Wednesday 25 March 2009

Salah pos

Bismillahirrahmanirrahim~

Alhamdulillah saya telah menghantar pengalaman saya di Jepun untuk hari kedua.
Post tersebut boleh dilihat pada tarikh 6 march 2009, bertajuk English Speaking Contest.
Di bawah post bertajuk :
Kelas pembukaan dan Purnama itu.

Hontouni gomenasai. Jazakumullah khairan kathira.

-minalQalb-

Tuesday 10 March 2009

Kelas pembukaan

10 Mac 2009, Selasa
13 Rabiul Awwal 1430

Bismillahirrahmanirrahim...

"So, what is the causes of Pulmonary Oedema?"
" How we are going to assess whether this patient need to be managed using medications or surgical. Or which one comes first?"
"If there is an ST elevation on the ECG, what this indicates? Infarct or ischaemic heart?"
"Okay, if a patient comes to you saying, "Doctor, a got a palpitation and it won't stop." and he got no atrial fibrillation, what would it be or what should we do?"

Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Dr Jane buat kami ahli kumpulan A. Saya kaget. Inilah situasi sebenar yang bakal saya lalui dalam tempoh masa insya Allah tidak sampai 5 tahun.
Manusia meletakkan kami dalam situasi yang sempit sekiranya kami selaku manusia yang bergelar doktor tidak mampu menyelesaikan masalah kesihatan yang mereka alami. Kadang kala saya terfikir, mengapakah saya memilih untuk menceburi bidang yang melibatkan nyawa manusia? Bukankah lebih mudah hidup saya sekiranya saya memilih cita-cita kedua saya? Insya Allah tidak akan melibatkan nyawa manusia dalam melaksanakan tugas sehari-hari. Saya juga tidak perlu begitu runsing, juga tidak akan merunsingkan ummi dan ayah di rumah akibat polisi universiti saya.

"Begitukah Nurul?" Hati saya berbisik perlahan.
Saya terdiam. Saya fikir, begitulah mungkin yang bakal berlaku.

Saya melihat drama-drama pelbagai bangsa. Harapan mereka terhadap doktor begitu besar, baik masyarakat Malaysia, Jepun,Korea, Cina, Australia dan India. Sehinggakan ada manusia yang mengganggap perubatan itulah tuhan, astaghfirullah...

Mungkin ada yang pelik, apakah bukti pernyataan saya di atas?
Secara jujurnya, saya bukanlah pernah menemuramah doktor pelbagai bangsa mahupun manusia daripada latar belakang yang berlainan dengan saya, namun saya antara manusia yang kadang kala gemar menonton drama,bergantung kepada keadaan dan plot drama.

Guru Bahasa Melayu saya, Puan Salleha Salleh telah menegaskan kepada saya rentetan satu pertanyaan saya kepadanya, bahawa drama itulah antara lapis yang menonjolkan pemikiran masyarakat. Drama itu sedikit sebanyak ialah cerminan masyarakat.
Di Malaysia, pelajar perubatan hingusan seperti saya diberi amanah mentafsirkan surat referral daripada seorang doktor kepada seorang doktor pakar, contohnya.
Drama Code Blue dan Team Medical Dragon (Jepun), New Heart (Korea), Grey's Anatomy serta House (USA) menjadi antara imejan harapan masyarakat terhadap doktor tanpa kesalahan. Bahawa doktor semuanya berbakat dan hanya mereka yang luar biasa sahaja akan kelihatan hebat dan cemerlang.

Sungguhpun begitu, semalam Allah menggerakkan hati saya untuk membaca buku karangan Atul Gawande, 'Complications' yang telah diterjermah ke dalam beberapa bahasa : German, Itali, Taiwan, Portugal, Brazil dan seterusnya...



Segala puji hanya bagi Allah, Yang Maha Mengetahui. Dr. Gawande menegaskan dalam bukunya bahawa sains itu bukan sesuatu yang pasti. Bahawa doktor itu perlukan latihan untuk menjadi lebih baik walaupun tidak dapat dinafikan ada manusia yang berbakat. Bahawa doktor itu manusia biasa, punya keluarga, kemahuan, cita-cita dan perasaan. Bahawa manusia itu belajar daripada kesilapan.

Saya diam dan fikir. Apa yang nyata dan pasti, doktor itu makhluk Tuhan.
Doktor itu pergantungannya pada Tuhan, bukan sains mahupun teknologi. Itulah pegangan yang sepatutnya dipeluk kemas oleh para doktor sekalian, juga lebih-lebih lagi bakal doktor yang baru belajar membelek buku perubatan.

Saya kini yakin dengan ketentuan-Nya, bahawa saya harus lebih berusaha. Yang Maha Mendengar sentiasa ada. Bukankah doa itu teknologinya tinggi? Saya ke sini atas doa ummi dan ayah serta ahli keluarga juga guru-guru. Kami semua di sini berdiri hasil wang rakyat Malaysia. Saya perlu terus kuat, kami perlu saling memperkuat.
Pedulikan pandangan masyarakat, tetapi membangunlah dengan impian mereka.

Malaysia bukan sahaja memerlukan doktor berkaliber dan berkemahiran, namun para usahawan yang prihatin, para arkitek yang mantap, barisan para guru yang berdedikasi, ahli-ahli DBKL yang tekun berusaha, para pemandu bas yang berhati-hati dan keperluan ini mencakupi semua bidang kehidupan.

Saya mahu lebih berusaha. Menjadi manusia lebih berguna, mencari makna cinta dan menghayati kehendak hati, mahu memiliki jiwa hamba.

Auchmuty Library, usai opening tutorial, working problem 4.
17:25 pm

Sunday 8 March 2009

Purnama itu



8 Mac 2009, Ahad
11 Rabiul Awwal 1430

Bismillahirrahmanirrahim.

Silveridge community centre,
7 Mac 2009, 5:30 pm

Hari ini kami dilimpahkan dengan sinaran mentari yang akan menghangatkan suasana yang bakal kami rasai. Kami antara jemputan yang terawal sampai di Silveridge ini, atas jasa Kak Mel.
Saya, Nisya, Fifi dan Diba setia menanti di luar dewan. Secara jujurnya saya teruja, kerana seluruh kerabat Melayu muslim di Newcastle insya Allah akan kembali berkumpul bersama-sama di bawah satu bumbung demi meraikan mereka yang kami sayangi. Sebuah demi sebuah kereta yang dipenuhi penumpang-penumpang yang berpakaian baju kurung tiba di pintu masuk. Banyak mata-mata yang kelihatan bersinar keriangan.

7:15 pm

Alhamdulillah, ketibaan kedua-dua mempelai, saudara Harith Roslizar dan saudari Nurul Wardiah Abdul Shukor disambut dengan alunan kompang dan solawat buat Rasulullah S.A.W. Ya, inilah pasangan raja sehari yang pertama University of Newcastle. Saya teruja, kami semua gembira. Sebenarnya, ini lebih kepada majlis resepsi untuk warga Newcastle berikutan tidak semua novocastrian yang dapat menghadiri majlis resepsi mereka yang berlangsung pada bulan Januari lepas di Dewan Merak Kayangan, Kuala Lumpur. Di samping itu juga, Aqish, anak kepada pasangan Abang Mizan dan Kak Nor turut diraikan bersempena dengan hari lahirnya yang ke-6.

Doa yang dibaca menyentuh hati ini. Ucapan Bro Harith buat semua warga newcastle serta ucapan Kak Waridah yang dibacakan zaujnya buat sisters memberi kehangatan dalam diri kami semua. Namun, tatkala tayangan daripada sisters (dibuat oleh sisters 47 Kimian) buat Kak Wardiah dipancarkan ke dinding, di penghujung slide "and Now, our 'rose' is taken" benar-benar menyentuh hati kami semua. Kak Wardiah telah genap 40 hari (dikira oleh suaminya sendiri) melayari bahtera rumah tangga bersama-sama suami tercinta dan telah sah menjadi milik zaujnya. Kami mungkin tidak akan selalu bertemu, namun cinta dan kasih sayang kami buat Kak Wardiah tidak akan pernah layu mahupun gugur insya Allah, bahkan kami akan sentiasa mendoakan kebahagiaan Kak Wardiah dan zaujnya, serta kesejahteraan pasangan pengantin lama : keluarga Kak Nor, Kak Salmi, Kak Alma, Kak Nono, Kak Lina, Kak Sha dan Kak Atul yang menjadi VIP pada malam itu.

Saya tujukan lagu solawat pengantin baru daripada Nowseeheart buat kedua-dua mempelai.


*****************************************

Hati saya gusar. Esok hari lahirnya, apa yang perlu saya lakukan buat membuktikan cinta saya buatnya? Hari ini saya masih juga bertungkus-lumus membuat learning targets working problem 3. Insya Allah, saya masih punya masa.

Surah Ali Imran 3 : 31 -
" Katakanlah (Muhammad), " Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Allah yang Maha Agung berkali-kali menyuruh hamba-hamba-Nya mengikuti Muhammad S.A.W. Itulah nabi ulung, nabi terakhir, penutup segala nabi. Manusia bernama Muhammad bin Abdullah itulah manusia terpilih untuk memikul tugas yang amat berat... menyampaikan kebenaran. Bahawa Allah itu satu-satunya Tuhan yang layak disembah dan tiada apa pun yang mampu menyamai-Nya. Kata-kata itulah yang membawa baginda S.A.W diheret ke dalam pelbagai kepayahan dan kesengsaraan yang akhirnya mengangkat baginda ke taraf yang sangat tinggi di sisi-Nya. Masya Allah, limpahan kurnia Allah buat hambanya yang hina.

Kenalkah kita dengan manusia bernama Muhammad S.A.W, kekasih Allah S.W.T dengan sebenar-benar kenal? Ataupun kita pernah membaca lembaran kisah baginda di buku-buku teks Pendidikan Agama Islam? Satu pertanyaan khususnya buat diri saya dan mungkin boleh juga dihulurkan kepada sahabat-sahabat lain. Saya ingin memetik kandungan buku " Jadi seperti Muhammad" hasil karangan Aa Gym terbitan PTS Millenia.

Dalam sebuah kisah Jabir bin samurah melaporkan,
" Aku melihat nabi Muhammad di suatu malam yang berbulan purnama. Waktu itu beliau memakai pakaian merah. Aku berganti-ganti memandang antara beliau dengan rembulan, ternyata beliau lebih indah daripada rembulan."
(Hadith riwayat Tirmizi).




Dalam satu riwayat yang bersumber daripada Ali bin Abi Talib,
" Muhammad tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu pendek.
Beliau sedang sahaja di antara kaumnya. Rambutnya tidak keriting bergulung dan tidak pula lurus kaku, melainkan ikal bergelombang.
Badannya tidak gemuk, dagunya tidak lancip dan wajahnya agak bundar.
Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Bahunya bidang. Beliau memiliki bulu lebat yang memanjang dari dada sampai ke pusat.
Telapak tangan dan kakinya terasa tebal.
Apabila beliau berjalan, berjalan dengan tegap seolah-olah turun ke tempat yang rendah.
Apabila beliau berpaling, maka seluruh badannya akan turut berpaling.
Di antara kedua bahunya terdapat khatamun nubuwwah iaitu tanda kenabian.
Beliau memiki hati yang pemurah di antara manusia.
Ucapannya merupakan perkataan yang paling ramah dalam pergaulan.
Sesiapa yang melihatnya, pasti menaruh hormat kepadanya. Sesiapa yang pernah bersama-sama dengannya , kemudian mengenalinya, tentulah dia akan mencintainya.
Orang yang menceritakan sifatnya pasti berkata,
'Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang yang seistimewa beliau".
(Hadith riwayat Tairmizi).

Menurut Hindun bin Abi Halah pula (anak tiri Rasulullah S.A.W- putera Khadijah dari suaminya yang terdahulu) menyatakan paras lahiriah baginda :
"Nabi Muhammad adalah manusia yang anggun, yang wajahnya bercahaya bagaikan bulan purnama. Badannya tinggi sedang.
Postur tubuhnya tegap. Rambutnya ikal dan panjang yang tidak melebihi daun telinganya. Warna kulitnya terang. Dahinya luas. Alisnya memanjang halus, bersambung dan indah. Sepotong urat halus membelah kedua alisnya yang tampak timbul semasa beliau marah. Hidungnya mancung sedikit membengkok yang di bahagian atasnya berkilau cahaya. Janggutnya lebat. Pipinya halus. Matanya hitam. Mulutnya sedang. Giginya putih tersusun rapi. Dadanya bidang dan berbulu ringan. Lehernya putih, bersih dan kemerah-merahan.
Perutnya rata dengan dadanya. Apabila menoleh, seluruh tubuhnya menoleh.
Pandangannya lebih banyak ke arah bumi. Beliau mengiringi sahabat-sahabatnya semasa berjalan dan beliau jugalah yang memulakan salam."

Masya Allah, tatkala saya menaip satu-persatu perkataan yang menggambarkan fizikal Rasulullah S.A.W, saya fikir saya boleh jatuh cinta. Seolah-olah seorang putera lahir daripada keluarga yang terhormat dan membesar di celah-celah masyarakat jahiliyah. Kesantunan baginda dan ketegasannya menegakkan syiar Islam lebih menambat hati ini.

Pernah direkodkan oleh Abi Hurairah di dalam sebuah hadith bahawa terdapat seorang Arab Badawi yang membuang air kecil di sebuah sudut di dalam masjid. Dengan segera para sahabat bangun hendak memukulnya. Lantas Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesungguhnya kamu ditampilkan di tengah-tengah umat manusia bagi memberi kemudahan, bukan untuk membuat kesukaran." Hebat sungguh manusia bernama Muhammad ini. Baginda berfikiran rasional, tenang dan bijak. Hatinya yang bersih dilambangkan melalui tutur kata dan perilakunya.

Baginda adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah. Baginda sangat tawadhu lagi lemah-lembut serta bijak dalam pergaulan aka interpersonal relationship. Ibnu Mas'ud berkata seperti yang diceritakan oleh Ibnu Majah yang bermaksud : " Seorang lelaki datang menemui Nabi Muhammad. Beliau mengajak lelaki itu berbicara sehingga membuatnya menggigil ketakutan. Nabi Muhammad berkata kepadanya, " Tenangkanlah dirimu. Sesungguhnya aku bukanlah seorang raja. Aku hanyalah putera kepada seorang wanita yang biasa daging."

Subhanallah, itulah serba sedikit perihal baginda yang saya harap untuk dihayati. Saya mahu terus jatuh cinta agar dunia ini dan segala isinya tidak lagi bertakhta dalam hati. Mampukah aku ya Allah...

Sehari sebelum maulud Nabi,
54 Kimian

Friday 6 March 2009

English speaking contest

22 November 2008, Sabtu

Saya memandang jam di tangan sekilas, 7.15 pagi.
"Ohayou gozaimasu" ucap saya kepada Watanabe san dan saya hanya menganggukan kepala tatkala saya bertemu dengan beberapa pekerja Sony di lobi bangunan.

Lobi kelihatan kosong, tetapi suara-suara milik rakyat Australia kedengaran.
Saya menjengah dapur atau pantry room di lobi.
"Morning Nurul. How was your sleep?"
"Morning, I had a good night sleep. How was yours?"
Kelakar juga perbualan kami, tapi itulah budaya mereka yang saya rasa sangat manis.
Simple but sweet.
Ketika di Malaysia, saya secara jujurnya tidak pernah bertanya, macam mana tidur semalam? Selesa? Nyenyak?
Tapi pada saya a thoughtful and sweet remark ialah bila seseorang bertanya kepada saya, "How is your faith?/iman?". Manis sangat... (rasa manis macam Iman,hehe).

Mereka beramai-ramai bersarapan di dapur sedangkan kami perlu berkumpul di lobi tepat jam 7.30 pagi. Budaya Jepun, masa itu harus ditepati.
Budaya Australia, masa itu harus dihormati, tapi ada di antaranya yang memegang prinsip fleksibel. Rakyat Malaysia muslim terutamanya? Tepuk dada, tanya iman kerana Allah itu bersumpah dengan masa. Saya mohon agar tidaka menjadi antara mereka yang sentiasa rugi.

Segala puji hanya bagi Allah, tepat jam 7.30 kami sudah berdedai-dedai meninggalkan dorm pekerja Sony (untuk memudahkan sistem penaipan, saya tukar nama di atas kepada 'asrama Sony').
Walaupun Toshi sensei (the Big Toshi) berjalan dengan laju, alhamdulillah saya dapat singgah sebentar di konbini (kedai runcit aka convenient store) untuk membeli onigiri yang dipastikan kehalalannya melalui komunikasi antara dua manusia berlainan kewarganegaraan, sebagai sarapan pagi saya.

Di stesen bas, pelajar-pelajar Shohoku kolej sudah sedia beratur menaiki bas dan kami alhamdulillah antara manusia yang sempat berada di dalam perut bas milik kolej Shohoku. Perukaran ucapan 'Selamat pagi- ohayou gozaimasu' dan 'selamat datang - irrashaimase' menjadi perbualan antara pelajar Australia. Geli hati melihat Stewart dan Lanelle yang tidak sudah-sudah membiacarakan hal tersebut.


Kolej Shohoku daripada pandangan pintu hadapan

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Tiba di kolej, kami dibawa mengelilingi bangunan kolej yang terdiri daripada 7 buah bangunan. Bangunan kafeteria yang kelihatan moden menggamit selera saya. Perpustakaan milik kolej tersebut pula lebih ceria dengan dihiasi pelbagai karikatur jepun dan hiasan yang menarik. Sekali pandang tak ubah seperti tadika yang comel.


Kafeteria yang ceria dengan makanan yang enak

Kedatangan kami pada hari ini adalah untuk menyaksikan pertandingan pidato bahasa Inggeris anjuran Shohoku kolej. Beberapa buah universiti dan kolej menyertai pertandingan tersebut. Antara peserta yang menarik minat penonton dan menjadi perbualan mereka ialah seorang pelajar lelaki yang memulakan pidatonya dengan perkataan , " I, have a dream. My dream is to become a film director..." dan hampir suku daripada pidatonya berkisar kepada pengenalan diri. Saya meneliti, dia memiliki rasa keyakinan diri yang tinggi. Akhirnya, dia terpilih menjadi juara pertandingan. (macam cerita kanak-kanak pula). Pertandingan ini juga turut disertai oleh pelajar sekolah menengan tinggi.


Pentas dan peserta pertandingan pidato

Sebelum separuh masa kedua bermula, pertandingan diberhentikan buat seketika untuk memberi laluan kepada waktu rehat. Ketika di luar dewan, saya ditegur oleh seorang wanita Jepun, "Nururu?" tegurnya.
"Ah, hait"
"Hi Nurul, I am Hiroko. I am going to be your host family this weekend."
"Oh, hi Hiroko.
Ah, hajime maste, yoroshiku onegaishimasu,"
"Ah, hajime maste," jawab Hiroko sambil tersenyum.
"You can be a Japanese Nurul,"
"Ah, iye. Arigatou~"
*Kata-kata pertemuan dalam bahasa Jepun di atas dipelajari daripada menonton beberapa drama Jepun.

Saat itu, saya rasa sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan Hiroko. Dia menjelaskan betapa dia sangat teruja untuk bertemu dangan saya.
Teruja kerana saya seorang muslim dan datang dari Malaysia.
Ini kali pertama dia menerima seorang tetamu jauh sementelahan Hiroko baru berkahwin selama satu bulan lebih.
Saya pula agak berdebar sebelum bertemu Hiroko kerana kami semua akan tinggal di rumah tuan rumah masing-masing selama 3 hari.

Hiroko bergerak meninggalkan saya untuk meneruskan tugasnya selaku staf di Shohoku dan saya kembali menuju ke dalam dewan. Di luar dewan, saya lihat ramai pelajar dan tetamu yang hadir berdiri di hadapan sebuah papan kenyataan. Apabila manusia telah surut, saya mengambil peluang yang terbuka.
"Eh...?"
Rupa-rupanya, borang peribadi yang perlu kami isi pagi tadi termasuklah impian kami dipaparkan di papan kenyataan tersebut. Borang tersebut disertakan dengan gambar kami yang ditangkap secara individu juga pada pagi tadi. Darah merah menyerbu ke muka dan saya bergegas kembali ke tempat duduk di dalam dewan.

Jam 4.30 petang majlis penyampaian hadiah selesai dan kami semua ditemani Haruka, Sayaka, Risa dan Yuimi bergegas menaiki bas menuju ke stesen Hon-Atsugi. Di dalam bas inilah, pertanyaan Sam Watts menyebabkan saya berfikir, terlalu banyak kelompongan ilmu yang perlu diisi dan penghayatan yang perlu ditingkatkan oleh saya selaku muslim.

" How do you feel being a muslim with all the restrictions and stuff?"
"I am a christian but I do not believe in God but not totally say that God does not exist!"

Walau pun saya faham apa yang cuba disampaikan tapi, sangatlah tidak logik. Tak percaya tapi tahu ada. Realitinya, ramai manusia yang berfikiran seperti Sam dan manusia seperti inilah yang perlu disedarkan bahawa Allah itu ada dan kita tidak boleh putus asa daripada rahmat-Nya. Bahawa dialah yang paling berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Mendengar keluhan hati hamba-hamba-Nya.

"What happened if you fall in love with a non-Muslim?"
"Have you ever find the rules and restriction as a burden?"
Respon saya kepada pertanyaan tersebut :
Saya akan pastikan ada batasan perhubungan antara saya dan manusia berlainan jantina dengan saya agar hati saya diberikan kepada zauj yang berhak. Secara ringkaskan, saya harus bataskan diri saya pada tempat dan ketikanya.

Secara jujurnya, ada juga ketikanya saya merasakan semua larangan dan suruhan itu menyusahkan. Namun, tatkala saya semakin dewasa, mengetahui lebih daripada zaman kanak-kanak, saya bersyukur dibesarkan dalam kehidupan seperti penjara yang hakikatnya ialah demi meraih kebebasan hati dan jiwa. Maka, saya katakan kepada Sam bahawa segala larangan dan arahan itu adalah untuk kebaikan kita, seperti peraturan dan papan tanda di jalan raya. Kita boleh memilih untuk menurut atau membangkang, namun hasil akhirnya kita akan rasai.

"So, were there some people (Malaysian muslim) who rebell against it?"
"Yes."
"Overseas?"
"We still have them in Malaysia"

dan saya meneruskan kadang-kala terdapat manusia yang mendapat cahaya kebenaran ketika berada di luar komuniti muslim. Sam hanya mengangguk-angguk dan diam. Mungkin berfikir, mungkin bosan.

Turun daripada bas, kami berpecah untuk mengisi kekosongan perut.Kami melangkah menikmati keindahan lampu-lampu malam Atsugi. Jalan di sebelah stesen Honatsugi kami rentasi. McDonald terdapat di mana-mana sahaja pada hemat saya, begitu juga 7 Eleven. Saya, Stuart, Sam, Yedda dan Haruka memilih untuk ke konbini sedangkan manusia lain bergegas ke McDonald. Seperti pagi tadi, onigiri pilihan saya. Usai makan malam, Haruka dan Sayaka mengajak kami semua berkaraoke.


Malam di bandar Atsugi



Walaupun krismas masih jauh, pohon krismas sudah kelihatan di hadapan Milord

Saya mengikuti mereka ke bangunan karaoke. Sam hanya memandang dan memahami bahawa saya tidak akan menyertai mereka. Dengan nada bergurau, "It won't be fun without my ichiban tomodachi joining me,"

"Sam, please, I bet you're so happy that you can't wait to sing."
ajuk saya.
Saya terangkan kepada Haruka bahawa saya tidak akan menyertai mereka.
"Why?" tanya Haruka kepada saya.
Saya menjelaskan bahawa pegangan dan pendirian saya menolak untuk masuk ke dalam tempat karaoke tersebut. Haruka dan Sayaka kelihatan terkejut.

Haruka walaupun kurang memahami situasi yang pelik baginya itu, memilih untuk menemani saya untuk membeli barangan yang dipesan oleh Fatin dan Nurin, patung plush 'cheagle'.
Sepanjang pencarian kami, Haruka banyak bertanya tentang Islam dan saya hanya mampu menjawab setakat yang saya mampu. Saya berdoa agar Allah mengampuni kekurangan saya.
Saya mengatakan kepadanya bahawa Islam mengharamkan alkohol untuk diminum. Jadi, tempat-tempat yang secara jelas menjual dan menghidangkan arak dilarang untuk kami memasukinya, terutamanya tempat-tempat percampuran bebas di karaoke. Dalam keadaan lampu yang malap, mungkin daripada minuman soda, saya terminum Martini, naudzubillah.
Apa-apa boleh jadi. Jadi, untuk lebih selamat, saya tidak masuk. Saya tidak rugi apa-apa dan tidak perlu risau apa-apa.

Di samping itu, menyanyi bagi perempuan tidak dibenarkan dalam Islam tatkala terdapat lelaki di tempat yang sama, itu apa yang diajar oleh ustaz ustazah saya dan melalui pembacaan.
Jadi, di samping mengelakkan daripada dosa berada di tempat-tempat tersebut, saya dapat mengurangkan risiko radang pada peti suara yang membawa kepada pedih dan sakit tekak.
Semoga saya di bawah lindungan-Nya.

Alhamdulillah, hari itu, Allah mengajar saya banyak perkara tentang Islam dan pegangan saya selaku seorang muslim.
Allah mendidik saya agak berhati-hati dalam pembicaraan agar mudah difahami oleh mereka yang asing terhadap Islam. Agar Islam tidak dilihat sebagai menyusahkan, bahkan kelihatan indah, itu harapan saya.
Namun, natijah akhirnya, dipegang oleh Allah.

Semoga hari esok dilimpahi dengan kurnianya.

-54 Kimian-

Sagami Ohno

21 November 2008, Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, perjalanan di dalam perut bas menuju ke Sagami Ohno eki (stesen) berjalan lancar.
Walaupun masing-masing keletihan, namun pada saya, rasa syukur dan gembira lebih mengatasi kelelahan yang terasa akibat perjalanan yang tidak henti-henti. Ketibaan kami di Sagami- Ohno disambut oleh 4 pelajar : Haruka, Sayaka, Risa, Yuimi dan Takagawa sensei, atau lebih dikenali sebagai big Sato di kalangan pelajar Australia. Keceriaan dan keramahan mereka sebenarnya merupakan satu kejutan bagi saya kerana saya tidak pernah berjumpa dengan mereka yang kelihatan sangat aktif dan ceria. Bayangkan drama-drama jepun, dengan keletah dan kelincahan pelajar perempuan sekolah menengah, begitulah mereka menyambut kami.

Warganegara Jepun sememangnya lebih banyak menggunakan pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi yang diingini. Saya hanya mampu tersenyum apabila keputusan saya untuk membawa hanya sebuah beg pikul dan beg bagasi besar ditakdirkan memudahkan saya. Kami terpaksa memanjat beberapa anak tangga yang agak tinggi untuk ke seberang jalan demi menuju ke bandar Atsugi. Bas yang telah sedia menanti, segera dipandu menuju ke destinasi, perjalanan yang mengambil masa selama dua jam. Kami lena di celah-celah kesibukan jalan raya.

**************************************

Saya terjaga daripada lena. Mata dikesip-kesip dan saya tertanya-tanya,
"Eh, aku di mana?"
Saya palingkan wajah ke kiri, kelihatan Marc sedang melihat panorama Jepun di kerusinya.
"Oh...astaghfirullah. Di Jepun rupa-rupanya..."
Saya toleh ke kanan, bangunan-bangunan yang kemas tersusun membarisi jalan raya. Tidaklah sesibuk bandaraya Tokyo yang sesak dengan manusia dan mungkin juga kenderaan. Pemanduan mereka kelihatan amat berhemah...saya terbayangkan pemandu-pemandu di Muar...masih belum bersopan-santun sepenuhnya.

Bangunan Sony

Sedang leka memerhatikan bangunan-bangunan yang dihiasi karakter-karakter Hiragana dan Kanji, saya terlihat papan tanda 'Sony'. Kami hampir tiba dan saya tidak sabar-sabar ingin menjelajah bandar Atsugi ini setelah usai mempersiapkan diri. Rumah kediaman perkerja Sony Corporation atau 'Sony Dorm' menjadi tempat kami menumpang tidur selama 17 hari di Jepun. Ada antara kami yang mengadu letih namun disebabkan kami perlu mendengar taklimat,kami akur kepada arahan penaja. Saya hanya mampu mengusap-usap badan Ellen yang keletihan dan menghulur senyuman demi mengurangkan sedikit ketegangan otot dan minda.

Yoko san, salah seorang staf di Kolej Shohoku, memberi taklimat akan segala peraturan untuk tinggal di dorm ini. Antara yang menarik minat saya ialah, walaupun bangunan ini tujuh tingkat, namun hanya tingkat ketujuh sahaja didiami olah pekerja wanita dan mereka yang berlainan jantina dilarang sama sekali berada di tingkat 7, begitu juga sebaliknya.

bangunan pekerja Sony

Kami diperkenalkan dengan pasangan Watanabe-san yang menjadi warden merangkap pengurus dorm ini. Badan saya menjerit-jerit keletihan dan saya terbayang-bayang katil dan bilik yang bakal kami kongsi bersama-sama. Nama saya dipanggil : 'Nurul Ezzathy Ahmad san'. "Yes." Saya mendapat tag nama dan kunci. Bilik 715. Kami tidak berkongsi bilik...

Kami bergegas-gegas ke bilik masing-masing. Bilik saya terletak di penghujung koridor. Tertera : Nurul Ezzathy Ahmad
University of Newcastle.
Dengan lafaz bismillah, kunci dibuka dan tombol dipulas. "Assalamualaina wa 'ala 'ibadillahissolihin"
********************************************

Masya Allah~ di hadapan saya, terbentang sebuah bilik comel dilengkapi almari dinding yang besar, sebuah katil bujang dan sebuah peti televisyen. Pintu ditutup dan saya terus melangkah ke dalam. Di kanan saya sebuah bilik air merangkap tandas tersedia dan di sebelah katil, sebuah mesin penghawa dingin (mahupun panas) tersedia di dinding. Tingkap di hadapan itu destinasi saya. Langsir putih yang melindungi bilik saya daripada pandangan luar diselak dan satu pemandangan indah terakam di pancaindera.

Pintu gelongsor itu (betul ke penggunaan saya ini?) saya tolak dengan berhati-hati. Udara sejuk berebut-rebut mengusap pipi. Saya teruja. Bangunan-bangunan persendirian dan milik syarikat tersusun rapi, namun tidak begitu padat. Saya lirikkan mata ke kanan. Saya lihat kehijauan alam. Ada gunung-ganang yang sungguh hijau menjadi latar kepada pembangunan bandar ini. Di belakangnya...saya perhatikan dengan bersungguh-sungguh...gunung Fuji?

Di balkoni ini,mata kecil ini menjadi saksi... Masya Allah, hebat sungguh ciptaan Allah.
"Dan gunung-gunung Dia pancangkan dengan teguh" - Surah An-Naziat : 32-
Gunung-gunung inilah yang menjadi pasak kepada negara pulau ini. Bandar Atsugi yang terletak di kepulauan Honshu mula menakluki hati saya. Saya tersenyum senang tatkala hati ini berbunga ceria di balik kedinginan bandar.

*********************************8

Waktu tengah hari itu tidak seterik di Malaysia mahupun di Newcastle. Suasana musim luruh lebih menyelubungi. Baju sejuk merah pemberian Ayah Hafez setia membaluti tubuh. Kami dibawa oleh Haruka, Sayaka, Risa dan Yuimi berjalan-jalan di sekitar bandar Atsugi, " So that it will be much easier for all of you to take a walk by yourselves.." kata Haruka sambil tersenyum. Saya membalas senyumannya, lemah. Saya antara manusia yang agak lambat menyesuaikan diri dengan persekitaran terutamanya jalan-jalan raya mahupun perjalanan menggunakan kaki, melainkan saya berusaha sendiri insya Allah. Rentetan itu, sepanjang perjalanan kami, saya yang masih keliru di balik simpang-siur jalan raya (pendapat saya seorang), mengikut rapat Yuimi. Musim luruh yang sejuk menjadikan jam 5 petang seolah-olah waktu 8 malam. Perut kami berkeroncong minta diisi. Saya memilih untuk menikmati ramen panas yang dipopularkan oleh Naruto.

Saya merenung menu dengan pandangan yang berpinar-pinar. " Wakarimasen...(saya tidak faham...)" kata saya kepada Sayaka. Sayaka hanya tergelak memerhatikan gelagat saya. "Let me read for you Nurul." "Why thank you ^ ^" gurau saya kembali.
"Well, what would you like to eat?"
"Hmm, anything that do not contain meat, chicken, pork, ham, alcohol..."
Sayaka hanya memerhatikan saya dengan wajah terperanjat.
"Well, maybe they have some vegetarian dish or seafood ramen?" balas saya.
"Hmm, you seem to have a lot of restriction..." luah Sayaka kepada saya.
Sam Watts yang berada di depan saya hanya mendiamkan diri.
Akhirnya, setelah berbincang, saya mengambil keputusan untuk menikmati ramen bersama-sama rumpai laut dan telur.

Hannah, Leo, Yedda, Ellen dan Sam Walkom bersama-sama Yuimi, Yatsuko dan Sato sensei telah siap menempah menu masing-masing.
Akhirnya, saya cuba menggunakan chopstick untuk menikmati ramen. Yappari... watashi wa jyozu ja arimasen.(Seperti yang saya sangkakan, saya memang tidak mahir!). Sekurang-kurangnya saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengunakannya.

ramen inilah...
Setelah masing-masing berpuas hati dan tersengih kekenyangan, kami terus ke stesen Honatsugi yang bakal menjadi tempat utama kami untuk ke destinasi yang bakal kami tuju. Di sini terdapat sebuah kompleks membeli-belah yang agak besar; "My Lord". Apa yang menariknya, mereka di sini menyebut "Milord". Saya tersenyum lucu melihat Haruka yang bersungguh-sungguh menerangkan sebutannya kepada kami.

Saya dan Yedda benar-benar keletihan. Akhirnya, tatkala jam menunjukkan waktu 9 malam, kami pulang ke dorm. Terima kasih yang tidak terhingga buat Sayaka, Haruka, Risa dan Yuimi yang tidak jenuh melayan karenah kami. Tiba di dorm, saya mempersiapkan diri, mengemas barang-barang, mempersiapkan katil dan tidur. Insya Allah, hari esok bakal menjelang.

54 Kimian

Sunday 1 March 2009

Hari ini dan hari lalu

1 Mac 2009, Ahad
4 Safar 1430

Bismillahirrahmanirrahim....

Kaifa haluk ya sohibats? Soalan itu tiba-tiba menjengah kotak fikir. Sudah terlalu lama saya seolah-olah hilang ditelan relau waktu. Saya rindukan kemesraan lalu. Ini merupakan antara pre-closing blues berikutan tutorial yang bakal berlangsung esok.

Sunset Boulevard hari ini alhamdulillah telah berjaya membuat housewarming dengan cemerlang.
Hebat sungguh adik-adik kita dalam bab masak-memasak. Hidangan nasi tomato dan ayam masak merah serta mee yang seiras maggie yang dibentuk seperti nugget amat menambat selera para tetamu.

Saya pergi menaiki kereta Kak Mel (nusaybah yang anggun) disertai 5 orang daripada pihak Kimian Avenue: saya, Kak Mel selaku pembawa nusaybah, Kak Nana, Dayah dan Peoz. Sungguhpun demikian, kepulangan kami ditakdirkan menjadi 3 batang tubuh manusia ; Kak Mel, Kak Nana dan saya sendiri.
***************************************************

Otot-otot badan terasa agak sengal berikutan beberapa aktiviti agak keras beberapa hari lalu di The Forum. Hari ini saya agak lega kerana berjaya mengikuti aktiviti yang disertai oleh Kiwanis Club sebagai salah seorang ahli kelab rentetan kempen : "Clean up Australia Day~" sungguhpun agak keberatan beberapa jam sebelum itu.

Sebelum pukul 8 pagi lagi, Suzie dan Amin telah tiba di 54 Kimian berikutan janji Mary untuk mengambil kami berlima di sini. Anggaran jam 8.15 pagi, Mary tiba dengan cerianya membawa kami, termasuklah Nisya dan Fifi ke Foreshore demi menjalankan sedikit ibadah umum pada hari Ahad yang berbahagia ini. Semoga ibadah kami diterima di sisi-Nya...

Setelah berjaya memenuhkan guni-guni tajaan beberapa syarikat korporat termasuklah Qantas dan Commonwealth Bank, saya menemani Mary untuk membeli donut di The Coles demi memenuhkan perut manusia-manusia yang bekerja keras mengutip sampah. Soalan Mary membawa saya mengimbau memori lalu : "So, how was Japan?"

20 November 2008, Khamis

Alhamdulillah, Happy Cabby sampai tepat pada waktunya. Sepanjang perjalanan saya ke Sydney Airport, saya masih lagi gusar...namun saya cuba menenangkan diri dengan alunan halwa syahdu sambil menikmati keindahan mayapada.

Setelah menyerahkan resit Woolworths aka Wollies yang mempunyai potongan harga untuk minyak kepada Pakcik Pemandu, saya bergegas ke Check-in counter. Lanelle mendekati saya. "Nurul is it? Lanelle. This is Stewart, Sam...etc" dan begitulah kami bermula.
Kami cuba untuk memecahkan ais tebal yang membaluti suasana dengan berbual-bual namun akhirnya saya yang lahiriahnya tidak tahu bercakap memilih untuk diam.

Saya kejap pesanan ummi kukuh-kukuh tatkala saya menelefonnya beberapa jam lalu. Jaga diri, Nurul duta muslim, dan berakhlaklah dengan sebaiknya menjadi penenang fikiran yang bercelaru buat seketika. Ya, dalam musafir kali ini, sayalah satu-satunya muslim yang terpilih untuk mengikuti jaulah ke Jepun. Menurut Profesor Mayumi, sayalah pelajar pertama muslim yang menyertai siri pertukaran pelajar yang telah bermula sejak dari tahun 1992 lagi.

Hati saya berdebar kencang, seolah-olah sayalah kayu pengukur...jika saya gagal, kemungkinan mereka menolak manusia yang kelihatan berpendirian seperti saya untuk menyertai peluang ini. Sebelum melangkah masuk ke pesawat, saya tetapkan niat. "Ya Allah, redhailah serta lindungilah perjalananku dan kawan-kawanku."

******************************

10 jam di perut pesawat Qantas memaksa saya menggerak-gerakkan kaki untuk mengelakkan DVT (Deep Vein Thrombosis). Saya bersedia untuk dihidangkan makanan yang mungkin mustahil untuk saya makan, namun syukur kepada-Nya, tertera perkataan : Muslim meal di atas bekas makanan yang hangat itu. Alhamdulillah, I ate like gusto...as I was so hungry. David, manusia berdarah Australia-Jepun yang menjadi pendamping setia di kerusi pesawat mungkin pelik melihat gelagat saya yang seperti pertama kali melihat makanan/ menaiki pesawat. Abaikan sahaja pelajar akademi penerbangan itu kerana saya lapar.

Pesawat menghampiri landasan, dan akhirnya saya tiba di bumi itu. Hati saya gembira tidak terhingga... Apakah perasaan tetamu jemputan Allah tatkala tiba di tanah Haram agaknya?

Tidak pernah saya sangkakan peristiwa cemas itu berlaku kepada saya. Tatkala semua pelajar yang memegang pasport Australia melepasi pegawai imigresen Jepun, saya ditahan dan dibawa ke bilik kecil di penghujung kaunter... Yedda dan Sam Walkom melihat dengan pandangan simpati dan hairan. Mereka hairan? Apatah lagi saya. Adakah tanpa saya sedari saya mempunyai rekod jenayah...? Atau mungkin saya tidak langsung dibenarkan masuk ke Jepun tanpa sebab-sebab yang diketahui? Saya hanya mampu berdoa dan berharap.

Astaghfirullah, saya tidak tahu. Rupa-rupanya, semua rakyat Australia boleh memasuki Jepun tanpa visa, sedangkan saya yang berwarganegara Malaysia memerlukan visa. Tidak pernah saya fikir bahawa saya perlu menguruskan visa kerana amat yakin bahawa pihak universiti akan menguruskan hal-hal legitasi tersebut. Saya yang agak ignorant ketika di Australia terkesima.

Segala puji hanya bagi Allah, Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa, setelah saya membuktikan bahawa saya mempunyai visa pelajar, datang ke Australia, dan akhirnya ke Jepun atas program pertukaran pelajar dengan memberikan alamat serta nombor telefon Kolej Shohoku dan Profesor Mayumi, saya diberikan visa istimewa : 90 hari kemasukan ke Jepun. Saya hanya mampu bersyukur, tersenyum dan menghela nafas lega.

Setelah mengucapkan : Hontouni arigatou gozaimasu + gomenasai dan diberikan hanya anggukan kepala (maafkan saya Encik Imigresen atas kesusahan hari ini), saya bergegas melalui kaunter dan menyertai rakan-rakan yang lain. Mereka lega setelah mendengar penjelasan saya. Kami membeli tiket bas ke Hon-Atsugi station yang berharga 3500 yen.

Bas yang kami bakal naiki akan tiba beberapa minit sahaja lagi, lantas kami bergegas ke perhentian bas. Saya kagum dengan sifat manusia di sana. Mereka berbaris tegak di pintu bas seolah-olah bakal menyanyikan lagu Negaraku! Hm, nilai islamik di bumi yang majoriti bukan muslim...begitu juga saya rasakan di Australia. Saya curi-curi menangkap gambar mereka. Mata saya melirik ke atas, masya Allah... 9 darjah! Tidak hairanlah saya merasakan kesejukan yang menusuk-nusuk meskipun baju sejuk merah pemberian Ayah Hafez membaluti tubuh.


mereka sungguh berdisiplin

Di atas bas, Sam Watts, setelah berbual beberapa ketika dengan saya mengisytiharkan bahawa saya dan dia : "Ichiban tomodachi" yang membawa maksud kawan baik. Kami baru berjumpa beberapa jam. Itu antara gelagat Sam yang cuba mendekati kami semua. Saya hanya membiarkan manusia itu dengan pengumumannya. Yedda pula memilih untuk bersendirian di kerusi belakang. Pelbagai ragam manusia saya lihat hari ini. Saya hanya mahu cepat tiba ke bandar Atsugi.


p/s : Maafkan saya sahabat andainya tersalah tafsir kata-kata saya pada entry lepas : " Kali ini, cuma kali ini takdir Tuhan menentukan segala-galanya." Maksud saya ialah : "Kali ini, cuma kali ini... (saya membuka kotak inbox) kerana takdir Tuhan menentukan segala-galanya."