Monday, 7 December 2009

Matahari


7 Disember 2009, Isnin

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini kami ahli Farel Castle bakal bertolak pada jam 7 pagi menuju ke Koala Country Orchard.
Apa tu? Itu kilang ceri tempat kami bekerja sepanjang musim panas ini. Insya Allah, kalau ada kesempatan, akan saya ceritakan nanti.

Saya curi sedikit kesempatan pagi ini, menggunakan broadband optus milik Anis untuk menukilkan sesuatu yang terselindung di balik tirai hati.

Dia sering di ingatan. Mengajar erti pengorbanan dan dalam tegasnya ada sabar.
Lembut raut wajahnya, sering menyebabkan hati kami tertawa.
Dialah pendidik usrah kami, bermula di Sarawak, Jementah dan akhirnya Muar.

Selama 22 tahun bernafas di bumi Allah, kadang-kala aku lalai akan nikmat besar ini.
Lautan kasih sayang Ilahi sering membuatkan hamba-hamba-Nya angkuh dan lupa untuk bersyukur. Hati lantas memberontak apabila tuntutan jiwa tidak dipenuhi rentetan akal yang cetek dan iman yang lemah. Namun, Ar-Rahim memelihara kami dengan adanya dia di sisi kami.

Itulah ayahanda, ayah kami. Peramah orangnya dan punyai khazanah pelbagai jenis buku pembina jiwa yang tidak pernah aku sedari nilainya sehinggalah melepasi alam remaja...alangkah ruginya...

Ayah pembentuk diri kami. Ketegasannya tentang agama sangat membekam di dalam jiwa kami, terutamanya hal solat. Kata-kata yang paling menikam dan terus berkesan di hati ini :
"Ha, besar-besarkanlah kotak tu. Utamakan sangat kotak tu sampai sanggup tak nak besarkan Tuhan!"
Allahu Akbar, kata-kata yang terus menyengat dan menusuk pangkal jantung. Berdebar-debar hati kami anak-anaknya yang degil mahu melihat kartun di TV walaupun asar sudah masuk.
Dengan langkah yang berat kami akur... Ah, zaman kedegilan anak-anak...
Ayahanda, sungguh kata-katamu benar.

Ayahlah, guru mengaji kami yang pertama. Diajarkannya kami melalui buku panduan 'iqra' jilid satu hingga enam. Terangkak-rangkak kami mengikuti dan rotan mahupun suara Ayah yang marah kerana kesilapan bacaan kami amat kami takuti. Teringat kisah silam Iqa berlatih dahulu bacaannya dengan Ummi untuk mengelakkan kegarangan ayah ^ ^
Ayah guru pertama mengajar solat, kerana solat itu tiang agama, katanya.
"Kalau tiang dah runtuh, apa ada pada agama."

Ayah seorang lelaki yang kelakar. Sering menyebabkan kami sekeluarga tertawa.
Kadang-kala diceritakannya mimpi-mimpi yang sering menghiburkan hati, terutamanya tentang makanan.
Ayah seorang tipikal lelaki Melayu, pada pandangan saya, dan Ummilah yang banyak mengubah Ayah.
Keromantisan Ummi dan Ayah kadang-kala menyebabkan jiwa remaja saya waktu itu malu.
Tidaklah seromantis mana. Hanya ayah selalu menjemput Ummi di SMKA Maahad Muar (yang waktu itu saya masih lagi pelajar di sana) dan mereka akan berjalan beriringan ke kereta.
Kadang-kala Ummi memaut tangan ayah, dan rakan-rakan akan mengatakan kepada saya,
"Romantiknya mak ngan ayah awak!"
Aduh-aduh, malu saya menjadi perhatian kawan-kawan.
Kini, saya hanya tersenyum manis melihat mereka berdua-duaan...

Tanpa saya sedari, hari ini, genaplah ayah berusia setengah abad.
50 tahun, dengan 23 tahun hidup berkeluarga (22 tahun menjadi seorang ayah), menyebabkan Ayah sentiasa di hati.
Kadang-kala hati resah, takut salah meletakkan Ayah dan Ummi di strata atas, sedangkan Allah dan Rasulnya lebih layak...semoga kami diletakkan di jalan yang benar,jalan yang diredhai.

Ayah, selamat hari lahir.
Semoga ayah panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, menjadi hamba Allah yang cemerlang, diberkati umur dan dikurniakan syurga-Nya.

Salam rindu dari anakmu,
Farel Castle, Bonnie Doon, Victoria,
06:24, 1 jam dan 36 minit sebelum masuk kerja.

No comments: