Sunday, 1 March 2009

Hari ini dan hari lalu

1 Mac 2009, Ahad
4 Safar 1430

Bismillahirrahmanirrahim....

Kaifa haluk ya sohibats? Soalan itu tiba-tiba menjengah kotak fikir. Sudah terlalu lama saya seolah-olah hilang ditelan relau waktu. Saya rindukan kemesraan lalu. Ini merupakan antara pre-closing blues berikutan tutorial yang bakal berlangsung esok.

Sunset Boulevard hari ini alhamdulillah telah berjaya membuat housewarming dengan cemerlang.
Hebat sungguh adik-adik kita dalam bab masak-memasak. Hidangan nasi tomato dan ayam masak merah serta mee yang seiras maggie yang dibentuk seperti nugget amat menambat selera para tetamu.

Saya pergi menaiki kereta Kak Mel (nusaybah yang anggun) disertai 5 orang daripada pihak Kimian Avenue: saya, Kak Mel selaku pembawa nusaybah, Kak Nana, Dayah dan Peoz. Sungguhpun demikian, kepulangan kami ditakdirkan menjadi 3 batang tubuh manusia ; Kak Mel, Kak Nana dan saya sendiri.
***************************************************

Otot-otot badan terasa agak sengal berikutan beberapa aktiviti agak keras beberapa hari lalu di The Forum. Hari ini saya agak lega kerana berjaya mengikuti aktiviti yang disertai oleh Kiwanis Club sebagai salah seorang ahli kelab rentetan kempen : "Clean up Australia Day~" sungguhpun agak keberatan beberapa jam sebelum itu.

Sebelum pukul 8 pagi lagi, Suzie dan Amin telah tiba di 54 Kimian berikutan janji Mary untuk mengambil kami berlima di sini. Anggaran jam 8.15 pagi, Mary tiba dengan cerianya membawa kami, termasuklah Nisya dan Fifi ke Foreshore demi menjalankan sedikit ibadah umum pada hari Ahad yang berbahagia ini. Semoga ibadah kami diterima di sisi-Nya...

Setelah berjaya memenuhkan guni-guni tajaan beberapa syarikat korporat termasuklah Qantas dan Commonwealth Bank, saya menemani Mary untuk membeli donut di The Coles demi memenuhkan perut manusia-manusia yang bekerja keras mengutip sampah. Soalan Mary membawa saya mengimbau memori lalu : "So, how was Japan?"

20 November 2008, Khamis

Alhamdulillah, Happy Cabby sampai tepat pada waktunya. Sepanjang perjalanan saya ke Sydney Airport, saya masih lagi gusar...namun saya cuba menenangkan diri dengan alunan halwa syahdu sambil menikmati keindahan mayapada.

Setelah menyerahkan resit Woolworths aka Wollies yang mempunyai potongan harga untuk minyak kepada Pakcik Pemandu, saya bergegas ke Check-in counter. Lanelle mendekati saya. "Nurul is it? Lanelle. This is Stewart, Sam...etc" dan begitulah kami bermula.
Kami cuba untuk memecahkan ais tebal yang membaluti suasana dengan berbual-bual namun akhirnya saya yang lahiriahnya tidak tahu bercakap memilih untuk diam.

Saya kejap pesanan ummi kukuh-kukuh tatkala saya menelefonnya beberapa jam lalu. Jaga diri, Nurul duta muslim, dan berakhlaklah dengan sebaiknya menjadi penenang fikiran yang bercelaru buat seketika. Ya, dalam musafir kali ini, sayalah satu-satunya muslim yang terpilih untuk mengikuti jaulah ke Jepun. Menurut Profesor Mayumi, sayalah pelajar pertama muslim yang menyertai siri pertukaran pelajar yang telah bermula sejak dari tahun 1992 lagi.

Hati saya berdebar kencang, seolah-olah sayalah kayu pengukur...jika saya gagal, kemungkinan mereka menolak manusia yang kelihatan berpendirian seperti saya untuk menyertai peluang ini. Sebelum melangkah masuk ke pesawat, saya tetapkan niat. "Ya Allah, redhailah serta lindungilah perjalananku dan kawan-kawanku."

******************************

10 jam di perut pesawat Qantas memaksa saya menggerak-gerakkan kaki untuk mengelakkan DVT (Deep Vein Thrombosis). Saya bersedia untuk dihidangkan makanan yang mungkin mustahil untuk saya makan, namun syukur kepada-Nya, tertera perkataan : Muslim meal di atas bekas makanan yang hangat itu. Alhamdulillah, I ate like gusto...as I was so hungry. David, manusia berdarah Australia-Jepun yang menjadi pendamping setia di kerusi pesawat mungkin pelik melihat gelagat saya yang seperti pertama kali melihat makanan/ menaiki pesawat. Abaikan sahaja pelajar akademi penerbangan itu kerana saya lapar.

Pesawat menghampiri landasan, dan akhirnya saya tiba di bumi itu. Hati saya gembira tidak terhingga... Apakah perasaan tetamu jemputan Allah tatkala tiba di tanah Haram agaknya?

Tidak pernah saya sangkakan peristiwa cemas itu berlaku kepada saya. Tatkala semua pelajar yang memegang pasport Australia melepasi pegawai imigresen Jepun, saya ditahan dan dibawa ke bilik kecil di penghujung kaunter... Yedda dan Sam Walkom melihat dengan pandangan simpati dan hairan. Mereka hairan? Apatah lagi saya. Adakah tanpa saya sedari saya mempunyai rekod jenayah...? Atau mungkin saya tidak langsung dibenarkan masuk ke Jepun tanpa sebab-sebab yang diketahui? Saya hanya mampu berdoa dan berharap.

Astaghfirullah, saya tidak tahu. Rupa-rupanya, semua rakyat Australia boleh memasuki Jepun tanpa visa, sedangkan saya yang berwarganegara Malaysia memerlukan visa. Tidak pernah saya fikir bahawa saya perlu menguruskan visa kerana amat yakin bahawa pihak universiti akan menguruskan hal-hal legitasi tersebut. Saya yang agak ignorant ketika di Australia terkesima.

Segala puji hanya bagi Allah, Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa, setelah saya membuktikan bahawa saya mempunyai visa pelajar, datang ke Australia, dan akhirnya ke Jepun atas program pertukaran pelajar dengan memberikan alamat serta nombor telefon Kolej Shohoku dan Profesor Mayumi, saya diberikan visa istimewa : 90 hari kemasukan ke Jepun. Saya hanya mampu bersyukur, tersenyum dan menghela nafas lega.

Setelah mengucapkan : Hontouni arigatou gozaimasu + gomenasai dan diberikan hanya anggukan kepala (maafkan saya Encik Imigresen atas kesusahan hari ini), saya bergegas melalui kaunter dan menyertai rakan-rakan yang lain. Mereka lega setelah mendengar penjelasan saya. Kami membeli tiket bas ke Hon-Atsugi station yang berharga 3500 yen.

Bas yang kami bakal naiki akan tiba beberapa minit sahaja lagi, lantas kami bergegas ke perhentian bas. Saya kagum dengan sifat manusia di sana. Mereka berbaris tegak di pintu bas seolah-olah bakal menyanyikan lagu Negaraku! Hm, nilai islamik di bumi yang majoriti bukan muslim...begitu juga saya rasakan di Australia. Saya curi-curi menangkap gambar mereka. Mata saya melirik ke atas, masya Allah... 9 darjah! Tidak hairanlah saya merasakan kesejukan yang menusuk-nusuk meskipun baju sejuk merah pemberian Ayah Hafez membaluti tubuh.


mereka sungguh berdisiplin

Di atas bas, Sam Watts, setelah berbual beberapa ketika dengan saya mengisytiharkan bahawa saya dan dia : "Ichiban tomodachi" yang membawa maksud kawan baik. Kami baru berjumpa beberapa jam. Itu antara gelagat Sam yang cuba mendekati kami semua. Saya hanya membiarkan manusia itu dengan pengumumannya. Yedda pula memilih untuk bersendirian di kerusi belakang. Pelbagai ragam manusia saya lihat hari ini. Saya hanya mahu cepat tiba ke bandar Atsugi.


p/s : Maafkan saya sahabat andainya tersalah tafsir kata-kata saya pada entry lepas : " Kali ini, cuma kali ini takdir Tuhan menentukan segala-galanya." Maksud saya ialah : "Kali ini, cuma kali ini... (saya membuka kotak inbox) kerana takdir Tuhan menentukan segala-galanya."

No comments: