Tuesday, 24 November 2009

Papan hitam


7 Zulhijjah 1430, 24 November 2009, Selasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya pandang sungguh-sungguh wajah ustazah Fatimah di hadapan.
Ummi pesan, mesti tumpukan perhatian dalam kelas dan jangan layan kawan-kawan yang suka ajak berbual masa guru tengah mengajar.



'Wahidun - satu'
'Isthnani - dua'
Tsalatsatun - tiga'
'Arba'atun - empat'
'Khomsatun - lima' .....

Saya, Hajar, Solehah, Ruqayyah, Hazwan dan beberapa murid tahun satu cepat-cepat menghafal.
Bertanding siapa yang paling cepat dapat menyalin tulisan-tulisan kapur di papan hitam dan menghafal sekaligus agar tidak berdiri di atas kerusi nanti.

'Baiklah, ikut sebutan ustazah ramai-ramai. Lepas tu ustazah bagi masa lima minit untuk hafal.'

Lima minit telah berakhir, dan dengan rasa berat hati, buku tulis ditutup dan kami seramai lebih kurang lima belas orang pelajar tahun satu berdiri di tempat masing-masing.
Saya menggerakkan mata ke seluruh kelas, ada yang malas berdiri, ada yang memejam mata masih menghafal, ada yang wajahnya tampak bersemangat, tidak gentar bakal ditanya nanti.

Hari ini saya berazam mahu menjadi orang pertama duduk!

'Baiklah, sekarang ustazah tanya ye. Apa nombor lima dalam bahasa Arab?'

Serentak kedengaran beberapa suara bersemangat sahut-menyahut.
'Saya ustazah!'
'Saya! Saya!'
'Saya tahu! Saya tahu!'

'Baiklah, Hajar, ustazah nampak Hajar paling cepat angkat tangan.'

Hajar tersenyum lebar, saya terasa kelat. 'Tak tercapai agaknya azam hari ni...', bisik hati saya.

'Khomsatun ustazah!' jawab Hajar lantang.
'Toiyib! Ijlisi ya Hajar!' (Bagus! Duduk ya Hajar!)
'Ala...' rungut hati saya.

'Soalan seterusnya... tis'atun tu, berapa dalam bahasa Melayu?'
Dengan pantas saya mengangkat tangan, 'Sembilan ustazah!'
'Toiyib! Ijlisi!'

Saya pandang Hajar dan kami saling tersenyum.
Ustazah juga tersenyum senang melihat tullab (pelajar) tahun satunya begitu bersemangat mengangkat tangan walaupun tidak semuanya betul.

Itulah Ustazah Fatimah, guru kelas kami.
Saya hanya mampu tersenyum manis mengenangkan kenangan lalu.
Ustazah Fatimah umpama Bu Mus dalam novel dan filem Laskar Pelangi.
Wajahnya lembut penuh keibuan. Dia berkaca mata dan mungkin berdarah jawa ataupun bugis.
Ustazah Fatimah antara guru pertama dalam hidup saya, mengajar dengan penuh kesabaran dan ketegasan.
Pengkhususannya ialah Bahasa Arab. Sejak detik itulah, saya jatuh cinta dengan bahasa indah ini.

***********************************
Novel Laskar Pelangi dan DVD milik Kak Yani (yang kami ahli 54 Kimian akhirnya dapat menonton ramai-ramai setelah habis musim peperiksaan) membuatkan saya mengimbau kembali satu perjuangan pendidikan di kampung.
Keseluruhan hidup saya, saya membesar di Muar. Dipanggil Muo oleh orang-orang tempatan.
Lebih tepat lagi, keseluruhan zaman kanak-kanak saya habiskan di Parit Kassim, Parit Jawa, Muar.

Saya masih ingat rayuan saya pada ummi.
'Ummi, nanti Nurul nak sekolah yang pakai tudung boleh?' sebab pada itu saya merasakan sekolah tadika saya ketika itu menyusahkan kerana tidak bertudung. Saya rasa rimas.
'Ok, tahun depan nanti insya Allah ummi sekolahkan Nurul kat sekolah semua wajib pakai tudung,ok?' janji ummi.
'Ok!' saya tersenyum lebar.

Waktu berlalu dan tahun 1993, saya berusia enam tahun.
Semalam ummi panggil saya dan dudukkan saya di birai katil.
'Nurul ingat tak Nurul minta ummi buat apa?'
Saya terkebil-kebil. Saya tidak ingat.
'Esok, nanti Nurul pergi sekolah baru. Sekolah yang Nurul nak tu. Yang ummi janji dengan Nurul tu. Ingat tak?'
Muka saya berseri-seri mendengar kata ummi.
Ah, ummi sentiasa menepati janji. Sentiasa berusaha menghiburkan hati anak kecilnya ini.
Rupa-rupanya ummi sentiasa punya rencana untuk anak-anaknya.

'Ummi, nanti Nurul ngan Iqa sekolah sama-sama la kan?' saya bertanya lagi.
'Ye, nanti petang nanti kite jumpe Pak Mat. Nanti pagi-pagi Pak Mat ambil Nurul ngan Iqa pergi sekolah. Pukul 12.45, habis sekolah, Pak Mat ambil balik. Jangan pergi mana-mana, tunggu je dekat sekolah. Ikut kata Pak Mat ok?'

Petang itu jugalah, saya dan adik bertemu Pak Mat. Lelaki dalam lingkungan 70-an. Baik dan tidak garang dalam hemat saya tatkala itu.

Itulah rencana ummi, satu-satunya ummi saya dunia dan akhirat.
Ummi waktu itu sedang sibuk membesarkan tiga orang anak, saya, Iqa dan Faiz yang baru berusia beberapa bulan, di samping mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Muar (terletak berhampiran Bandar Maharani, berbelas-belas kilometer dari Pekan Parit Jawa).
Sekolah ini mempunyai rantaian daripada tadika sehinggalah sekolah menengah.
Ummi punyai sebuah pelan, mahu menyekolahkan anak-anaknya di sekolah yang didasari pendidikan Islam, sungguhpun ummi pengajar di sebuah sekolah antara sekolah elit di Muar.

Ummi tekad menyekolahkan kami di Sekolah Agama Rakyat (SAR), menongkah arus di celah-celah pandangan umum masyarakat kerana pada ummi, dengan dasar agama yang kukuh, insya Allah, anak-anaknya mampu berdiri teguh walau dihantar ke mana sekali pun.

Pandangan kebanyakan masyarakat tika itu terhadap sekolah agama rakyat masih penuh pesimis. Kebanyakan mereka menganggap Sekolah Agama Arab At-Tanwiriah atau dipanggil kami Madrasah Arab At-Tanwiriah, hanyalah sebuah sekolah kampung yang kebanyakan pelajar-pelajarnya tidak akan mampu pergi lebih jauh. Mungkin sekadar menjadi tenaga pengajar di sekolah yang sama sahaja atau paling tidak pergi ke Mesir belajar agama. Waktu itu, panggilan ke universiti-universiti tempatan ataupun luar negara seperti negara-negara barat lebih menggiurkan mereka.

Namun ummi dan banyak ibu bapa lain tidak mempedulikan pandangan masyarakat umum dan nekad bersama-sama para guru yang cekal menghidupkan madrasah yang diasaskan Ustaz Hasbullah.
Maka, bermulalah perjalanan saya mengecapi manisnya ilmu di sekolah sedang itu.

Ustaz Hj. Hasbullah Hj. Salleh

***************************************

Sekolah saya sekolah papan. Hampir sama sahaja dengan gambaran sekolah Muhammadiyah Gantong. Dibina atas dasar ukhuwwah sesama muslim di pekan itu.
Hanya ada satu bangunan sahaja di sana. Di situlah, terletaknya kantin, pejabat, kelas-kelas tahun satu hingga enam, tingkatan satu hingga tiga mengikut ingatan saya, dan tandas. Setiap tahap hanya ada satu kelas. Setiap satu kelas mempunyai pelajar dalam lingkungan sa hingga dua puluhan. Dua puluhan itu dikira cukup besar bagi satu-satu kelas.
Dengan wang saku seringgit pemberian ummi dan ayah, saya dan Iqa dapat membeli mi siput, mi goreng besar, ais krim, air sirap atau kuih. Saya rasa cukup bahagia.

Waktu persekolahan bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir mengikut tahap kelas. Tadika paling awal, diikuti dengan sekolah rendah dan akhirnya sekolah menengah sesuai dengan bilangan mata pelajaran yang diikuti. Saya tidak ingat bagaimana aturan kelas, namun yang pasti dapat memuatkan kami semua dalam sebuah bangunan yang sama.

Waktu pagi persekolahan, kami mulakan dengan asmaul husna, ikrar pelajar (i.e Roditu billahi rabba, wa bil islamidina, wa bimuhammadin nabiyau wa rasulaa ; relalah aku berTuhankan Allah, beragamakan Islam dan bernabikan Nabi Muhammad SAW), serta selawat Nur. Waktu itu, saya hanya menghafal, tidak langsung memahami erti tiap kata tersebut. Selepas ucapan Guru Besar, kami dengan sedaya upaya tertib, agar tidak berebut-rebut bergerak masuk ke dalam kelas.

*******************************************

Tadika enam tahun, saya belajar lebih serius, kerana di tadika kemas dahulu, saya banyak menyanyi, berdoa dan tidak mempedulikan sangat huruf-huruf mahupun nombor-nombor yang diajar guru. Keseriusan saya itu menyebabkan saya dapat menyanyikan ABC dengan lebih baik dan hanya huruf 'e' , 'b' dan 'd' sahaja yang terbalik (saya keliru antara d dan b, manakal e pula saya menuliskannya seperti melihat di dalam cermin).

Guru kelas saya cikgu Azizah. Berkaca mata dan mempunyai anak yang mengikuti kelas yang diajarnya. Saya tidak ingat nama anak lelakinya itu, tapi memori saya mengatakan dia anak yang nakal dan lincah, sering bermain-main sungguhpun ibu sedang mengajar di hadapan. Saya rasa tidak betah dengan kelincahan anak itu dan sering rasa kasihan dengan cikgu Azizah. Dia seorang guru yang penyabar, mengajar anak didiknya huruf konsonan dan huruf jawi serta perbezaannya dengan huruf arab hijaiyyah (alif hingga ya).

Waktu pengajaran solat, kami bercampur dengan kelas sebelah yang dijaga oleh Cikgu Aisyah. Cikgu Aisyah mempunyai seorang adik sebaya saya. Namanya Nurul Jannah Ishak dan dia seorang pelajar bijak sering mendapat markah penuh dalam bahasa Inggeris. Cikgu-cikgu itulah yang mengajar kami cara mengambil wudhu dengan betul dan menunaikan solat serta bacaan-bacaan solat. Itulah ajaran awal kami mengenal Ilah.

****************************************************

1994 saya di bawah jagaan Ustazah fatimah yang pandai bercerita. Beliau sering bercerita tentang azab orang yang suka meninggalkan solat selepas bertanya siapa yang bersolat subuh, zuhur, asar, maghrib, isya' pada setiap hari. Kadang-kala ustazah bercerita rakyat. Tentang sang monyet dengan buaya, dan sang harimau dengan kucing.

Saya seorang anak yang malas dan kadang-kadang degil, liat mahu mengerjakan solat. Saya lebih rela menonton Doraemon, mahupun Power Rangers daripada solat jemaah maghrib dengan ayah dan ummi. Bila tiba azan maghrib, saya cepat-cepat mengambil wudhu' dan bersolat sendirian di dalam bilik, agar tidak ketinggalan Nobita, Giant, Sizuka, Sinyu serta Doraemon yang penuh keajaiban terutamanya pintu suka hatinya itu.

Namun tiap hari ustazah rajin mengingatkan kami, bahagia orang yang tidak meninggalkan solat. 'Ganjarannya syurga dan anak-anak semua boleh minta apa sahaja yang anak-anak mahu. Coklat, ais krim, mainan..' pancing Ustazah Fatimah.
Wah~ bersinar-sinar mata kami, berbunga-bunga hati kami.
Masing-masing berangan-angan mahu poket ajaib Doraemon dan teddy bear.

Ustazah yang bijak lalu mengumpan kami lagi.
'Tapi, Allah akan murka sangat kalau orang tinggalkan solat.'
Muka saya berkerut, seolah menyatakan, 'Murka tu apa Ustazah?'
Ustazah yang arif seakan dapat membaca fikiran saya dan kawan-kawan.
'Murka tu marah yang teramat. Sangat-sangat marah. Macam marahnya mak awak semua kalau malas nak tolong dia atau pecahkan barang-barang kat rumah.'

'Allah akan hantar kala jengking sengat kita, ular hitam yang sangat besar lilit-lilit kita sampai kita rasa nak mati lagi sekali. Lepas tu, kubur kita yang sempit itu akan semakin menghimpit kita sampai remuk tulang belulang. Lepas tu, datanglah pula malaikat Munkar dan Nakir bertanya kita kenapa tidak solat dan sebat-sebat kita sebab kita malas solat.'

Saya dan kawan-kawan gerun mendengar cerita ustazah. Nekad tidak mahu meninggalkan solat.
Balik rumah, kartun-kartun import Jepun, Kluang Man, Yokies setiap petang dan hujung minggu tidak mahu dipandang lagi.
Namun insan mudah terlupa, kedegilan pun berulang kembali. Ustazah pula tetap setia mendidik kami.

*******************************************

Sekolah kami di kiri dan belakangnya semak belukar. Berjiran dengan rumah sebuah keluarga di hadapan, manakala di belakangnya berdekatan dengan bengkel Sulaiman, milik ayah Aliza Sulaiman, salah seorang kawan sekelas.

Sekolah kami tiada padang, tiada makmal. Berdekatan dengan sekolah kami ialah sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Jawa yang penuh kelengkapan. Tapi kami, pelajar tahun satu At-Tanwiriah tidak peduli. Pada kami, sekolah kami itulah yang istimewa sungguhpun serba kekurangan.

Saya dan rakan sekelas di ajar Tauhid, Feqah, Sirah, Nahu, Sarf, Tajwid dalam bahasa Arab. Di samping itu juga, kami belajar Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Semakin kami meningkat usia, semakin terasa cabaran menimba ilmu. UPSR wajib diduduki pada tahun enam nanti. Ramai di kalangan kakak-kakak dan abang-abang mendapat 2 dan 3 A dalam sekolah yang kurang fasiliti itu.

Dalam desakan akademik yang semakin nyata, saya dan kawan-kawan tetap begitu.
Setiap ajaran guru terasa sangat menarik. Kalau ditanya subjek kegemaran, pastinya Bahasa Arab, Saraf dan Tauhid saya pilih. Hajar pula, sangat meminati matematik, cekap dan tangkas mengira, sementelahan pula mengikuti kelas abacus. Saya, Hajar dan Hazwan sering berlumba-lumba untuk mendapat markah penuh dalam peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun.

Waktu yang sama, sekolah semakin berkembang berkat doa para guru dan sumbangan masyarakat setempat. Semak belukar ditebas untuk membangunkan dua buah bangunan baru.
Saya masih ingat betapa berharapnya saya agar kelas kami dapat ditukarkan ke bangunan baru itu rentetan tahun lima sudah berpindah masuk ke kelas baru. Saya membayangkan kerusi dan meja baru, papan hitam baru, lantai baru, kipas baru, dinding yang dicat baru serta segalanya yang serba baru. Saya teruja.

Ustaz dan ustazah sekolah juga semakin ramai. Saya masih ingat ustaz Khuzaimi, Ustaz Roslan, Cikgu Ungku Jamiah, Ustaz Isa, Ustaz Daud, Ustaz Marbawi, Cikgu Zaharah, Ustazah Zaharah, Ustaz Mat Nor dan barisan guru yang tidak pernah kenal erti jemu mengajar kami di sekolah.

Saya dan rakan-rakan menjadi harapan para guru untuk menukar imej sekolah kerana kehebatan dinilai pada bilangan A.
'UPSR perlu usaha untuk dapat lima A,' pesan ummi pada saya, 'agar terbalas jasa ustaz ustazah dan biar orang tahu bahawa pelajar sekolah agama boleh berjaya asalkan rajin usaha.'
'Buktikan pada kawan-kawan tuisyen, pada Cikgu Adam yang jaga Nurul jadi anak murid tuisyen, pada pakcik makcik, pada sekolah-sekolah lain yang pelajar sekolah kampung juga boleh dapat lima A.'

Ummi membakar semangat, ayah rela melawan penat mengajar seharian menghantar saya tuisyen di rumah cikgu Adam Adas, guru besar SRK Batu Dua. Ustaz ustazah terus setia mengajar kami yang lemah dan suka bermain-main. Ustazah Fatimah, Ustazah Zaharah, Cikgu Zaharah, Cikgu Ungku Jamiah, Ustaz Isa, Ustaz Daud, Ustaz Marbawi, Ustaz Abdullah, Cikgu Roziana terus memberi keyakinan mengajar kami dengan sesungguh-sungguhnya. Sabtu dan ahad, saya berkayuh basikal ke Parit Payung untuk tuisyen matematik bersama-sama cikgu Norizan yang kelakar. Pedulikan pandangan sinis, kerana di situ sebuah perjuangan pahit manis diteguk.

*****************************************

Hidup saya dibentuk oleh banyak guru. Bermula dengan ummi dan ayah yang juga guru.

Masa muda, ayah agak garang, walaupun saya jarang dirotan. Selalunya Faiz, dan adik-adik yang berani melawan akan bertemu dengan penyidai baju di tangan ayah. Sungguh pun demikian, peristiwa pertemuan dengan penyidai baju jarang berlaku, kerana dengar sahaja ayah akan tahu perbuatan nakal, maka kami mencicit-cicit lari berbuat baik. Bab-bab makan kegemaran, ayah rajin membelikan untuk kami di pasar lambak berdekatan Pasar Parit Jawa. Keropok lekor kegemaran Iqa, air tahu/soya kegemaran anak sulungnya, nugget ayam/hotdog kesukaan Faiz, kuih kole kacang kegemaran ummi dan apa-apa sahaja permintaan Biha dan Syifa' dipenuhinya. Ayahlah yang mengajar kami membaca al-Quran selepas solat maghrib berjamaah dan memantau kegiatan solat harian kami.

Ummi pula memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan peribadi dan keyakinan diri. Ummi yang sering memujuk bila kawan-kawan sekelas lelaki mengejek-ngejek saya kerana badan yang besar dan mata yang sepet. Ummi rawat kembali hati yang terluka dan membina kembali harga diri yang jatuh.

Ummi tahu, saya sedang berkira-kira membina keyakinan diri kerana sering dibandingkan dengan kecomelan adik-adik yang lain (i.e krisis identiti dan jati diri) dan kerisauan tentang tahun menghadapi UPSR 1999. Sepanjang tahun 1993 hingga 1999, saya mendapat lagi tiga orang adik; pada Disember 1993, September 1995 dan April 1998 tidak dikira kandungan yang gugur. Dalam kesibukan mengurus anak-anak, ummi diberi kelebihan oleh Allah mengurus perkembangan emosi yang sering dilepas pandang sesetengah ibu bapa. Sungguhpun demikian, jiwa anak mentah sering merasakan ummi bersikap tidak adil dan berat sebelah, astaghfirullah, betapa berdosanya anak-anak meresahkan hati ibu bapa.

Seperti lazimnya, seperti sahabat-sahabat yang mungkin pernah alami, alam persekolahan merupakan antara zaman yang paling indah dalam peta kehidupan seorang insan. Guru-guru merupakan antara tunjang utama pembentuk akhlaq pelajar, begitu juga cikgu-cikgu dan para ustaz ustazah sekolah kami.

Ustazah Fatimah, persis seorang ibu yang memahami. Menyemai rasa cinta terhadap sekolah dan bahasa Arab, bahasa Jannah.
Ustaz Isa sangat penyantun dan lemah-lembut orangnya, mengajar kami tauhid dengan penuh sabar rentetan kenakalan kami. Tidak salah jika saya katakan, ustaz Isa membawa nama Isa dengan sangat baik.
Ustaz Daud pada ingatan saya sangat istimewa di hati kami pelajarnya. Ustaz Daud juga sangat budiman orangnya. Mengajar mata pelajaran sorof dengan sepenuh hati sehinggakan pemergian ustaz untuk menyambung pelajaran kami raikan dengan hati yang berat.
Ustaz Marbawi pula menyemai rasa suka pada berzanji dan hadith. Ustaz Marbawi dengan kredibilitinya mampu memukau kami agar bersungguh-sungguh belajar hadith diselang-selikan dengan terjemahannya tentang berzanji.

Para pendidik Sekolah Agama Arab At-tanwiriah

Itulah sebuah sekolah yang diperjuangkan atas dasar pendidikan Islam yang melalui pelbagai cabaran dan dugaan dalam arus perdana pendidikan negara. Sesungguhnya, sekolah agama rakyat itu tidak pernah bersendirian. Ditunjangi semangat dakwah dan ukhuwwah, sekolah pertama saya itu masih megah berdiri dan masih terus mendapat kepercayaan para ibu bapa untuk memberi didikan islam buat anak-anak. Cuma kadang-kala para pelajarnya memberontak, mengguris imej sekolah berikutan lemas dalam tuntutan nafsu remaja.

Saya berbangga menjadi pelajar sebuah institusi pendidikan yang menerapkan nilai kerohanian dalam diri penuntutnya. Kini, baru saya mengerti nilai pengorbanan dan perjuangan guru tersayang.

Salam rindu buat para guru pembentuk peribadi,
54 Kimian.

2 comments:

Anonymous said...

salam.

ukhti..huhu..seronok baca..mengimbau kenangan lama pulak kan? alhamdulilah sekolah yang kecil dan tak mendpt tempat di mata masyarakat tu akhirnya mampu melahirkan seorang mujahidah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, subhanallah!

apa khabar entah sekolah ukhti tu kan? mesti semakin pesat. mesti lepas ni ukhti akan jadi ikutan dan model kepada adik2 di sekolah itu.

tapi ana rasa, peranan ummi ukhti lah yang paling memberi kesan dalam membentuk peribadi ukhti. dgn perwatakannya yang lemah lembut tu, memang tidak hairan anak2nya berjaya menjadi anak2 soleh dan solehah. memang asas agama yang kukuh menjadi tunjang dalam membesarkan anak2 kan? memang tak sia-sia hantar ukhti dan adik beradik ke sekolah yang kecil tu dulu. sebab ana yakin, guru2 yang mengajar di sekolah kecil spt itu pasti mempunyai keazaman dan keikhlasan yang tulus dalam mendidik anak2 bangsa. insyalah mereka mendidik kerana allah dan ganjaran-Nya di syurga.

mabruk utk ummi dan tenaga kerja yang mendidik ukhti!

doakan ana nak exam ni..jazakillah atas entry yang menginsafkan ni.

sayang fillah,
wani

p/s: nanti ana dah ada anak, ana nak hantar mereka ke sekolah agamaa juga laaa..heeee

minal Qalb said...

Salam wani~

Kadang-kadang kita lupa jasa insan pendidik daripada kecil hingga dewasa.
Moga Allah sentiasa melindungi kita semua dan mengurniakan kita redha dan syurganya.