Wednesday 26 December 2007

Rindu Eid


Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar

Laa Ilaahaillahu Allahu Akbar

Allahu Akbar Walillahil Hamd...

Berterusan takbir dibaca

Entah mengapa hati ini seakan sepi,

enggan berbicara.

Kadang-kadang di Irbid,

terkadang di UK,

seketika kemudian di samping keluarga tercinta,

kemudian melayang ke Newcastle.

Allahu Akbar, mudah benar fikiran ini

melayang ke benua yang berjauhan.

Namun, hari ini berbeza,

hari pengorbanan.

Surau Parit Haji Baki dilangkahi.

“Allahu Maftah Abwabi Rahmatik”

“Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu rahmat-Mu”

Amin~.

Suara takbir berkumandang tepat jam 8 pagi waktu Malaysia.

Laungan memuji kebesaran Allah bergema,

silih berganti pemandunya di corong pembesar,

menjengah lubuk nurani yang kekontangan erti cinta hakiki.

“Allah Maha Besar sebesar-besarnya,

dan pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya,

dan Maha Suci Allah siang dan malam.

Tidak ada Tuhan, melainkan Allah,

dan tiada kami sembah,melainkan Dia.

Dengan tulus ikhlas beragama untuk-Nya semata-mata

walaupun orang-orang kafir membenci.

Tidak ada Tuhan melainkan Allah sendiri.

Benar janji-Nya,

menolong hamba-Nya,

memuliakan tentera-Nya,

dan ditewaskan-Nya parti persendirian.

Tiada Tuhan, melainkan Allah dan Allah Maha Besar.

Allah Maha Besar dan bagi Allah puji-pujian.”

Suara sayup sayu dan menggetarkan kalbu menusuk

di gegendang.

Hati tertanya-tanya, minda terjaga.

Tiba-tiba hati menjadi pilu.

Suara ayah...

Mendayu... menggoncang naluri rasa.

Suara merdu ayah melekat di telinga.

Wahai Tuhan, berapa lama lagi akan dapat diri ini bersama ayah?

Mendengar suaranya,laungan iqamatnya,senda guraunya.

Esakan kecil yang tidak kedengaran ditangkap deria dengar.

Ummi~

ummi sedang mengalirkan air mata.

Menahan sebak di dada.

Memang sayu laungan takbir ayah.

Menjadi halwa jiwa yang berlagu sendu.

Sungguh pagi 10 Zulhijjah 1428 menjadi saksi sebuah

getaran kecil yang berjaya meriakkan

keindahan sebuah lamunan.

Alhamdulillah,

moga pemergianku

bakal ditemani amanat ummi dan ayah serta kenangan di

Surau Parit Haji Baki.

Tuesday 18 December 2007

13 & 22

Kebijaksanaan dalam Ketenangan,

wahai Cahaya Penyayang,

seindah namamu wahai adinda-adindaku,

kuharap dirimu terus tumbuh mekar mewangi

demi keindahan yang selama-lamanya.

Kudoakan kau menjadi Hafizah sejati,

pemelihara kalam Tuhan,

agama, bangsa dan watan.

Kupohon pada-Nya,

kau meneruskan ayuhan langkahmu,

menjulang pingat muraqabah

yang ditempa likuan mujahadah.

Senyumlah wahai adinda,

harungilah terjahan badai menggila

dengan tombak yaqin dan itqan.

kerana adinda,

dikaulah nusaybah alam siber,

tidak gentar syahid dek manisnya iman.

Salam dari Persiaran Bahagia,

daripada kakanda khusus tarikh istimewa 13 & 22 Disember.

E 211

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...

Di sudut bangunan sebuah bangunan yang masih gagah berdiri,

kedengaran derapan langkah sepasang kaki.

Ayunan langkahannya tidak ragu-ragu. Terus mara menuju

ke destinasi. Bilik E 211 di hadapan mata.

Ketukan kedengaran.

Pintu dibuka. “Em, hai Nat, macam biasa la hari ni. Setin lagi.”

“Eh, takpe ke? Semalam kan dah?”

“Takpe-takpe. Aku amek vitamin C”

Natrium atau nama penuhnya Natrium Benzoat E211 hanya mampu menggeleng.

Manusia,manusia. Bukannya bebal, hanya mengikut rengekan nafsu.

“Man, kau tak tahu ke, aku jika bekerjasama dengan vitamin C boleh hasilkan BENZENA. Kau tau tak benzena tu apa?”

“Benzena? Eh, tu aku tau lah. Aku ambil International Baccalaureate a.k.a IB tau! Tukan ahli keluarga alkene...”

Jawapan Man pantas dipintas Nat

“Ye, ye! Budak tingkatan lima pun tahu nak jawab. Benzena tu bahan yang boleh menghasilkan kanser.”

“K-kanser? B-betul ke? Takkanlah! Kalau betul,kenapa digunakan secara berleluasa. Kau tersilap kot.”

“Apabila manusia gagal menilai keindahan sebenar, apa-apa sahaja yang tidak boleh dilakukan dimungkinkan perlaksanaannya oleh manusia yang hanya Tuhan sahaja yang tahu.” Nat bersuara tenang.

“Tapi, tapi...”

“Man, kau boleh memilih antara hak dan batil. Kau Allah kurniakan akal, antara ciptaan agung yang hingga kini gagal diurai komponennya oleh manusia secara menyeluruh.”

Antun ( kamu untuk perempuan) pening ke baca petikan di atas?

Jangan risau sebab petikan di atas memang ana yang buat sendiri. Jangan berhenti membaca halaman ini hanya kerana kata ganti nama yang ANA gunakan. Jangan biarkan prejudis mengaburi maklumat penting yang bakal kita kongsi bersama-sama sebentar lagi insya-Allah. Itu hanya suatu kata ganti nama. Tiada erti lain. Biarkan Tuhan untuk menilai. Jazakillah.

Teruskan kepada topik E211. Jika minda ini tidak silap untuk mengingat fakta, Natrium Benzoat pernah menelusuri cepu fikir suatu masa dahulu. Mungkin kerana amalan ‘Takpa’, ana biarkan sahaja maklumat penting ini berlalu. CAP atau Persatuan Pengguna Pulau Pinang, mendedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Prof. Peter Piper, profesor bidang molekul biologi dan bioteknologi,dari Universiti Sheffield, Britain ( salam buat sahabat tersayang Norshazwani Othman dan ‘Atikah Abdul Latiff) Natrium Benzoat E211 berupaya merosakkan mitochondria.

Bila cik Mit rosak, apa yang bakal berlaku?

Hmm, bekalan oksigen ke seluruh badan lumpuh sekali gus memotong bekalan tenaga ke seluruh badan.

Akhirnya? Kegagalan fungsi tubuh secara serius akan berlaku.

Untuk peringatan ana dan antun semua, untuk mengelakkan gangguan DNA berlaku kepada diri kita, jauhilah Natrium Benzoat.

Untuk makluman antun, gangguan DNA dalam kes ini secara tidak langsung akan mendorong kepada punca penyakit parkinson,penyakit otak dan mempercepatkan penuaan.

Pelbagai persoalan mungkin timbul dalam diri sahabat sekalian, bilakah kita bersua dengan Natrium Benzoat E211 sehingga mampu membawa padah kepada amanah Allah ini (diri kita)?

Jikalau antara sohibah yang suka minum minuman ringan termasuk yang berkarbonat dan pati minuman berperisa, antun berisiko menghidapi penyakit sirosis hati dan penyakit-penyakit yang telah ana catatkan di atas.

Ini semua kemungkinan akan berlaku rentetan Natrium Benzoat digunakan sebagai BAHAN PENGAWET dalam industri minuman berkarbonat untuk mengelakkan minuman ringan daripada BERKULAT.

Bukanlah niat ana untuk menakutkan-nakutkan antun semua ( ada sedikit ), tetapi inilah hakikat. Didiklah diri dan insan-insan yang antun sayangi untuk mencintai kesihatan diri. Pesanan minggu ini ana tujukan khas untuk adinda yang dahulunya sering meneguk minuman ringan atas alasan murah ( di Irbid). Maklumat ini dipetik daripada Berita Harian.

Thursday 13 December 2007

Li Abii


Bismillah...

Esok saatnya. Hati ini cukup teruja. Beberapa perancangan sudah diatur. Bermula pagi, siapnya insya- Allah tengah hari, minda ini berkira-kira. Peperiksaan SPM sudah surai buat menyurutkan debaran Farhan, Ayong, Puza,Anis, Aimi dan adinda-adinda Maahad yang lain.

Hari ini istimewa, terlalu istimewa. Kali akhir sebelum kaki ini menjejakkan kaki di benua yang lain.

Percaturan turut bermula. Bismillah....1 cawan minyak masak dituang, diikuti 1 cawan susu cair. Apa lagi? Oh, 1 cawan air panas sebelum 3 biji telur dicampur sekali gus. Campuran diputar... Fikiran turut melayang sementara adunan diputar laju.

“Ayah, nak makan yang terakhir tu boleh?” rengek si anak, sedangkan sudah hampir 3 keping apam bailk memenuhi perut. Anak ini sememangnya menyukai makanan. Perlu ditarbiyah nanti. Sampai kini kelihatan kurang berjaya (~,~).

“Ok, ambillah. Makan elok-elok. Ha, ni dah baca bismillah ke belum?” tanya si ayah.

“Terima kasih yah!”

Walau gembira, namun minda si anak tidak dapat mengelak perasaan hairan yang menerjah.

‘Eh, dah baca rasanya...Hm? Tapikan ayah belum makan lagi, kenapa kasik kat Nurul?’ mindanya berbicara. “Dah baca~ Em,takpelah ayah. Ayah belum makan lagikan? Nurul dah makan tiga dah, hehehe...”

“Takpe, makanlah. Ayah dah hidup lama dari Nurul. Dah makan banyak sangat apam balik.” ada unsur lelucon di situ, hanya cuma si anak tidak memahami ditambah bau apam balik yang harum mengelabui fikiran.

Si anak Cuma tersengih. Walau kehairanan masih membaluti minda, namun apam balik yang enak terus menghalau kekeliruan.

‘Em,sedapnya...’

Hati ini tiba-tiba diserapi keharuan. Betapa ayah sanggup berkorban walau sekecil perkara.

Mixer ditutup. 2 cawan gula pasir dituang moga mampu memaniskan adunan dengan izin Tuhan. Adunan diputar kembali. 1 cawan serbuk coklat Vochelle hitam harum ditapis, dituang ke dalam adunan.

“Nak naikkan adunan, jangan lupa letak baking powder dan natrium bikarbonat. Ha, jangan tak tahu pulak yang dua-dua benda tu berbeza. Jangan main bantai aje! “ Pesanan Chef Bob di Kolej Komuniti Ledang tatkala kursus kilat sehari mengukir senyum di minda.

1 ½ sudu teh baking powder , 1 sudu teh natrium bikarbonat dan 2 cawan tepung gandum ditapis bersama. Sedikit demi sedikit dicurah ke dalam adunan. Adunan semakin memekat. Mixer semakin diputar laju.

Kebisingan pesawat kecil mixer mengetuk ruang memori.

“Em, nanti, duit menyelia PMR dan SPM dengan menanda kertas ni insya-Allah boleh belanja untuk Nurul nak bersiap-siap. Boleh bagi Iqa sikit kat Jordan....”

Ya Allah, benarlah berterusan pengorbanan Ayah, tiap detik memikir keadaan anak-anak tersayang. Jarang sekali kudengar keinginanmu wahai ayahanda. Kedegilan di ambang kedewasaan yang bersarang semakin melarut kesan kasih dan pengorbanan insan mulia.

Mata kukesip-kesip, bimbang butiran air di tubir mata menyuntik kehairanan di hati adinda-adinda yang lain. Syukur, dua loyang dapat diisi. Satu jam dikukus. Satu bersalut coklat manakala satu khas untuk ayahanda. Belum sempat gambar ditangkap, kek untuk ayahanda sudah habis mengisi perut bukan sahaja ayah tetapi adinda dan ibunda.

Santapan tengah hari ini sungguh istimewa. Mi Hongkong hasil tangan ummi yang sememangnya memenuhi selera kegemaran. Ah, apakah yang lebih menyenangkan daripada bergembira di samping insan yang tercinta?

Ya Salam, sungguh nikmat-Mu tak terhitung buatku.

Sungguh tidak mampu kunafi rasa bahagia yang bersarang di hati. Hati ini berbunga indah, menyegarkan jiwa dengan haruman meransang iman. Allahu Akbar! Jika nikmat ini sebegitu indah, bagaimanakah ahli usrah di syurga-Mu nanti?

Daripada Abu Hurairah :

“Rasulullah pernah berkata,’Kumpulan pertama yang masuk syurga

bersinar seperti bulan purnama. Kumpulan selepas mereka bersinar seperti bintang yang paling terang cahayanya di langit...

Peluh mereka seharum kasturi... Isteri-isteri mereka ialah bidadari

yang cantik...”

-Hadis riwayat Bukhari dan Muslim-

Dalam hadia yang lain :

“Bekas makanan mereka di dalam syurga diperbuat daripada emas.

Peluh mereka seharum kesturi. Setiap orang mempunyai dua isteri, yang tulang sumsum betis mereka berdua dapat dilihat dari sebalik daging kerana sangat cantik. Tidak ada perselisihan yang berlaku dalam kalangan mereka semua dan tidak ada perasaan benci- membenci. Jiwa mereka semua bagaikan jiwa seorang sahaja.

Mereka sentiasa bertasbih menyucikan Allah pagi dan petang.”

-Hadis Riwayat Bikhari dan Muslim-

Masya Allah, lautan nikmatmu yang tidak kehabisan terus menenggelami kami sehingga...SELAMA-LAMANYA~

Ya Muhaimin, moga aku mampu memberikan selain daripada ini, sebuah kek yang tidak mampu kekal lama, buat ayahanda.

~Coretan tinta lewat 7 Disember 2007, untuk ayahanda~

Monday 3 December 2007

Asy-Syams


Pernah antum bertemu sinar mentari yang tidak pernah padam biarpun hujan guruh tidak henti-henti? Alhamdulillah, benar-benar diri ini beruntung , tidak pernah mentari yang menyinari hidup ini berhenti memanaskan kesejukan kalbu. Namun,diri ini kadang kala menjadi hamba yang tidak tahu bersyukur. Walau mentari hangat menyinar jasad dan jiwa, namun kemilau duniawi yang dihiasi indah oleh nafsu menjadikan hati terkadang beku di celah waktu.

Maha Agung Tuhan, mentari terus bersinar, melahirkan jaluran pelangi ceria. Tidak jemu-jemu menarik diri mengenal Yang Maha Pengasih. Mungkin minda masih dibelenggu karat jahiliyah,kesabaran di dada sering tercabar. Tercabar dengan tingkah adik remaja yang menyentap naluri seorang kakak. Hasilnya,buah perkelahian terhasil. Bertepuk tangan sang iblis tanda euforia yang tidak terhingga. Ummi tenang memujuk,menyemai nilai kasih dalam jiwa hingga cair keegoan yang membeku.

“Anak ummi yang hensem nih, ummi tau dia rajin. Ala, tak

kisahlah Kak Nurul cakap apa pun, yang penting Ummi tau

Faiz memang anak umi yang rajin.”

Pujian seorang ummi umpama salji dingin memadam bara api kemarahan seorang anak muda. Bijak pertuturan seorang ibu, akhlak mulia Rasul S.A.W langsung diterapkan

“Tapi Faiz, walau macam mana sakit pun hati Faiz,

Kak Nurul tetap perlu dihormati.Ummi tau anak ummi

ni memang hormat orang tua dan mendengar kata. Betul tak?”

Aku terdiam. Sungguh-sungguh terpana. Pemilik sarjana psikologi pendidikan ini benar-benar seorang ibu yang menakjubkan. Setiap luahan hati dan pujukan kasihnya kepada seorang remaja tidak pernah gagal melentur kekerasan hati. Masih berbekas kisah lalu, bila sahaja ummi berbicara, hati ini akan terus sayu. Kelopak mata ini tidak pernah kering tika mendengar butiran hikmah daripada ibu Benarlah, hanya ibu yang teguh mengenali anaknya.Berkat doa dan keikhlasan jiwa seorang insan bergelar ummi, Pemilik segala hati melembutkan sekeping hati yang diulit geram.


Itulah Ummi yang amat diri ini cintai. Walau kadang jahil melahirkan rasa syukur dan kasih buat insan istimewa ini, jarang sekali kudengar keluhan daripadanya. Maha Pemurah Tuhan mengurniakan seorang ibu buat setiap makhluk bernama manusia. Biar dia seorang muslim,beriman atau tidak beriman, hatta kuffar sekalipun, majoriti manusia pernah mengecap nikmat kasih,cinta dan perhatian seorang ibu. Alhamdulillah.

Ajaib bukan insan bernama ibu? Bagaimana seorang insan biasa menjadi begitu berkuasa? Tiada apa yang menghairankan kerana tiada yang mustahil bagi-Nya.


“ Allah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) yang kamu lihat, kemudian Dia bersemayam di atas ‘Arasy. Dia menundukkan matahari dan bulan; masing-masing beredar menurut waktu yang telah ditentukan. Dia mengatur urusan (makhluk-Nya), dan menjelaskan tanda-tanda (kebesarannya), agar kamu yakin dengan pertemuan dengan Tuhanmu.”

(Ar-Ra’d :2)

Tiap waktu dan ketika supernova berlaku di galaksi-galaksi yang tidak pernah kita tahu. Campuran-campuran bahan kimia ahli farmasi terus menerus menghasilkan ubat-ubatan. Tulang sum-sum setia menghasilkan leukosit. Tiap saat, detik dan ketika semuanya berjalan menurut aturan Allah. Apakah yang mustahil bagi-Nya membiarkan manusia merasai kasih ibu sedangkan seisi dunia dan langit melalui tiap sedutan nafas merasai limpahan rahmat dari-Nya yang tidak terbatas?

Sahabat, selamilah duka dan rasa seorang ibu. Dialah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah buat kita. Jauhnya mereka tanda rahmat.Menguji keteguhan kasih kita buat insan tercinta. Jangan leka mengejar cinta lelaki yang tidak tahu mana penghujungnya. Cinta ibu tiada bertepi, kasih Tuhan itulah yang abadi.