Monday 9 August 2010

Tirai dibuka

Bismillahirrahmanirrahim

28 Sya'aban 1431, 9 Ogos 2010, Isnin

Alhamdulillah, usai lecture di HB15, bergegas menunaikan solat asar.
Masih ada banyak tugas yang tidak terlaksana.
Pelajar perubatan tahun ke-3 pula sudah sampai kepada penutup working problem 4,
dengan senarai panjang learning targets yang perlu dijawab dengan semampu mungkin agar closing tutorial agar tidak ketinggalan nanti.

Begitulah kelihatan sibuknya kehidupan seorang pelajar perubatan...benarkah?
Atau sibuknya kita kerana dipenuhi dengan senarai LT yang tidak sempat disiapkan
diselang-selikan dengan senarai filem yang perlu dihabiskan sebelum hujung bulan ini menjelang?
Astaghfirullah....sesibuk langau rupa-rupanya aku.
Bising berbunyi, namun hanya memberikan kegatalan kepada si lembu.
Naudzubillah, ya Allah, selamatkan aku daripada kesibukan yang sia-sia...

Tak seronok ye entri kali ini...?

Sebenarnya ingin berkongsi perasaan gembira yang tidak terhingga.
Hari ini 28 Sya'aban.
Insya Allah lebih kurang 2 hari lagi tetamu besar bakal berkunjung ke bumi Allah ini.
Ya Allah, pertemukan kami...




Ramadhan datang walau bagaimana juga keadaan kita.
Sibukkah kita dengan urusan dunia, atau lapangnya kita daripada urusan dunia...
Bersedia atau tidakkah kita,
Ramadhan bakal tiba...
Mahu atau tidak,
kita perlu bersedia menyambut Ramadhan agar perginya nanti menjadikan kita
hamba yang lebih tunduk kepada Robbnya,
yang benar-benar menanggapi hakikat hamba, serta
benar-benar mengimani tujuan kita dihidupkan di dunia Tuhan.
Agar perginya nanti kita menjadi jailul quran wa rijalud dakwah yang tegar.
Agar perginya nanti kita terus bergerak lebih laju, mengikis terus karat-karat jahiliyah dari hati.

Ini peluang kita yang diberikan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Ya Allah, tempatkan kami di kalangan 'illiyyin.
Jadikanlah kami benar-benar menghargai peluang bertemu dengan ramadhan ini ya Ilahi.




Salam ramadhan,
Hunter Information Centre

Wednesday 28 July 2010

Burung-burung kecil

16 Syaaban 1431, 28 Julai 2010, Rabu

Bismillahirrahmanirrahim~




Masya Allah, dalam mengharungi hidup seharian di Nc ni, Syaaban menjelma, mengikut sunnatullah...

1001 peristiwa berlalu, di seluruh bumi Allah...namun seringkali ketinggalan,jauh, jauh dihanyuti kesibukan yang dibuat-buat...astaghfirullah...

Tahun ini, adik bukan lagi adik.
Malah, terasa ditolak-tolak menjadi kakak-kakak yang wajib bergerak cergas dan bekerja,
lebih-lebih lagi bertemu dan berkenalan dengan adik-adik yang lebih muda dan telah lama
menjadi kakak-kakak yang proaktif.

Sudah lama jiwa dan diri ditolak-tolak dengan tolakan yang lembut.
Bangunlah, jangan tidur lagi...
Bergeraklah, kerana masih ramai yang lena dan tidak peduli...

Dirimu sudah tahu bukan? maka mengapa masih lagi berdalih...
Hati rasa gelisah,jahiliyah masih lagi bersarang, berkarat dalam diri.

Sahabiats perjuangan telah terlalu laju bergerak,di benua-benua berlaianan,juga telah lama tidak disapa khabar mereka.
Khabar tubuh dan khabar hati, lebih-lebih khabar iman...

Kakak mengingatkan,


يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)


Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? (10) Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui (11) (As-Saff 61 : 10-11)

Tidakkah rasa mahu menjadi orang yang beruntung? Kakak mengumpan. Hati masih rasa enggan.

يَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ وَيُدۡخِلۡكُمۡ جَنَّـٰتٍ۬ تَجۡرِى مِن تَحۡتِہَا ٱلۡأَنۡہَـٰرُ وَمَسَـٰكِنَ طَيِّبَةً۬ فِى جَنَّـٰتِ عَدۡنٍ۬‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (١٢) وَأُخۡرَىٰ تُحِبُّونَہَا‌ۖ نَصۡرٌ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَتۡحٌ۬ قَرِيبٌ۬‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ (١٣)

"Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam sungai yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung (12) Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin" (As-Saff 61 : 12-13)

Subhanallah, ganjaran mana yang lebih tinggi daripada ampunan dan syurga Allah?

Bukankah itu yang selama ini adik-adik sebutkan dan kejar-kejar? Atau itu hanyalah sekadar lafaz di bibir yang terungkap namun tidak dapat dilaksanakan?

Pujukan yang disulami sebak hati sang akak menusuk kalbu.
Walau rasa terpinga-pinga namun digagahkan jua melangkah.

Akal bertanya, mengapa masih terpinga-pinga?
Bukankah sering diingatkan? dikejutkan? diberitahu?

Hati terasa pilu. Hati yang diselubungi sampah-sarap jahiliyah akhirnya bersuara.
Kerana ilmu itu, tidak menyerap ke akar untuk melahirkan faham.
Lantaran itu tidak berbuahnya amal.
Tidak bermekarnya hamasah di jiwa sehingga tidak basahnya kalbu itu.
Apa yang berada di akal, hanya bersarang di situ dan tidak mengalir ke hati.
Jahiliyah tidak dibuang sepenuhnya,masih dikejap kemas-kemas, tidak mahu dilepas.


~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~.:.~


Musim dingin hampir berlalu, walau kedinginannya menggigit lesu tubuh-tubuh lemah yang tidak mahu bergerak laju.

Mata dibukakan dengan realiti perjuangan.
Realiti yang termaktub di dalam lembaran cinta Yang Maha Mengetahui.

Sebuah penolakan itu, bukan bererti tertutupnya satu jalan.
Malah, penolakan itulah menghasilkan seribu satu lorong penyelesaian dengan izin-Nya.
Berlumba-lumba pejuang yang merasai pahit-manisnya jalan ini memberi buah fikiran,
meluahkan perasaan, berkongsi kalam Tuhan (surah Nuh, surah ke-71 di dalam kitab suci itu,moga menjadi pembakar semangat).

Ini satu permulaan perjuangan yang indah namun pasti dihiasi duri.
Hanya manusia yang menempuhi jalan ini sahaja yang memahami, menghayati dan merasai hingga ke lubuk jiwa.
Ini jalan yang kita PILIH dan LANGKAH telah pun BERMULA.

Moga muntolaq kita mencari redha Allah mengukuhkan lagi rantai perjuangan untuk mencapai matlamat ulung.

Redha dan maghfirah-Nya yang paling utama.

Kimian 54
0800

Friday 18 June 2010


6 Rejab 1431, 18 Jun 2010, Jumaat


Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah, sehebat-hebat Pencipta, sehebat-hebat Pengatur.


16 Jun menjadi saksi sebuah pergolakan jiwa yang lemah.

3 stesen berakhir, namun diri ini masih terasa berada di awang-awangan.

Ya Allah, berakhir sudahkah peperiksaan ini?

Hati seakan-akan tidak percaya....


Tidak dapat diertikan apakah perasaan yang bersarang dalam diri.

Redha? Itu harapanku.

Yakin? Allah sahaja yang tahu.

Dipujuk-pujuk hati ini, Allah melihat, Allah mengetahui, Allah mendengar...

Ini ujian....yang sangat kecil untuk dibandingkan dengan saudara-saudara di Palestin.


Wahai jiwa yang mahukan kebebasan,

hari ini engkau pelajari perkataan redha yang sering engkau sebut-sebutkan di depan adik-adik,

di hadapan sahabat-sahabat.

Jiwamu bergetar tanpa engkau sedari.

Kelopak matamu terkejip-kejip mengekang sebak di dada...

Akhirnya, tubir matamu tidak mampu menakung hiba di hati...

mengalir air mata yang engkau tidak mengerti mengapa hadir....


Allah, Allah....

cekalkan hati ini....

Allah, Allah....

redhakan hati ini...

Allah, Allah...

bimbinglah hati ini...


Rawatlah jiwa yang lemah ini dengan kalam-Mu.

Bebaskan hati ini, Ya Rabb,

jangan Engkau biarkan hati ini terkandas dalam dunia yang penuh gemerlapan.


Basahi hati ini ya Ilahi dengan cinta kepada-Mu agar tidak pernah malap.

Penuhkan kecintaan hati ini dengan ruh dakwah para kekasih-Mu.

Kikiskan jahiliyah dan buangkan segala sarang dunia daripada jiwa kotor ini...


Ya Rabb,

Pemilik hati ini,

penuhilah qalbi dengan mahabbah kepada-Mu...


54 Kimian,

0845.

Friday 26 February 2010

Solawat~


Bismillahirrahmanirrahim~

12 Rabiul Awwal 1431, 26 Februari 2010, Jumaat

Segala puji hanya untuk Allah, pemilik alam buana, penyusun segala-gala.
Selawat dan salam buat kekasih-Nya yang tercinta, qudwah ikutan kita.

Pagi tadi saya diselimuti kesejukan. Sangat mengejutkan organisasi badan saya rentetan berhadapan dengan cuaca panas kering musim panas Australia. Ah, musim luruh bakal tiba insya Allah~

Bulan Februari 2010 ini penuh dengan pelbagai peristiwa. Peristiwa yang boleh mengajar, namun mungkin tidak terkesan kerana kelalaian diri? Itu tepuk dada tanya iman yang tersangkar dalam dada, dan mengejap dalam jiwa.

Daripada seawal 3 Februari, kalendar yang saya gantung di meja belajar penuh dengan senarai nama hari lahir manusia. Bermula daripada Diey, Peoz, Aimi, Dal, Ijat, Adilah WAR, Lah, Kak Hani, Nor, Kak Ncbact, Risa, Nureen, Kak Linda dan Hasni. Begitu panjang, namun tidak semua saya ucap sungguhpun tetap di ingatan...

Adapun demikian, bulan ini jadi jatuhnya bulan Rabiul Awwal. Bulan kelahiran seorang manusia ulung yang disanjung juga dihina. Disanjung kerana menjadi utusan terakhir membawa risalah agung, menerobos memecah benteng kepalsuan dunia dan maksiat. Dihina hanya kerana menyatakan kebenaran teragung, bahawa Allah itu ilah, dan Muhammad itu pesuruh Allah.

Manusia yang mengaku dirinya beragama Islam dan mengaku dirinya beriman, mustahil tidak tahu akan satu nama besar dalam diri manusia mukmin. Muhammad bin Abdullah, kekasih sang Pencipta. Pesan Nabi, apabila disebut namanya, maka selawatlah ke atasnya, kerana kita dibalas dengan kebaikan yang lebih berganda (dan mungkin tidak masuk akal oleh kapitalis) oleh Allah : 10 kali balasan selawat Allah dan para malaikat-Nya buat setiap satu selawat kita kepada baginda. Subhanallah! Seolah-olah kita memberi makcik Salwa sebuah peti televisyen, diberinya kita TV plasma, pemain DVD, pemain mp3, antenna,radio, pemain CD, sistem stereo, laptop, external hard drive dan pendrive.... tercengang para kapitalis! Tak logik, sungguh tak logik bagi mereka, namun sangat kita dambakan kerana kita tahu betapa benar kata-kata tersebut.

Pelbagai sambutan muslimin lakukan untuk hari ini. di Johor, mereka berarak, di Malaysia, mereka berarak, ada yang berzanji, ada yang menulis blog, ada yang memberi ceramah, ada juga yang membelek buku sirah. Alhamdulillah, kita diberi hidayah untuk berasa sensitif dengan hari kelahiran Nabi S.A.W. Ada juga manusia yang tidak sedar, namun cepat-cepat berselawat untuk meraikan hari ini. Ada pelbagai rupa manusia dengan berbagai-bagai cara sambutan walau ada juga yang tidak tahu atau terlupa. Mereka tersenyum, ketawa dan gembira, lebih-lebih lagi jika hari ini cuti umum.

Saya teringat sabda Nabi : "Aku tinggalkan kepada engkau dua perkara dan engkau tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana engkau berpegang kepada kedua-duanya. Kitabullah dan sunnahku." Hati saya kuat mengatakan bahawa Nabi S.A.W lebih gembira jika kita bukan sahaja mengingati kisah perjuangan, pengorbanan dan hari lahirnya, tapi dengan tekun mengikuti segala sunnah-sunnah dan ajaran-ajaran-Nya kerana baginda utusan Allah, manusia yang hatinya dipancari wahyu terus daripada Pemilik segala hati manusia.

Ini Jalanku



Sunnah Nabi ada pelbagai : perkataan, perbuatan, pengakuan, diam nabi dan segala-gala berkaitan dengan Nabi S.A.W ialah sunnah. Segala huluran senyuman kepada manusia yang layak, segala pemberian bantuan, ucapan salam, hatta menahan diri daripada mengucapkan 'ah' kepada ibu bapa juga Allah beri kita ganjaran. Bagaimana kita tahu Allah menyuruh kita begini, melarang kita begitu? Tentulah kerana pengutusan Nabi S.A.W kepada kita, yang Allah akui sebagai rahmat untuk sekalian alam.

Sunnah Nabi yang terbesar, ialah sunnah MENYAMPAIKAN. Sabda Nabi :" sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat". Setiap detik dan ketika sepanjang hayat baginda S.A.W baginda menyampaikan, secara langsung atau tidak. Segala duduk diri, angguk geleng, senyum masam, malahan lebih-lebih lagi perkataan mutiara wahyu Allah merupakan penyampaian Nabi S.A.W kepada kita. Setiap detik dan saat Nabi S.A.W menjadi penyeru, menyeru manusia kepada Allah dan hari akhirat. Bahawa dunia ini ladang akhirat, jangan dikejar kerana akan semakin jauh. Kejarlah Allah, nescaya Dia akan semakin dekat dengan kita.

Saya suka dengar orang membicarakan sunnah-sunnah Nabi : bersiwak, masuk rumah kaki kanan, senyum, sedekah, menggembirakan hati manusia. Ada orang suka bercerita pasal pakaian, ada juga pasal kisah perjuangan. Kadang-kala dalam ghairah membicarakan sunnah-sunnah kecil Nabi, kita terlupa sunnah terbesar yang seolah-olah menjadi sesuatu yang tidak boleh dibicarakan sangat oleh manusia sekarang,lebih-lebih lagi di Malaysia...

Nabi bukan diutus untuk mengajar manusia pakaian apa yang harus dipakai semata-mata, atau tips penampilan diri sahaja. Datangnya Nabi untuk mencantas kebatilan dan kejahilan hamba Tuhan terhadap hakikat Allah dan matlamat kehidupan. Bagaimana segala misi tersebut akan terlaksana? Tentulah dengan kaedah PENYAMPAIAN, daripada pelbagai aspek.

Kalau sunnah Nabi yang terbesar ini tidak dilaksanakan oleh generasi Islam selepas Nabi, tidak akan sampai Islam ke negara kita, lebih-lebih lagi di Australia yang beribu-ribu batu terpisah dengan benua-benua lain. Allahu akbar! Mereka berbicara dan berhubungan dengan manusia semirip-mirip sunnah Nabi. Lalu hati nenek dan datuk kita terpaut, lalu diajarilah kandungan wahyu. Akhirnya kita dilahirkan dalam kerangka seorang muslim yang keteguhannya perlu kita selidiki.

Hiruplah kemanisan islam dan jadikanlah kemanisan itu madu kehidupan kita. Perlihatkanlah keindahan islam kepada manusia di sekeliling kita. Sebarkanlah keharuman buah iman kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan manusia yang kita cintai. Adakah cukup sekadar menyampaikan agar bunga islam mekar di bumi? Semangat menyampaikan mesti disertai dan dilangkaui dengan ilmu dan seni. Pengetahuan tentang islam dan keindahannya serta seni penyampaian merupakan antara prasyarat utama - kerana hati kebanyakan manusia tertarik dengan sesuatu yang halus dan indah. Salah satu seni penyampaian ialah akhlak. Lalu, berakhlaklah wahai diri dengan akhlak sang kekasih, baik bersendirian, mahupun beramai-ramai.

Kalau hari ini hati kita resah, gelisah, selaklah surat cinta Ilahi buat kita dan tadabburlah maksudnya kerana Al-Quran itu pengubat jiwa. Selaklah sirah helaian kehidupan Nabi melihatkan betapa hebatnya nilai cintanya kepada Allah dan betapa rindunya baginda kepada kita sebagai umatnya. Kautlah intisari sirah untuk kegunaan kita dalam kehidupan dan sampaikanlah. Baginda tertunggu-tunggu kita di akhir nanti. Kita mahukan syafaat daripadanya, tapi kita hipokrit. Mulut kata cinta, tapi hati menyanjung dunia. Kejap kata rindu tapi asyik teringat-ingat drama siri televisyen dan lagu-lagu melalaikan dan melayukan. Mahu menerima syafaat tetapi meninggalkan sunnah-sunnahnya, apatah lagi sunnah terbesar sepanjang hidupnya.

Lalu apa, wahai hati? Lalu bagaimana wahai diri? Mudah sahaja, jawab akal. Senang sahaja kata jiwa yang bebas. Mulakanlah langkah pertama detik ini, kerana kita tidak pasti saat seterusnya adakah masih ada kurnia-Nya lagi. Belek buku sirah dan sampaikan pada diri dan manusia yang disayangi. Tadabbur ayat-ayat Tuhan, dan aplikasikan dalam diri dan ajak para sahabat. Segala-galanya bermula dengan satu langkah untuk melestarikan berjuta langkah seterusnya. Sifirnya mudah, jangan berhenti, tapi terus mencari dan bergerak. Mulut jangan dikunci, namun lafazkanlah dengan berhati-hati dan berseni.

Semoga kita menjadi manusia yang dicintai. Mekarkan cinta di hati pada Ilahi dan kekasih sejati. Harapan akan kekal harapan tanpa usaha merealisasikannya menjadi realiti. Misi terus kekal misi jika pelaksanaan tidak membawa kepada sebuah kenyataan yang pasti. Mujahadah pada diri, pasti jiwa terus bersemi.

Salam 12 Rabiul Awwal yang ceria dari Newcastle,
54 Kimian.