Monday 14 July 2008

Hari Semalam

23 Jun 2008, North Road-Clayton

Ketibaan kami malam itu disambut dengan kedinginan Melbourne yang
sudah dijangka.
"Assalamualaikum, akak Kak Lin...akak Kak Lina....akak Kak Kerry"
Tiga orang mujahidah Clayton dan City menghangatkan tubuh kami dengan sambutan yang begitu mesra.

Perjalanan yang melebihi 40 minit dari lapangan terbang ke Baitul Abrar begitu menggugah hati saya.
Begitu mudah akhawat ini mengorbankan minyak kereta yang begitu hangat kenaikannya beberapa minggu dahulu. Sanggup berulang-alik demi menyambut kehadiran kami.

Begitulah apabila iman sudah mula beraja dalam hati, semua yang kelihatan sukar pada mata manusia dan hitungan rasional mereka hanya satu laburan menuju redha Ilahi, insya Allah.

Akhirnya kami sampai juga ke North Road, rumah satu tingkat yang begitu selesa lagi menyelesakan.
Dengan ahlul bait sebanyak empat orang,
Kak Lily, Kak Ncbact,Kak Adeeb dan Kak Aimi yang menerima kehadiran kami dengan hati yang lapang.

Wajah tiap ukt saya teliti; tiada tergambar rasa letih mahupun berat hati.
Kesenangan menerima kehadiran kami terpancar daripada tiap pandangan mata.

"Alhamdulillah kehadiran akhawat-akhawat semua kami terima dengan hati terbuka.
Anggaplah akhawat semua umpama muhajirin yang sudah kepenatan berjalan jauh dari Newcastle. Kami pula golongan ansar yang menyambut kedatangan akhawat semua.
Jazakillah khair kerana sudi datang untuk membuka peluang kepada kami di medan amal."

Begitulah Kak Lily berbicara, dengan sinar mata yang menembus jiwa.

Hati ini diresapi kehangatan yang sukar digambarkan walau diselimuti kedinginan bandar Clayton yang dipenuhi kemesraan mua'amalah sesama akhawat.
Apalah sangat kepenatan yang saya rasa sebenarnya, tetapi kesudian Sohibul Bait (tuan rumah) menerima kehadiran rombongan Newcastle benar-benar menjadi benih mencambahkan ukhuwah antara kami.

"Orang Newcastle memang selalu bermukim di Clayton, memang kamcenglah," begitu komen salah seorang kakak penyayang Newcastle, entah kak Hani, entah Kak Mel yang meluahkan.

17 hari saya bermukim di Melbourne, dari Calyton ke City Melbourne terus ke Mount Buller dan berulang -alik antara dua bandar tersebut, semuanya dipenuhi oleh semangat dzatiyah yang tinggi.
Bukan rombongan kami yang banyak berkorban kerana pada saya tiada yang lecehnya bergerak dari North Road ke Prince Street ke Arden ke Nico kerana tiap kali kaki ini melangkah ke dalam rumah-rumah mereka, tidak pernah rasa tidak senang bertandang dalam hati.

"Buatlah macam rumah sendiri."
Kata -kata yang sememangnya lazim diucapkan tuan rumah, namun pembuktian yang lebih bermakna.
Dan sememangnya seperti rumah sendirilah saya perlakukan (dengan adab-adab sebagai seorang tetamu, insya Allah)
Layanan yang diberikan tidak pernah kurang walau sedikit.
Pengorbanan akhawat Melbourne dan akhawat senior Newcastle menjaga saya dan kawan-kawan mengajar banyak erti kasih sayang, ithsar (melebihkan sahabat daripada diri sendiri).

Apa erti pengorbanan mereka selama berbelas-belas hari junior-junior Newcastle bertandang di sana jika kami kembali melepek seperti dahulu? Kadang kala hati ini berbicara.

"Akak mahu kalian semula didorong oleh rasa kefahaman yang utuh, bukan semangat semata-mata kerana semangat akan mati pada penghujungnya jika kefahaman tidak menemani." jelas Kak Baie' dalam salah satu tazkirah wida' di Baitul Abrar.

Saya sungguh-sungguh berdoa agar kami semua tsabat mencari redha Allah.
Sangat mengharap agar terus tsabat.
Itu harapan saya.

Huxley Library, 1546 petang