Monday, 12 May 2008
Ruang Kosong
Suntikan virus influenza daripada klinik universiti tiba-tiba menyanggah tiap urat rasa.
Daripada sedikit pening, melarat kepada sedikit rasa perit di anak tekak, merebak kepada
demam-demam ringan.
Allah, sungguh tidak diduga ujian ini.
Mungkin berbulan-bulan badan ini dikurniakan kesihatan, sampai lupa menghargai.
Hanya mampu berdoa moga Allah permudahkan.
Teringat kisah Nabi Ayub A.S yang enggan berdoa untuk sembuh kerana rasa malu yang teramat kepada Maha Pemberi Anugerah, mendorong diri ini untuk turut mencipata rasa malu pada yang selayaknya.
Malam itu entah tidak semena-mena air mata ini tumpah terkenang ummi di rumah yang penuh mahabbah.
Terasa-rasa tiap sentuhan kasihnya mengusap-usap ubun-ubun yang membahang.
Terdengar-dengar pujukan keibuannya meresap ke dalam dada.
Terbayang-bayang mesej daripada ummi :
'Nurul kata nak menangis masa kat airport,
takpun. Ok je ummi tengok.
Takpe, insya Allah nanti kite jumpa lagi.'
Mata semakin memberat.
Otak tidak mampu berfikir ligat.
Ruh melayang dari jasad.
Apabila terkenang kembali peristiwa tiga hari lalu,
minda ini lantas terfikir, betapa luas kasih sayang Tuhan buat kita.
Sungguh hakikatnya kita ini hanya hamba hina,
tidak layak merungut lebih lagi menabur nista,
namun kita ini sentiasa dalam jagaan-Nya.
Sentiasa dalam dakapan rahmat-Nya (insya Allah).
Sehinggakan luahan rasa daripada lubuk hati yang paling dalam,
yang diri ini juga tidak mampu menyedari,
diterjemah dalam suasana yang cukup romantis.
Penuh dengan luahan cinta yang diingini,
daripada seorang anak kepada ibunya.
Masya Allah, begitulah romantisnya Yang Maha Pemberi.
Huxley Library, 12 May 2008
Thursday, 1 May 2008
EMPAT BENUA
Shortland Hub menjadi pilihan pertemuan pertama.
Samoa, Yugoslavia dan Malaysia.
4 wanita daripada benua berbeza.
Kemesraan yang tercipta diheret ke sebuah isu yang telah lama menyesakkan dada Moana.
Pembebasan wanita.
Dia menyatakan kekesalannya kerana terkurung di bawah sebuah budaya yang begitu tertutup.
Tonga, sebuah kerajaan monarki, dalam lingkungan kejiranan New Zealand dan Samoa, masih pekat dengan nilai-nilai kebudayaan dan adat lalu.
Kadangkala kebudayaan yang hanya menguntungkan sesetengah pihak.
Kesedihan dan ketidakpuasan hati dipendam.
Dikambus dengan harapan tidak akan timbul.
“Kamu mesti pandai menjaga keluarga.”
“Rambutmu tidak boleh dipotong.”
“Anak pertama mesti lelaki”
“Kamu tidak boleh menyuarakan apa yang tidak menyenangkan hatimu.”
“Terima sahaja apa yang diberi.”
Anak-anak kecil mudah sahaja menerima arahan tersebut.
Tiada apa yang pelik, itu budayaku, itu adat yang mengalir dalam nadi bangsaku.
Namun, fikiran yang bebas tidak mampu disekat oleh sebuah budaya yang dipandangnya kolot.
Sehingga dia menjadi asing dalam kelompok sendiri.
Dia mencari-cari tempat keluar.
Maka universiti menjadi tempat meluahkan rasa.
Kepada kelompok manusia-manusia yang memahami.
Itu cerita Moana.
Kadangkala dalam kalangan masyarakatnya sendiri, dia rasa terkongkong.
Anne-maree terkadang mengangguk mengiakan.
Terkadang dia hanya memerhati kerana dia juga sebahagian daripada masyarakat Moana.
Dalam dirinya mengalir darah dari Tonga dan Australia.
Yvette hanya tersenyum.
Setiap masyarakat ada ceritanya yang tersendiri.
Generasi yang mendukung budaya masyarakat di Yugoslavia pun apa kurangnya.
Neneknya juga berfikiran tradisional.
“Perempuan mesti berada di dapur akhirnya”
“Apa perlunya pelajaran setinggi bangunan pencakar langit?”
“Hidup ini memang akan bergantung kepada lelaki.”
Namun generasi moden kini hanya memandang sepi cerita lalu.
Tiada apa yang menguntungkan mereka katanya.
Saya di Malaysia membesar sebagai orang Melayu.
Masyarakat yang punya cerita yang lebih kurang sama dengan masyarakat di Tonga.
zaman dahulu,
“Perempuan hanya di dapur, tidak perlu belajar tinggi-tinggi”
“Kadang-kala orang nak lelaki sebagai anak pertama.”
Wanita kelihatannya seperti tertindas di mata Barat.
Mungkin di mata masyarakat saya sendiri juga, sebagaimana saya pernah melihat kedudukan wanita dalam masyarakat Melayu.
“Apabila kami memahami agama yang kami anuti.
Agama yang memuliakan wanita.
Tiada yang lebih antara kedua-duanya, baik lelaki mahupun wanita di mata Tuhan.
Kebanggaan keluarga bukan terletak pada anak lelaki sulung.
Bahawa wajib bagi setiap muslim dan muslimah untuk menuntut ilmu demi meningkatkan diri, demi mengenal Tuhan.
Bahawa wanita itu tinggi nilainya di sisi agama.
Maka asimilasi budaya pun berlaku.
Jika masih ada manusia yang berfikiran lalu,
Itu hanya tiada anjakan paradigma yang berlaku kepada mereka.
Anjakan kuantum yang mengubah sejarah masyarakat.”
Namun, saya menyayangi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.
Baju kurungnya yang sopan.
Menghormati orang tua.
Senyum menyapa sesama saudara.
Atau mungkin itu sememangnya diceduk daripada budaya Islam?
Biarkan, sementelahan itu yang seeloknya.
Apa perlunya perdebatan yang sementara yang tidak menguntungkan sesiapa pun, fikir saya.
Pertemuan pertama
Meransang minda saya bermonolog.
Kebanyakan budaya menindas wanita.
Penindasan yang meluas;
Pemikiran atau pendidikan atau kedudukan.
Baik di Tanah Melayu, Yugoslavia, Tonga, China, Eropah.
Terselit kenyataan pahit itu walau mungkin cuba disorokkan mahupun dilupakan.
Satu keNYATAan yang diri ini pasti:
Kedatangan Islam melindungi wanita.
Kedatangan Islam mengangkat martabat wanita.
Kedatangan Islam memBEBASkan wanita.
PemBEBASAN sebenar.
Daripada perhambaan kepada lelaki, kecantikan, kosmetik,fesyen......(senarai yang berterusan)
Kepada perhambaan yang sebenar.
Mencari reda Allah Robbul Jalal.
Tidak perlu berpening-pening mencari klik masing-masing.
Klik kepada keredaan Allah, maka tenanglah hati.
Ini bukan cerita lalu,
Ini bukan cerita tipu,
Ini satu ingatan buat diriku
dan saudari-saudariku.
Mungkin juga buat saudara-saudaraku.
Ma’at taufiq wannajah fil imtihan.
Moga perjuangan kita mendekatkan kita kepada Allah
Mengukuhkan keyakinan kepada janji-janji-Nya.
Salam perJUANGan.
Kimian Avenue
1 Mei 2008
Thursday, 10 April 2008
Techno-savvy


Alhamdulillah, cuti telah bermula secara rasminya pada petang 4 April yang lalu.
Petang Jumaat yang penuh barakah, penuh kemuliaan,
Kurniaan Allah buat hamba-hamba-Nya.
Genap sudah takdir Allah menentukan, dua bulan yang penuh dengan mawaddah,
menjadi tunjang pembinaan diri di
Sejenak memori minda menyelak tabir tazkirah Malam Ukhuwwah.
Malam Ukhuwwah kedua di negara asing ini.
Membuka sebuah kisah cinta baru antara hati-hati yang merasakan keindahan sebuah kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata namun melangkaui waktu dan ketika.
Inilah kisah iman dan perjuangan.
Kak Yani, pelajar perubatan
Seringkali butiran hikmahnya mendengungkan deria dengar dan menyentakkan diri ini daripada lena.
“ Your RELIGION is so Techno-Savvy”
“What make you said that?”
Begitulah butiran awal perbualan antara Kak Yani dan seorang rakan sepengajiannya yang menjentik hairan di benak fikir.
“Awaitnya techno-savvy? Nurul ni pun buta IT...” hati ini berbicara sendiri.
Mungkin bukan diri ini sahaja yang mengerutkan kening rasa-rasanya.
“Techno-savvy?” seolah-olah kedengaran Ain di hadapan berbicara.
“Yes, TECHNO-SAVVY... This is because your prayer is WIRELESS.”
Wireless : Radio-based systems that allow transmission of information without a physical connection, opposed to transmission systems, that require a physical connection, such as copper wire or optical fiber.
“You can pray wherever and whenever you want.”
“Owh...betul jugak~”
Cerita yang disampaikan Kak Yani menyebabkan diri ini berfikir panjang.
Apa kata survey?
Kimian Avenue,
7th April 2008, Monday.
Monday, 10 March 2008
Turana Parade
Mata pelajaran elektif telah dipilih.
Walaupun bahasa menjadi pilihan utama, namun takdir Allah telah menentukan.
Introduction to Aboriginal Studies termaktub di akaun pelajar.
4 subjek untuk semester ini.
Moga Allah teguhkan hati dan permudahkan urusan diri ini dan sahabat-sahabat lain.
Fikiran melayang ke
Mengintai memori yang semakin kemas tersisip di kotak ingatan.
Gelagat Dayah,Diba,Peos,Anis,Dal,Nisya dan Fifi sahabat serumah yang setia menceriakan hari ini.
Mengurangkan sedikit kerinduan kepada keluarga tercinta,
Kepada teman-teman seperjuangan di benua berbeza.
Buat diri ini,
Tiada masa untuk bersendu-sendu seperti di Kolej MARA Banting dahulu.
Penyesuaian diri bermula tanggal 4 Februari 2008.
Selautan cinta, bahkan melebihi jangkauan pemikiran manusia kasih sayang Allah dapat dirasa.
Dia mendengar tiap rintihan hambanya.
Menjadi saksi kesengsaraan sebuah hati yang sedaya mungkin mengekalkan identiti diri.
Setiap luahan kesyukuran dan pujian atas nikmat-Nya tiada yang lekang daripada frekuensi pendengaran-Nya..
Namun hamba ini sering lupa atau mungkin sengaja alpa akan hakikat sifat Ar-Rahim, bahawa Allah juga punya siksa dan azab yang keras lagi pedih.
Walau sebagaimana lemahnya reseptor kesakitan seorang hamba, namun azab Allah akan menghidupkan kembali sensori tersebut.
Oleh itu, mudah sahaja diri ini hanyut dalam belaian duniawi yang mengasyikkan.
SubhanAllah, kasih sayang Tuhan menyapa lagi.
MU menjadi
Bibit-bibit iman kembali mekar dan disemai dalam hati-hati yang kekontangan peringatan.
Luahan penuh kasih dan hikmah, kaedah KulTuM turun-temurun yang disampaikan Kak Yani tanggal 7 Mac menyapa iman dalam hati.
Turana Parade menjadi saksi kembalinya sebahagian besar hati merasai nikmat iman dan ihsan.
Sungguh besar nikmat-Mu ya Allah.
Hati ini kembali lunak dibanjiri cinta daripada Al-Khalik.
Alhamdulillah…
Auchmuty Library, Medical Reserve, 9 Mac 2008.
Wednesday, 9 January 2008
Harapan yang Masih Ada
Masyarakat gusar. Tarikh 1950 membawa erti penting buat mereka yang berjiwa lunak, inginkan cinta abadi. Peti undian dikutip,dikira jutaan undi dari seluruh pelusuk negara.
Hati ribuan insan berdegup kencang ,iman memujuk.
‘Allah, makbulkan doa kami.’
‘Ya Rahim, realitikan impian kami.’
‘Ya Aziz...’
‘Ya Ghaffar...’
‘Ya Qahhar...’
mendayu-dayu hamba-hamba yang mencintai Allah berdoa.
Bertawakkal sesungguh-sungguh tawakkal.
Sedang di Malaya tanah watan di sana turut bergelora.
Di sini,takdir Allah berbicara.
RPP (Parti Republik Rakyat) tumbang!
Parti Demokrat menang~!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Ribuan hati bergembira,
mengucap syukur tidak terhingga.
Air mata tumpah membasahi pipi,
mengalir mengairi sebuah harapan yang suatu ketika
dahulu kontang.
Manusia berkeliaran ke jalan-jalan raya.
Sujud syukur di jalan utama.
Cinta mereka pada syariat Ilahi tiada galang ganti.
Hanya kerana janji seruan azan,
daripada Turki kepada Arab,
Allah Buyuk kepada Allahu Akbar,
Parti Demokrat menang.
Musuh Allah?
Mengalah? Tidak sekali
Melumur benci,dihiasi kesumat.
Imperialisme minda terus berleluasa.
Namun ini hanya gerhana,
Teguhlah wahai hati.
- Hikmah Allah mentakdirkan diri ini menulis laporan. Semakin cinta pada sejarah.-
Salam rindu buat sahabat di perantauan. Selamat Hari Lahir untuk Rusna Rusli di benua Eropah, Czech. Moga dirimu sentiasa memperoleh kecemerlangan di dunia dan akhirat. serta sentiasa dilimpahi kasih sayang-Nya.
Moga Allah memberkati kita semua.
Wednesday, 26 December 2007
Rindu Eid

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Laa Ilaahaillahu Allahu Akbar
Allahu Akbar Walillahil Hamd...
Berterusan takbir dibaca
Entah mengapa hati ini seakan sepi,
enggan berbicara.
Kadang-kadang di Irbid,
terkadang di
seketika kemudian di samping keluarga tercinta,
kemudian melayang ke Newcastle.
Allahu Akbar, mudah benar fikiran ini
melayang ke benua yang berjauhan.
Namun, hari ini berbeza,
hari pengorbanan.
Surau Parit Haji Baki dilangkahi.
“Allahu Maftah Abwabi Rahmatik”
“Ya Allah, bukakanlah bagiku pintu rahmat-Mu”
Amin~.
Suara takbir berkumandang tepat jam 8 pagi waktu
Laungan memuji kebesaran Allah bergema,
silih berganti pemandunya di corong pembesar,
menjengah lubuk nurani yang kekontangan erti cinta hakiki.
“Allah Maha Besar sebesar-besarnya,
dan pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya,
dan Maha Suci Allah siang dan malam.
Tidak ada Tuhan, melainkan Allah,
dan tiada kami sembah,melainkan Dia.
Dengan tulus ikhlas beragama untuk-Nya semata-mata
walaupun orang-orang kafir membenci.
Tidak ada Tuhan melainkan Allah sendiri.
Benar janji-Nya,
menolong hamba-Nya,
memuliakan tentera-Nya,
dan ditewaskan-Nya parti persendirian.
Tiada Tuhan, melainkan Allah dan Allah Maha Besar.
Allah Maha Besar dan bagi Allah puji-pujian.”
Suara sayup sayu dan menggetarkan kalbu menusuk
di gegendang.
Hati tertanya-tanya, minda terjaga.
Tiba-tiba hati menjadi pilu.
Suara ayah...
Mendayu... menggoncang naluri rasa.
Suara merdu ayah melekat di telinga.
Wahai Tuhan, berapa lama lagi akan dapat diri ini bersama ayah?
Mendengar suaranya,laungan iqamatnya,senda guraunya.
Esakan kecil yang tidak kedengaran ditangkap deria dengar.
Ummi~
ummi sedang mengalirkan air mata.
Menahan sebak di dada.
Memang sayu laungan takbir ayah.
Menjadi halwa jiwa yang berlagu sendu.
Sungguh pagi 10 Zulhijjah 1428 menjadi saksi sebuah
getaran kecil yang berjaya meriakkan
keindahan sebuah lamunan.
Alhamdulillah,
moga pemergianku
bakal ditemani amanat ummi dan ayah serta kenangan di
Surau Parit Haji Baki.
Tuesday, 18 December 2007
13 & 22
Kebijaksanaan dalam Ketenangan,
wahai Cahaya Penyayang,
seindah namamu wahai adinda-adindaku,
kuharap dirimu terus tumbuh mekar mewangi
demi keindahan yang selama-lamanya.
Kudoakan kau menjadi Hafizah sejati,
pemelihara kalam Tuhan,
Kupohon pada-Nya,
kau meneruskan ayuhan langkahmu,
menjulang pingat muraqabah
yang ditempa likuan mujahadah.
Senyumlah wahai adinda,
harungilah terjahan badai menggila
dengan tombak yaqin dan itqan.
kerana adinda,
dikaulah nusaybah alam siber,
tidak gentar syahid dek manisnya iman.
Salam dari Persiaran Bahagia,
daripada kakanda khusus tarikh istimewa 13 & 22 Disember.




