21 November 2008, Jumaat
Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, perjalanan di dalam perut bas menuju ke Sagami Ohno eki (stesen) berjalan lancar.
Walaupun masing-masing keletihan, namun pada saya, rasa syukur dan gembira lebih mengatasi kelelahan yang terasa akibat perjalanan yang tidak henti-henti. Ketibaan kami di Sagami- Ohno disambut oleh 4 pelajar : Haruka, Sayaka, Risa, Yuimi dan Takagawa sensei, atau lebih dikenali sebagai big Sato di kalangan pelajar Australia. Keceriaan dan keramahan mereka sebenarnya merupakan satu kejutan bagi saya kerana saya tidak pernah berjumpa dengan mereka yang kelihatan sangat aktif dan ceria. Bayangkan drama-drama jepun, dengan keletah dan kelincahan pelajar perempuan sekolah menengah, begitulah mereka menyambut kami.
Warganegara Jepun sememangnya lebih banyak menggunakan pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi yang diingini. Saya hanya mampu tersenyum apabila keputusan saya untuk membawa hanya sebuah beg pikul dan beg bagasi besar ditakdirkan memudahkan saya. Kami terpaksa memanjat beberapa anak tangga yang agak tinggi untuk ke seberang jalan demi menuju ke bandar Atsugi. Bas yang telah sedia menanti, segera dipandu menuju ke destinasi, perjalanan yang mengambil masa selama dua jam. Kami lena di celah-celah kesibukan jalan raya.
**************************************
Saya terjaga daripada lena. Mata dikesip-kesip dan saya tertanya-tanya,
"Eh, aku di mana?"
Saya palingkan wajah ke kiri, kelihatan Marc sedang melihat panorama Jepun di kerusinya.
"Oh...astaghfirullah. Di Jepun rupa-rupanya..."
Saya toleh ke kanan, bangunan-bangunan yang kemas tersusun membarisi jalan raya. Tidaklah sesibuk bandaraya Tokyo yang sesak dengan manusia dan mungkin juga kenderaan. Pemanduan mereka kelihatan amat berhemah...saya terbayangkan pemandu-pemandu di Muar...masih belum bersopan-santun sepenuhnya.
Bangunan Sony
Sedang leka memerhatikan bangunan-bangunan yang dihiasi karakter-karakter Hiragana dan Kanji, saya terlihat papan tanda 'Sony'. Kami hampir tiba dan saya tidak sabar-sabar ingin menjelajah bandar Atsugi ini setelah usai mempersiapkan diri. Rumah kediaman perkerja Sony Corporation atau 'Sony Dorm' menjadi tempat kami menumpang tidur selama 17 hari di Jepun. Ada antara kami yang mengadu letih namun disebabkan kami perlu mendengar taklimat,kami akur kepada arahan penaja. Saya hanya mampu mengusap-usap badan Ellen yang keletihan dan menghulur senyuman demi mengurangkan sedikit ketegangan otot dan minda.
Yoko san, salah seorang staf di Kolej Shohoku, memberi taklimat akan segala peraturan untuk tinggal di dorm ini. Antara yang menarik minat saya ialah, walaupun bangunan ini tujuh tingkat, namun hanya tingkat ketujuh sahaja didiami olah pekerja wanita dan mereka yang berlainan jantina dilarang sama sekali berada di tingkat 7, begitu juga sebaliknya.
bangunan pekerja Sony
Kami diperkenalkan dengan pasangan Watanabe-san yang menjadi warden merangkap pengurus dorm ini. Badan saya menjerit-jerit keletihan dan saya terbayang-bayang katil dan bilik yang bakal kami kongsi bersama-sama. Nama saya dipanggil : 'Nurul Ezzathy Ahmad san'. "Yes." Saya mendapat tag nama dan kunci. Bilik 715. Kami tidak berkongsi bilik...
Kami bergegas-gegas ke bilik masing-masing. Bilik saya terletak di penghujung koridor. Tertera : Nurul Ezzathy Ahmad
University of Newcastle.
Dengan lafaz bismillah, kunci dibuka dan tombol dipulas. "Assalamualaina wa 'ala 'ibadillahissolihin"
********************************************
Masya Allah~ di hadapan saya, terbentang sebuah bilik comel dilengkapi almari dinding yang besar, sebuah katil bujang dan sebuah peti televisyen. Pintu ditutup dan saya terus melangkah ke dalam. Di kanan saya sebuah bilik air merangkap tandas tersedia dan di sebelah katil, sebuah mesin penghawa dingin (mahupun panas) tersedia di dinding. Tingkap di hadapan itu destinasi saya. Langsir putih yang melindungi bilik saya daripada pandangan luar diselak dan satu pemandangan indah terakam di pancaindera.
Pintu gelongsor itu (betul ke penggunaan saya ini?) saya tolak dengan berhati-hati. Udara sejuk berebut-rebut mengusap pipi. Saya teruja. Bangunan-bangunan persendirian dan milik syarikat tersusun rapi, namun tidak begitu padat. Saya lirikkan mata ke kanan. Saya lihat kehijauan alam. Ada gunung-ganang yang sungguh hijau menjadi latar kepada pembangunan bandar ini. Di belakangnya...saya perhatikan dengan bersungguh-sungguh...gunung Fuji?
Di balkoni ini,mata kecil ini menjadi saksi... Masya Allah, hebat sungguh ciptaan Allah.
"Dan gunung-gunung Dia pancangkan dengan teguh" - Surah An-Naziat : 32-
Gunung-gunung inilah yang menjadi pasak kepada negara pulau ini. Bandar Atsugi yang terletak di kepulauan Honshu mula menakluki hati saya. Saya tersenyum senang tatkala hati ini berbunga ceria di balik kedinginan bandar.
*********************************8
Waktu tengah hari itu tidak seterik di Malaysia mahupun di Newcastle. Suasana musim luruh lebih menyelubungi. Baju sejuk merah pemberian Ayah Hafez setia membaluti tubuh. Kami dibawa oleh Haruka, Sayaka, Risa dan Yuimi berjalan-jalan di sekitar bandar Atsugi, " So that it will be much easier for all of you to take a walk by yourselves.." kata Haruka sambil tersenyum. Saya membalas senyumannya, lemah. Saya antara manusia yang agak lambat menyesuaikan diri dengan persekitaran terutamanya jalan-jalan raya mahupun perjalanan menggunakan kaki, melainkan saya berusaha sendiri insya Allah. Rentetan itu, sepanjang perjalanan kami, saya yang masih keliru di balik simpang-siur jalan raya (pendapat saya seorang), mengikut rapat Yuimi. Musim luruh yang sejuk menjadikan jam 5 petang seolah-olah waktu 8 malam. Perut kami berkeroncong minta diisi. Saya memilih untuk menikmati ramen panas yang dipopularkan oleh Naruto.
Saya merenung menu dengan pandangan yang berpinar-pinar. " Wakarimasen...(saya tidak faham...)" kata saya kepada Sayaka. Sayaka hanya tergelak memerhatikan gelagat saya. "Let me read for you Nurul." "Why thank you ^ ^" gurau saya kembali.
"Well, what would you like to eat?"
"Hmm, anything that do not contain meat, chicken, pork, ham, alcohol..."
Sayaka hanya memerhatikan saya dengan wajah terperanjat.
"Well, maybe they have some vegetarian dish or seafood ramen?" balas saya.
"Hmm, you seem to have a lot of restriction..." luah Sayaka kepada saya.
Sam Watts yang berada di depan saya hanya mendiamkan diri.
Akhirnya, setelah berbincang, saya mengambil keputusan untuk menikmati ramen bersama-sama rumpai laut dan telur.
Hannah, Leo, Yedda, Ellen dan Sam Walkom bersama-sama Yuimi, Yatsuko dan Sato sensei telah siap menempah menu masing-masing.
Akhirnya, saya cuba menggunakan chopstick untuk menikmati ramen. Yappari... watashi wa jyozu ja arimasen.(Seperti yang saya sangkakan, saya memang tidak mahir!). Sekurang-kurangnya saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengunakannya.
ramen inilah...
Setelah masing-masing berpuas hati dan tersengih kekenyangan, kami terus ke stesen Honatsugi yang bakal menjadi tempat utama kami untuk ke destinasi yang bakal kami tuju. Di sini terdapat sebuah kompleks membeli-belah yang agak besar; "My Lord". Apa yang menariknya, mereka di sini menyebut "Milord". Saya tersenyum lucu melihat Haruka yang bersungguh-sungguh menerangkan sebutannya kepada kami.
Saya dan Yedda benar-benar keletihan. Akhirnya, tatkala jam menunjukkan waktu 9 malam, kami pulang ke dorm. Terima kasih yang tidak terhingga buat Sayaka, Haruka, Risa dan Yuimi yang tidak jenuh melayan karenah kami. Tiba di dorm, saya mempersiapkan diri, mengemas barang-barang, mempersiapkan katil dan tidur. Insya Allah, hari esok bakal menjelang.
54 Kimian
Friday, 6 March 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam.
hehe. bestnye. gambatena! huh, 'you have alot of restriction' <-- takpe, die tak tahu tu. mgkin akak bleh cerite dkt die nnti.
Salam hartini dengan kelompok2nya...
Jazakillah khair. Um ,insya Allah mungkin akak cerita dekat dia nanti.
Post a Comment