Friday, 26 February 2010
Solawat~
Bismillahirrahmanirrahim~
12 Rabiul Awwal 1431, 26 Februari 2010, Jumaat
Segala puji hanya untuk Allah, pemilik alam buana, penyusun segala-gala.
Selawat dan salam buat kekasih-Nya yang tercinta, qudwah ikutan kita.
Pagi tadi saya diselimuti kesejukan. Sangat mengejutkan organisasi badan saya rentetan berhadapan dengan cuaca panas kering musim panas Australia. Ah, musim luruh bakal tiba insya Allah~
Bulan Februari 2010 ini penuh dengan pelbagai peristiwa. Peristiwa yang boleh mengajar, namun mungkin tidak terkesan kerana kelalaian diri? Itu tepuk dada tanya iman yang tersangkar dalam dada, dan mengejap dalam jiwa.
Daripada seawal 3 Februari, kalendar yang saya gantung di meja belajar penuh dengan senarai nama hari lahir manusia. Bermula daripada Diey, Peoz, Aimi, Dal, Ijat, Adilah WAR, Lah, Kak Hani, Nor, Kak Ncbact, Risa, Nureen, Kak Linda dan Hasni. Begitu panjang, namun tidak semua saya ucap sungguhpun tetap di ingatan...
Adapun demikian, bulan ini jadi jatuhnya bulan Rabiul Awwal. Bulan kelahiran seorang manusia ulung yang disanjung juga dihina. Disanjung kerana menjadi utusan terakhir membawa risalah agung, menerobos memecah benteng kepalsuan dunia dan maksiat. Dihina hanya kerana menyatakan kebenaran teragung, bahawa Allah itu ilah, dan Muhammad itu pesuruh Allah.
Manusia yang mengaku dirinya beragama Islam dan mengaku dirinya beriman, mustahil tidak tahu akan satu nama besar dalam diri manusia mukmin. Muhammad bin Abdullah, kekasih sang Pencipta. Pesan Nabi, apabila disebut namanya, maka selawatlah ke atasnya, kerana kita dibalas dengan kebaikan yang lebih berganda (dan mungkin tidak masuk akal oleh kapitalis) oleh Allah : 10 kali balasan selawat Allah dan para malaikat-Nya buat setiap satu selawat kita kepada baginda. Subhanallah! Seolah-olah kita memberi makcik Salwa sebuah peti televisyen, diberinya kita TV plasma, pemain DVD, pemain mp3, antenna,radio, pemain CD, sistem stereo, laptop, external hard drive dan pendrive.... tercengang para kapitalis! Tak logik, sungguh tak logik bagi mereka, namun sangat kita dambakan kerana kita tahu betapa benar kata-kata tersebut.
Pelbagai sambutan muslimin lakukan untuk hari ini. di Johor, mereka berarak, di Malaysia, mereka berarak, ada yang berzanji, ada yang menulis blog, ada yang memberi ceramah, ada juga yang membelek buku sirah. Alhamdulillah, kita diberi hidayah untuk berasa sensitif dengan hari kelahiran Nabi S.A.W. Ada juga manusia yang tidak sedar, namun cepat-cepat berselawat untuk meraikan hari ini. Ada pelbagai rupa manusia dengan berbagai-bagai cara sambutan walau ada juga yang tidak tahu atau terlupa. Mereka tersenyum, ketawa dan gembira, lebih-lebih lagi jika hari ini cuti umum.
Saya teringat sabda Nabi : "Aku tinggalkan kepada engkau dua perkara dan engkau tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana engkau berpegang kepada kedua-duanya. Kitabullah dan sunnahku." Hati saya kuat mengatakan bahawa Nabi S.A.W lebih gembira jika kita bukan sahaja mengingati kisah perjuangan, pengorbanan dan hari lahirnya, tapi dengan tekun mengikuti segala sunnah-sunnah dan ajaran-ajaran-Nya kerana baginda utusan Allah, manusia yang hatinya dipancari wahyu terus daripada Pemilik segala hati manusia.
Ini Jalanku
Sunnah Nabi ada pelbagai : perkataan, perbuatan, pengakuan, diam nabi dan segala-gala berkaitan dengan Nabi S.A.W ialah sunnah. Segala huluran senyuman kepada manusia yang layak, segala pemberian bantuan, ucapan salam, hatta menahan diri daripada mengucapkan 'ah' kepada ibu bapa juga Allah beri kita ganjaran. Bagaimana kita tahu Allah menyuruh kita begini, melarang kita begitu? Tentulah kerana pengutusan Nabi S.A.W kepada kita, yang Allah akui sebagai rahmat untuk sekalian alam.
Sunnah Nabi yang terbesar, ialah sunnah MENYAMPAIKAN. Sabda Nabi :" sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat". Setiap detik dan ketika sepanjang hayat baginda S.A.W baginda menyampaikan, secara langsung atau tidak. Segala duduk diri, angguk geleng, senyum masam, malahan lebih-lebih lagi perkataan mutiara wahyu Allah merupakan penyampaian Nabi S.A.W kepada kita. Setiap detik dan saat Nabi S.A.W menjadi penyeru, menyeru manusia kepada Allah dan hari akhirat. Bahawa dunia ini ladang akhirat, jangan dikejar kerana akan semakin jauh. Kejarlah Allah, nescaya Dia akan semakin dekat dengan kita.
Saya suka dengar orang membicarakan sunnah-sunnah Nabi : bersiwak, masuk rumah kaki kanan, senyum, sedekah, menggembirakan hati manusia. Ada orang suka bercerita pasal pakaian, ada juga pasal kisah perjuangan. Kadang-kala dalam ghairah membicarakan sunnah-sunnah kecil Nabi, kita terlupa sunnah terbesar yang seolah-olah menjadi sesuatu yang tidak boleh dibicarakan sangat oleh manusia sekarang,lebih-lebih lagi di Malaysia...
Nabi bukan diutus untuk mengajar manusia pakaian apa yang harus dipakai semata-mata, atau tips penampilan diri sahaja. Datangnya Nabi untuk mencantas kebatilan dan kejahilan hamba Tuhan terhadap hakikat Allah dan matlamat kehidupan. Bagaimana segala misi tersebut akan terlaksana? Tentulah dengan kaedah PENYAMPAIAN, daripada pelbagai aspek.
Kalau sunnah Nabi yang terbesar ini tidak dilaksanakan oleh generasi Islam selepas Nabi, tidak akan sampai Islam ke negara kita, lebih-lebih lagi di Australia yang beribu-ribu batu terpisah dengan benua-benua lain. Allahu akbar! Mereka berbicara dan berhubungan dengan manusia semirip-mirip sunnah Nabi. Lalu hati nenek dan datuk kita terpaut, lalu diajarilah kandungan wahyu. Akhirnya kita dilahirkan dalam kerangka seorang muslim yang keteguhannya perlu kita selidiki.
Hiruplah kemanisan islam dan jadikanlah kemanisan itu madu kehidupan kita. Perlihatkanlah keindahan islam kepada manusia di sekeliling kita. Sebarkanlah keharuman buah iman kepada ahli keluarga, sahabat-sahabat dan manusia yang kita cintai. Adakah cukup sekadar menyampaikan agar bunga islam mekar di bumi? Semangat menyampaikan mesti disertai dan dilangkaui dengan ilmu dan seni. Pengetahuan tentang islam dan keindahannya serta seni penyampaian merupakan antara prasyarat utama - kerana hati kebanyakan manusia tertarik dengan sesuatu yang halus dan indah. Salah satu seni penyampaian ialah akhlak. Lalu, berakhlaklah wahai diri dengan akhlak sang kekasih, baik bersendirian, mahupun beramai-ramai.
Kalau hari ini hati kita resah, gelisah, selaklah surat cinta Ilahi buat kita dan tadabburlah maksudnya kerana Al-Quran itu pengubat jiwa. Selaklah sirah helaian kehidupan Nabi melihatkan betapa hebatnya nilai cintanya kepada Allah dan betapa rindunya baginda kepada kita sebagai umatnya. Kautlah intisari sirah untuk kegunaan kita dalam kehidupan dan sampaikanlah. Baginda tertunggu-tunggu kita di akhir nanti. Kita mahukan syafaat daripadanya, tapi kita hipokrit. Mulut kata cinta, tapi hati menyanjung dunia. Kejap kata rindu tapi asyik teringat-ingat drama siri televisyen dan lagu-lagu melalaikan dan melayukan. Mahu menerima syafaat tetapi meninggalkan sunnah-sunnahnya, apatah lagi sunnah terbesar sepanjang hidupnya.
Lalu apa, wahai hati? Lalu bagaimana wahai diri? Mudah sahaja, jawab akal. Senang sahaja kata jiwa yang bebas. Mulakanlah langkah pertama detik ini, kerana kita tidak pasti saat seterusnya adakah masih ada kurnia-Nya lagi. Belek buku sirah dan sampaikan pada diri dan manusia yang disayangi. Tadabbur ayat-ayat Tuhan, dan aplikasikan dalam diri dan ajak para sahabat. Segala-galanya bermula dengan satu langkah untuk melestarikan berjuta langkah seterusnya. Sifirnya mudah, jangan berhenti, tapi terus mencari dan bergerak. Mulut jangan dikunci, namun lafazkanlah dengan berhati-hati dan berseni.
Semoga kita menjadi manusia yang dicintai. Mekarkan cinta di hati pada Ilahi dan kekasih sejati. Harapan akan kekal harapan tanpa usaha merealisasikannya menjadi realiti. Misi terus kekal misi jika pelaksanaan tidak membawa kepada sebuah kenyataan yang pasti. Mujahadah pada diri, pasti jiwa terus bersemi.
Salam 12 Rabiul Awwal yang ceria dari Newcastle,
54 Kimian.
Subscribe to:
Posts (Atom)