Friday, 25 December 2009

Iktibar Ceri


25 Disember 2009, Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim~

Hari ini hari Jumaat. Kehadiran pagi ini diiringi oleh titisan air hujan yang menyegarkan bumi Melbourne. Usai jamaah subuh, bacaan ma'thurat pun bergema dengan diakhiri dengan penyampaian hadith Riyadhus Salihin.

Saya selak helaian 'soft copy' pdf Riyadhus Salihin, bab Yakin dan Tawakkal. Ibnu Abbas melaporkan bagaimana Rasulullah S.A.W menceritakan keadaan di akhirat nanti. Pada hari pengumpulan umat manusia, Rasul S.A.W melihat ramai nabi dan para nabi itu ada yang disertai oleh umat-umatnya. Ada nabi yang disertai oleh segerombolan manusia, ada juga disertai oleh hanya dua atau tiga orang. Sunggguh pun demikian, ada juga nabi yang hanya bersendirian menghadap Allah.

Nabi S.A.W mencari-cari kita umatnya di padang mahsyar itu. Tiba-tiba dia terlihat sekelompok manusia yang berbadan besar dan sangkanya itulah kita. Namun ada suara yang mengatakan; bukan, bahkan itulah Nabi Musa beserta umatnya bani Israel. Kemudian Nabi menoleh ke arah yang lain, terlihatlah Nabi segolongan manusia yang ramai dan diberitahukan bahawa itulah kita (umat Nabi Muhammad S.A.W). Berserta dalam kelompok itu ialah 70 000 hamba Allah yang dapat masuk syurga tanpa dihisab dan disiksa.

Usai menyampaikan wahyu, Nabi masuk seketika ke dalam rumah baginda. Ketika itu, para sahabat membuat pelbagai andaian tentang manusia yang masuk syurga tanpa dihisab dan diazab. Ada yang mengatakan itulah segolongan manusia yang telah menjadi sahabat Nabi S.A.W. Ada juga sebahagian yang lain mengatakan bahawa manusia itu ialah mereka yang dilahirkan dalam zaman Islam sudah ada dan mereka tidak pernah mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun (bahkan amat berbeza pendapat mereka dengan realiti kita sekarang). Lalu, setelah Nabi keluar dan ditanyakan sebab perbincangan yang berlaku, maka Nabi pun menjernihkan andaian-andaian para sahabat.

"Mereka itu ialah manusia yang tidak pernah meminta-minta mentera dengan orang lain kerana sangat bertawakkal kepada Allah. Mereka itu juga tidak pernah merasa bahaya dengan adanya burung-burung (atau merasa bahaya kerana adanya sesuatu rentetan yakin bahawa Allah sahaja yang boleh mendatangkan mudharat dan manfaat pada diri mereka)."

(Muttafaqun a'alaih - Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Ceri-ceri yang menari-nari




Fikiran saya melayang-layang ke ceri-ceri merah pekat yang segar-bugar. Sudah hampir sebulan saya berserta 11 rakan-rakan yang lain bekerja di kilang ceri Koala Country Orchard (KCO). Kami tinggal di rumah bernama Feral Castle, dalam zon Bonnie Doon yang berada dalam daerah Mansfield Shire, 30 minit dari Yarck, mukim/daerah terletaknya KCO. Yarck pula terletak lebih kurang 3 jam dari Bandar Melbourne.

Ahli keluarga Feral Castle ada 12 orang kesemuanya :
Intan sebagai ibu, merangkap ketua, merangkap menteri kewangan Feral Castle,
Dayah merangkap ketua Feral Castle dan ketua orang-orang Newcastle,
Nisya sebagai rakyat yang ceria (jawatan masih dipertimbangkan),
Saya selaku penyelia petang sekolah Cik Fini juga merangkap janitor sekolah yang sama,
Dal sebagai PKHem sekolah Cik Fini,
Diba selaku PK 1 sekolah Cik Fini,
Fini selaku Guru Besar sekolah Cik Fini merangkap orang kaya Feral Castle,
Anis selaku kaunselor sekolah Cik Fini,
Diey selaku rakyat yang kaya senyap-senyap,
Aisyah Suki selaku si Abu Bakar kepada sang Umar
Nanie selaku si Umar kepada sang Abu Bakar
Tika selaku rakyat riang merangkap adik pisang kami di sini.

Alhamdulillah, 30 hari yang berlalu disajikan dengan pelbagai peristiwa aturan yang Maha Mengetahui. Kami merasai pahitnya kehidupan, menikmati manisnya ukhuwwah, getirnya bersahabat, letihnya pekerjaan, asingnya di bandar kecil, dan berpuluh-puluh lagi penyeri pengalaman hidup kami yang masih singkat. Ada yang baru 22 tahun hidup di dunia, ada yang 21 tahun, malahan ada juga yang baru 20 tahun menghirup rencam dunia. (Adakah sesiapa yang merasai nada yang berlainan pada ayat ini?)

10 daripada kami bermula sebagai manusia yang tidak tahu apa-apa tentang ceri melainkan harganya yang mahal di pasaraya Coles atau Woolworths aka Wollies. Warnanya yang kami tahu ialah merah pekat, gelap seperti warna hati. Intan dan Dayah pernah bekerja sekali dan mengenali penyelia aka pegawai atasan kami di KCO, Liz.

Menjejakkan kaki di KCO, kami disambut mesra oleh Liz dan pekerja-pekerja lain. Kami diberitahu bahawa kami akan berdiri di beberapa lane (boleh rujuk blog Anis Zarina zaman pada link blog ini). Kami perlu mengasingkan second dan waste daripada first. 21 November, bermulalah karier pertama saya di alam pekerjaan secara rasminya selaku cherries' sorter atau penilai ceri tapisan pertama (nama bukan rasmi, idea sendiri ilham daripada Ilahi). Saya suka menjadi manusia pertama di line itu. Ceri akan keluar bergolekan daripada paip-paip besar berisi ceri dan air klorin (untuk membunuh pelbagai makhluk tidak diingini) dan akan jatuh pada line biru utama. Saat itu, maka segala pekerja ceri barisan hadapan ini perlu melakukan dengan secekap mungkin hal-hal pengasingan sang ceri versi kelas kedua dan rosak daripada ceri versi kelas pertama.



Ceri-ceri akan digerakkan dengan halaju yang tetap, maka para pekerja perlu menggolek-golekkan ceri-ceri yang pelbagai saiz, rupa dan warna mengikut jenis yang keluar daripada paip untuk memastikan tiada lubang, rekahan besar, kulat, bintang perosak seperti siput mahupun tiada sunburn yang keterlaluan pada ceri-ceri itu. Jika didapati sebarang kecacatan yang melampau, maka ceri-ceri itu perlu diletakkan dalam lane kedua atau lane rosak. (Secara jujurnya saya tidak tahu bagaimana mahu menerangkan lane atau line ini, kerana ada 5 tempat untuk kami mengasingkan ceri dalam bentuk barisan selari. Setiap barisan itu ada dua barisan yang saling berhadapan untuk mengasing-asingkan second dan waste daripada first. Cadangan saya, rujuk blog cik Anis).

Itulah kerja kami setiap hari. Namun demikian, ada di antara kami yang akan ditarik ke bahagian penilai ceri tapisan kedua di division Coles kerana ceri kilang kami akan dihantar ke Coles (Coles ada spesifikasi ceri yang perlu kilang penuhi). Saya tidak menyukai sangat bahagian ini kerana kita akan berhadapan dengan ceri-ceri yang sejuk beku. Andaian kami, ceri-ceri itu baru dikeluarkan daripada peti sejuk serta dilalukan dalam air klorin untuk disambut oleh kami di meja pengasingan. Seterusnya di sini, kerjanya tiada yang berbeza dengan pekerja barisan hadapan (first liner), melainkan lebih tekanan kerana ceri terus masuk ke dalam kotak-kotak untuk dihantar terus ke Coles. Jika ditakdirkan terdapat ceri-ceri busuk melebihi yang tidak sepatutnya (atau menyusahkan pekerja penilai tahap akhir untuk membuangnya daripada kotak), maka seluruh ceri yang memenuhi kotak itu akan dituang semula ke dalam barisan penapisan tahap kedua...rugi produktiviti dan waktu.

Ada juga yang ditarik ke bahagian punnet iaitu ceri-ceri akan dimasukkan ke dalam kotak plastik keras yang berat ceri akan diisi mungkin sekitar 500 gram ke 2 kilo. Nisya merupakan pekerja utama di sini, dan dipilih oleh Liz ke sana. Sesetengah daripada kami juga dihantar ke bahagian timbang ie scaling. Bahagian ini agak meletihkan dan menyakitkan pinggang. Ada juga yang membuat kotak-kotak dan ada juga dihantar ke bahagian second.

Di bahagian ini, pekerja perlu meletakkan label dan plastik ke kotak, mengasingkan ceri waste daripada second, memastikan waste yang dibuang ke dalam tong besar empat segi berwarna hijau itu benar-benar waste atau laporan akan dihantar kepada supervisor, menyodok-nyodok waste agar tidak berkumpul di tong hijau yang akan menyekat perjalanan waste, menimbang ceri second sebanyak 5 kilo atau lebih sikit dalam kotak yang diletakkan plastik tadi, membuang tangkai-tangkai ceri yang termasuk dalam bahagian second dan menyusun kotak-kotak berisi ceri second di atas sebuah papan kukuh. Hanya ada dua orang manusia sahaja yang menjaga bahagian ini.

Sebuah kehebatan agung


Pekerja-pekerja di sini terdiri daripada berbilang bangsa, pelbagai rupa dan bahasa. Ada dari Vietnam, Filipina, Malaysia, Perancis, Indonesia (mungkin), Korea, Taiwan, Kemboja dan tentunya daripada Australia. Ada yang hanya tahu sedikit berbahasa mat saleh, namun dengan wajanya berkerja di Australia. Masya Allah, hebatnya keagungan Allah. Bukan sekali Allah mengingatkan di dalam al-Kitab bahawa perbezaan inilah yang menunjukkan kehebatan kuasa Allah.
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui." (Ar-Rum 30 : 22)

Subhanallah, hebatnya penciptaan dan urusan Allah. Orang Korea, begitu rupa dan bahasanya, orang perancis begini pula rupa dan bahasa. Budaya kami berbeza, penampilan kami berlainan namun kami bertemu di sebuah negara asing yang jauh dari negara asal kami.

Selain bertemu dengan pelbagai manusia, kami ahli Feral Castle juga berhadapan dengan beberapa orang pegawai pemerhati KCO. Mereka ialah Julie dan Maree serta terbaru Vera daripada Taiwan. Terdapat juga beberapa orang supervisor yang lain, namun Mok Ju (Julie atau pernah juga dipanggil Jojo), Momo (Maree) dan Vera penjaga utama kami. Jika ada sebarang laporan daripada bahagian lain, maka mereka akan memastikan kami tahu dan itu bermakna, kami perlu lebih gigih berusaha.

Pada mulanya, saya merasa cuak dengan kehadiran mereka lebih-lebih lagi jika mereka berdiri di sebelah saya. Saya merasakan serba tidak kena dan kurang keyakinan diri, lebih-lebih lagi pada dua hari pertama, saya dan rakan-rakan yang baru masuk seringkali diingatkan ini ceri busuk, ini merekah, perlu dibuang dalam sampah, bukan di bahagian pertama mahupun kedua. Rentetan itu, kami lebih gigih jika mereka berdiri di sebelah. Sungguhpun demikian, iman kami berbisik, inikah sifat amanah kamu? Berusaha dengan bersungguh-sungguh hanya apabila pegawai pemerhati di sebelah. Di mana Allah di hati, mata dan fikiran kamu? Di manakah Ihsan kamu wahai hamba?

Tatkala disentakkan begitu, hati beristighfar.
Wa kafa billahi wakiila, wa kafa billahi syahiida, wa kafa billahi a'liima (cukuplah Allah sebagai Pelindungku, penyaksi segala perbuatanku dan tahu tentang amal perbuatanku).
Kadangkala, ada ceri buruk yang tercampak daripada lorong ceri buruk ke dalam lorong ceri kedua yang dilakukan tanpa sengaja oleh senior-senior kami (berdasarkan pengalaman bekerja, bukan umur), namun mereka akan menyatakan pada kami sahaja pada mulanya, kerana kami baru datang. Itulah yang menguji kesabaran hamba Allah. Ada yang rasa biasa, ada yang rasa bengang, ada yang rasa saya perlu lebih berusaha. Tidak mengapa, Allah tahu ^ ^ . Mungkin juga memang salah kita...

Tatkala saya dipertemukan dengan pelbagai jenis ceri, ada yang besar bagi standard ceri, ada yang kecil macam tak cukup zat, ada yang macam epal fuji, ada yang macam epal fiji, ada bentuk hati dan berbagai-bagai bentuk lagi, saya rasa sangat takjub. Ada ceri warna merah gelap, ada warna merah cair, ada warna merah jambu, ada juga warna pucat. Rupa-rupanya ceri ni ada pelbagai rupa, saiz dan warna, macam manusia... Ini baru ceri yang penampilan dan kerosakan pelbagai rupa, apatah lagi manusia... Manusia di kilang ada yang begini, manusia di Feral Castle ada yang begitu. Indah sungguh jalinan antara kami. Di kilang, kami disatukan di bawah ketua atau supervisor yang sama, namun di Feral Castle, kami disatukan dalam ikatan akidah yang sama.

Jiwa

Kami bersolat berjamaah, membaca Riyadhus Salihin lepas subuh, membaca ma'thurat, pengisian antara maghrib dan isya' : Tadarus, sirah, tafsir fi Zilal, kisah sahabat, tazkiyatun nafs (penyucian jiwa) dan tayangan-tayangan membina iman, ilmu dan hati. Saya rasa hidup-hidup bertemu ceri di kilang lebih bererti dengan keindahan hidup di Feral Castle. Secara jujurnya, jikalau tiada pengisian; pengubat dan pembentuk jiwa itu tiada, hanya solat dan tadarus, maka saya mungkin akan bungkus kain baju untuk pulang terus ke Newcastle atau lebih menarik lagi Malaysia.

Masakan tidak, hari-hari kami menghadap ceri. Sehinggakan saya pernah juga bermimpi ceri atau mungkin orang-orang di KCO; untuk menekankan, betapa ceri telah mendominasi mimpi dan hari siang saya. Bayangkan kami bekerja daripada pukul 8 pagi sehinggalah pukul 2.45 - 6.00 petang. Kami mungkin bekerja antara 6 ke 5 hari seminggu. Malamnya kami melepek pada mulanya.

" Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah tidurmu pada waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebahagian daripada kurnia-Nya. " (Ar-Rum 30 : 23)

Alhamdulillah, cadangan Dayah serta pengelolaan Intan dan perbincangan kami untuk membuat jadual pengisian memantapkan lagi pendirian kami, bahawa kami bukan semata-mata di sini mengikut prinsip 'Another day another dollar' tapi kami bekerja demi mencari redha dan untuk beribadah kepada Allah. Kami perlu faham bahawa konsep ibadah itu ialah pengabdian diri kepada Allah, memperhambakan diri hanya kepada-Nya, maka lebih indah malam-malam dan hari-hari kami di bumi Allah ini.

"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung. " (Al-Jumu'ah 62 : 10)

Carilah pengertian hidupmu. Nescaya engkau akan lebih berbahagia wahai diri dan sahabat.

Salam perjuangan dari Melbourne,
8.24 am

Monday, 7 December 2009

Matahari


7 Disember 2009, Isnin

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ini kami ahli Farel Castle bakal bertolak pada jam 7 pagi menuju ke Koala Country Orchard.
Apa tu? Itu kilang ceri tempat kami bekerja sepanjang musim panas ini. Insya Allah, kalau ada kesempatan, akan saya ceritakan nanti.

Saya curi sedikit kesempatan pagi ini, menggunakan broadband optus milik Anis untuk menukilkan sesuatu yang terselindung di balik tirai hati.

Dia sering di ingatan. Mengajar erti pengorbanan dan dalam tegasnya ada sabar.
Lembut raut wajahnya, sering menyebabkan hati kami tertawa.
Dialah pendidik usrah kami, bermula di Sarawak, Jementah dan akhirnya Muar.

Selama 22 tahun bernafas di bumi Allah, kadang-kala aku lalai akan nikmat besar ini.
Lautan kasih sayang Ilahi sering membuatkan hamba-hamba-Nya angkuh dan lupa untuk bersyukur. Hati lantas memberontak apabila tuntutan jiwa tidak dipenuhi rentetan akal yang cetek dan iman yang lemah. Namun, Ar-Rahim memelihara kami dengan adanya dia di sisi kami.

Itulah ayahanda, ayah kami. Peramah orangnya dan punyai khazanah pelbagai jenis buku pembina jiwa yang tidak pernah aku sedari nilainya sehinggalah melepasi alam remaja...alangkah ruginya...

Ayah pembentuk diri kami. Ketegasannya tentang agama sangat membekam di dalam jiwa kami, terutamanya hal solat. Kata-kata yang paling menikam dan terus berkesan di hati ini :
"Ha, besar-besarkanlah kotak tu. Utamakan sangat kotak tu sampai sanggup tak nak besarkan Tuhan!"
Allahu Akbar, kata-kata yang terus menyengat dan menusuk pangkal jantung. Berdebar-debar hati kami anak-anaknya yang degil mahu melihat kartun di TV walaupun asar sudah masuk.
Dengan langkah yang berat kami akur... Ah, zaman kedegilan anak-anak...
Ayahanda, sungguh kata-katamu benar.

Ayahlah, guru mengaji kami yang pertama. Diajarkannya kami melalui buku panduan 'iqra' jilid satu hingga enam. Terangkak-rangkak kami mengikuti dan rotan mahupun suara Ayah yang marah kerana kesilapan bacaan kami amat kami takuti. Teringat kisah silam Iqa berlatih dahulu bacaannya dengan Ummi untuk mengelakkan kegarangan ayah ^ ^
Ayah guru pertama mengajar solat, kerana solat itu tiang agama, katanya.
"Kalau tiang dah runtuh, apa ada pada agama."

Ayah seorang lelaki yang kelakar. Sering menyebabkan kami sekeluarga tertawa.
Kadang-kala diceritakannya mimpi-mimpi yang sering menghiburkan hati, terutamanya tentang makanan.
Ayah seorang tipikal lelaki Melayu, pada pandangan saya, dan Ummilah yang banyak mengubah Ayah.
Keromantisan Ummi dan Ayah kadang-kala menyebabkan jiwa remaja saya waktu itu malu.
Tidaklah seromantis mana. Hanya ayah selalu menjemput Ummi di SMKA Maahad Muar (yang waktu itu saya masih lagi pelajar di sana) dan mereka akan berjalan beriringan ke kereta.
Kadang-kala Ummi memaut tangan ayah, dan rakan-rakan akan mengatakan kepada saya,
"Romantiknya mak ngan ayah awak!"
Aduh-aduh, malu saya menjadi perhatian kawan-kawan.
Kini, saya hanya tersenyum manis melihat mereka berdua-duaan...

Tanpa saya sedari, hari ini, genaplah ayah berusia setengah abad.
50 tahun, dengan 23 tahun hidup berkeluarga (22 tahun menjadi seorang ayah), menyebabkan Ayah sentiasa di hati.
Kadang-kala hati resah, takut salah meletakkan Ayah dan Ummi di strata atas, sedangkan Allah dan Rasulnya lebih layak...semoga kami diletakkan di jalan yang benar,jalan yang diredhai.

Ayah, selamat hari lahir.
Semoga ayah panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan, menjadi hamba Allah yang cemerlang, diberkati umur dan dikurniakan syurga-Nya.

Salam rindu dari anakmu,
Farel Castle, Bonnie Doon, Victoria,
06:24, 1 jam dan 36 minit sebelum masuk kerja.

Tuesday, 24 November 2009

Jalan masih ada, kuatkan langkahmu

18 November 2009, Rabu, 1 Dzulhijjah 1430.

Hari terakhir peperiksaan semester 2, tahun 2, 2009.
Saya redha dan pasrah.
Pahit dan manis bersulam-sulam ria.

Hari ini juga, debaran beribu-ribu manusia bermula.
SPM 2009. Batch yang lahir pada tahun 1992 menghayunkan langkah menuju ke dewan peperiksaan.



Dada berdebar kencang, dahi berkerut seribu, berhati-hati menjawab setiap soalan dengan ditemani selawat dan doa.
Faiz antara pelajar yang sedang berjuang di SBPI Mersing.
Anak lelaki sulung harapan keluarga.
Susut tubuhnya rentetan kegusaran menghadapi kertas peperiksaan.

Wahai adinda, engkau tidak bersendirian.
Doa ummi dan ayah, para guru, kakak-kakakmu dan adik-adikmu mengiringi tiap derapan kaki.
Selagi Faiz memohon kepada-Nya, Dia akan terus mendengar dan memberikan yang terbaik untukmu.
Teruskan berlari. Berlarilah dengan sekencangnya.
Faiz bakal tiba ke garisan penamat. Faiz graduan daripada sekolah Tanwiriah, Maahad dan SBPI Mersing.
Faiz seorang pejuang, berperanglah hingga ke titisan dakwat terakhir.
Teguhkan hatimu wahai adinda dan perkasakan larianmu, kerana Dia menjadi saksi sebuah perjuangan yang bakal melakar masa hadapanmu.



Selamat berjuang buat semua pelajar SPM 2009, juga buat Hakim, adik Wani serta adik kepada Fairuz Hana aka Peoz. Bittaufiq wannajah fil imtihan.

Salam imtihan buat adinda di Mersing,
54 Kimian, 11.47 am

Papan hitam


7 Zulhijjah 1430, 24 November 2009, Selasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya pandang sungguh-sungguh wajah ustazah Fatimah di hadapan.
Ummi pesan, mesti tumpukan perhatian dalam kelas dan jangan layan kawan-kawan yang suka ajak berbual masa guru tengah mengajar.



'Wahidun - satu'
'Isthnani - dua'
Tsalatsatun - tiga'
'Arba'atun - empat'
'Khomsatun - lima' .....

Saya, Hajar, Solehah, Ruqayyah, Hazwan dan beberapa murid tahun satu cepat-cepat menghafal.
Bertanding siapa yang paling cepat dapat menyalin tulisan-tulisan kapur di papan hitam dan menghafal sekaligus agar tidak berdiri di atas kerusi nanti.

'Baiklah, ikut sebutan ustazah ramai-ramai. Lepas tu ustazah bagi masa lima minit untuk hafal.'

Lima minit telah berakhir, dan dengan rasa berat hati, buku tulis ditutup dan kami seramai lebih kurang lima belas orang pelajar tahun satu berdiri di tempat masing-masing.
Saya menggerakkan mata ke seluruh kelas, ada yang malas berdiri, ada yang memejam mata masih menghafal, ada yang wajahnya tampak bersemangat, tidak gentar bakal ditanya nanti.

Hari ini saya berazam mahu menjadi orang pertama duduk!

'Baiklah, sekarang ustazah tanya ye. Apa nombor lima dalam bahasa Arab?'

Serentak kedengaran beberapa suara bersemangat sahut-menyahut.
'Saya ustazah!'
'Saya! Saya!'
'Saya tahu! Saya tahu!'

'Baiklah, Hajar, ustazah nampak Hajar paling cepat angkat tangan.'

Hajar tersenyum lebar, saya terasa kelat. 'Tak tercapai agaknya azam hari ni...', bisik hati saya.

'Khomsatun ustazah!' jawab Hajar lantang.
'Toiyib! Ijlisi ya Hajar!' (Bagus! Duduk ya Hajar!)
'Ala...' rungut hati saya.

'Soalan seterusnya... tis'atun tu, berapa dalam bahasa Melayu?'
Dengan pantas saya mengangkat tangan, 'Sembilan ustazah!'
'Toiyib! Ijlisi!'

Saya pandang Hajar dan kami saling tersenyum.
Ustazah juga tersenyum senang melihat tullab (pelajar) tahun satunya begitu bersemangat mengangkat tangan walaupun tidak semuanya betul.

Itulah Ustazah Fatimah, guru kelas kami.
Saya hanya mampu tersenyum manis mengenangkan kenangan lalu.
Ustazah Fatimah umpama Bu Mus dalam novel dan filem Laskar Pelangi.
Wajahnya lembut penuh keibuan. Dia berkaca mata dan mungkin berdarah jawa ataupun bugis.
Ustazah Fatimah antara guru pertama dalam hidup saya, mengajar dengan penuh kesabaran dan ketegasan.
Pengkhususannya ialah Bahasa Arab. Sejak detik itulah, saya jatuh cinta dengan bahasa indah ini.

***********************************
Novel Laskar Pelangi dan DVD milik Kak Yani (yang kami ahli 54 Kimian akhirnya dapat menonton ramai-ramai setelah habis musim peperiksaan) membuatkan saya mengimbau kembali satu perjuangan pendidikan di kampung.
Keseluruhan hidup saya, saya membesar di Muar. Dipanggil Muo oleh orang-orang tempatan.
Lebih tepat lagi, keseluruhan zaman kanak-kanak saya habiskan di Parit Kassim, Parit Jawa, Muar.

Saya masih ingat rayuan saya pada ummi.
'Ummi, nanti Nurul nak sekolah yang pakai tudung boleh?' sebab pada itu saya merasakan sekolah tadika saya ketika itu menyusahkan kerana tidak bertudung. Saya rasa rimas.
'Ok, tahun depan nanti insya Allah ummi sekolahkan Nurul kat sekolah semua wajib pakai tudung,ok?' janji ummi.
'Ok!' saya tersenyum lebar.

Waktu berlalu dan tahun 1993, saya berusia enam tahun.
Semalam ummi panggil saya dan dudukkan saya di birai katil.
'Nurul ingat tak Nurul minta ummi buat apa?'
Saya terkebil-kebil. Saya tidak ingat.
'Esok, nanti Nurul pergi sekolah baru. Sekolah yang Nurul nak tu. Yang ummi janji dengan Nurul tu. Ingat tak?'
Muka saya berseri-seri mendengar kata ummi.
Ah, ummi sentiasa menepati janji. Sentiasa berusaha menghiburkan hati anak kecilnya ini.
Rupa-rupanya ummi sentiasa punya rencana untuk anak-anaknya.

'Ummi, nanti Nurul ngan Iqa sekolah sama-sama la kan?' saya bertanya lagi.
'Ye, nanti petang nanti kite jumpe Pak Mat. Nanti pagi-pagi Pak Mat ambil Nurul ngan Iqa pergi sekolah. Pukul 12.45, habis sekolah, Pak Mat ambil balik. Jangan pergi mana-mana, tunggu je dekat sekolah. Ikut kata Pak Mat ok?'

Petang itu jugalah, saya dan adik bertemu Pak Mat. Lelaki dalam lingkungan 70-an. Baik dan tidak garang dalam hemat saya tatkala itu.

Itulah rencana ummi, satu-satunya ummi saya dunia dan akhirat.
Ummi waktu itu sedang sibuk membesarkan tiga orang anak, saya, Iqa dan Faiz yang baru berusia beberapa bulan, di samping mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Muar (terletak berhampiran Bandar Maharani, berbelas-belas kilometer dari Pekan Parit Jawa).
Sekolah ini mempunyai rantaian daripada tadika sehinggalah sekolah menengah.
Ummi punyai sebuah pelan, mahu menyekolahkan anak-anaknya di sekolah yang didasari pendidikan Islam, sungguhpun ummi pengajar di sebuah sekolah antara sekolah elit di Muar.

Ummi tekad menyekolahkan kami di Sekolah Agama Rakyat (SAR), menongkah arus di celah-celah pandangan umum masyarakat kerana pada ummi, dengan dasar agama yang kukuh, insya Allah, anak-anaknya mampu berdiri teguh walau dihantar ke mana sekali pun.

Pandangan kebanyakan masyarakat tika itu terhadap sekolah agama rakyat masih penuh pesimis. Kebanyakan mereka menganggap Sekolah Agama Arab At-Tanwiriah atau dipanggil kami Madrasah Arab At-Tanwiriah, hanyalah sebuah sekolah kampung yang kebanyakan pelajar-pelajarnya tidak akan mampu pergi lebih jauh. Mungkin sekadar menjadi tenaga pengajar di sekolah yang sama sahaja atau paling tidak pergi ke Mesir belajar agama. Waktu itu, panggilan ke universiti-universiti tempatan ataupun luar negara seperti negara-negara barat lebih menggiurkan mereka.

Namun ummi dan banyak ibu bapa lain tidak mempedulikan pandangan masyarakat umum dan nekad bersama-sama para guru yang cekal menghidupkan madrasah yang diasaskan Ustaz Hasbullah.
Maka, bermulalah perjalanan saya mengecapi manisnya ilmu di sekolah sedang itu.

Ustaz Hj. Hasbullah Hj. Salleh

***************************************

Sekolah saya sekolah papan. Hampir sama sahaja dengan gambaran sekolah Muhammadiyah Gantong. Dibina atas dasar ukhuwwah sesama muslim di pekan itu.
Hanya ada satu bangunan sahaja di sana. Di situlah, terletaknya kantin, pejabat, kelas-kelas tahun satu hingga enam, tingkatan satu hingga tiga mengikut ingatan saya, dan tandas. Setiap tahap hanya ada satu kelas. Setiap satu kelas mempunyai pelajar dalam lingkungan sa hingga dua puluhan. Dua puluhan itu dikira cukup besar bagi satu-satu kelas.
Dengan wang saku seringgit pemberian ummi dan ayah, saya dan Iqa dapat membeli mi siput, mi goreng besar, ais krim, air sirap atau kuih. Saya rasa cukup bahagia.

Waktu persekolahan bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir mengikut tahap kelas. Tadika paling awal, diikuti dengan sekolah rendah dan akhirnya sekolah menengah sesuai dengan bilangan mata pelajaran yang diikuti. Saya tidak ingat bagaimana aturan kelas, namun yang pasti dapat memuatkan kami semua dalam sebuah bangunan yang sama.

Waktu pagi persekolahan, kami mulakan dengan asmaul husna, ikrar pelajar (i.e Roditu billahi rabba, wa bil islamidina, wa bimuhammadin nabiyau wa rasulaa ; relalah aku berTuhankan Allah, beragamakan Islam dan bernabikan Nabi Muhammad SAW), serta selawat Nur. Waktu itu, saya hanya menghafal, tidak langsung memahami erti tiap kata tersebut. Selepas ucapan Guru Besar, kami dengan sedaya upaya tertib, agar tidak berebut-rebut bergerak masuk ke dalam kelas.

*******************************************

Tadika enam tahun, saya belajar lebih serius, kerana di tadika kemas dahulu, saya banyak menyanyi, berdoa dan tidak mempedulikan sangat huruf-huruf mahupun nombor-nombor yang diajar guru. Keseriusan saya itu menyebabkan saya dapat menyanyikan ABC dengan lebih baik dan hanya huruf 'e' , 'b' dan 'd' sahaja yang terbalik (saya keliru antara d dan b, manakal e pula saya menuliskannya seperti melihat di dalam cermin).

Guru kelas saya cikgu Azizah. Berkaca mata dan mempunyai anak yang mengikuti kelas yang diajarnya. Saya tidak ingat nama anak lelakinya itu, tapi memori saya mengatakan dia anak yang nakal dan lincah, sering bermain-main sungguhpun ibu sedang mengajar di hadapan. Saya rasa tidak betah dengan kelincahan anak itu dan sering rasa kasihan dengan cikgu Azizah. Dia seorang guru yang penyabar, mengajar anak didiknya huruf konsonan dan huruf jawi serta perbezaannya dengan huruf arab hijaiyyah (alif hingga ya).

Waktu pengajaran solat, kami bercampur dengan kelas sebelah yang dijaga oleh Cikgu Aisyah. Cikgu Aisyah mempunyai seorang adik sebaya saya. Namanya Nurul Jannah Ishak dan dia seorang pelajar bijak sering mendapat markah penuh dalam bahasa Inggeris. Cikgu-cikgu itulah yang mengajar kami cara mengambil wudhu dengan betul dan menunaikan solat serta bacaan-bacaan solat. Itulah ajaran awal kami mengenal Ilah.

****************************************************

1994 saya di bawah jagaan Ustazah fatimah yang pandai bercerita. Beliau sering bercerita tentang azab orang yang suka meninggalkan solat selepas bertanya siapa yang bersolat subuh, zuhur, asar, maghrib, isya' pada setiap hari. Kadang-kala ustazah bercerita rakyat. Tentang sang monyet dengan buaya, dan sang harimau dengan kucing.

Saya seorang anak yang malas dan kadang-kadang degil, liat mahu mengerjakan solat. Saya lebih rela menonton Doraemon, mahupun Power Rangers daripada solat jemaah maghrib dengan ayah dan ummi. Bila tiba azan maghrib, saya cepat-cepat mengambil wudhu' dan bersolat sendirian di dalam bilik, agar tidak ketinggalan Nobita, Giant, Sizuka, Sinyu serta Doraemon yang penuh keajaiban terutamanya pintu suka hatinya itu.

Namun tiap hari ustazah rajin mengingatkan kami, bahagia orang yang tidak meninggalkan solat. 'Ganjarannya syurga dan anak-anak semua boleh minta apa sahaja yang anak-anak mahu. Coklat, ais krim, mainan..' pancing Ustazah Fatimah.
Wah~ bersinar-sinar mata kami, berbunga-bunga hati kami.
Masing-masing berangan-angan mahu poket ajaib Doraemon dan teddy bear.

Ustazah yang bijak lalu mengumpan kami lagi.
'Tapi, Allah akan murka sangat kalau orang tinggalkan solat.'
Muka saya berkerut, seolah menyatakan, 'Murka tu apa Ustazah?'
Ustazah yang arif seakan dapat membaca fikiran saya dan kawan-kawan.
'Murka tu marah yang teramat. Sangat-sangat marah. Macam marahnya mak awak semua kalau malas nak tolong dia atau pecahkan barang-barang kat rumah.'

'Allah akan hantar kala jengking sengat kita, ular hitam yang sangat besar lilit-lilit kita sampai kita rasa nak mati lagi sekali. Lepas tu, kubur kita yang sempit itu akan semakin menghimpit kita sampai remuk tulang belulang. Lepas tu, datanglah pula malaikat Munkar dan Nakir bertanya kita kenapa tidak solat dan sebat-sebat kita sebab kita malas solat.'

Saya dan kawan-kawan gerun mendengar cerita ustazah. Nekad tidak mahu meninggalkan solat.
Balik rumah, kartun-kartun import Jepun, Kluang Man, Yokies setiap petang dan hujung minggu tidak mahu dipandang lagi.
Namun insan mudah terlupa, kedegilan pun berulang kembali. Ustazah pula tetap setia mendidik kami.

*******************************************

Sekolah kami di kiri dan belakangnya semak belukar. Berjiran dengan rumah sebuah keluarga di hadapan, manakala di belakangnya berdekatan dengan bengkel Sulaiman, milik ayah Aliza Sulaiman, salah seorang kawan sekelas.

Sekolah kami tiada padang, tiada makmal. Berdekatan dengan sekolah kami ialah sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan Parit Jawa yang penuh kelengkapan. Tapi kami, pelajar tahun satu At-Tanwiriah tidak peduli. Pada kami, sekolah kami itulah yang istimewa sungguhpun serba kekurangan.

Saya dan rakan sekelas di ajar Tauhid, Feqah, Sirah, Nahu, Sarf, Tajwid dalam bahasa Arab. Di samping itu juga, kami belajar Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Semakin kami meningkat usia, semakin terasa cabaran menimba ilmu. UPSR wajib diduduki pada tahun enam nanti. Ramai di kalangan kakak-kakak dan abang-abang mendapat 2 dan 3 A dalam sekolah yang kurang fasiliti itu.

Dalam desakan akademik yang semakin nyata, saya dan kawan-kawan tetap begitu.
Setiap ajaran guru terasa sangat menarik. Kalau ditanya subjek kegemaran, pastinya Bahasa Arab, Saraf dan Tauhid saya pilih. Hajar pula, sangat meminati matematik, cekap dan tangkas mengira, sementelahan pula mengikuti kelas abacus. Saya, Hajar dan Hazwan sering berlumba-lumba untuk mendapat markah penuh dalam peperiksaan setengah tahun dan akhir tahun.

Waktu yang sama, sekolah semakin berkembang berkat doa para guru dan sumbangan masyarakat setempat. Semak belukar ditebas untuk membangunkan dua buah bangunan baru.
Saya masih ingat betapa berharapnya saya agar kelas kami dapat ditukarkan ke bangunan baru itu rentetan tahun lima sudah berpindah masuk ke kelas baru. Saya membayangkan kerusi dan meja baru, papan hitam baru, lantai baru, kipas baru, dinding yang dicat baru serta segalanya yang serba baru. Saya teruja.

Ustaz dan ustazah sekolah juga semakin ramai. Saya masih ingat ustaz Khuzaimi, Ustaz Roslan, Cikgu Ungku Jamiah, Ustaz Isa, Ustaz Daud, Ustaz Marbawi, Cikgu Zaharah, Ustazah Zaharah, Ustaz Mat Nor dan barisan guru yang tidak pernah kenal erti jemu mengajar kami di sekolah.

Saya dan rakan-rakan menjadi harapan para guru untuk menukar imej sekolah kerana kehebatan dinilai pada bilangan A.
'UPSR perlu usaha untuk dapat lima A,' pesan ummi pada saya, 'agar terbalas jasa ustaz ustazah dan biar orang tahu bahawa pelajar sekolah agama boleh berjaya asalkan rajin usaha.'
'Buktikan pada kawan-kawan tuisyen, pada Cikgu Adam yang jaga Nurul jadi anak murid tuisyen, pada pakcik makcik, pada sekolah-sekolah lain yang pelajar sekolah kampung juga boleh dapat lima A.'

Ummi membakar semangat, ayah rela melawan penat mengajar seharian menghantar saya tuisyen di rumah cikgu Adam Adas, guru besar SRK Batu Dua. Ustaz ustazah terus setia mengajar kami yang lemah dan suka bermain-main. Ustazah Fatimah, Ustazah Zaharah, Cikgu Zaharah, Cikgu Ungku Jamiah, Ustaz Isa, Ustaz Daud, Ustaz Marbawi, Ustaz Abdullah, Cikgu Roziana terus memberi keyakinan mengajar kami dengan sesungguh-sungguhnya. Sabtu dan ahad, saya berkayuh basikal ke Parit Payung untuk tuisyen matematik bersama-sama cikgu Norizan yang kelakar. Pedulikan pandangan sinis, kerana di situ sebuah perjuangan pahit manis diteguk.

*****************************************

Hidup saya dibentuk oleh banyak guru. Bermula dengan ummi dan ayah yang juga guru.

Masa muda, ayah agak garang, walaupun saya jarang dirotan. Selalunya Faiz, dan adik-adik yang berani melawan akan bertemu dengan penyidai baju di tangan ayah. Sungguh pun demikian, peristiwa pertemuan dengan penyidai baju jarang berlaku, kerana dengar sahaja ayah akan tahu perbuatan nakal, maka kami mencicit-cicit lari berbuat baik. Bab-bab makan kegemaran, ayah rajin membelikan untuk kami di pasar lambak berdekatan Pasar Parit Jawa. Keropok lekor kegemaran Iqa, air tahu/soya kegemaran anak sulungnya, nugget ayam/hotdog kesukaan Faiz, kuih kole kacang kegemaran ummi dan apa-apa sahaja permintaan Biha dan Syifa' dipenuhinya. Ayahlah yang mengajar kami membaca al-Quran selepas solat maghrib berjamaah dan memantau kegiatan solat harian kami.

Ummi pula memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan peribadi dan keyakinan diri. Ummi yang sering memujuk bila kawan-kawan sekelas lelaki mengejek-ngejek saya kerana badan yang besar dan mata yang sepet. Ummi rawat kembali hati yang terluka dan membina kembali harga diri yang jatuh.

Ummi tahu, saya sedang berkira-kira membina keyakinan diri kerana sering dibandingkan dengan kecomelan adik-adik yang lain (i.e krisis identiti dan jati diri) dan kerisauan tentang tahun menghadapi UPSR 1999. Sepanjang tahun 1993 hingga 1999, saya mendapat lagi tiga orang adik; pada Disember 1993, September 1995 dan April 1998 tidak dikira kandungan yang gugur. Dalam kesibukan mengurus anak-anak, ummi diberi kelebihan oleh Allah mengurus perkembangan emosi yang sering dilepas pandang sesetengah ibu bapa. Sungguhpun demikian, jiwa anak mentah sering merasakan ummi bersikap tidak adil dan berat sebelah, astaghfirullah, betapa berdosanya anak-anak meresahkan hati ibu bapa.

Seperti lazimnya, seperti sahabat-sahabat yang mungkin pernah alami, alam persekolahan merupakan antara zaman yang paling indah dalam peta kehidupan seorang insan. Guru-guru merupakan antara tunjang utama pembentuk akhlaq pelajar, begitu juga cikgu-cikgu dan para ustaz ustazah sekolah kami.

Ustazah Fatimah, persis seorang ibu yang memahami. Menyemai rasa cinta terhadap sekolah dan bahasa Arab, bahasa Jannah.
Ustaz Isa sangat penyantun dan lemah-lembut orangnya, mengajar kami tauhid dengan penuh sabar rentetan kenakalan kami. Tidak salah jika saya katakan, ustaz Isa membawa nama Isa dengan sangat baik.
Ustaz Daud pada ingatan saya sangat istimewa di hati kami pelajarnya. Ustaz Daud juga sangat budiman orangnya. Mengajar mata pelajaran sorof dengan sepenuh hati sehinggakan pemergian ustaz untuk menyambung pelajaran kami raikan dengan hati yang berat.
Ustaz Marbawi pula menyemai rasa suka pada berzanji dan hadith. Ustaz Marbawi dengan kredibilitinya mampu memukau kami agar bersungguh-sungguh belajar hadith diselang-selikan dengan terjemahannya tentang berzanji.

Para pendidik Sekolah Agama Arab At-tanwiriah

Itulah sebuah sekolah yang diperjuangkan atas dasar pendidikan Islam yang melalui pelbagai cabaran dan dugaan dalam arus perdana pendidikan negara. Sesungguhnya, sekolah agama rakyat itu tidak pernah bersendirian. Ditunjangi semangat dakwah dan ukhuwwah, sekolah pertama saya itu masih megah berdiri dan masih terus mendapat kepercayaan para ibu bapa untuk memberi didikan islam buat anak-anak. Cuma kadang-kala para pelajarnya memberontak, mengguris imej sekolah berikutan lemas dalam tuntutan nafsu remaja.

Saya berbangga menjadi pelajar sebuah institusi pendidikan yang menerapkan nilai kerohanian dalam diri penuntutnya. Kini, baru saya mengerti nilai pengorbanan dan perjuangan guru tersayang.

Salam rindu buat para guru pembentuk peribadi,
54 Kimian.

Wednesday, 26 August 2009

Iftar Jamai'e


Bismillahirrahmanirrahim~

5 Ramadhan 1430, 26 Ogos 2009, Rabu

Ramadhan sudah lima hari berada di Newcastle.
Kadangkala Ramadhan ditemani kehangatan musim bunga yang sudah mula dirasakan malam hari ke-3 Ramadhan bertandang.
Hari ini angin sejuk turut dirasakan Ramadhan.
Usai kelas di JHH (John Hunter Hospital), ada yang bergegas menunaikan solat sunat dhuha.
Ada juga yang mengambil peluang membaca kalamullah.
Ada juga yang menggunakan masa untuk mengeratkan ukhuwwah serta mendalami ilmu.
Ramadhan tersenyum puas.

Namun, insan itu sifatnya pelupa.
Berasal daripada kata dasar 'nasiya' - 'lupa'
Maka ada sahaja yang berborak-borak kosong,
merenung syiling dewan RNCLT (Royal Newcastle Centre Lecture Theatre)

Masih berbaki 25 hari,
bagaimana sambutan kita terhadap Ramadhan?
Bagaimana hubungan kita dengan al-Khaliq?
Dalam kita mengejar untuk menghabiskan 30 juzu' al-Quran,
janganlah sampai ruh kalamullah itu hilang ditelan ketergesaan.
Tunggang-langgang tajwid dengan jiwa terasa kosong meskipun berhadapan dengan surat cinta paling hebat yang telah meredupkan hati dan melembutkan jiwa jutaan manusia.

Masya Allah,
hebatnya aturan Allah.
Datangnya ramadhan, lebih banyak hati yang hidup.
Jiwa-jiwa tidak lagi liat bangun awal menunaikan solat subuh.
Subuh dilaksanakan secara berjamaah, dihiasi dengan mathurat dan diisikan sedikit tazkirah.

Usai maghrib secara berjamaah pula, sesi tadarus mengisi waktu menunggu isya'.
Tarawikh, witir, kadang-kala moreh.
Sebelum sahur, qiyam didirikan.
Indahnya kehadiran bulan Ramadhan, diisi dengan puluhan ibadah.
Semoga Allah menerima segala amalan kita, diberikan maghfirah dan dianugerahkan redha serta syurga-Nya.


54 Kimian,
Anatomy lab melambai-lambai

Friday, 21 August 2009

Kehadiranmu


Bismillahirrahmanirrahim~

30 Sya'aban 1430, 21 Ogos 2009, Jumaat.

Hangat dan bahang tengah hari masih terasa.
Sudah berakhirkah musim dingin?

Malam ini, kami bakal berkumpul dengan izin-Nya.
Menyatukan antara hati-hati, dengan mengharap rahmat Ilahi.
Ramadhan telah tiba.
Selamat datang wahai bulan agung...

Ya Rabb,
jadikan aku hamba-Mu yang sebenar-benar hamba,
bukan hamba ramadhan, hamba-Mu ya Rahman.
Sediakan aku ya Rabb menempuhi madrasah ramadhan, dihiasi musim bunga.

sisters newcastle bakal berkumpul malam ini di Jesmond. Redha dan rahmat-Nya kami pohon

54 Kimian,
Australia.

Thursday, 20 August 2009

Watani : ROQ



Bismillahirrahmanirrahim~

20 Ogos 2009, Khamis, 29 Syaa'ban 1430

Jari-jemari ini pantas mengetuk kekunci komputer riba.
Pandangan dilayangkan ke tingkap, masya Allah, matahari setia memancarkan sinar.
Mata ini tertancap pada gebu putih awan di balik rimbunan dedaun yang menghijau,
berbisikkah hati dengan ucapan syukur?
Alhamdulillah, ya Rabb, sarafku masih berfungsi menghantar segala impuls deria,
menterjermah dalam erti keindahan yang tidak pernah pudar dari lensa mata dan redupan hati.

Tiada Morakot di sini, dengan angin masih lembut membelai tiap harapan insan
walau tetap larut dalam alpa.
Istidrajkah?
Jauhkan diri ini dari murka-Mu Tuhan.

Tahun kedua aku di sini.
Menghitung hari menunggu ketibaan tetamu jauh.
Cerianya, indahnya, tenangnya membuai sukma agar tulus dengan diri.
Bibir ini mahu lebih tersenyum, wajah ini mahu lebih berseri-seri apabila bersua nanti.
Itu azam yang mahu terus disemat kemas-kemas, mahu terus dikejap kukuh-kukuh
agar hadirnya nanti, diri ini masih mampu berdiri,
menuntut janji membina jati diri.

Ahlan ya Ramadhan~!
Abdur Rahman, wa la abdur ramadhan!

*****************************************~.^.~***********************

Prolog seorang hamba :



Hatinya lemas dengan omongan berdegar-degar yang kosong.
Tiada ruh, tidak bernyawa.
Bangsa kita, bangsa mereka.
Warna yang mencorakkan pemikiran bangsa.

Cintanya pada tanah air tidak pudar.
Pernah kelam, namun tidak sekali-kali terpadam.
Resah gelisah masih ada, kerana sayangnya tidak pernah surut.
Pada agama, bangsa dan negara.

Itu tanah airnya,
pernah bernama Tanah Melayu.
Genap berumur 52 tahun 31 ogos ini.
lingkungan 28 juta penduduk, dengan luas 329,845 km persegi.

Itukah tanah airnya?
Sepi bermain-main di persada akhbar perdana?
Mungkin itu permainan minda, menguji kecerdikan sebuah bangsa
bermaruah.
Mainan sempit politikus, pemisahan yang ternyata membingungkan.
Sekularisasi semakin menerobos jauh ke rencam pemikiran umat.
Merobek rasa kehambaan, meluluh puncak kecintaan sebenar.

Di ruang waktu yang sama, saudara-saudara semakin dihimpit.
Tanah air dirampas, mereka dipaksa ke sudut, sedang tanah itu milik mereka.
Tanah itu milik mereka yang berhak.



Watani, tanah airku...
Sesempit itukah tanah airku?
Hanya seluas 329,845 km persegi sahajakah?

Tanah airku ialah tiap jejak yang dipenuhi debu muslim.
Majoriti penduduknya muslim,itulah tanah airku.

Bumi suci itu masih lagi terbelenggu.
Rantaian keji itu melumpuh semangat juang pemuda.
Ada jiwa memberontak lantang, ada hanya berkocak ganas,ada juga memerhati setia.
Bagi yang lesu, kerana mereka terus membiar diri terbelenggu.

Esok bukan hanya satu tanda di kalendar.
21 Ogos 09, berapa tahunkah peristiwa hitam itu berlalu?
Remembrance of Al-Quds,
satu sejarah tercatat.
Terbakarnya mimbar Solahudin, mencetus gejolak kemarahan, menyatukan ummah.
Tertubuhnya OIC, yang kini hanya mendiam di celah kejatuhan ekonomi dunia.

Selautan darah mujahidin meneggelami watani...
Berjujuran air mata membasahi tanah air...
Lemah, tidak sekali-kali mereka jelmakan.
Mereka pejuang,adakah kita hanya memandang?



Wahai Palestine,
engkau masih di hati.
Hari memperingati al-Quds.
21 Ogos 2009.





54 Kimian,
21 Ogos 2009