Bismillah...
Esok saatnya. Hati ini cukup teruja. Beberapa perancangan sudah diatur. Bermula pagi, siapnya insya- Allah tengah hari, minda ini berkira-kira. Peperiksaan SPM sudah surai buat menyurutkan debaran Farhan, Ayong, Puza,Anis, Aimi dan adinda-adinda Maahad yang lain.
Hari ini istimewa, terlalu istimewa. Kali akhir sebelum kaki ini menjejakkan kaki di benua yang lain.
Percaturan turut bermula. Bismillah....1 cawan minyak masak dituang, diikuti 1 cawan susu cair. Apa lagi? Oh, 1 cawan air panas sebelum 3 biji telur dicampur sekali gus. Campuran diputar... Fikiran turut melayang sementara adunan diputar laju.
“Ayah, nak makan yang terakhir tu boleh?” rengek si anak, sedangkan sudah hampir 3 keping apam bailk memenuhi perut. Anak ini sememangnya menyukai makanan. Perlu ditarbiyah nanti. Sampai kini kelihatan kurang berjaya (~,~).
“Ok, ambillah. Makan elok-elok. Ha, ni dah baca bismillah ke belum?” tanya si ayah.
“Terima kasih yah!”
Walau gembira, namun minda si anak tidak dapat mengelak perasaan hairan yang menerjah.
‘Eh, dah baca rasanya...Hm? Tapikan ayah belum makan lagi, kenapa kasik kat Nurul?’ mindanya berbicara. “Dah baca~ Em,takpelah ayah. Ayah belum makan lagikan? Nurul dah makan tiga dah, hehehe...”
“Takpe, makanlah. Ayah dah hidup lama dari Nurul. Dah makan banyak sangat apam balik.” ada unsur lelucon di situ, hanya cuma si anak tidak memahami ditambah bau apam balik yang harum mengelabui fikiran.
Si anak Cuma tersengih. Walau kehairanan masih membaluti minda, namun apam balik yang enak terus menghalau kekeliruan.
‘Em,sedapnya...’
Hati ini tiba-tiba diserapi keharuan. Betapa ayah sanggup berkorban walau sekecil perkara.
Mixer ditutup. 2 cawan gula pasir dituang moga mampu memaniskan adunan dengan izin Tuhan. Adunan diputar kembali. 1 cawan serbuk coklat Vochelle hitam harum ditapis, dituang ke dalam adunan.
“Nak naikkan adunan, jangan lupa letak baking powder dan natrium bikarbonat. Ha, jangan tak tahu pulak yang dua-dua benda tu berbeza. Jangan main bantai aje! “ Pesanan Chef Bob di Kolej Komuniti Ledang tatkala kursus kilat sehari mengukir senyum di minda.
1 ½ sudu teh baking powder , 1 sudu teh natrium bikarbonat dan 2 cawan tepung gandum ditapis bersama. Sedikit demi sedikit dicurah ke dalam adunan. Adunan semakin memekat. Mixer semakin diputar laju.
Kebisingan pesawat kecil mixer mengetuk ruang memori.
“Em, nanti, duit menyelia PMR dan SPM dengan menanda kertas ni insya-Allah boleh belanja untuk Nurul nak bersiap-siap. Boleh bagi Iqa sikit kat Jordan....”
Ya Allah, benarlah berterusan pengorbanan Ayah, tiap detik memikir keadaan anak-anak tersayang. Jarang sekali kudengar keinginanmu wahai ayahanda. Kedegilan di ambang kedewasaan yang bersarang semakin melarut kesan kasih dan pengorbanan insan mulia.
Mata kukesip-kesip, bimbang butiran air di tubir mata menyuntik kehairanan di hati adinda-adinda yang lain. Syukur, dua loyang dapat diisi. Satu jam dikukus. Satu bersalut coklat manakala satu khas untuk ayahanda. Belum sempat gambar ditangkap, kek untuk ayahanda sudah habis mengisi perut bukan sahaja ayah tetapi adinda dan ibunda.
Santapan tengah hari ini sungguh istimewa. Mi Hongkong hasil tangan ummi yang sememangnya memenuhi selera kegemaran. Ah, apakah yang lebih menyenangkan daripada bergembira di samping insan yang tercinta?
Ya Salam, sungguh nikmat-Mu tak terhitung buatku.
Sungguh tidak mampu kunafi rasa bahagia yang bersarang di hati. Hati ini berbunga indah, menyegarkan jiwa dengan haruman meransang iman. Allahu Akbar! Jika nikmat ini sebegitu indah, bagaimanakah ahli usrah di syurga-Mu nanti?
Daripada Abu Hurairah :
“Rasulullah pernah berkata,’Kumpulan pertama yang masuk syurga
bersinar seperti bulan purnama. Kumpulan selepas mereka bersinar seperti bintang yang paling terang cahayanya di langit...
Peluh mereka seharum kasturi... Isteri-isteri mereka ialah bidadari
yang cantik...”
-Hadis riwayat Bukhari dan Muslim-
Dalam hadia yang lain :
“Bekas makanan mereka di dalam syurga diperbuat daripada emas.
Peluh mereka seharum kesturi. Setiap orang mempunyai dua isteri, yang tulang sumsum betis mereka berdua dapat dilihat dari sebalik daging kerana sangat cantik. Tidak ada perselisihan yang berlaku dalam kalangan mereka semua dan tidak ada perasaan benci- membenci. Jiwa mereka semua bagaikan jiwa seorang sahaja.
Mereka sentiasa bertasbih menyucikan Allah pagi dan petang.”
-Hadis Riwayat Bikhari dan Muslim-
Masya Allah, lautan nikmatmu yang tidak kehabisan terus menenggelami kami sehingga...SELAMA-LAMANYA~
Ya Muhaimin, moga aku mampu memberikan selain daripada ini, sebuah kek yang tidak mampu kekal lama, buat ayahanda.
~Coretan tinta lewat 7 Disember 2007, untuk ayahanda~