Tuesday, 23 September 2008

Lagi berapa hari?

Bismillahirrahmanirrahim...

"Ramadhan, lagi berapa hari ya?"
"Eh, iftar jama'ie lagi ke hari ni?"
"Siapa masak ek hari ni?"
"Kite nak jadi bilal boleh?"

Itulah antara pertanyaan-pertanyaan yang kerap didengari di salah sebuah rumah pelajar Muslimah Malaysia.
Terasa kemeriahan Ramadhan yang disambut kehadirannya dengan hati terbuka.
Ramadhan semakin hari semakin tiba ke penghujung putaran.
Sekarang sudah masuk hari ke 23 Ramadhan.
Mungkin telah hadir Malam Kemuliaan menjengah kita, mungkin kita masih lagi berpeluang?
Kita tidak tahu.

Semakin lama semakin saya sedari bahawa pertanyaan-pertanyaan di atas tidak pernah berubah.
Masih lagi seperti di atas.
Saya terasa ada sesuatu yang kurang...
Hati saya berbisik, masih banyak yang kurang wahai hamba Tuhan...
Akal ini tidak dapat mengenalpasti...
Pertanyaan itu tiba-tiba dilupakan.

You got an offline massage :
Dr. Amalina : http://www.boston.com/bigpicture/2008/09/observing_ramadan.html


Saat itu saya berada di Auchmuty, salah sebuah perpustakaan di universiti ini.
Gambar-gambar itu cantik-cantik semuanya.
Tiba-tiba hati ini terketuk, akal terjentik.
Astaghfirullah....

Ini rupa-rupanya yang dicari-cari.
Selayaknya pertanyaan yang sepatutnya berkeliaran di samping persoalan lazim di atas ialah :

"Berapa juzu' al Quran yang sudah dibaca?"
"Tahu tak hari ini apa yang berlaku di Afghanistan?"
"Semalam betul ke muslimin di China dilarang solat terawikh, ada dalam blog Kempen Penghayatan Ramadhan semalam.."
"Eh, 17 ramadhan ni selain Nuzul Quran ada apa ye?"
dan seribu satu lagi soalan-soalan yang berkisar di kebanyakan muslimin yang sedar.

Di manakah kedudukan iman kita sekarang?
Satu pertanyaan saya tujukan khas untuk diri ini dan sahabat-sahabat sekalian.
Paling penting : "Kaifa imanuk?". "Apa khabar iman kamu?"

Tak mengapa kalau tidak pernah bertanya. Tapi sekurang-kurangnya wahai diri, inilah peluang yang masih ada.
Rebutlah walau waktunya kelihatan sempit.
Kita tidak pernah tahu apa yang tersembunyi dalam kerajaan-Nya.

Di samping itu, marilah kita teruskan berinfak sebagai bukti kita peduli akan keadaan saudara-saudara kita yang tidak pernah jemu dihadapi ujian.
Pelbagai mehnah dan tribulasi menghiasi perjuangan mereka.
Apa peranan kita?
Mudah bagi saya, buat apa yang termampu terutamanya infak dan dalam study.

Sila klik :

ISAC Studio - Eid Charity

Semoga kita semua diberkatinya.






Wednesday, 27 August 2008

Perutusan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahiim.

21 Sya'ban yang lalu, bersamaan 23 Ogos, muslimah Malaysia Newcastle, Australia berhimpun untuk

meraikan kedatangan ramadhan.

Ramai manusia yang hadir: 47 Kimian, 54 Kimian, Kak Rushda, Kak Lin, 61 Uni Drive, Northon Ave, Turana Parade, etc.

Hati ini entah kenapa tidak terselit rasa gugup seperti Izyan.

Namun, selepas lafaz suci bismillah diucap perlahan, hati ini tiba-tiba berdebar.

Alhamdulillah, getaran itu dapat dikawal, dan skrip pun dibaca dengan sejaya mungkin (cuma pencerita sketsa di belakang tabir).

Kedatangan tetamu dari jauh, dari bumi Victoria, Melbourne menghilangkan rindu kepada akhawat Melbourne.

Kak Baie,Kak Lina,Hanan, Intan, Mardhiah dan lapan lagi akhawat Melbourne membakar semangat untuk menyambut kehadiran Ramdhan dengan penuh persiapan, sedaya mungkin.


Peringatan daripada Kak Baie', antara orang kuat Melbourne, menjentik satu kelainan baru untuk bertemu kekasih yang dinanti.

Bagi diri saya, apa yang paling menyentuh hati ialah tatkala suara lunak Izyan dengan jelas dan terang membacakan perutusan Ramadhan :



Assalamualaikum wbt

Kehadapan sahabatku Insan;di Taman Perumahan Dunia,Cakerawala.

Apa khabar sahabat?Moga berada di dalam limpah rahmat Allah dan peliharaan iman hendaknya.

Insya-Allah seperti tahun-tahun lepas,saya akan datang ke Taman Perumahan Dunia untuk menziarah seperti biasa.Seperti ketika tahun-tahun terdahulu.Dah hampir setahun tak berjumpa.Harapnya rindu untuk bertemu itu masih ada.

Teringat pula waktu-waktu ziarah yang sebelum ini.Terutamanya ketika zaman Islam masih tertegak teguh dulu.Masa zaman tu,memang saya disambut meriah.Sepanjang malam orang di sana-sini berjaga hingga ke awal pagi selepas solat sunat tarawih.Ada yang menemankan saya dengan qiyamullail,dengan bacaan al-Quran,dengan segala ibadah seribu satu macam.Sanggup mengorbankan tidur,keselesaan diri dan nafsu untuk benar-benar menghayati kebersamaan dalam ziarah itu.Dan ketika itu,memang semua orang berlumba-lumba ingin membuat kebajikan dengan kehadiran saya,kerana percaya dengan janji Allah yang mereka akan diganjari dengan kebaikan sepuluh kali ganda.Di sana-sini orang melimpah-ruahkan sedekah,melipatgandakan ibadah.Tambah-tambah lagi di hujung sepuluh malam terakhir,semakin bersemarak rasanya ziarah saya dirai.Dan bila tiba waktu meninggalkan Taman Perumahan Dunia kerana Syawal pula hendak datang berkunjung,ramai yang menangisi pemergian.Rindu sungguh dengan waktu itu.

Tapi entah kenapa,bila masa berlalu,terasa berubah pula sambutan penghuni Taman Perumahan Dunia pada kedatangan saya.Terasa seolah makin dingin.Seolah datangnya saya tak lagi diterima dengan tangan terbuka.Entah di mana silapnya.Terasa diri ini datang sebagai tetamu yang tak diundang.Masih terbayang lagi di ingatan,pernah di suatu tahap,kehadiran saya tidak diendahkan langsung.Sudah tiadakah rasa kerbersamaan itu walau sekuman?Kita hanya berjumpa setahun sekali bukan?Hanya setahun sekali menahan lapar dan dahaga bersama-sama untuk merasa perit orang lain yang menderita.Tetapi semasa waktu ziarah itu,kekangan nafsu itu pun telah banyak yang tiada.Ramai yang makan minum di waktu matahari tegak di atas kepala.Tanpa segan silu seolah alah bisa tegal biasa.Sungguh.Ketika itu seolah kehadiran saya wujudnya tiada.Tiada yang meneman,tiada yang melayan.Malam-malam yang dulunya meriah dengan tadarus al-Quran dan solat malam,telah disesarkan oleh gegak gempita jeritan di plasma skrin gergasi melihat bola sebiji yang ditendang dikejar di tengah padang.Sungguhkah ziarah tahunan ini tiada siapa lagi yang menantinya?Sungguhkan saya akan berseorangan sepanjang sebulan itu tanpa berteman?

Insan sahabatku,ziarah kali ini harapnya saya tidak lagi ditinggalkan sendirian di rumah ketika kalian yang lain sibuk dengan hal-hal sendiri.Harapnya dapat diluangkan sedikit masa bersama-sama saya sekali.Mungkin dapat kita hidupkan kembali waktu di mana manusia berlumba menimba pahala. Waktu di mana penghuni Taman Perumahan Dunia masih lagi menerima kedatangan saya dengan tangan terbuka.Waktu di mana datangnya saya dinanti dan pemergian ditangisi.Mungkinkah Insan?

Insya Allah saya akan tiba minggu hadapan dan seperti biasa tinggal selama sebulan.Jangan hampakan saya,sahabat.Moga ziarah kali ini bermakna dan di bawah rahmah Allah.

Salam,

Ramadhan al-Mubarak


Semoga kita dapat sesuatu daripada blog ini minggu ini.


Selamat Menyambut Ramadhan dengan ceria dan penuh penghayatan~!

Tanbih : Abdur Rabbi wa la Abdur ramadhani.


P/s : Jazakillah khair buat ukhti tersayang Wanie. Ana masih di sini alhamdulillah sihat wal'afiat (^_^)

54, Kimian Ave

Closing tutorial 6


Monday, 4 August 2008

Langkah kami

Pertemuan ini atas takdir-Nya

mencoret 1001 lukisan

di kanvas memori

mencambah bibit ukhuwah

yang masih mekar di sanubari

Bersama2 kita menaut rindu

jalinan kasih

membisikkan sebuah rahsia

hanya kita yang tahu

untuk dibawa angin lalu

Rahsiaku...

senyumanmu melerai gundah

tuturmu membelai jiwa

akhlakmu mempesona raga

Kita terus berpimpinan

meredah kelukaan sebuah perjuangan

Siang berlalu,

malam berlabuh

begitulah sunnatullah yang terus menyapa

Kita tahu sedari dulu

bahawa perpisahan itu adalah kesakitan yang rahsia

ia adalah sebuah kelangsungan

yang tidak pernah mungkir

pemergian pasti akan melukai hati

rawatlah ia

dengan selautan kasih dari Ilahi

Mengertilah ukhti...

kuharap ukhuwah ini tidak akan sirna

sebagaimana setianya

Abu Bakar di samping

kekasih-Nya mulia

kita terus melangkah

ke puncak halawah

menghirup sacangkir rahmat

agung-Nya

supaya sinarnya mengiringi

derapan mujahidatan

menghidupkan sebuah impian

kebahagiaan fana’ dan baqa’

Terima kasih teman

kerana setia menyokong rebah

kesan limpahan kasih-Nya

buat hamba hina...

Luahan hati buat akhawat tersayang yang sering memberi sebuah kekuatan walau sudah lama tidak melihat sinar mata kalian.

54 Kimian, NSW

Monday, 14 July 2008

Hari Semalam

23 Jun 2008, North Road-Clayton

Ketibaan kami malam itu disambut dengan kedinginan Melbourne yang
sudah dijangka.
"Assalamualaikum, akak Kak Lin...akak Kak Lina....akak Kak Kerry"
Tiga orang mujahidah Clayton dan City menghangatkan tubuh kami dengan sambutan yang begitu mesra.

Perjalanan yang melebihi 40 minit dari lapangan terbang ke Baitul Abrar begitu menggugah hati saya.
Begitu mudah akhawat ini mengorbankan minyak kereta yang begitu hangat kenaikannya beberapa minggu dahulu. Sanggup berulang-alik demi menyambut kehadiran kami.

Begitulah apabila iman sudah mula beraja dalam hati, semua yang kelihatan sukar pada mata manusia dan hitungan rasional mereka hanya satu laburan menuju redha Ilahi, insya Allah.

Akhirnya kami sampai juga ke North Road, rumah satu tingkat yang begitu selesa lagi menyelesakan.
Dengan ahlul bait sebanyak empat orang,
Kak Lily, Kak Ncbact,Kak Adeeb dan Kak Aimi yang menerima kehadiran kami dengan hati yang lapang.

Wajah tiap ukt saya teliti; tiada tergambar rasa letih mahupun berat hati.
Kesenangan menerima kehadiran kami terpancar daripada tiap pandangan mata.

"Alhamdulillah kehadiran akhawat-akhawat semua kami terima dengan hati terbuka.
Anggaplah akhawat semua umpama muhajirin yang sudah kepenatan berjalan jauh dari Newcastle. Kami pula golongan ansar yang menyambut kedatangan akhawat semua.
Jazakillah khair kerana sudi datang untuk membuka peluang kepada kami di medan amal."

Begitulah Kak Lily berbicara, dengan sinar mata yang menembus jiwa.

Hati ini diresapi kehangatan yang sukar digambarkan walau diselimuti kedinginan bandar Clayton yang dipenuhi kemesraan mua'amalah sesama akhawat.
Apalah sangat kepenatan yang saya rasa sebenarnya, tetapi kesudian Sohibul Bait (tuan rumah) menerima kehadiran rombongan Newcastle benar-benar menjadi benih mencambahkan ukhuwah antara kami.

"Orang Newcastle memang selalu bermukim di Clayton, memang kamcenglah," begitu komen salah seorang kakak penyayang Newcastle, entah kak Hani, entah Kak Mel yang meluahkan.

17 hari saya bermukim di Melbourne, dari Calyton ke City Melbourne terus ke Mount Buller dan berulang -alik antara dua bandar tersebut, semuanya dipenuhi oleh semangat dzatiyah yang tinggi.
Bukan rombongan kami yang banyak berkorban kerana pada saya tiada yang lecehnya bergerak dari North Road ke Prince Street ke Arden ke Nico kerana tiap kali kaki ini melangkah ke dalam rumah-rumah mereka, tidak pernah rasa tidak senang bertandang dalam hati.

"Buatlah macam rumah sendiri."
Kata -kata yang sememangnya lazim diucapkan tuan rumah, namun pembuktian yang lebih bermakna.
Dan sememangnya seperti rumah sendirilah saya perlakukan (dengan adab-adab sebagai seorang tetamu, insya Allah)
Layanan yang diberikan tidak pernah kurang walau sedikit.
Pengorbanan akhawat Melbourne dan akhawat senior Newcastle menjaga saya dan kawan-kawan mengajar banyak erti kasih sayang, ithsar (melebihkan sahabat daripada diri sendiri).

Apa erti pengorbanan mereka selama berbelas-belas hari junior-junior Newcastle bertandang di sana jika kami kembali melepek seperti dahulu? Kadang kala hati ini berbicara.

"Akak mahu kalian semula didorong oleh rasa kefahaman yang utuh, bukan semangat semata-mata kerana semangat akan mati pada penghujungnya jika kefahaman tidak menemani." jelas Kak Baie' dalam salah satu tazkirah wida' di Baitul Abrar.

Saya sungguh-sungguh berdoa agar kami semua tsabat mencari redha Allah.
Sangat mengharap agar terus tsabat.
Itu harapan saya.

Huxley Library, 1546 petang

Monday, 12 May 2008

Ruang Kosong

Semalam yang hening mendesak hati untuk menjadi lebih syahdu.
Suntikan virus influenza daripada klinik universiti tiba-tiba menyanggah tiap urat rasa.
Daripada sedikit pening, melarat kepada sedikit rasa perit di anak tekak, merebak kepada
demam-demam ringan.
Allah, sungguh tidak diduga ujian ini.
Mungkin berbulan-bulan badan ini dikurniakan kesihatan, sampai lupa menghargai.
Hanya mampu berdoa moga Allah permudahkan.
Teringat kisah Nabi Ayub A.S yang enggan berdoa untuk sembuh kerana rasa malu yang teramat kepada Maha Pemberi Anugerah, mendorong diri ini untuk turut mencipata rasa malu pada yang selayaknya.

Malam itu entah tidak semena-mena air mata ini tumpah terkenang ummi di rumah yang penuh mahabbah.
Terasa-rasa tiap sentuhan kasihnya mengusap-usap ubun-ubun yang membahang.
Terdengar-dengar pujukan keibuannya meresap ke dalam dada.
Terbayang-bayang mesej daripada ummi :
'Nurul kata nak menangis masa kat airport,
takpun. Ok je ummi tengok.
Takpe, insya Allah nanti kite jumpa lagi.'
Mata semakin memberat.
Otak tidak mampu berfikir ligat.
Ruh melayang dari jasad.

Apabila terkenang kembali peristiwa tiga hari lalu,
minda ini lantas terfikir, betapa luas kasih sayang Tuhan buat kita.
Sungguh hakikatnya kita ini hanya hamba hina,
tidak layak merungut lebih lagi menabur nista,
namun kita ini sentiasa dalam jagaan-Nya.
Sentiasa dalam dakapan rahmat-Nya (insya Allah).
Sehinggakan luahan rasa daripada lubuk hati yang paling dalam,
yang diri ini juga tidak mampu menyedari,
diterjemah dalam suasana yang cukup romantis.
Penuh dengan luahan cinta yang diingini,
daripada seorang anak kepada ibunya.

Masya Allah, begitulah romantisnya Yang Maha Pemberi.

Huxley Library, 12 May 2008

Thursday, 1 May 2008

EMPAT BENUA

Sekumpulan wanita kelihatan riang berbicara.

Shortland Hub menjadi pilihan pertemuan pertama.

Samoa, Yugoslavia dan Malaysia.

4 wanita daripada benua berbeza.

Kemesraan yang tercipta diheret ke sebuah isu yang telah lama menyesakkan dada Moana.

Pembebasan wanita.

Dia menyatakan kekesalannya kerana terkurung di bawah sebuah budaya yang begitu tertutup.

Tonga, sebuah kerajaan monarki, dalam lingkungan kejiranan New Zealand dan Samoa, masih pekat dengan nilai-nilai kebudayaan dan adat lalu.

Kadangkala kebudayaan yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.

Kesedihan dan ketidakpuasan hati dipendam.

Dikambus dengan harapan tidak akan timbul.

“Kamu mesti pandai menjaga keluarga.”

“Rambutmu tidak boleh dipotong.”

“Anak pertama mesti lelaki”

“Kamu tidak boleh menyuarakan apa yang tidak menyenangkan hatimu.”

“Terima sahaja apa yang diberi.”

Anak-anak kecil mudah sahaja menerima arahan tersebut.

Tiada apa yang pelik, itu budayaku, itu adat yang mengalir dalam nadi bangsaku.

Namun, fikiran yang bebas tidak mampu disekat oleh sebuah budaya yang dipandangnya kolot.

Sehingga dia menjadi asing dalam kelompok sendiri.

Dia mencari-cari tempat keluar.

Maka universiti menjadi tempat meluahkan rasa.

Kepada kelompok manusia-manusia yang memahami.

Itu cerita Moana.

Kadangkala dalam kalangan masyarakatnya sendiri, dia rasa terkongkong.

Anne-maree terkadang mengangguk mengiakan.

Terkadang dia hanya memerhati kerana dia juga sebahagian daripada masyarakat Moana.

Dalam dirinya mengalir darah dari Tonga dan Australia.

Yvette hanya tersenyum.

Setiap masyarakat ada ceritanya yang tersendiri.

Generasi yang mendukung budaya masyarakat di Yugoslavia pun apa kurangnya.

Neneknya juga berfikiran tradisional.

“Perempuan mesti berada di dapur akhirnya”

“Apa perlunya pelajaran setinggi bangunan pencakar langit?”

“Hidup ini memang akan bergantung kepada lelaki.”

Namun generasi moden kini hanya memandang sepi cerita lalu.

Tiada apa yang menguntungkan mereka katanya.

Saya di Malaysia membesar sebagai orang Melayu.

Masyarakat yang punya cerita yang lebih kurang sama dengan masyarakat di Tonga.

zaman dahulu,

“Perempuan hanya di dapur, tidak perlu belajar tinggi-tinggi”

“Kadang-kala orang nak lelaki sebagai anak pertama.”

Wanita kelihatannya seperti tertindas di mata Barat.

Mungkin di mata masyarakat saya sendiri juga, sebagaimana saya pernah melihat kedudukan wanita dalam masyarakat Melayu.

Namun,tegas saya

“Apabila kami memahami agama yang kami anuti.

Agama yang memuliakan wanita.

Tiada yang lebih antara kedua-duanya, baik lelaki mahupun wanita di mata Tuhan.

Kebanggaan keluarga bukan terletak pada anak lelaki sulung.

Bahawa wajib bagi setiap muslim dan muslimah untuk menuntut ilmu demi meningkatkan diri, demi mengenal Tuhan.

Bahawa wanita itu tinggi nilainya di sisi agama.

Maka asimilasi budaya pun berlaku.

Jika masih ada manusia yang berfikiran lalu,

Itu hanya tiada anjakan paradigma yang berlaku kepada mereka.

Anjakan kuantum yang mengubah sejarah masyarakat.”

Namun, saya menyayangi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.

Baju kurungnya yang sopan.

Menghormati orang tua.

Senyum menyapa sesama saudara.

Atau mungkin itu sememangnya diceduk daripada budaya Islam?

Biarkan, sementelahan itu yang seeloknya.

Apa perlunya perdebatan yang sementara yang tidak menguntungkan sesiapa pun, fikir saya.

Pertemuan pertama

Meransang minda saya bermonolog.

Kebanyakan budaya menindas wanita.

Penindasan yang meluas;

Pemikiran atau pendidikan atau kedudukan.

Baik di Tanah Melayu, Yugoslavia, Tonga, China, Eropah.

Terselit kenyataan pahit itu walau mungkin cuba disorokkan mahupun dilupakan.

Satu keNYATAan yang diri ini pasti:

Kedatangan Islam melindungi wanita.

Kedatangan Islam mengangkat martabat wanita.

Kedatangan Islam memBEBASkan wanita.

PemBEBASAN sebenar.

Daripada perhambaan kepada lelaki, kecantikan, kosmetik,fesyen......(senarai yang berterusan)

Kepada perhambaan yang sebenar.

Mencari reda Allah Robbul Jalal.

Tidak perlu berpening-pening mencari klik masing-masing.

Klik kepada keredaan Allah, maka tenanglah hati.

Ini bukan cerita lalu,

Ini bukan cerita tipu,

Ini satu ingatan buat diriku

dan saudari-saudariku.

Mungkin juga buat saudara-saudaraku.

Ma’at taufiq wannajah fil imtihan.

Moga perjuangan kita mendekatkan kita kepada Allah

Mengukuhkan keyakinan kepada janji-janji-Nya.

Salam perJUANGan.

Kimian Avenue

1 Mei 2008

Thursday, 10 April 2008

Techno-savvy



Alhamdulillah, cuti telah bermula secara rasminya pada petang 4 April yang lalu.

Petang Jumaat yang penuh barakah, penuh kemuliaan,

Kurniaan Allah buat hamba-hamba-Nya.

Genap sudah takdir Allah menentukan, dua bulan yang penuh dengan mawaddah,

menjadi tunjang pembinaan diri di Newcastle.

Sejenak memori minda menyelak tabir tazkirah Malam Ukhuwwah.

Malam Ukhuwwah kedua di negara asing ini.

Membuka sebuah kisah cinta baru antara hati-hati yang merasakan keindahan sebuah kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata namun melangkaui waktu dan ketika.

Inilah kisah iman dan perjuangan.

Kak Yani, pelajar perubatan University of Newcastle itu memang pandai berbicara.

Seringkali butiran hikmahnya mendengungkan deria dengar dan menyentakkan diri ini daripada lena.

“ Your RELIGION is so Techno-Savvy

“What make you said that?”

Begitulah butiran awal perbualan antara Kak Yani dan seorang rakan sepengajiannya yang menjentik hairan di benak fikir.

“Awaitnya techno-savvy? Nurul ni pun buta IT...” hati ini berbicara sendiri.

Mungkin bukan diri ini sahaja yang mengerutkan kening rasa-rasanya.

“Techno-savvy?” seolah-olah kedengaran Ain di hadapan berbicara.

“Yes, TECHNO-SAVVY... This is because your prayer is WIRELESS.”

Wireless : Radio-based systems that allow transmission of information without a physical connection, opposed to transmission systems, that require a physical connection, such as copper wire or optical fiber.

“You can pray wherever and whenever you want.”

“Owh...betul jugak~”

Cerita yang disampaikan Kak Yani menyebabkan diri ini berfikir panjang.

Apa kata survey?

Kimian Avenue,

7th April 2008, Monday.