Saturday, 8 November 2008

Inikah kebetulan?

Dengan nama Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha mengasihani...

Cik tulang dibesarkan dalam suasana yang mencukupi.
Segalanya bermula dengan sel-sel yang dinamakan 'osteoblast'.
Cik 'blast' inilah yang sibuk menghasilkan sel tulang baru yang akhirnya bertukar menjadi 'osteocytes' yang terperangkap di celahan 'lacuna'.
Segala nutrient harian untuk 'osteoblast' ini diperoleh daripada kapilari darah
yang mengandungi segala macam keperluan hidupnya.

Dalam persekitaran yang berbeza, cik tulang membesar daripada sel-sel 'mesenchyma' di permukaan kulit paling bawah.
'Ostoeblast' masih menjalankan tugasnya di bawah pengaruh 'alkaline phosphatase'.

Tanpa kita sedari, tulang kita membesar ataupun melalui musim pemulihan.
Segala jenis retakan, hentakan, ada sahaja perkara yang tersedia diciptakan untuk
badan kita menghadapinya.

Umpama menyediakan bahan-bahan untuk membuat kari ayam...

6 ketul ayam, 1 paket serbuk santan, 3 sudu besar kari, dll....
Sebagai urutan normalnya, kita si tukang masak perlulah menyediakan segala bahan-bahannya.
Mengawal api agar bahan-bahan tadi tidak hangus dan meletakkan perasa secukupnya
agar hidangan kari ayam yang tersedia bukan sekadar indah pada rupa namun mampu memikat
hati sahabat-sahabat yang kelaparan.

Begitulah juga badan kita.
Tidak mungkin osteoblast tiba-tiba berada di badan kita betul-betul di 'hyaline cartilage',
menghadapi proses 'endochondral ossification'.
Dengan komposisi kimia yang betul dan suhu yang tepat lagi sesuai melakukan proses tumbesaran badan seorang kanak-kanak kepada ketinggian seorang remaja.

Semuanya dikatakan berlaku dengan sendiri.
Keputusan osteoblast dan badan kita sendiri, maka berlakulah apa yang sepatutnya berlaku
secara 'semula jadi', fisiologi tubuh.
Tak dapat diterima akal sungguh.

Bayangkan jika sebuah kapal layar, yang bernakhoda,
dipenuhi dengan awak-awak, namun hanya membiarkan angin sebagai penunjuk jalan di
samudera yang menggila.
Tidak sampai seminit, mungkin batu karang menjadi destinasi mereka.
Mereka terkenal seluruh dunia :
'Nakhoda lesu membiarkan kapal terhempas di lautan dalam : 100 manusia terbunuh!'
dengan paparan muka hadapan seluruh akhbar di cakerawala.

Fikirkan wahai diri, kadang kala tatkala kita menelaah buku-buku karangan manusia,
kita terlupa mengaitkan ilmu tersebut dengan Pencipta Agung.
Tanpa kekuasaannya, mungkin hidung saya berada di celahan rambut...
atau mungkin saya bermata, namun fungsinya untuk berkata-kata.
Pelik bukan?
Walaupun semuanya dikatakan sebagai ekspresi gen, namun tanpa aturan Ilahi,
semuanya tidak bererti.
Bagaimana berjuta-juta gen dalam badan manusia begitu tunduk dan patuh mengekspresi diri secara sepatutnya?
Tentulah di bawah 'iman paksaan', mereka tiada pilihan.
Namun kita sebagai khalifah-Nya, mampu memilih.
Itu satu kelebihan kah?
Marilah kita renung-renungkan.

Oh ya ~, kemenangan Barack Obama juga satu ketentuan Al-Qadir.
Seluruh umat manusia bergembira...
dari Kenya ke Jepun mereka bersuka ria.
Politik dunia...
Politik akhirat nanti, dapatkah kita suaka politik Allah?
Syafaat itu yang kita cari.

8 November 2008, Sabtu.

Malaysia rupa-rupanya menjadi perhatian negara kangaroo ini.
Kisah DSAI, DS Najib Tun Razak, Al tantuya,
Raja Petra, ISA segalanya mendapat perhatian sistem penyiaran ABC di negara Australia.
Mengapa ya?
Kadang kala kita tidak tersedar kita semua diperhatikan.
BUkan sahaja oleh kerajan negara-negara lain.
Namun Pemilik Mutlaq segala kerajaan alam ini.

Salam perjuangan penuh titisan,
air mata dan tinta.

Sampaikan rinduku ya Allah buat manusia-manusia di
Malaysia, Jordan,UK, Ireland,Czech, India,Australia, Russia, Mesir, Syria, US.
Rindunya tidak tertahan.
Tabahlah wahai hati.

54 Kimian Avenue,
4 hari sebelum peperiksaan Semester akhir tahun pertama.
Doakan saya dan sahabat2 lain.
12,13,14 dan 17 November 2008.

Friday, 31 October 2008

Pesanan senior

Bismillah...

Hari ini hari kebesaran.
Penghulu segala hari.
Berniat mandi sunat hari jumaat dapat pahala.
Bersedekah pada hari ni mendapat pahala ... hmm... AkuPeduli mungkin?
Eh, hari-hari lain pun dapat pahala juga...
Tapi hari Jumaat lebih istimewa...

Memetik sumber paksi.net :

Rasulullah SAW bersabda:

"أضل الله عن الجمعة من كان قبلنا. فكان لليهود يوم السبت. وكان للنصارى يوم الأحد. فجاء الله بنا. فهدانا الله ليوم الجمعة. فجعل الجمعة والسبت والأحد. وكذلك هم تبع لنا يوم القيامة. نحن الآخرون من أهل الدنيا والأولون يوم القيامة المقضي لهم قبل الخلائق"

“Allah menyesatkan umat sebelum kita dari hari Jumaat. Adapun kaum Yahudi (tersesat ke hari Sabtu, Nasrani ke hari Ahad. Kemudian Allah SWT mendatangi kita dan menunnjukkan kita ke hari Jumaat. Lalu Dia menjadikan Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan seperti itu mereka akan mengikuti kita pada hari Qiamat. Kita adalah umat terakhir dari umat dunia dan umat pertama pada hari Kiamat yang akan diputuskan (perkara) di antara mereka sebelum makhluk-makhluk yang lain.[1]

Hari Jumaat ialah hari yang disabdakan baginda SAW:

"خير يوم طلعت عليه الشمس، يوم الجمعة. فيه خلق آدم. وفيه أدخل الجنة. وفيه أخرج منها. ولا تقوم الساعة إلا في يوم الجمعة"

Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.[2]

Ibn Qayyim berkata di dalam Zadul Ma’ad:


وكان من هديه صلى الله عليه وسلم تعظيمُ هذا اليوم وتشريفه، وتخصيصه بعبادات يختص بها عن غيره. وقد اختلف العلماء: هل هو أفضلُ، أم يومُ عرفة؟

Dan adalah di antara petunjuk Rasululah SAW adalah pengagungan dan dan penghormatan kepada hari ini, dan pengkhususan dengan ibadah-ibadah yang yang tidak ada pada hari lainnya.[3]

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan 30 kelebihan dan keutamaan hari Jumaat di antaranya:

1) Hari raya yang berulang-ulang. Oleh kerana itu kita diharamkan berpuasa pada hari itu untuk membezakan kita dengan apa yang dilakukan oleh orang Yahudi dan Nasrani. Ia juga berfungsi supaya seorang hamba dapat melaksanakan ibadah pada hari itu dengan bertenaga seperti solat, doa dan lain-lain.
2) Hari tambahan; di mana Allah SWT akan nampak pada hari itu di hadapan orang-orang mukmin di syurga;


لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيد

Mereka beroleh apa Yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia Yang tidak terlintas di hati mereka).

3) Wujudnya saat di mana doa’ dikabulkan:


فيهِ سَاعَةٌ لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ وَهُوَ قَائمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللهَ تَعَالَى شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ وَأَشَارَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا

Padanya terdapat satu saat , dimana tidaklah seorang hamba muslim mendapatkannya dalam keadaan berdiri mendirikan solat, dia memohon sesuatu kepada Allah Ta’ala melainkan Ia (Allah SWT) akan mengabulkannya- dan Baginda SAW mengisyaratkan dengan tanganya yang menandakan pendeknya saat itu.[4]




4) Mempunyai banyak kelebihan beramal soleh di dalamnya; sabda Rasulullah SAW:


خمس من عملهن في يوم كتبه الله من أهل الجنة : من عاد مريضا و شهد جنازة
و صام يوما و راح يوم الجمعة و أعتق رقبة

Ada lima perkara yang barangsiapa mengamalkannya dalam satu hari, maka Allah menulisnya sebagai ahli syurga: Orang yang menjenguk orang sakit, menyaksikan jenazah, puasa satu hari[5], mendirikan solat Jumaat dan memerdekakan seorang budak.[6]

5) Hari terjadinya kiamat:


ولا تقوم الساعة إلا في يوم الجمعة

Tidak akan berlaku hari kiamat kecuali pada hari Jumaat.[7]

6) Hari di mana dosa di ampunkan. Sabda Rasulullah SAW:


لا يغتسل رجل يوم الجمعة، ويتطهر ما استطاع من طهر، ويدهن من دهنه، أو يمس من طيب بيته، ثم يخرج فلا يفرق بين اثنين، ثم يصلي ما كتب له، ثم ينصت إذا تكلم الإمام، إلا غفر له ما بينه وبين الجمعة الأخرى

Tiadalah seorang lelaki mandi di hari Jumaat, dan bersuci apa yang mampu dia sucikan, memakai minyak rambut atau minyak wangi dari rumahnya, kemudia keluar dan tidak memisahkandi antara dua orang (yang sedang duduk di masjid), kemudia bersolat apa yang telah diwajibkan ke atasnya, kemudian senyap ketika imam memberi khutbah melainkan diampunkan baginya apa yang di antara hari itu dan hari Jumaat yang seterusnya.[8]

7) Orang yang berjalan kaki untuk solat Jumaat akan mendapat pahala yang besar. Rasulullah SAW bersabda:


من غسَّل يوم الجمعة واغتسل، ثم بكّر وابتكر، ومشى ولم يركب، ودنا من الإِمام فاستمع ولم يلغ؛ كان له بكل خطوة عمل سنة أجر صيامها وقيامها

Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaii kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.[9]

8) Antara satu Jumaat ke Jumaat yang lain adalah penghapus dosa. Sabda Rasulullah SAW:


من اغتسل، ثم أتى الجمعة، فصلى ما قدر له. ثم أنصت حتى يفرغ من خطبته. ثم يصلي معه، غفر له ما بينه وبين الجمعة الأخرى، وفضل ثلاثة أيام

Barangsiapa yang mandi lalu pergi untuk menunaikan solat Jumaat, kemudian bersolat (sunat) dengan apa yang dia mampu, kemudian senyap hingga khatib selesai khutbah, seterusnya bersolat bersamanya, maka diampunkan untuknya dosa di antara Jumaat itu dan Jumaat seterusnya, bahkan dia dilebihkan 3 hari.[10]


[1] Sahih: Sahih Muslim: 856
[2] Sahih: Sahih Muslim: 854
[3] Zadul Ma’ad, juzuk 1, m/s 169 (e-book, http://www.saaid.net/ )
[4] Sahih: Muttafaq ‘Alaih, rujuk al-Lu’lu’ wa al-Marjan (http://www.saaid.net/ )
[5] Puasa yang secara kebetulan jatuh pada hari Jumaat seperti Puasa Nabi Daud, Puasa Hari Putih, dan lain-lain. Ia tidak membawa maksud supaya kita mengkhususkan hari Jumaat dengan berpuasa.
[6] Sahih: Silsilah Ahadis as-Sahihah: 1023
[7] Sahih: Sahih Muslim: 584
[8] Sahih: Mukhtasar Sahih al-Bukhari:843 (http://www.saaid.net/ )
[9] Sahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya, rujuk Sahih Jami’ as-Saghir:6405
[10] Sahih: Sahih Muslim:857

sumber :http://www.paksi.net/modules/penulisan_kreatif/article.php?storyid=93

Tambah Cikgu Azrin :

1. Daripada Abu Salmah daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi s.a.w sesungguhnya baginda telah bersabda; 'Sesungguhnya hari yang terbaik di mana matahari terbit padanya adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan. Pada hari itu juga dia dimasukkan ke dalam syurga dan pada hari itu juga dia dikeluarkan daripada syurga. Pada hari Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.'
2. Abdullah bin Mundzir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda; 'Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan yang terbesar di sisi Allah. Ia adalah hari yang lebih besar di sisi Allah daripada hari raya fitri. Pada hari itu telah terjadi lima perkara iaitu penciptaan Adam, pada hari itu dia dikeluarkan daripada dari syurga, pada hari itu juga dia diwafatkan dan pada hari itu terdapat satu masa di mana tidaklah seorang hamba itu meminta sesuatu daripada Tuhannya melainkan akan dikurniakan kepadanya selagi tidak meminta yang haram. Pada hari itu kiamat akan terjadi dan tidaklah seorang malaikat muqarrabin pun di sisi Allah azza wajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.'
3. Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh para sahabat mengapa hari tersebut dinamakan hari Jumaat. Rasulullah menjawab; 'Lantaran pada hari itulah tanah yang dijadikan darinya Adam diuli dan diadun, pada hari itu terjadinya tiupan sangkakala yang pertama (kiamat terjadi pada hari Jumaat) dan hari kebangkitan dan pada hari itu juga doa seseorang dikabulkan oleh Allah s.w.t.'
Kalau difahami satu persatu kata-kata Rasulullah s.a.w itu telah menyampaikan berita gembira dan berita sedih lagi menakutkan kepada umat baginda sebagai bahan berfikir dan bertindak menuju keredaan Allah Taala.
Berita gembira ialah tentang kejadian Adam, Adam dimasukkan ke syurga dan janji Allah memakbulkan doa orang-orang yang beriman.
Berita sedih lagi menakutkan ialah Adam dikeluarkan dari syurga, tentang kematian, tiupan sangkakala, hari kiamat dan hari pembalasan.
Orang berniaga mengambil berkat Jumaat. Orang yang inginkan kelapangan rezeki mengambil berkat Jumaat. Pelajar mengharapkan kelebihan Jumaat. Apatah lagi orang berjuang di jalan Allah lebih-lebih lagi mengharapkan keberkatan Jumaat. Berdoalah untuk kesejahteraan dan kebaikan pemimpin, jamaah, sahabat, keluarga, masyarakat serta umat. Tan Sri Muhyiddin Yassin pun memilih hari ini untuk membuat perisytiharan apa jawatan yang ingin ditandingi kerana mengambil berkat hari Jumaat.
Kita semua daripada keturunan Adam. Semoga setiap turun naik nafas dan langkah kita adalah untuk menuju kembali ke syurga. Al-Quran dan as-Sunnah adalah panduannya. Muhasabahlah kita!

sumber : http://cikguazrin.blogspot.com/2008/10/tazkirahkelebihan-hari-jumaat.html

Semoga hari ini sahabat-sahabat sekalian mendapat pandangan kasih Ilahi.


Pesanan daripada Kak Mel :

Allah memberi jaminan, kesusahan adalah jambatan kepada kejayaan. Dalam surah Al Insyirah ayat 5-6, Allah berfirman, “Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kesenangan.” Hal ini diperkukuhkan melalui sabda nabi yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud, “Sesungguhnya kejayaan bersama-sama dengan kesabaran, kelapangan bersama-sama dengan kesusahan & sesungguhnya berserta dengan kepayahan ialah kesenangan.” Teruskan berusaha dan berdoa pd Nya =)


Salam Jumaat penuh barakah,
Kimian Avenue.



Wednesday, 29 October 2008

Huxley

Bismillahirrahmanirrahim~

Alhamdulillah, peperiksaan semakin menghampiri.
Terlalu banyak hikmah yang Allah tentukan menyebabkan diri ini tersentak, tersentuh, tersenyum, terkesima, tertanya-tanya, terhiba dan seribu satu perasaan hati yang lahir bukan dipaksa-paksa.

Saya bersyukur dikurniakan nikmat Iman dan masa.
Saya bersyukur dikurniakan sebuah keluarga yang cukup indah pada pandangan mata saya.
Saya bersyukur saya tidak dibiarkan bersendirian di sini.
Kakak-kakak senior yang sudi mengadakan 'mock' OSCA untuk kami adik-adik 'junior'mu.
Sahabat-sahabat serumah, dan semisi, (pencipta Arku,Neko kiut suke gym,Dayah sabar,prof Diba, Peoz auchmuty,Anis atlit,Fifi fokus) yang sering mengingatkan diri.
Ahli-ahli Uni D, ahli-ahli Turana Parade, ahli-ahli Birmingham Garden yang bakal berpindah,ahli-ahli on campus
Keluarga-keluarga warganegara Malaysia : Kak Nor, Kak Salmi, Kak As, Kak Sha, Kak Alma, Kak Lin, Kak Lina, Kak Nono, dll.

Apa tujuan saya menaip kali ini?
Saya tidak tahu.
Apa yang saya tahu, peperiksaan semakin menghampiri, tanah paling timur bakal saya jejaki, Malaysia tercinta di mana keluarga yang saya cukup cintai bermastautin, bakal saya temui, insya Allah...kalau nyawa masih Allah izinkan bermukim di jasad ini.

Sahabat...walau di mana sahaja engkau berada, engkau masih milik Tuhan.
Cantik Islammu, indah pekertimu, tinggi imanmu, tunduk tawadhu'mu dan taqwamu itu nilaian Allah buat kita.
Kadang-kala lama sungguh waktu ini berjalan kita rasakan, namun perhatikanlah,
bila tiba waktunya, engkau akan rasakan dunia ini terlalu sebentar, sekejap cuma.
Itu yang hati ini rasakan tika ini.
Betapa sekejap udara di Australia ini aku hirup, terlalu seketika aku bernafas, terlalu sedikit aku mengerah amal, terasa usia makin meningkat.
Berkatilah umurku ya Allah.
Rahmatilah hidupku ya Rahim.


P/s :
Saya dapat membaca blog seorang kakak senior yang baik hati.
Saya suka cara penulisannya yang santai, terus-terang dan comel.
Saya suka juga membaca blog akhawat yang saya sayangi.
Antara blog yang saya suka menjengah ialah hasil tulisan sahabat saya yang aktif di Sheffield.
Ada juga yang sibuk di Ireland.
Tiba-tiba saya teringat dengan Iman. Ya, Iman E105, M05L...
Iman yang latifah dan helwa, semoga terus dengan keimananmu, dan bertambah-tambah keimananmu.

Kosa kata :
Huxley : salah sebuah perpustakaan di the University of Newcastle, kesukaan tuan rumah blog ini.
Latifah : yang lemah lembut
Helwa : yang manis.
Kimian Avenue : tempat tuan rumah blog ini bermukim

mode : Baru balik dari Huxley yang indah pada pandanganku.

Salam ceria penuh kasih dari Kimian Avenue,
29 Oktober 2008

Saturday, 18 October 2008

Dunia oh dunia

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani…


“Assalamualaikum~ Diba~ sori kaco~. Pergi tak kejap lagi ni?”

“Wa’alaikumussalam~. Owh, kalau ada yang pergi kite pun pergi la.”


Begitu antara perbualan awal yang akhirnya segala puji bagi Allah semua ahli rumah 54 Kimian pun menghadirkan diri ke majlis Rumah Terbuka Pelajar-pelajar warga Australia.


Saya pun bergegas-gegas dari Aucmuty Information Centre ke Edwards Hall Forsythes Cellar, tempat berlangsungnya majlis makan-makan anjuran pelajar-pelajar Singapura yang bermurah hati tersebut.


Jalan daripada Evatt House, salah sebuah accommodation on campus, saya lalui. Lebih mudah dan pantas congak saya.


Panas-panas musim luruh ini, masih ada lagi pelajar-pelajar yang rajin bermain tennis di bawah kegarangan mentari petang.

Bisik hati ini tatkala melintasi gelanggang tennis berhampiran Evatt House.

Dari jauh, sayup-sayup muzik kedengaran. Hati ini mula diusik bimbang.

“Masaka~ (Takkanlah~)”


Langkahan yang tadinya deras semakin lemah dibaluti kegusaran.

Telahan saya betul. Ada pesta berlaku di kolam renang berhampiran Forsythes Cellar.

Manusia-manusia tidak berbaju (lelaki tentunya) dengan seluar trunk dan cek mek putih melepak sedang ketawa dan kelihatan bergembira.



Degup jantung ini kencang.

Segera Diba ditelefon.



Huh, rupa-rupanya…

Jalan berbatu kerikil menjadi haluan baru ke tempat yang sepatutnya dituju.

Tidak ,saya tidak tersilap tempat, cuma perlu ditukar jalan masuknya.

Hati yang resah diusap lega.

Alhamdulillah, detik hati.



Ramai sungguh manusia.

Singapura, Malaysia, Indonesia dan mungkin juga Brunei dengan beberapa wajah Mat Saleh kelihatan. Barisan untuk mengambil makanan umpama ular dipalu.


Saya tersenyum melihat wajah-wajah housemate, kakak-kakak senior, Riski yang sudah lama tidak saya bersua muka dan Huiru yang ceria.



Hati saya cukup gembira.Tiba-tiba, respons Amin, salah seorang pelajar tahun satu perubatan University of Newcastle yang turut berada di majlis tersebut mengetuk akal fikir.

“Macam dua buah dunia yang berbeza”

Saya pandang ke luar. Astaghfirullah, memang benar.



Dalam ini dengan suasana yang agak harmoni dan lebih bertamadun begitu berlainan dengan bunyi bising muzik di pesta kolam renang musim luruh. (Saya tidak tahu mengapa pesta itu berlangsung, hanya anggapan saya sahaja. Tidak mereka tidak berdansa seperti di disko. Hanya bunyi bising muzik dan pakaian ‘santai’ mereka sahaja sedikit berbeza- saya tidak perasan sangat).



Itu budaya mereka mungkin. Bergembira mengisi kebosanan hujung minggu di samping bersosial dengan kawan-kawan seuniversiti yang lain.

Terjentik rasa syukur di sudut hati.

Tanpa hidayah dan takdir yang telah Allah tentukan buat diri ini, entah di manalah

tercampaknya sebatang tubuh yang tidak berharga ini.

Fikiran tiba-tiba melayang ke Kolej MARA Banting yang penuh dengan pelbagai memori yang mematangkan.

Kata-kata seorang akhi,



In Islam, we believe that human consist of a body and a soul. Body is where the soul accommodates, but the one that is seen is the soul.”



Lebih kurang begitulah ingatan saya terhadap kata-kata tersebut.

Pandangan Allah pada kita terletak pada mata hati.

Cantik hati kita, cantiklah kita di pandangan Allah.

Kalau hati itu kosong, hedonisme akan mula mengisi kelompongan sekeping hati yang sepi.



Ucapan Riski menarik saya daripada lamunan.

Riski, pelajar wanita muslimah arkitek, warga Indonesia yang tabah hanya akan berada di Newcastle sehingga hujung bulan November.

Hujung tahun ini dia akan pulang ke Indonesia.

Riski yang ditaja IDP Education sememangnya pelajar yang pintar dan pandai membawa diri.

Saya senang dengan keramahannya.

Walau boleh dikira beberapa kali sahaja kami sempat berbicara, namun seolah-olah kami sudah kenal lama.

Ada sesuatu yang mengikat kami di sini.

Apa ya?

Ah~ ikatan aqidah. Indah sungguh saya rasakan.



Apa khabar pula sahabat-sahabat di benua lain?

Insya Allah, kalian tetap di hati.

Wani, Teaks, Hadz, Nazirah, Alia, Adilah, Mai, Muni, dan semua sahabat-sahabat tersayang seringkali mengetuk kotak ingatan.

Lama sungguh rasanya tidak bertanya khabar.

Aimi yang dahulunya ziarah ke Newcastle waktu musim dingin yang lalu tidak berkesempatan saya bertemu kerana saya sudah berada di Melbourne waktu itu.

Menyewa gelanggang serba guna untuk winter games, Melbond di university terkemuka ini.



Namun, Allah rawat kerinduan itu dengan pertemukan saya dengan Nadzirah, rakan M05K yang sedang menuntut di Ireland tika ini ketika berjalan-jalan menikmati permandangan malam di Melbourne.

Kebanyakan kami sihat-sihat tatkala musim dingin (^_^), terutamanya saya.



Sememangnya saya terkejut, orang Ireland di Aussie?

Tapi, itulah rezeki sahabat-sahabat menyimpan untuk melawat bumi Allah.


Oh ya, peperiksaan semakin menghampiri.

12 sehingga 17 November.

Kurang daripada 26 hari kami bakal berjuang di gelanggang pena dan ilmu.

Doakan kami sahabat-sahabat.

Salam perjuangan.


Auchmuty Information Centre,

1550.

Tuesday, 23 September 2008

Lagi berapa hari?

Bismillahirrahmanirrahim...

"Ramadhan, lagi berapa hari ya?"
"Eh, iftar jama'ie lagi ke hari ni?"
"Siapa masak ek hari ni?"
"Kite nak jadi bilal boleh?"

Itulah antara pertanyaan-pertanyaan yang kerap didengari di salah sebuah rumah pelajar Muslimah Malaysia.
Terasa kemeriahan Ramadhan yang disambut kehadirannya dengan hati terbuka.
Ramadhan semakin hari semakin tiba ke penghujung putaran.
Sekarang sudah masuk hari ke 23 Ramadhan.
Mungkin telah hadir Malam Kemuliaan menjengah kita, mungkin kita masih lagi berpeluang?
Kita tidak tahu.

Semakin lama semakin saya sedari bahawa pertanyaan-pertanyaan di atas tidak pernah berubah.
Masih lagi seperti di atas.
Saya terasa ada sesuatu yang kurang...
Hati saya berbisik, masih banyak yang kurang wahai hamba Tuhan...
Akal ini tidak dapat mengenalpasti...
Pertanyaan itu tiba-tiba dilupakan.

You got an offline massage :
Dr. Amalina : http://www.boston.com/bigpicture/2008/09/observing_ramadan.html


Saat itu saya berada di Auchmuty, salah sebuah perpustakaan di universiti ini.
Gambar-gambar itu cantik-cantik semuanya.
Tiba-tiba hati ini terketuk, akal terjentik.
Astaghfirullah....

Ini rupa-rupanya yang dicari-cari.
Selayaknya pertanyaan yang sepatutnya berkeliaran di samping persoalan lazim di atas ialah :

"Berapa juzu' al Quran yang sudah dibaca?"
"Tahu tak hari ini apa yang berlaku di Afghanistan?"
"Semalam betul ke muslimin di China dilarang solat terawikh, ada dalam blog Kempen Penghayatan Ramadhan semalam.."
"Eh, 17 ramadhan ni selain Nuzul Quran ada apa ye?"
dan seribu satu lagi soalan-soalan yang berkisar di kebanyakan muslimin yang sedar.

Di manakah kedudukan iman kita sekarang?
Satu pertanyaan saya tujukan khas untuk diri ini dan sahabat-sahabat sekalian.
Paling penting : "Kaifa imanuk?". "Apa khabar iman kamu?"

Tak mengapa kalau tidak pernah bertanya. Tapi sekurang-kurangnya wahai diri, inilah peluang yang masih ada.
Rebutlah walau waktunya kelihatan sempit.
Kita tidak pernah tahu apa yang tersembunyi dalam kerajaan-Nya.

Di samping itu, marilah kita teruskan berinfak sebagai bukti kita peduli akan keadaan saudara-saudara kita yang tidak pernah jemu dihadapi ujian.
Pelbagai mehnah dan tribulasi menghiasi perjuangan mereka.
Apa peranan kita?
Mudah bagi saya, buat apa yang termampu terutamanya infak dan dalam study.

Sila klik :

ISAC Studio - Eid Charity

Semoga kita semua diberkatinya.






Wednesday, 27 August 2008

Perutusan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahiim.

21 Sya'ban yang lalu, bersamaan 23 Ogos, muslimah Malaysia Newcastle, Australia berhimpun untuk

meraikan kedatangan ramadhan.

Ramai manusia yang hadir: 47 Kimian, 54 Kimian, Kak Rushda, Kak Lin, 61 Uni Drive, Northon Ave, Turana Parade, etc.

Hati ini entah kenapa tidak terselit rasa gugup seperti Izyan.

Namun, selepas lafaz suci bismillah diucap perlahan, hati ini tiba-tiba berdebar.

Alhamdulillah, getaran itu dapat dikawal, dan skrip pun dibaca dengan sejaya mungkin (cuma pencerita sketsa di belakang tabir).

Kedatangan tetamu dari jauh, dari bumi Victoria, Melbourne menghilangkan rindu kepada akhawat Melbourne.

Kak Baie,Kak Lina,Hanan, Intan, Mardhiah dan lapan lagi akhawat Melbourne membakar semangat untuk menyambut kehadiran Ramdhan dengan penuh persiapan, sedaya mungkin.


Peringatan daripada Kak Baie', antara orang kuat Melbourne, menjentik satu kelainan baru untuk bertemu kekasih yang dinanti.

Bagi diri saya, apa yang paling menyentuh hati ialah tatkala suara lunak Izyan dengan jelas dan terang membacakan perutusan Ramadhan :



Assalamualaikum wbt

Kehadapan sahabatku Insan;di Taman Perumahan Dunia,Cakerawala.

Apa khabar sahabat?Moga berada di dalam limpah rahmat Allah dan peliharaan iman hendaknya.

Insya-Allah seperti tahun-tahun lepas,saya akan datang ke Taman Perumahan Dunia untuk menziarah seperti biasa.Seperti ketika tahun-tahun terdahulu.Dah hampir setahun tak berjumpa.Harapnya rindu untuk bertemu itu masih ada.

Teringat pula waktu-waktu ziarah yang sebelum ini.Terutamanya ketika zaman Islam masih tertegak teguh dulu.Masa zaman tu,memang saya disambut meriah.Sepanjang malam orang di sana-sini berjaga hingga ke awal pagi selepas solat sunat tarawih.Ada yang menemankan saya dengan qiyamullail,dengan bacaan al-Quran,dengan segala ibadah seribu satu macam.Sanggup mengorbankan tidur,keselesaan diri dan nafsu untuk benar-benar menghayati kebersamaan dalam ziarah itu.Dan ketika itu,memang semua orang berlumba-lumba ingin membuat kebajikan dengan kehadiran saya,kerana percaya dengan janji Allah yang mereka akan diganjari dengan kebaikan sepuluh kali ganda.Di sana-sini orang melimpah-ruahkan sedekah,melipatgandakan ibadah.Tambah-tambah lagi di hujung sepuluh malam terakhir,semakin bersemarak rasanya ziarah saya dirai.Dan bila tiba waktu meninggalkan Taman Perumahan Dunia kerana Syawal pula hendak datang berkunjung,ramai yang menangisi pemergian.Rindu sungguh dengan waktu itu.

Tapi entah kenapa,bila masa berlalu,terasa berubah pula sambutan penghuni Taman Perumahan Dunia pada kedatangan saya.Terasa seolah makin dingin.Seolah datangnya saya tak lagi diterima dengan tangan terbuka.Entah di mana silapnya.Terasa diri ini datang sebagai tetamu yang tak diundang.Masih terbayang lagi di ingatan,pernah di suatu tahap,kehadiran saya tidak diendahkan langsung.Sudah tiadakah rasa kerbersamaan itu walau sekuman?Kita hanya berjumpa setahun sekali bukan?Hanya setahun sekali menahan lapar dan dahaga bersama-sama untuk merasa perit orang lain yang menderita.Tetapi semasa waktu ziarah itu,kekangan nafsu itu pun telah banyak yang tiada.Ramai yang makan minum di waktu matahari tegak di atas kepala.Tanpa segan silu seolah alah bisa tegal biasa.Sungguh.Ketika itu seolah kehadiran saya wujudnya tiada.Tiada yang meneman,tiada yang melayan.Malam-malam yang dulunya meriah dengan tadarus al-Quran dan solat malam,telah disesarkan oleh gegak gempita jeritan di plasma skrin gergasi melihat bola sebiji yang ditendang dikejar di tengah padang.Sungguhkah ziarah tahunan ini tiada siapa lagi yang menantinya?Sungguhkan saya akan berseorangan sepanjang sebulan itu tanpa berteman?

Insan sahabatku,ziarah kali ini harapnya saya tidak lagi ditinggalkan sendirian di rumah ketika kalian yang lain sibuk dengan hal-hal sendiri.Harapnya dapat diluangkan sedikit masa bersama-sama saya sekali.Mungkin dapat kita hidupkan kembali waktu di mana manusia berlumba menimba pahala. Waktu di mana penghuni Taman Perumahan Dunia masih lagi menerima kedatangan saya dengan tangan terbuka.Waktu di mana datangnya saya dinanti dan pemergian ditangisi.Mungkinkah Insan?

Insya Allah saya akan tiba minggu hadapan dan seperti biasa tinggal selama sebulan.Jangan hampakan saya,sahabat.Moga ziarah kali ini bermakna dan di bawah rahmah Allah.

Salam,

Ramadhan al-Mubarak


Semoga kita dapat sesuatu daripada blog ini minggu ini.


Selamat Menyambut Ramadhan dengan ceria dan penuh penghayatan~!

Tanbih : Abdur Rabbi wa la Abdur ramadhani.


P/s : Jazakillah khair buat ukhti tersayang Wanie. Ana masih di sini alhamdulillah sihat wal'afiat (^_^)

54, Kimian Ave

Closing tutorial 6


Monday, 4 August 2008

Langkah kami

Pertemuan ini atas takdir-Nya

mencoret 1001 lukisan

di kanvas memori

mencambah bibit ukhuwah

yang masih mekar di sanubari

Bersama2 kita menaut rindu

jalinan kasih

membisikkan sebuah rahsia

hanya kita yang tahu

untuk dibawa angin lalu

Rahsiaku...

senyumanmu melerai gundah

tuturmu membelai jiwa

akhlakmu mempesona raga

Kita terus berpimpinan

meredah kelukaan sebuah perjuangan

Siang berlalu,

malam berlabuh

begitulah sunnatullah yang terus menyapa

Kita tahu sedari dulu

bahawa perpisahan itu adalah kesakitan yang rahsia

ia adalah sebuah kelangsungan

yang tidak pernah mungkir

pemergian pasti akan melukai hati

rawatlah ia

dengan selautan kasih dari Ilahi

Mengertilah ukhti...

kuharap ukhuwah ini tidak akan sirna

sebagaimana setianya

Abu Bakar di samping

kekasih-Nya mulia

kita terus melangkah

ke puncak halawah

menghirup sacangkir rahmat

agung-Nya

supaya sinarnya mengiringi

derapan mujahidatan

menghidupkan sebuah impian

kebahagiaan fana’ dan baqa’

Terima kasih teman

kerana setia menyokong rebah

kesan limpahan kasih-Nya

buat hamba hina...

Luahan hati buat akhawat tersayang yang sering memberi sebuah kekuatan walau sudah lama tidak melihat sinar mata kalian.

54 Kimian, NSW

Monday, 14 July 2008

Hari Semalam

23 Jun 2008, North Road-Clayton

Ketibaan kami malam itu disambut dengan kedinginan Melbourne yang
sudah dijangka.
"Assalamualaikum, akak Kak Lin...akak Kak Lina....akak Kak Kerry"
Tiga orang mujahidah Clayton dan City menghangatkan tubuh kami dengan sambutan yang begitu mesra.

Perjalanan yang melebihi 40 minit dari lapangan terbang ke Baitul Abrar begitu menggugah hati saya.
Begitu mudah akhawat ini mengorbankan minyak kereta yang begitu hangat kenaikannya beberapa minggu dahulu. Sanggup berulang-alik demi menyambut kehadiran kami.

Begitulah apabila iman sudah mula beraja dalam hati, semua yang kelihatan sukar pada mata manusia dan hitungan rasional mereka hanya satu laburan menuju redha Ilahi, insya Allah.

Akhirnya kami sampai juga ke North Road, rumah satu tingkat yang begitu selesa lagi menyelesakan.
Dengan ahlul bait sebanyak empat orang,
Kak Lily, Kak Ncbact,Kak Adeeb dan Kak Aimi yang menerima kehadiran kami dengan hati yang lapang.

Wajah tiap ukt saya teliti; tiada tergambar rasa letih mahupun berat hati.
Kesenangan menerima kehadiran kami terpancar daripada tiap pandangan mata.

"Alhamdulillah kehadiran akhawat-akhawat semua kami terima dengan hati terbuka.
Anggaplah akhawat semua umpama muhajirin yang sudah kepenatan berjalan jauh dari Newcastle. Kami pula golongan ansar yang menyambut kedatangan akhawat semua.
Jazakillah khair kerana sudi datang untuk membuka peluang kepada kami di medan amal."

Begitulah Kak Lily berbicara, dengan sinar mata yang menembus jiwa.

Hati ini diresapi kehangatan yang sukar digambarkan walau diselimuti kedinginan bandar Clayton yang dipenuhi kemesraan mua'amalah sesama akhawat.
Apalah sangat kepenatan yang saya rasa sebenarnya, tetapi kesudian Sohibul Bait (tuan rumah) menerima kehadiran rombongan Newcastle benar-benar menjadi benih mencambahkan ukhuwah antara kami.

"Orang Newcastle memang selalu bermukim di Clayton, memang kamcenglah," begitu komen salah seorang kakak penyayang Newcastle, entah kak Hani, entah Kak Mel yang meluahkan.

17 hari saya bermukim di Melbourne, dari Calyton ke City Melbourne terus ke Mount Buller dan berulang -alik antara dua bandar tersebut, semuanya dipenuhi oleh semangat dzatiyah yang tinggi.
Bukan rombongan kami yang banyak berkorban kerana pada saya tiada yang lecehnya bergerak dari North Road ke Prince Street ke Arden ke Nico kerana tiap kali kaki ini melangkah ke dalam rumah-rumah mereka, tidak pernah rasa tidak senang bertandang dalam hati.

"Buatlah macam rumah sendiri."
Kata -kata yang sememangnya lazim diucapkan tuan rumah, namun pembuktian yang lebih bermakna.
Dan sememangnya seperti rumah sendirilah saya perlakukan (dengan adab-adab sebagai seorang tetamu, insya Allah)
Layanan yang diberikan tidak pernah kurang walau sedikit.
Pengorbanan akhawat Melbourne dan akhawat senior Newcastle menjaga saya dan kawan-kawan mengajar banyak erti kasih sayang, ithsar (melebihkan sahabat daripada diri sendiri).

Apa erti pengorbanan mereka selama berbelas-belas hari junior-junior Newcastle bertandang di sana jika kami kembali melepek seperti dahulu? Kadang kala hati ini berbicara.

"Akak mahu kalian semula didorong oleh rasa kefahaman yang utuh, bukan semangat semata-mata kerana semangat akan mati pada penghujungnya jika kefahaman tidak menemani." jelas Kak Baie' dalam salah satu tazkirah wida' di Baitul Abrar.

Saya sungguh-sungguh berdoa agar kami semua tsabat mencari redha Allah.
Sangat mengharap agar terus tsabat.
Itu harapan saya.

Huxley Library, 1546 petang

Monday, 12 May 2008

Ruang Kosong

Semalam yang hening mendesak hati untuk menjadi lebih syahdu.
Suntikan virus influenza daripada klinik universiti tiba-tiba menyanggah tiap urat rasa.
Daripada sedikit pening, melarat kepada sedikit rasa perit di anak tekak, merebak kepada
demam-demam ringan.
Allah, sungguh tidak diduga ujian ini.
Mungkin berbulan-bulan badan ini dikurniakan kesihatan, sampai lupa menghargai.
Hanya mampu berdoa moga Allah permudahkan.
Teringat kisah Nabi Ayub A.S yang enggan berdoa untuk sembuh kerana rasa malu yang teramat kepada Maha Pemberi Anugerah, mendorong diri ini untuk turut mencipata rasa malu pada yang selayaknya.

Malam itu entah tidak semena-mena air mata ini tumpah terkenang ummi di rumah yang penuh mahabbah.
Terasa-rasa tiap sentuhan kasihnya mengusap-usap ubun-ubun yang membahang.
Terdengar-dengar pujukan keibuannya meresap ke dalam dada.
Terbayang-bayang mesej daripada ummi :
'Nurul kata nak menangis masa kat airport,
takpun. Ok je ummi tengok.
Takpe, insya Allah nanti kite jumpa lagi.'
Mata semakin memberat.
Otak tidak mampu berfikir ligat.
Ruh melayang dari jasad.

Apabila terkenang kembali peristiwa tiga hari lalu,
minda ini lantas terfikir, betapa luas kasih sayang Tuhan buat kita.
Sungguh hakikatnya kita ini hanya hamba hina,
tidak layak merungut lebih lagi menabur nista,
namun kita ini sentiasa dalam jagaan-Nya.
Sentiasa dalam dakapan rahmat-Nya (insya Allah).
Sehinggakan luahan rasa daripada lubuk hati yang paling dalam,
yang diri ini juga tidak mampu menyedari,
diterjemah dalam suasana yang cukup romantis.
Penuh dengan luahan cinta yang diingini,
daripada seorang anak kepada ibunya.

Masya Allah, begitulah romantisnya Yang Maha Pemberi.

Huxley Library, 12 May 2008

Thursday, 1 May 2008

EMPAT BENUA

Sekumpulan wanita kelihatan riang berbicara.

Shortland Hub menjadi pilihan pertemuan pertama.

Samoa, Yugoslavia dan Malaysia.

4 wanita daripada benua berbeza.

Kemesraan yang tercipta diheret ke sebuah isu yang telah lama menyesakkan dada Moana.

Pembebasan wanita.

Dia menyatakan kekesalannya kerana terkurung di bawah sebuah budaya yang begitu tertutup.

Tonga, sebuah kerajaan monarki, dalam lingkungan kejiranan New Zealand dan Samoa, masih pekat dengan nilai-nilai kebudayaan dan adat lalu.

Kadangkala kebudayaan yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Kesedihan dan ketidakpuasan hati dipendam.

Dikambus dengan harapan tidak akan timbul.

“Kamu mesti pandai menjaga keluarga.”

“Rambutmu tidak boleh dipotong.”

“Anak pertama mesti lelaki”

“Kamu tidak boleh menyuarakan apa yang tidak menyenangkan hatimu.”

“Terima sahaja apa yang diberi.”

Anak-anak kecil mudah sahaja menerima arahan tersebut.

Tiada apa yang pelik, itu budayaku, itu adat yang mengalir dalam nadi bangsaku.

Namun, fikiran yang bebas tidak mampu disekat oleh sebuah budaya yang dipandangnya kolot.

Sehingga dia menjadi asing dalam kelompok sendiri.

Dia mencari-cari tempat keluar.

Maka universiti menjadi tempat meluahkan rasa.

Kepada kelompok manusia-manusia yang memahami.

Itu cerita Moana.

Kadangkala dalam kalangan masyarakatnya sendiri, dia rasa terkongkong.

Anne-maree terkadang mengangguk mengiakan.

Terkadang dia hanya memerhati kerana dia juga sebahagian daripada masyarakat Moana.

Dalam dirinya mengalir darah dari Tonga dan Australia.

Yvette hanya tersenyum.

Setiap masyarakat ada ceritanya yang tersendiri.

Generasi yang mendukung budaya masyarakat di Yugoslavia pun apa kurangnya.

Neneknya juga berfikiran tradisional.

“Perempuan mesti berada di dapur akhirnya”

“Apa perlunya pelajaran setinggi bangunan pencakar langit?”

“Hidup ini memang akan bergantung kepada lelaki.”

Namun generasi moden kini hanya memandang sepi cerita lalu.

Tiada apa yang menguntungkan mereka katanya.

Saya di Malaysia membesar sebagai orang Melayu.

Masyarakat yang punya cerita yang lebih kurang sama dengan masyarakat di Tonga.

zaman dahulu,

“Perempuan hanya di dapur, tidak perlu belajar tinggi-tinggi”

“Kadang-kala orang nak lelaki sebagai anak pertama.”

Wanita kelihatannya seperti tertindas di mata Barat.

Mungkin di mata masyarakat saya sendiri juga, sebagaimana saya pernah melihat kedudukan wanita dalam masyarakat Melayu.

Namun,tegas saya

“Apabila kami memahami agama yang kami anuti.

Agama yang memuliakan wanita.

Tiada yang lebih antara kedua-duanya, baik lelaki mahupun wanita di mata Tuhan.

Kebanggaan keluarga bukan terletak pada anak lelaki sulung.

Bahawa wajib bagi setiap muslim dan muslimah untuk menuntut ilmu demi meningkatkan diri, demi mengenal Tuhan.

Bahawa wanita itu tinggi nilainya di sisi agama.

Maka asimilasi budaya pun berlaku.

Jika masih ada manusia yang berfikiran lalu,

Itu hanya tiada anjakan paradigma yang berlaku kepada mereka.

Anjakan kuantum yang mengubah sejarah masyarakat.”

Namun, saya menyayangi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.

Baju kurungnya yang sopan.

Menghormati orang tua.

Senyum menyapa sesama saudara.

Atau mungkin itu sememangnya diceduk daripada budaya Islam?

Biarkan, sementelahan itu yang seeloknya.

Apa perlunya perdebatan yang sementara yang tidak menguntungkan sesiapa pun, fikir saya.

Pertemuan pertama

Meransang minda saya bermonolog.

Kebanyakan budaya menindas wanita.

Penindasan yang meluas;

Pemikiran atau pendidikan atau kedudukan.

Baik di Tanah Melayu, Yugoslavia, Tonga, China, Eropah.

Terselit kenyataan pahit itu walau mungkin cuba disorokkan mahupun dilupakan.

Satu keNYATAan yang diri ini pasti:

Kedatangan Islam melindungi wanita.

Kedatangan Islam mengangkat martabat wanita.

Kedatangan Islam memBEBASkan wanita.

PemBEBASAN sebenar.

Daripada perhambaan kepada lelaki, kecantikan, kosmetik,fesyen......(senarai yang berterusan)

Kepada perhambaan yang sebenar.

Mencari reda Allah Robbul Jalal.

Tidak perlu berpening-pening mencari klik masing-masing.

Klik kepada keredaan Allah, maka tenanglah hati.

Ini bukan cerita lalu,

Ini bukan cerita tipu,

Ini satu ingatan buat diriku

dan saudari-saudariku.

Mungkin juga buat saudara-saudaraku.

Ma’at taufiq wannajah fil imtihan.

Moga perjuangan kita mendekatkan kita kepada Allah

Mengukuhkan keyakinan kepada janji-janji-Nya.

Salam perJUANGan.

Kimian Avenue

1 Mei 2008

Thursday, 10 April 2008

Techno-savvy



Alhamdulillah, cuti telah bermula secara rasminya pada petang 4 April yang lalu.

Petang Jumaat yang penuh barakah, penuh kemuliaan,

Kurniaan Allah buat hamba-hamba-Nya.

Genap sudah takdir Allah menentukan, dua bulan yang penuh dengan mawaddah,

menjadi tunjang pembinaan diri di Newcastle.

Sejenak memori minda menyelak tabir tazkirah Malam Ukhuwwah.

Malam Ukhuwwah kedua di negara asing ini.

Membuka sebuah kisah cinta baru antara hati-hati yang merasakan keindahan sebuah kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata namun melangkaui waktu dan ketika.

Inilah kisah iman dan perjuangan.

Kak Yani, pelajar perubatan University of Newcastle itu memang pandai berbicara.

Seringkali butiran hikmahnya mendengungkan deria dengar dan menyentakkan diri ini daripada lena.

“ Your RELIGION is so Techno-Savvy

“What make you said that?”

Begitulah butiran awal perbualan antara Kak Yani dan seorang rakan sepengajiannya yang menjentik hairan di benak fikir.

“Awaitnya techno-savvy? Nurul ni pun buta IT...” hati ini berbicara sendiri.

Mungkin bukan diri ini sahaja yang mengerutkan kening rasa-rasanya.

“Techno-savvy?” seolah-olah kedengaran Ain di hadapan berbicara.

“Yes, TECHNO-SAVVY... This is because your prayer is WIRELESS.”

Wireless : Radio-based systems that allow transmission of information without a physical connection, opposed to transmission systems, that require a physical connection, such as copper wire or optical fiber.

“You can pray wherever and whenever you want.”

“Owh...betul jugak~”

Cerita yang disampaikan Kak Yani menyebabkan diri ini berfikir panjang.

Apa kata survey?

Kimian Avenue,

7th April 2008, Monday.