulian kami. Ampunilah saudara kami Marwa, dan saudara-saudara kami di Palestin, di Afghanistan, di Iraq, di China, di India, dan di mana sahaja serta tempatkan mereka di kalangan mereka yang syahid dan Engkau redhai.

Buat kita yang peduli, serta untuk Marwa :

Waratah West-