Friday, 25 December 2009
Iktibar Ceri
25 Disember 2009, Jumaat
Bismillahirrahmanirrahim~
Hari ini hari Jumaat. Kehadiran pagi ini diiringi oleh titisan air hujan yang menyegarkan bumi Melbourne. Usai jamaah subuh, bacaan ma'thurat pun bergema dengan diakhiri dengan penyampaian hadith Riyadhus Salihin.
Saya selak helaian 'soft copy' pdf Riyadhus Salihin, bab Yakin dan Tawakkal. Ibnu Abbas melaporkan bagaimana Rasulullah S.A.W menceritakan keadaan di akhirat nanti. Pada hari pengumpulan umat manusia, Rasul S.A.W melihat ramai nabi dan para nabi itu ada yang disertai oleh umat-umatnya. Ada nabi yang disertai oleh segerombolan manusia, ada juga disertai oleh hanya dua atau tiga orang. Sunggguh pun demikian, ada juga nabi yang hanya bersendirian menghadap Allah.
Nabi S.A.W mencari-cari kita umatnya di padang mahsyar itu. Tiba-tiba dia terlihat sekelompok manusia yang berbadan besar dan sangkanya itulah kita. Namun ada suara yang mengatakan; bukan, bahkan itulah Nabi Musa beserta umatnya bani Israel. Kemudian Nabi menoleh ke arah yang lain, terlihatlah Nabi segolongan manusia yang ramai dan diberitahukan bahawa itulah kita (umat Nabi Muhammad S.A.W). Berserta dalam kelompok itu ialah 70 000 hamba Allah yang dapat masuk syurga tanpa dihisab dan disiksa.
Usai menyampaikan wahyu, Nabi masuk seketika ke dalam rumah baginda. Ketika itu, para sahabat membuat pelbagai andaian tentang manusia yang masuk syurga tanpa dihisab dan diazab. Ada yang mengatakan itulah segolongan manusia yang telah menjadi sahabat Nabi S.A.W. Ada juga sebahagian yang lain mengatakan bahawa manusia itu ialah mereka yang dilahirkan dalam zaman Islam sudah ada dan mereka tidak pernah mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun (bahkan amat berbeza pendapat mereka dengan realiti kita sekarang). Lalu, setelah Nabi keluar dan ditanyakan sebab perbincangan yang berlaku, maka Nabi pun menjernihkan andaian-andaian para sahabat.
"Mereka itu ialah manusia yang tidak pernah meminta-minta mentera dengan orang lain kerana sangat bertawakkal kepada Allah. Mereka itu juga tidak pernah merasa bahaya dengan adanya burung-burung (atau merasa bahaya kerana adanya sesuatu rentetan yakin bahawa Allah sahaja yang boleh mendatangkan mudharat dan manfaat pada diri mereka)."
(Muttafaqun a'alaih - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Ceri-ceri yang menari-nari
Fikiran saya melayang-layang ke ceri-ceri merah pekat yang segar-bugar. Sudah hampir sebulan saya berserta 11 rakan-rakan yang lain bekerja di kilang ceri Koala Country Orchard (KCO). Kami tinggal di rumah bernama Feral Castle, dalam zon Bonnie Doon yang berada dalam daerah Mansfield Shire, 30 minit dari Yarck, mukim/daerah terletaknya KCO. Yarck pula terletak lebih kurang 3 jam dari Bandar Melbourne.
Ahli keluarga Feral Castle ada 12 orang kesemuanya :
Intan sebagai ibu, merangkap ketua, merangkap menteri kewangan Feral Castle,
Dayah merangkap ketua Feral Castle dan ketua orang-orang Newcastle,
Nisya sebagai rakyat yang ceria (jawatan masih dipertimbangkan),
Saya selaku penyelia petang sekolah Cik Fini juga merangkap janitor sekolah yang sama,
Dal sebagai PKHem sekolah Cik Fini,
Diba selaku PK 1 sekolah Cik Fini,
Fini selaku Guru Besar sekolah Cik Fini merangkap orang kaya Feral Castle,
Anis selaku kaunselor sekolah Cik Fini,
Diey selaku rakyat yang kaya senyap-senyap,
Aisyah Suki selaku si Abu Bakar kepada sang Umar
Nanie selaku si Umar kepada sang Abu Bakar
Tika selaku rakyat riang merangkap adik pisang kami di sini.
Alhamdulillah, 30 hari yang berlalu disajikan dengan pelbagai peristiwa aturan yang Maha Mengetahui. Kami merasai pahitnya kehidupan, menikmati manisnya ukhuwwah, getirnya bersahabat, letihnya pekerjaan, asingnya di bandar kecil, dan berpuluh-puluh lagi penyeri pengalaman hidup kami yang masih singkat. Ada yang baru 22 tahun hidup di dunia, ada yang 21 tahun, malahan ada juga yang baru 20 tahun menghirup rencam dunia. (Adakah sesiapa yang merasai nada yang berlainan pada ayat ini?)
10 daripada kami bermula sebagai manusia yang tidak tahu apa-apa tentang ceri melainkan harganya yang mahal di pasaraya Coles atau Woolworths aka Wollies. Warnanya yang kami tahu ialah merah pekat, gelap seperti warna hati. Intan dan Dayah pernah bekerja sekali dan mengenali penyelia aka pegawai atasan kami di KCO, Liz.
Menjejakkan kaki di KCO, kami disambut mesra oleh Liz dan pekerja-pekerja lain. Kami diberitahu bahawa kami akan berdiri di beberapa lane (boleh rujuk blog Anis Zarina zaman pada link blog ini). Kami perlu mengasingkan second dan waste daripada first. 21 November, bermulalah karier pertama saya di alam pekerjaan secara rasminya selaku cherries' sorter atau penilai ceri tapisan pertama (nama bukan rasmi, idea sendiri ilham daripada Ilahi). Saya suka menjadi manusia pertama di line itu. Ceri akan keluar bergolekan daripada paip-paip besar berisi ceri dan air klorin (untuk membunuh pelbagai makhluk tidak diingini) dan akan jatuh pada line biru utama. Saat itu, maka segala pekerja ceri barisan hadapan ini perlu melakukan dengan secekap mungkin hal-hal pengasingan sang ceri versi kelas kedua dan rosak daripada ceri versi kelas pertama.
Ceri-ceri akan digerakkan dengan halaju yang tetap, maka para pekerja perlu menggolek-golekkan ceri-ceri yang pelbagai saiz, rupa dan warna mengikut jenis yang keluar daripada paip untuk memastikan tiada lubang, rekahan besar, kulat, bintang perosak seperti siput mahupun tiada sunburn yang keterlaluan pada ceri-ceri itu. Jika didapati sebarang kecacatan yang melampau, maka ceri-ceri itu perlu diletakkan dalam lane kedua atau lane rosak. (Secara jujurnya saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan lane atau line ini, kerana ada 5 tempat untuk kami mengasingkan ceri dalam bentuk barisan selari. Setiap barisan itu ada dua barisan yang saling berhadapan untuk mengasing-asingkan second dan waste daripada first. Cadangan saya, rujuk blog cik Anis).
Itulah kerja kami setiap hari. Namun demikian, ada di antara kami yang akan ditarik ke bahagian penilai ceri tapisan kedua di division Coles kerana ceri kilang kami akan dihantar ke Coles (Coles ada spesifikasi ceri yang perlu kilang penuhi). Saya tidak menyukai sangat bahagian ini kerana kita akan berhadapan dengan ceri-ceri yang sejuk beku. Andaian kami, ceri-ceri itu baru dikeluarkan daripada peti sejuk serta dilalukan dalam air klorin untuk disambut oleh kami di meja pengasingan. Seterusnya di sini, kerjanya tiada yang berbeza dengan pekerja barisan hadapan (first liner), melainkan lebih tekanan kerana ceri terus masuk ke dalam kotak-kotak untuk dihantar terus ke Coles. Jika ditakdirkan terdapat ceri-ceri busuk melebihi yang tidak sepatutnya (atau menyusahkan pekerja penilai tahap akhir untuk membuangnya daripada kotak), maka seluruh ceri yang memenuhi kotak itu akan dituang semula ke dalam barisan penapisan tahap kedua...rugi produktiviti dan waktu.
Ada juga yang ditarik ke bahagian punnet iaitu ceri-ceri akan dimasukkan ke dalam kotak plastik keras yang berat ceri akan diisi mungkin sekitar 500 gram ke 2 kilo. Nisya merupakan pekerja utama di sini, dan dipilih oleh Liz ke sana. Sesetengah daripada kami juga dihantar ke bahagian timbang ie scaling. Bahagian ini agak meletihkan dan menyakitkan pinggang. Ada juga yang membuat kotak-kotak dan ada juga dihantar ke bahagian second.
Di bahagian ini, pekerja perlu meletakkan label dan plastik ke kotak, mengasingkan ceri waste daripada second, memastikan waste yang dibuang ke dalam tong besar empat segi berwarna hijau itu benar-benar waste atau laporan akan dihantar kepada supervisor, menyodok-nyodok waste agar tidak berkumpul di tong hijau yang akan menyekat perjalanan waste, menimbang ceri second sebanyak 5 kilo atau lebih sikit dalam kotak yang diletakkan plastik tadi, membuang tangkai-tangkai ceri yang termasuk dalam bahagian second dan menyusun kotak-kotak berisi ceri second di atas sebuah papan kukuh. Hanya ada dua orang manusia sahaja yang menjaga bahagian ini.
Sebuah kehebatan agung
Pekerja-pekerja di sini terdiri daripada berbilang bangsa, pelbagai rupa dan bahasa. Ada dari Vietnam, Filipina, Malaysia, Perancis, Indonesia (mungkin), Korea, Taiwan, Kemboja dan tentunya daripada Australia. Ada yang hanya tahu sedikit berbahasa mat saleh, namun dengan wajanya berkerja di Australia. Masya Allah, hebatnya keagungan Allah. Bukan sekali Allah mengingatkan di dalam al-Kitab bahawa perbezaan inilah yang menunjukkan kehebatan kuasa Allah.
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui." (Ar-Rum 30 : 22)
Subhanallah, hebatnya penciptaan dan urusan Allah. Orang Korea, begitu rupa dan bahasanya, orang perancis begini pula rupa dan bahasa. Budaya kami berbeza, penampilan kami berlainan namun kami bertemu di sebuah negara asing yang jauh dari negara asal kami.
Selain bertemu dengan pelbagai manusia, kami ahli Feral Castle juga berhadapan dengan beberapa orang pegawai pemerhati KCO. Mereka ialah Julie dan Maree serta terbaru Vera daripada Taiwan. Terdapat juga beberapa orang supervisor yang lain, namun Mok Ju (Julie atau pernah juga dipanggil Jojo), Momo (Maree) dan Vera penjaga utama kami. Jika ada sebarang laporan daripada bahagian lain, maka mereka akan memastikan kami tahu dan itu bermakna, kami perlu lebih gigih berusaha.
Pada mulanya, saya merasa cuak dengan kehadiran mereka lebih-lebih lagi jika mereka berdiri di sebelah saya. Saya merasakan serba tidak kena dan kurang keyakinan diri, lebih-lebih lagi pada dua hari pertama, saya dan rakan-rakan yang baru masuk seringkali diingatkan ini ceri busuk, ini merekah, perlu dibuang dalam sampah, bukan di bahagian pertama mahupun kedua. Rentetan itu, kami lebih gigih jika mereka berdiri di sebelah. Sungguhpun demikian, iman kami berbisik, inikah sifat amanah kamu? Berusaha dengan bersungguh-sungguh hanya apabila pegawai pemerhati di sebelah. Di mana Allah di hati, mata dan fikiran kamu? Di manakah Ihsan kamu wahai hamba?
Tatkala disentakkan begitu, hati beristighfar.
Wa kafa billahi wakiila, wa kafa billahi syahiida, wa kafa billahi a'liima (cukuplah Allah sebagai Pelindungku, penyaksi segala perbuatanku dan tahu tentang amal perbuatanku).
Kadangkala, ada ceri buruk yang tercampak daripada lorong ceri buruk ke dalam lorong ceri kedua yang dilakukan tanpa sengaja oleh senior-senior kami (berdasarkan pengalaman bekerja, bukan umur), namun mereka akan menyatakan pada kami sahaja pada mulanya, kerana kami baru datang. Itulah yang menguji kesabaran hamba Allah. Ada yang rasa biasa, ada yang rasa bengang, ada yang rasa saya perlu lebih berusaha. Tidak mengapa, Allah tahu ^ ^ . Mungkin juga memang salah kita...
Tatkala saya dipertemukan dengan pelbagai jenis ceri, ada yang besar bagi standard ceri, ada yang kecil macam tak cukup zat, ada yang macam epal fuji, ada yang macam epal fiji, ada bentuk hati dan berbagai-bagai bentuk lagi, saya rasa sangat takjub. Ada ceri warna merah gelap, ada warna merah cair, ada warna merah jambu, ada juga warna pucat. Rupa-rupanya ceri ni ada pelbagai rupa, saiz dan warna, macam manusia... Ini baru ceri yang penampilan dan kerosakan pelbagai rupa, apatah lagi manusia... Manusia di kilang ada yang begini, manusia di Feral Castle ada yang begitu. Indah sungguh jalinan antara kami. Di kilang, kami disatukan di bawah ketua atau supervisor yang sama, namun di Feral Castle, kami disatukan dalam ikatan akidah yang sama.
Jiwa
Kami bersolat berjamaah, membaca Riyadhus Salihin lepas subuh, membaca ma'thurat, pengisian antara maghrib dan isya' : Tadarus, sirah, tafsir fi Zilal, kisah sahabat, tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) dan tayangan-tayangan membina iman, ilmu dan hati. Saya rasa hidup-hidup bertemu ceri di kilang lebih bererti dengan keindahan hidup di Feral Castle. Secara jujurnya, jikalau tiada pengisian; pengubat dan pembentuk jiwa itu tiada, hanya solat dan tadarus, maka saya mungkin akan bungkus kain baju untuk pulang terus ke Newcastle atau lebih menarik lagi Malaysia.
Masakan tidak, hari-hari kami menghadap ceri. Sehinggakan saya pernah juga bermimpi ceri atau mungkin orang-orang di KCO; untuk menekankan, betapa ceri telah mendominasi mimpi dan hari siang saya. Bayangkan kami bekerja daripada pukul 8 pagi sehinggalah pukul 2.45 - 6.00 petang. Kami mungkin bekerja antara 6 ke 5 hari seminggu. Malamnya kami melepek pada mulanya.
" Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian daripada kurnia-Nya. " (Ar-Rum 30 : 23)
Alhamdulillah, cadangan Dayah serta pengelolaan Intan dan perbincangan kami untuk membuat jadual pengisian memantapkan lagi pendirian kami, bahawa kami bukan semata-mata di sini mengikut prinsip 'Another day another dollar' tapi kami bekerja demi mencari redha dan untuk beribadah kepada Allah. Kami perlu faham bahawa konsep ibadah itu ialah pengabdian diri kepada Allah, memperhambakan diri hanya kepada-Nya, maka lebih indah malam-malam dan hari-hari kami di bumi Allah ini.
"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. " (Al-Jumu'ah 62 : 10)
Carilah pengertian hidupmu. Nescaya engkau akan lebih berbahagia wahai diri dan sahabat.
Salam perjuangan dari Melbourne,
8.24 am
Monday, 7 December 2009
Matahari
7 Disember 2009, Isnin
Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini kami ahli Farel Castle bakal bertolak pada jam 7 pagi menuju ke Koala Country Orchard.
Apa tu? Itu kilang ceri tempat kami bekerja sepanjang musim panas ini. Insya Allah, kalau ada kesempatan, akan saya ceritakan nanti.
Saya curi sedikit kesempatan pagi ini, menggunakan broadband optus milik Anis untuk menukilkan sesuatu yang terselindung di balik tirai hati.
Dia sering di ingatan. Mengajar erti pengorbanan dan dalam tegasnya ada sabar.
Lembut raut wajahnya, sering menyebabkan hati kami tertawa.
Dialah pendidik usrah kami, bermula di Sarawak, Jementah dan akhirnya Muar.
Selama 22 tahun bernafas di bumi Allah, kadang-kala aku lalai akan nikmat besar ini.
Lautan kasih sayang Ilahi sering membuatkan hamba-hamba-Nya angkuh dan lupa untuk bersyukur. Hati lantas memberontak apabila tuntutan jiwa tidak dipenuhi rentetan akal yang cetek dan iman yang lemah. Namun, Ar-Rahim memelihara kami dengan adanya dia di sisi kami.
Itulah ayahanda, ayah kami. Peramah orangnya dan punyai khazanah pelbagai jenis buku pembina jiwa yang tidak pernah aku sedari nilainya sehinggalah melepasi alam remaja...alangkah ruginya...
Ayah pembentuk diri kami. Ketegasannya tentang agama sangat membekam di dalam jiwa kami, terutamanya hal solat. Kata-kata yang paling menikam dan terus berkesan di hati ini :
"Ha, besar-besarkanlah kotak tu. Utamakan sangat kotak tu sampai sanggup tak nak besarkan Tuhan!"
Allahu Akbar, kata-kata yang terus menyengat dan menusuk pangkal jantung. Berdebar-debar hati kami anak-anaknya yang degil mahu melihat kartun di TV walaupun asar sudah masuk.
Dengan langkah yang berat kami akur... Ah, zaman kedegilan anak-anak...
Ayahanda, sungguh kata-katamu benar.
Ayahlah, guru mengaji kami yang pertama. Diajarkannya kami melalui buku panduan 'iqra' jilid satu hingga enam. Terangkak-rangkak kami mengikuti dan rotan mahupun suara Ayah yang marah kerana kesilapan bacaan kami amat kami takuti. Teringat kisah silam Iqa berlatih dahulu bacaannya dengan Ummi untuk mengelakkan kegarangan ayah ^ ^
Ayah guru pertama mengajar solat, kerana solat itu tiang agama, katanya.
"Kalau tiang dah runtuh, apa ada pada agama."
Ayah seorang lelaki yang kelakar. Sering menyebabkan kami sekeluarga tertawa.
Kadang-kala diceritakannya mimpi-mimpi yang sering menghiburkan hati, terutamanya tentang makanan.
Ayah seorang tipikal lelaki Melayu, pada pandangan saya, dan Ummilah yang banyak mengubah Ayah.
Keromantisan Ummi dan Ayah kadang-kala menyebabkan jiwa remaja saya waktu itu malu.
Tidaklah seromantis mana. Hanya ayah selalu menjemput Ummi di SMKA Maahad Muar (yang waktu itu saya masih lagi pelajar di sana) dan mereka akan berjalan beriringan ke kereta.
Kadang-kala Ummi memaut tangan ayah, dan rakan-rakan akan mengatakan kepada saya,
"Romantiknya mak ngan ayah awak!"
Aduh-aduh, malu saya menjadi perhatian kawan-kawan.
Kini, saya hanya tersenyum manis melihat mereka berdua-duaan...
Tanpa saya sedari, hari ini, genaplah ayah berusia setengah abad.
50 tahun, dengan 23 tahun hidup berkeluarga (22 tahun menjadi seorang ayah), menyebabkan Ayah sentiasa di hati.
Kadang-kala hati resah, takut salah meletakkan Ayah dan Ummi di strata atas, sedangkan Allah dan Rasulnya lebih layak...semoga kami diletakkan di jalan yang benar,jalan yang diredhai.
Ayah, selamat hari lahir.
Semoga ayah panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, menjadi hamba Allah yang cemerlang, diberkati umur dan dikurniakan syurga-Nya.
Salam rindu dari anakmu,
Farel Castle, Bonnie Doon, Victoria,
06:24, 1 jam dan 36 minit sebelum masuk kerja.
Subscribe to:
Posts (Atom)