Friday, 6 March 2009

English speaking contest

22 November 2008, Sabtu

Saya memandang jam di tangan sekilas, 7.15 pagi.
"Ohayou gozaimasu" ucap saya kepada Watanabe san dan saya hanya menganggukan kepala tatkala saya bertemu dengan beberapa pekerja Sony di lobi bangunan.

Lobi kelihatan kosong, tetapi suara-suara milik rakyat Australia kedengaran.
Saya menjengah dapur atau pantry room di lobi.
"Morning Nurul. How was your sleep?"
"Morning, I had a good night sleep. How was yours?"
Kelakar juga perbualan kami, tapi itulah budaya mereka yang saya rasa sangat manis.
Simple but sweet.
Ketika di Malaysia, saya secara jujurnya tidak pernah bertanya, macam mana tidur semalam? Selesa? Nyenyak?
Tapi pada saya a thoughtful and sweet remark ialah bila seseorang bertanya kepada saya, "How is your faith?/iman?". Manis sangat... (rasa manis macam Iman,hehe).

Mereka beramai-ramai bersarapan di dapur sedangkan kami perlu berkumpul di lobi tepat jam 7.30 pagi. Budaya Jepun, masa itu harus ditepati.
Budaya Australia, masa itu harus dihormati, tapi ada di antaranya yang memegang prinsip fleksibel. Rakyat Malaysia muslim terutamanya? Tepuk dada, tanya iman kerana Allah itu bersumpah dengan masa. Saya mohon agar tidaka menjadi antara mereka yang sentiasa rugi.

Segala puji hanya bagi Allah, tepat jam 7.30 kami sudah berdedai-dedai meninggalkan dorm pekerja Sony (untuk memudahkan sistem penaipan, saya tukar nama di atas kepada 'asrama Sony').
Walaupun Toshi sensei (the Big Toshi) berjalan dengan laju, alhamdulillah saya dapat singgah sebentar di konbini (kedai runcit aka convenient store) untuk membeli onigiri yang dipastikan kehalalannya melalui komunikasi antara dua manusia berlainan kewarganegaraan, sebagai sarapan pagi saya.

Di stesen bas, pelajar-pelajar Shohoku kolej sudah sedia beratur menaiki bas dan kami alhamdulillah antara manusia yang sempat berada di dalam perut bas milik kolej Shohoku. Perukaran ucapan 'Selamat pagi- ohayou gozaimasu' dan 'selamat datang - irrashaimase' menjadi perbualan antara pelajar Australia. Geli hati melihat Stewart dan Lanelle yang tidak sudah-sudah membiacarakan hal tersebut.


Kolej Shohoku daripada pandangan pintu hadapan

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Tiba di kolej, kami dibawa mengelilingi bangunan kolej yang terdiri daripada 7 buah bangunan. Bangunan kafeteria yang kelihatan moden menggamit selera saya. Perpustakaan milik kolej tersebut pula lebih ceria dengan dihiasi pelbagai karikatur jepun dan hiasan yang menarik. Sekali pandang tak ubah seperti tadika yang comel.


Kafeteria yang ceria dengan makanan yang enak

Kedatangan kami pada hari ini adalah untuk menyaksikan pertandingan pidato bahasa Inggeris anjuran Shohoku kolej. Beberapa buah universiti dan kolej menyertai pertandingan tersebut. Antara peserta yang menarik minat penonton dan menjadi perbualan mereka ialah seorang pelajar lelaki yang memulakan pidatonya dengan perkataan , " I, have a dream. My dream is to become a film director..." dan hampir suku daripada pidatonya berkisar kepada pengenalan diri. Saya meneliti, dia memiliki rasa keyakinan diri yang tinggi. Akhirnya, dia terpilih menjadi juara pertandingan. (macam cerita kanak-kanak pula). Pertandingan ini juga turut disertai oleh pelajar sekolah menengan tinggi.


Pentas dan peserta pertandingan pidato

Sebelum separuh masa kedua bermula, pertandingan diberhentikan buat seketika untuk memberi laluan kepada waktu rehat. Ketika di luar dewan, saya ditegur oleh seorang wanita Jepun, "Nururu?" tegurnya.
"Ah, hait"
"Hi Nurul, I am Hiroko. I am going to be your host family this weekend."
"Oh, hi Hiroko.
Ah, hajime maste, yoroshiku onegaishimasu,"
"Ah, hajime maste," jawab Hiroko sambil tersenyum.
"You can be a Japanese Nurul,"
"Ah, iye. Arigatou~"
*Kata-kata pertemuan dalam bahasa Jepun di atas dipelajari daripada menonton beberapa drama Jepun.

Saat itu, saya rasa sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan Hiroko. Dia menjelaskan betapa dia sangat teruja untuk bertemu dangan saya.
Teruja kerana saya seorang muslim dan datang dari Malaysia.
Ini kali pertama dia menerima seorang tetamu jauh sementelahan Hiroko baru berkahwin selama satu bulan lebih.
Saya pula agak berdebar sebelum bertemu Hiroko kerana kami semua akan tinggal di rumah tuan rumah masing-masing selama 3 hari.

Hiroko bergerak meninggalkan saya untuk meneruskan tugasnya selaku staf di Shohoku dan saya kembali menuju ke dalam dewan. Di luar dewan, saya lihat ramai pelajar dan tetamu yang hadir berdiri di hadapan sebuah papan kenyataan. Apabila manusia telah surut, saya mengambil peluang yang terbuka.
"Eh...?"
Rupa-rupanya, borang peribadi yang perlu kami isi pagi tadi termasuklah impian kami dipaparkan di papan kenyataan tersebut. Borang tersebut disertakan dengan gambar kami yang ditangkap secara individu juga pada pagi tadi. Darah merah menyerbu ke muka dan saya bergegas kembali ke tempat duduk di dalam dewan.

Jam 4.30 petang majlis penyampaian hadiah selesai dan kami semua ditemani Haruka, Sayaka, Risa dan Yuimi bergegas menaiki bas menuju ke stesen Hon-Atsugi. Di dalam bas inilah, pertanyaan Sam Watts menyebabkan saya berfikir, terlalu banyak kelompongan ilmu yang perlu diisi dan penghayatan yang perlu ditingkatkan oleh saya selaku muslim.

" How do you feel being a muslim with all the restrictions and stuff?"
"I am a christian but I do not believe in God but not totally say that God does not exist!"

Walau pun saya faham apa yang cuba disampaikan tapi, sangatlah tidak logik. Tak percaya tapi tahu ada. Realitinya, ramai manusia yang berfikiran seperti Sam dan manusia seperti inilah yang perlu disedarkan bahawa Allah itu ada dan kita tidak boleh putus asa daripada rahmat-Nya. Bahawa dialah yang paling berkuasa, Maha Mengetahui dan Maha Mendengar keluhan hati hamba-hamba-Nya.

"What happened if you fall in love with a non-Muslim?"
"Have you ever find the rules and restriction as a burden?"
Respon saya kepada pertanyaan tersebut :
Saya akan pastikan ada batasan perhubungan antara saya dan manusia berlainan jantina dengan saya agar hati saya diberikan kepada zauj yang berhak. Secara ringkaskan, saya harus bataskan diri saya pada tempat dan ketikanya.

Secara jujurnya, ada juga ketikanya saya merasakan semua larangan dan suruhan itu menyusahkan. Namun, tatkala saya semakin dewasa, mengetahui lebih daripada zaman kanak-kanak, saya bersyukur dibesarkan dalam kehidupan seperti penjara yang hakikatnya ialah demi meraih kebebasan hati dan jiwa. Maka, saya katakan kepada Sam bahawa segala larangan dan arahan itu adalah untuk kebaikan kita, seperti peraturan dan papan tanda di jalan raya. Kita boleh memilih untuk menurut atau membangkang, namun hasil akhirnya kita akan rasai.

"So, were there some people (Malaysian muslim) who rebell against it?"
"Yes."
"Overseas?"
"We still have them in Malaysia"

dan saya meneruskan kadang-kala terdapat manusia yang mendapat cahaya kebenaran ketika berada di luar komuniti muslim. Sam hanya mengangguk-angguk dan diam. Mungkin berfikir, mungkin bosan.

Turun daripada bas, kami berpecah untuk mengisi kekosongan perut.Kami melangkah menikmati keindahan lampu-lampu malam Atsugi. Jalan di sebelah stesen Honatsugi kami rentasi. McDonald terdapat di mana-mana sahaja pada hemat saya, begitu juga 7 Eleven. Saya, Stuart, Sam, Yedda dan Haruka memilih untuk ke konbini sedangkan manusia lain bergegas ke McDonald. Seperti pagi tadi, onigiri pilihan saya. Usai makan malam, Haruka dan Sayaka mengajak kami semua berkaraoke.


Malam di bandar Atsugi



Walaupun krismas masih jauh, pohon krismas sudah kelihatan di hadapan Milord

Saya mengikuti mereka ke bangunan karaoke. Sam hanya memandang dan memahami bahawa saya tidak akan menyertai mereka. Dengan nada bergurau, "It won't be fun without my ichiban tomodachi joining me,"

"Sam, please, I bet you're so happy that you can't wait to sing."
ajuk saya.
Saya terangkan kepada Haruka bahawa saya tidak akan menyertai mereka.
"Why?" tanya Haruka kepada saya.
Saya menjelaskan bahawa pegangan dan pendirian saya menolak untuk masuk ke dalam tempat karaoke tersebut. Haruka dan Sayaka kelihatan terkejut.

Haruka walaupun kurang memahami situasi yang pelik baginya itu, memilih untuk menemani saya untuk membeli barangan yang dipesan oleh Fatin dan Nurin, patung plush 'cheagle'.
Sepanjang pencarian kami, Haruka banyak bertanya tentang Islam dan saya hanya mampu menjawab setakat yang saya mampu. Saya berdoa agar Allah mengampuni kekurangan saya.
Saya mengatakan kepadanya bahawa Islam mengharamkan alkohol untuk diminum. Jadi, tempat-tempat yang secara jelas menjual dan menghidangkan arak dilarang untuk kami memasukinya, terutamanya tempat-tempat percampuran bebas di karaoke. Dalam keadaan lampu yang malap, mungkin daripada minuman soda, saya terminum Martini, naudzubillah.
Apa-apa boleh jadi. Jadi, untuk lebih selamat, saya tidak masuk. Saya tidak rugi apa-apa dan tidak perlu risau apa-apa.

Di samping itu, menyanyi bagi perempuan tidak dibenarkan dalam Islam tatkala terdapat lelaki di tempat yang sama, itu apa yang diajar oleh ustaz ustazah saya dan melalui pembacaan.
Jadi, di samping mengelakkan daripada dosa berada di tempat-tempat tersebut, saya dapat mengurangkan risiko radang pada peti suara yang membawa kepada pedih dan sakit tekak.
Semoga saya di bawah lindungan-Nya.

Alhamdulillah, hari itu, Allah mengajar saya banyak perkara tentang Islam dan pegangan saya selaku seorang muslim.
Allah mendidik saya agak berhati-hati dalam pembicaraan agar mudah difahami oleh mereka yang asing terhadap Islam. Agar Islam tidak dilihat sebagai menyusahkan, bahkan kelihatan indah, itu harapan saya.
Namun, natijah akhirnya, dipegang oleh Allah.

Semoga hari esok dilimpahi dengan kurnianya.

-54 Kimian-

Sagami Ohno

21 November 2008, Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, perjalanan di dalam perut bas menuju ke Sagami Ohno eki (stesen) berjalan lancar.
Walaupun masing-masing keletihan, namun pada saya, rasa syukur dan gembira lebih mengatasi kelelahan yang terasa akibat perjalanan yang tidak henti-henti. Ketibaan kami di Sagami- Ohno disambut oleh 4 pelajar : Haruka, Sayaka, Risa, Yuimi dan Takagawa sensei, atau lebih dikenali sebagai big Sato di kalangan pelajar Australia. Keceriaan dan keramahan mereka sebenarnya merupakan satu kejutan bagi saya kerana saya tidak pernah berjumpa dengan mereka yang kelihatan sangat aktif dan ceria. Bayangkan drama-drama jepun, dengan keletah dan kelincahan pelajar perempuan sekolah menengah, begitulah mereka menyambut kami.

Warganegara Jepun sememangnya lebih banyak menggunakan pengangkutan awam untuk menuju ke destinasi yang diingini. Saya hanya mampu tersenyum apabila keputusan saya untuk membawa hanya sebuah beg pikul dan beg bagasi besar ditakdirkan memudahkan saya. Kami terpaksa memanjat beberapa anak tangga yang agak tinggi untuk ke seberang jalan demi menuju ke bandar Atsugi. Bas yang telah sedia menanti, segera dipandu menuju ke destinasi, perjalanan yang mengambil masa selama dua jam. Kami lena di celah-celah kesibukan jalan raya.

**************************************

Saya terjaga daripada lena. Mata dikesip-kesip dan saya tertanya-tanya,
"Eh, aku di mana?"
Saya palingkan wajah ke kiri, kelihatan Marc sedang melihat panorama Jepun di kerusinya.
"Oh...astaghfirullah. Di Jepun rupa-rupanya..."
Saya toleh ke kanan, bangunan-bangunan yang kemas tersusun membarisi jalan raya. Tidaklah sesibuk bandaraya Tokyo yang sesak dengan manusia dan mungkin juga kenderaan. Pemanduan mereka kelihatan amat berhemah...saya terbayangkan pemandu-pemandu di Muar...masih belum bersopan-santun sepenuhnya.

Bangunan Sony

Sedang leka memerhatikan bangunan-bangunan yang dihiasi karakter-karakter Hiragana dan Kanji, saya terlihat papan tanda 'Sony'. Kami hampir tiba dan saya tidak sabar-sabar ingin menjelajah bandar Atsugi ini setelah usai mempersiapkan diri. Rumah kediaman perkerja Sony Corporation atau 'Sony Dorm' menjadi tempat kami menumpang tidur selama 17 hari di Jepun. Ada antara kami yang mengadu letih namun disebabkan kami perlu mendengar taklimat,kami akur kepada arahan penaja. Saya hanya mampu mengusap-usap badan Ellen yang keletihan dan menghulur senyuman demi mengurangkan sedikit ketegangan otot dan minda.

Yoko san, salah seorang staf di Kolej Shohoku, memberi taklimat akan segala peraturan untuk tinggal di dorm ini. Antara yang menarik minat saya ialah, walaupun bangunan ini tujuh tingkat, namun hanya tingkat ketujuh sahaja didiami olah pekerja wanita dan mereka yang berlainan jantina dilarang sama sekali berada di tingkat 7, begitu juga sebaliknya.

bangunan pekerja Sony

Kami diperkenalkan dengan pasangan Watanabe-san yang menjadi warden merangkap pengurus dorm ini. Badan saya menjerit-jerit keletihan dan saya terbayang-bayang katil dan bilik yang bakal kami kongsi bersama-sama. Nama saya dipanggil : 'Nurul Ezzathy Ahmad san'. "Yes." Saya mendapat tag nama dan kunci. Bilik 715. Kami tidak berkongsi bilik...

Kami bergegas-gegas ke bilik masing-masing. Bilik saya terletak di penghujung koridor. Tertera : Nurul Ezzathy Ahmad
University of Newcastle.
Dengan lafaz bismillah, kunci dibuka dan tombol dipulas. "Assalamualaina wa 'ala 'ibadillahissolihin"
********************************************

Masya Allah~ di hadapan saya, terbentang sebuah bilik comel dilengkapi almari dinding yang besar, sebuah katil bujang dan sebuah peti televisyen. Pintu ditutup dan saya terus melangkah ke dalam. Di kanan saya sebuah bilik air merangkap tandas tersedia dan di sebelah katil, sebuah mesin penghawa dingin (mahupun panas) tersedia di dinding. Tingkap di hadapan itu destinasi saya. Langsir putih yang melindungi bilik saya daripada pandangan luar diselak dan satu pemandangan indah terakam di pancaindera.

Pintu gelongsor itu (betul ke penggunaan saya ini?) saya tolak dengan berhati-hati. Udara sejuk berebut-rebut mengusap pipi. Saya teruja. Bangunan-bangunan persendirian dan milik syarikat tersusun rapi, namun tidak begitu padat. Saya lirikkan mata ke kanan. Saya lihat kehijauan alam. Ada gunung-ganang yang sungguh hijau menjadi latar kepada pembangunan bandar ini. Di belakangnya...saya perhatikan dengan bersungguh-sungguh...gunung Fuji?

Di balkoni ini,mata kecil ini menjadi saksi... Masya Allah, hebat sungguh ciptaan Allah.
"Dan gunung-gunung Dia pancangkan dengan teguh" - Surah An-Naziat : 32-
Gunung-gunung inilah yang menjadi pasak kepada negara pulau ini. Bandar Atsugi yang terletak di kepulauan Honshu mula menakluki hati saya. Saya tersenyum senang tatkala hati ini berbunga ceria di balik kedinginan bandar.

*********************************8

Waktu tengah hari itu tidak seterik di Malaysia mahupun di Newcastle. Suasana musim luruh lebih menyelubungi. Baju sejuk merah pemberian Ayah Hafez setia membaluti tubuh. Kami dibawa oleh Haruka, Sayaka, Risa dan Yuimi berjalan-jalan di sekitar bandar Atsugi, " So that it will be much easier for all of you to take a walk by yourselves.." kata Haruka sambil tersenyum. Saya membalas senyumannya, lemah. Saya antara manusia yang agak lambat menyesuaikan diri dengan persekitaran terutamanya jalan-jalan raya mahupun perjalanan menggunakan kaki, melainkan saya berusaha sendiri insya Allah. Rentetan itu, sepanjang perjalanan kami, saya yang masih keliru di balik simpang-siur jalan raya (pendapat saya seorang), mengikut rapat Yuimi. Musim luruh yang sejuk menjadikan jam 5 petang seolah-olah waktu 8 malam. Perut kami berkeroncong minta diisi. Saya memilih untuk menikmati ramen panas yang dipopularkan oleh Naruto.

Saya merenung menu dengan pandangan yang berpinar-pinar. " Wakarimasen...(saya tidak faham...)" kata saya kepada Sayaka. Sayaka hanya tergelak memerhatikan gelagat saya. "Let me read for you Nurul." "Why thank you ^ ^" gurau saya kembali.
"Well, what would you like to eat?"
"Hmm, anything that do not contain meat, chicken, pork, ham, alcohol..."
Sayaka hanya memerhatikan saya dengan wajah terperanjat.
"Well, maybe they have some vegetarian dish or seafood ramen?" balas saya.
"Hmm, you seem to have a lot of restriction..." luah Sayaka kepada saya.
Sam Watts yang berada di depan saya hanya mendiamkan diri.
Akhirnya, setelah berbincang, saya mengambil keputusan untuk menikmati ramen bersama-sama rumpai laut dan telur.

Hannah, Leo, Yedda, Ellen dan Sam Walkom bersama-sama Yuimi, Yatsuko dan Sato sensei telah siap menempah menu masing-masing.
Akhirnya, saya cuba menggunakan chopstick untuk menikmati ramen. Yappari... watashi wa jyozu ja arimasen.(Seperti yang saya sangkakan, saya memang tidak mahir!). Sekurang-kurangnya saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengunakannya.

ramen inilah...
Setelah masing-masing berpuas hati dan tersengih kekenyangan, kami terus ke stesen Honatsugi yang bakal menjadi tempat utama kami untuk ke destinasi yang bakal kami tuju. Di sini terdapat sebuah kompleks membeli-belah yang agak besar; "My Lord". Apa yang menariknya, mereka di sini menyebut "Milord". Saya tersenyum lucu melihat Haruka yang bersungguh-sungguh menerangkan sebutannya kepada kami.

Saya dan Yedda benar-benar keletihan. Akhirnya, tatkala jam menunjukkan waktu 9 malam, kami pulang ke dorm. Terima kasih yang tidak terhingga buat Sayaka, Haruka, Risa dan Yuimi yang tidak jenuh melayan karenah kami. Tiba di dorm, saya mempersiapkan diri, mengemas barang-barang, mempersiapkan katil dan tidur. Insya Allah, hari esok bakal menjelang.

54 Kimian

Sunday, 1 March 2009

Hari ini dan hari lalu

1 Mac 2009, Ahad
4 Safar 1430

Bismillahirrahmanirrahim....

Kaifa haluk ya sohibats? Soalan itu tiba-tiba menjengah kotak fikir. Sudah terlalu lama saya seolah-olah hilang ditelan relau waktu. Saya rindukan kemesraan lalu. Ini merupakan antara pre-closing blues berikutan tutorial yang bakal berlangsung esok.

Sunset Boulevard hari ini alhamdulillah telah berjaya membuat housewarming dengan cemerlang.
Hebat sungguh adik-adik kita dalam bab masak-memasak. Hidangan nasi tomato dan ayam masak merah serta mee yang seiras maggie yang dibentuk seperti nugget amat menambat selera para tetamu.

Saya pergi menaiki kereta Kak Mel (nusaybah yang anggun) disertai 5 orang daripada pihak Kimian Avenue: saya, Kak Mel selaku pembawa nusaybah, Kak Nana, Dayah dan Peoz. Sungguhpun demikian, kepulangan kami ditakdirkan menjadi 3 batang tubuh manusia ; Kak Mel, Kak Nana dan saya sendiri.
***************************************************

Otot-otot badan terasa agak sengal berikutan beberapa aktiviti agak keras beberapa hari lalu di The Forum. Hari ini saya agak lega kerana berjaya mengikuti aktiviti yang disertai oleh Kiwanis Club sebagai salah seorang ahli kelab rentetan kempen : "Clean up Australia Day~" sungguhpun agak keberatan beberapa jam sebelum itu.

Sebelum pukul 8 pagi lagi, Suzie dan Amin telah tiba di 54 Kimian berikutan janji Mary untuk mengambil kami berlima di sini. Anggaran jam 8.15 pagi, Mary tiba dengan cerianya membawa kami, termasuklah Nisya dan Fifi ke Foreshore demi menjalankan sedikit ibadah umum pada hari Ahad yang berbahagia ini. Semoga ibadah kami diterima di sisi-Nya...

Setelah berjaya memenuhkan guni-guni tajaan beberapa syarikat korporat termasuklah Qantas dan Commonwealth Bank, saya menemani Mary untuk membeli donut di The Coles demi memenuhkan perut manusia-manusia yang bekerja keras mengutip sampah. Soalan Mary membawa saya mengimbau memori lalu : "So, how was Japan?"

20 November 2008, Khamis

Alhamdulillah, Happy Cabby sampai tepat pada waktunya. Sepanjang perjalanan saya ke Sydney Airport, saya masih lagi gusar...namun saya cuba menenangkan diri dengan alunan halwa syahdu sambil menikmati keindahan mayapada.

Setelah menyerahkan resit Woolworths aka Wollies yang mempunyai potongan harga untuk minyak kepada Pakcik Pemandu, saya bergegas ke Check-in counter. Lanelle mendekati saya. "Nurul is it? Lanelle. This is Stewart, Sam...etc" dan begitulah kami bermula.
Kami cuba untuk memecahkan ais tebal yang membaluti suasana dengan berbual-bual namun akhirnya saya yang lahiriahnya tidak tahu bercakap memilih untuk diam.

Saya kejap pesanan ummi kukuh-kukuh tatkala saya menelefonnya beberapa jam lalu. Jaga diri, Nurul duta muslim, dan berakhlaklah dengan sebaiknya menjadi penenang fikiran yang bercelaru buat seketika. Ya, dalam musafir kali ini, sayalah satu-satunya muslim yang terpilih untuk mengikuti jaulah ke Jepun. Menurut Profesor Mayumi, sayalah pelajar pertama muslim yang menyertai siri pertukaran pelajar yang telah bermula sejak dari tahun 1992 lagi.

Hati saya berdebar kencang, seolah-olah sayalah kayu pengukur...jika saya gagal, kemungkinan mereka menolak manusia yang kelihatan berpendirian seperti saya untuk menyertai peluang ini. Sebelum melangkah masuk ke pesawat, saya tetapkan niat. "Ya Allah, redhailah serta lindungilah perjalananku dan kawan-kawanku."

******************************

10 jam di perut pesawat Qantas memaksa saya menggerak-gerakkan kaki untuk mengelakkan DVT (Deep Vein Thrombosis). Saya bersedia untuk dihidangkan makanan yang mungkin mustahil untuk saya makan, namun syukur kepada-Nya, tertera perkataan : Muslim meal di atas bekas makanan yang hangat itu. Alhamdulillah, I ate like gusto...as I was so hungry. David, manusia berdarah Australia-Jepun yang menjadi pendamping setia di kerusi pesawat mungkin pelik melihat gelagat saya yang seperti pertama kali melihat makanan/ menaiki pesawat. Abaikan sahaja pelajar akademi penerbangan itu kerana saya lapar.

Pesawat menghampiri landasan, dan akhirnya saya tiba di bumi itu. Hati saya gembira tidak terhingga... Apakah perasaan tetamu jemputan Allah tatkala tiba di tanah Haram agaknya?

Tidak pernah saya sangkakan peristiwa cemas itu berlaku kepada saya. Tatkala semua pelajar yang memegang pasport Australia melepasi pegawai imigresen Jepun, saya ditahan dan dibawa ke bilik kecil di penghujung kaunter... Yedda dan Sam Walkom melihat dengan pandangan simpati dan hairan. Mereka hairan? Apatah lagi saya. Adakah tanpa saya sedari saya mempunyai rekod jenayah...? Atau mungkin saya tidak langsung dibenarkan masuk ke Jepun tanpa sebab-sebab yang diketahui? Saya hanya mampu berdoa dan berharap.

Astaghfirullah, saya tidak tahu. Rupa-rupanya, semua rakyat Australia boleh memasuki Jepun tanpa visa, sedangkan saya yang berwarganegara Malaysia memerlukan visa. Tidak pernah saya fikir bahawa saya perlu menguruskan visa kerana amat yakin bahawa pihak universiti akan menguruskan hal-hal legitasi tersebut. Saya yang agak ignorant ketika di Australia terkesima.

Segala puji hanya bagi Allah, Maha Tinggi lagi Maha Berkuasa, setelah saya membuktikan bahawa saya mempunyai visa pelajar, datang ke Australia, dan akhirnya ke Jepun atas program pertukaran pelajar dengan memberikan alamat serta nombor telefon Kolej Shohoku dan Profesor Mayumi, saya diberikan visa istimewa : 90 hari kemasukan ke Jepun. Saya hanya mampu bersyukur, tersenyum dan menghela nafas lega.

Setelah mengucapkan : Hontouni arigatou gozaimasu + gomenasai dan diberikan hanya anggukan kepala (maafkan saya Encik Imigresen atas kesusahan hari ini), saya bergegas melalui kaunter dan menyertai rakan-rakan yang lain. Mereka lega setelah mendengar penjelasan saya. Kami membeli tiket bas ke Hon-Atsugi station yang berharga 3500 yen.

Bas yang kami bakal naiki akan tiba beberapa minit sahaja lagi, lantas kami bergegas ke perhentian bas. Saya kagum dengan sifat manusia di sana. Mereka berbaris tegak di pintu bas seolah-olah bakal menyanyikan lagu Negaraku! Hm, nilai islamik di bumi yang majoriti bukan muslim...begitu juga saya rasakan di Australia. Saya curi-curi menangkap gambar mereka. Mata saya melirik ke atas, masya Allah... 9 darjah! Tidak hairanlah saya merasakan kesejukan yang menusuk-nusuk meskipun baju sejuk merah pemberian Ayah Hafez membaluti tubuh.


mereka sungguh berdisiplin

Di atas bas, Sam Watts, setelah berbual beberapa ketika dengan saya mengisytiharkan bahawa saya dan dia : "Ichiban tomodachi" yang membawa maksud kawan baik. Kami baru berjumpa beberapa jam. Itu antara gelagat Sam yang cuba mendekati kami semua. Saya hanya membiarkan manusia itu dengan pengumumannya. Yedda pula memilih untuk bersendirian di kerusi belakang. Pelbagai ragam manusia saya lihat hari ini. Saya hanya mahu cepat tiba ke bandar Atsugi.


p/s : Maafkan saya sahabat andainya tersalah tafsir kata-kata saya pada entry lepas : " Kali ini, cuma kali ini takdir Tuhan menentukan segala-galanya." Maksud saya ialah : "Kali ini, cuma kali ini... (saya membuka kotak inbox) kerana takdir Tuhan menentukan segala-galanya."

Friday, 27 February 2009

Kejutan

2 September 2008, Selasa

Bismillahirrahmanirrahim.

Lebih kurang dua bulan lagi peperiksaan akhir bakal menjelang.
Saya dan kawan-kawan seperjuangan lain bakal diuji.
Pelajar-pelajar di bawah scholarship tajaan MARA berdebar-debar menunggu tibanya tarikh peperiksaan. Begitu juga perasaan sahabat-sahabat seperjuangan lain yang berada di tanah air dan di benua-benua lain.

Seperti biasa, pagi itu selepas lecture saya menjengah Huxley, antara tempat kegemaran saya di universiti ini. Studentmail dibuka, surat elektronik daripada Study-Abroad menarik minat saya.
Kebiasaannya, saya hanya memadam segala jenis e mail yang kadang-kala langsung tidak menarik minat saya. Kali ini, cuma kali ini takdir Tuhan menentukan segala-galanya.

Masya Allah~ peluang yang tidak pernah saya sangka-sangka setelah hidup 21 tahun terpampang di hadapan mata. Dada saya berdebar kencang. Saya seolah-olah tidak percaya. Ini baru nikmat/ujian dunia. Bayangkan syurga-Nya nanti...Maha Suci Engkau Ya Allah...

Hati ini tidak ragu walaupun sedikit. Saya nekad. Link maya itu saya tekan. Dengan nama Allah...
Beberapa soalan saya jawab. Tiap satu saya sulamkan dengan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W dan diiringi dengan lafaz suci bismillah. Respon terakhir menggugat saya. Sekali lagi saya lafazkan kalimah suci itu dengan doa yang bersungguh-sungguh..."Pilihlah aku ya Allah...Pilihlah aku Ya Allah..." sambil papan kekunci saya taip.

Akhirnya, permohonan itu selamat dihantar. Harapan saya, semoga selamat tiba dan menjadi antara manusia yang diberi peluang untuk menikmati suasana yang tidak pernah saya alami.

Usai solat asar, debaran hati masih lagi terasa. Astaghfirullah, izin Ummi dan Ayah belum dipinta. Kegusaran mula melanda. Hati ini saya pujuk, "Belum tentu lagi, tenang-tenangkan hatimu." Namun manusia, tidak tertahan-tahan rasa hati ini, saya tanyakan perihal surat elektronik tersebut kepada Dal, Diba dan Dayah (3 D...?) serta Peoz. Sungguhpun respon yang diterima agak berbeza (kebanyakan hanya meninggalkan separuh jalan ketika menjawab soalan sungguhpun ada juga yang tidak menghiraukan), namun saya menyatakan juga pilihan hati, bahawa saya telah nekad.

15 September 2008, Isnin

Peperiksaan yang semakin menghampiri memaksa setiap manusia yang lena bangkit dan terus berusaha. Masih ada masa, masih ada masa...itu jampi yang diulang-ulang. Nisya yang baik hati sama-sama memapah agar kami tidak jatuh dipukul tekanan yang semakin menghimpit.
Hari ini Kak Dayah Janapi kata ada kejutan buat saya. Internet yang lembap mematahkan semangat saya untuk melihat peti surat elektronik. Kak Dayah yang menggesa dan Peoz yang teruja sedikit sebanyak memotivasikan diri ini. Studentmail dibuka. Kak Dayah tidak habis-habis mengatakan tahniah kerana menjadi pemenang pertandingan. Pertandingan??? Saya secara lumrahnya bukanlah seorang yang rajin menyertai pertandingan yang memerlukan kreativiti lebih-lebih lagi melalui internet. Masih terbayang-bayang borang-borang kosong di rumah : cabutan bertuah The Store, Caltex, minuman susu...

Ya Allah, hari ini keluar keputusan rupa-rupanya....

"Dear Students,

Thank you for your interest in the Shohoku Study Tour.

After a difficult and painstaking decision process, we are proud to announce that the following students have been selected to participate in the Tour:

3058282 Roach, Yedda
3029600 Ryan, Stuart
3058313 Hampton, Emma
3091423 Falconer, Stewart
3076307 Russell, Ellen
3075212 Lee Chin, Lanelle
3059905 Parker, Kate
3076452 Murray, Leo
3075657 Porteus, Jessie
3090715 Walkom, Samuel
3062119 Lewis, Hannah
3052864 Robinson, Tristan
3058807 Carraro, Marc
3059731 Watts, Samuel
3084797 Ahmad, Nurul Ezzathy

The above people will be contacted soon, about the next step in the process.
"

Saya tergamam. Teman-teman serumah menjerit keriangan. Nama terakhir itu... Alhamdulillah, saya terpilih...!!!! Saya terpilih....!!!! Masya Allah, takdir ini memang tidak pernah saya impikan. Setelah borang siap diisi dan dihantar di alam maya, dua hari kemudiannya, isu peperiksaan yang teru-menerus mengisi kotak memori.

Eh, astaghfirullah...ummi dan ayah masih belum diberitahu...

54 Kimian

Saturday, 21 February 2009

Rumah Saya

21 Februari 2009, Sabtu
25 Safar 1430

Bismillahirrahmanirrahim....

Saya suka lihat matahari terbit,tapi tidak pasti apa kesannya kepada mata saya.
Saya suka lihat orang tersenyum dan tahu apa kesannya kepada hati saya.
Saya suka bunga ros, warnanya dan harumannya, pengaruh ummi dalam hidup saya.

Alhamdulillah, semalam setelah menelefon ummi, terubat sedikit kerinduan.
Pesanan ummi saya sampaikan dalam blog ini.

Insya Allah rumah lama keluarga saya di Muar akan disewa.
Perincian :

- 6 bilik + 5 bilik air
- 2 carporch untuk digunakan
- Halaman depan dan belakang rumah yang luas
- Kawasan rumah berpagar dihiasi dengan beberapa batang pokok buah-buahan (pokok kesukaan saya : rambutan gading ^ ^)
Terletak di tepi jalan - senang untuk akses kemudahan.
2 km dari pekan Parit Jawa (p/s : sahabat lama, tahu di mana rumah saya ini?)
berdekatan dengan semua kemudahan :
1. Masjid
2. Pejabat pos
3.Sekolah menengah, rendah, sekolah at-tanwiriah, tadika, pusat kegiatan guru
4. Balai polis
5.Klinik kesihatan

Keadaan rumah alhamdulillah sangat baik dan baru dicat.
Anggaran sewa : rm500 sebulan

Maka, kawan-kawan sekalian, sekiranya ada kaum keluarga atau sahabat handai mahupun kenalan sekalipun yang berminat untuk melihat keadaan rumah untuk menyewa, sila hubungi
nombor di bawah :

+6013 6518874
+606 9510703

Rumah itulah tempat kami semua membesar, mengenal erti pengorbanan ummi dan ayah.
Laman luas itulah tempat kami bermain, jatuh bangunnya kami daripada basikal mahupun pokok kedondong, masih tersemat kemas dalam lubuk memori.

Saya rindu rumah itu. Kehijauan desa, kemesraan emak dan anak-anaknya.
Oh ya, emak yang saya maksudkan itu jiran yang saya panggil emak, emak angkat saya.
Saya ada dua emak tapi ummi saya hanya satu dunia akhirat.
Saya ada dua abah, tapi ayah hanya satu dunia akhirat.

Salam ketenangan, salam perjuangan.

Kimian Avenue

Tuesday, 17 February 2009

Hari-hari awal

17 Februari 2009

Bismillahirrahmanirrahim~

Hujan rintik-rintik bermula sejak tutorial berakhir.
Segala pujian hanya bagi-Nya, kini saya bergelar pelajar tahun kedua semester pertama.
Banyak ranjau perlu dilalui, namun kasih-Nya masih tetap setia menemani, Maha Suci Engkau ya Allah.

Pagi tadi, bilik HA 190 bangunan Hunter menjadi tempat kami ahli kumpulan A bersua muka.
Alhamdulillah, Dr. Jane Gordon menjadi tutor untuk memandu kami dalam setiap sesi perbincangan dan pembentangan.
Ini kali pertama tutor saya ialah seorang doktor. Tahun lepas untuk semester pertama seorang nurse di ED (emergency department) dan semester kedua seorang doktor nutrisi menjadi tutor saya dan teman seperjuangan. Indah sungguh aturan Tuhan buat saya.

Kami ahli-ahli kumpulan A terdiri daripada Amin, Mary (seorang ibu dianugerahi dua cahaya mata), Jon (19 tahun), Sarah (18 tahun), Suzie (masih di bumi Malaysia, masalah tiket), Robert (25 tahun), Amanda dan Nurul (21 tahun). Setakat yang saya rasakan,insya Allah kami boleh berkomunikasi dengan baik, walaupun mungkin sumbangan saya boleh dipertingkatkan.

Perbincangan yang penuh ilmiah inilah yang saya mahukan.
Ternyata, usia bukan ukuran ilmu di dada, itu pandangan saya terhadap Jon.
Status bukan penghalang menimba ilmu, Mary membuktikan.
Lalu saya? Apa yang terus menghalang saya daripada menyumbang sesuatu untuk ummah?
Status? Kewangan? Masa? Atau wabak jahiliah dan kemalasan?

"Allahumma inni au'dzubika minal hammi wal hazan,
wa au'dzubika minal 'ajzi wal kasal,
wa au'dzubika minal jubni wal bukhl,
wa au'dzubika min gholabatid daini wa qahrir rijal...amin~"

Lalu, di penghujung perbincangan kami, akhirnya terhasil 5 learning targets utama dengan anak-anak kecil di bawahnya ^ ^
Terus saya bergerak menuju perhentian seterusnya.

Senarai 'to do list' saya keluarkan.

Need to do :
1. Bayar OHSC
2. Keluarkan duit
3. Pos kad birthday Risa
4. Tanya gym my status

Buat sahabat-sahabat yang tidak pasti, OHSC ini ialah insurance coverage unutk pelajar luar negara di universiti ini.
Setelah bersoal jawab, akhirnya $A 380 telah pun selamat bertukar tangan kepada puan di kaunter pembayaran.

Duit juga telah selamat saya keluarkan. Berapa jumlahnya? Rahsia...semuanya untuk pembayaran bil dan sewa rumah serta talian setelah pulang dari tanah air.

Takdir Tuhan, turunlah hujan renyai-renyai tatkala perjalanan saya ke Shortland building untuk ke The Post (pejabat post di New South Wales). Dengan beralaskan beg pemberian Shohoku College di kepala, saya bergegas ke sana. Alhamdulillah, kad untuk Risa, seorang remaja comel di Jepun, telah selamat saya pos. Semoga selamat tiba pada waktunya.

Setelah berkira-kira, sekaki payung lutsinar selamat menjadi milik saya. Benar-benar mengimbau nostalgia di bumi matahari terbit. Insya Allah akan saya ceritakan nanti.
Kaki saya gagahkan ke Auchmuty, perpustakaan kesayangan saya untuk meminjam beberapa buah buku buat menambah apa yang kurang di dada.

Dengan bersenjatakan payung buat melindungi diri daripada rintik hujan, saya melangkah dengan penuh bersemangat menuju ke gym. Syukur buat Yang Maha Pengingat saya diketuk dengan memori bahawa kad gym masih berada di dalam laci di rumah.
Astaghfirullah, lemahnya hamba-Mu ini....
Konklusinya, hanya 3 daripada empat perkara telah berjaya disempurnakan, alhamdulillah.

Perjalanan pulang merentasi jambatan hijau (gelaran saya buat jambatan yang menghubungkan Hunter area dan Shortland area) menemukan saya dengan Bill dan Jenanee. Nampaknya mereka berpuas hati dengan ahli tutorial pada semester ini. Saya juga tumpang gembira.

Saya terfikir, apakah pada hari ini saya melayan teman-teman serumah dengan baik?
Adakah saya menghubungkan silaturrahim?
Adakah saya mendapat ilmu yang bermanfaat?
Yang paling penting, adakah niat saya pada hari ini saya betulkan?

Hamba yang khilaf,
Kimian Avenue



Saturday, 8 November 2008

Inikah kebetulan?

Dengan nama Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha mengasihani...

Cik tulang dibesarkan dalam suasana yang mencukupi.
Segalanya bermula dengan sel-sel yang dinamakan 'osteoblast'.
Cik 'blast' inilah yang sibuk menghasilkan sel tulang baru yang akhirnya bertukar menjadi 'osteocytes' yang terperangkap di celahan 'lacuna'.
Segala nutrient harian untuk 'osteoblast' ini diperoleh daripada kapilari darah
yang mengandungi segala macam keperluan hidupnya.

Dalam persekitaran yang berbeza, cik tulang membesar daripada sel-sel 'mesenchyma' di permukaan kulit paling bawah.
'Ostoeblast' masih menjalankan tugasnya di bawah pengaruh 'alkaline phosphatase'.

Tanpa kita sedari, tulang kita membesar ataupun melalui musim pemulihan.
Segala jenis retakan, hentakan, ada sahaja perkara yang tersedia diciptakan untuk
badan kita menghadapinya.

Umpama menyediakan bahan-bahan untuk membuat kari ayam...

6 ketul ayam, 1 paket serbuk santan, 3 sudu besar kari, dll....
Sebagai urutan normalnya, kita si tukang masak perlulah menyediakan segala bahan-bahannya.
Mengawal api agar bahan-bahan tadi tidak hangus dan meletakkan perasa secukupnya
agar hidangan kari ayam yang tersedia bukan sekadar indah pada rupa namun mampu memikat
hati sahabat-sahabat yang kelaparan.

Begitulah juga badan kita.
Tidak mungkin osteoblast tiba-tiba berada di badan kita betul-betul di 'hyaline cartilage',
menghadapi proses 'endochondral ossification'.
Dengan komposisi kimia yang betul dan suhu yang tepat lagi sesuai melakukan proses tumbesaran badan seorang kanak-kanak kepada ketinggian seorang remaja.

Semuanya dikatakan berlaku dengan sendiri.
Keputusan osteoblast dan badan kita sendiri, maka berlakulah apa yang sepatutnya berlaku
secara 'semula jadi', fisiologi tubuh.
Tak dapat diterima akal sungguh.

Bayangkan jika sebuah kapal layar, yang bernakhoda,
dipenuhi dengan awak-awak, namun hanya membiarkan angin sebagai penunjuk jalan di
samudera yang menggila.
Tidak sampai seminit, mungkin batu karang menjadi destinasi mereka.
Mereka terkenal seluruh dunia :
'Nakhoda lesu membiarkan kapal terhempas di lautan dalam : 100 manusia terbunuh!'
dengan paparan muka hadapan seluruh akhbar di cakerawala.

Fikirkan wahai diri, kadang kala tatkala kita menelaah buku-buku karangan manusia,
kita terlupa mengaitkan ilmu tersebut dengan Pencipta Agung.
Tanpa kekuasaannya, mungkin hidung saya berada di celahan rambut...
atau mungkin saya bermata, namun fungsinya untuk berkata-kata.
Pelik bukan?
Walaupun semuanya dikatakan sebagai ekspresi gen, namun tanpa aturan Ilahi,
semuanya tidak bererti.
Bagaimana berjuta-juta gen dalam badan manusia begitu tunduk dan patuh mengekspresi diri secara sepatutnya?
Tentulah di bawah 'iman paksaan', mereka tiada pilihan.
Namun kita sebagai khalifah-Nya, mampu memilih.
Itu satu kelebihan kah?
Marilah kita renung-renungkan.

Oh ya ~, kemenangan Barack Obama juga satu ketentuan Al-Qadir.
Seluruh umat manusia bergembira...
dari Kenya ke Jepun mereka bersuka ria.
Politik dunia...
Politik akhirat nanti, dapatkah kita suaka politik Allah?
Syafaat itu yang kita cari.

8 November 2008, Sabtu.

Malaysia rupa-rupanya menjadi perhatian negara kangaroo ini.
Kisah DSAI, DS Najib Tun Razak, Al tantuya,
Raja Petra, ISA segalanya mendapat perhatian sistem penyiaran ABC di negara Australia.
Mengapa ya?
Kadang kala kita tidak tersedar kita semua diperhatikan.
BUkan sahaja oleh kerajan negara-negara lain.
Namun Pemilik Mutlaq segala kerajaan alam ini.

Salam perjuangan penuh titisan,
air mata dan tinta.

Sampaikan rinduku ya Allah buat manusia-manusia di
Malaysia, Jordan,UK, Ireland,Czech, India,Australia, Russia, Mesir, Syria, US.
Rindunya tidak tertahan.
Tabahlah wahai hati.

54 Kimian Avenue,
4 hari sebelum peperiksaan Semester akhir tahun pertama.
Doakan saya dan sahabat2 lain.
12,13,14 dan 17 November 2008.